Kongsi Ubat Itu SALAH, Ini 6 Cara Betul Beri Anak Makan Ubat

Apabila virus demam menyerang anak sulung berumur 10 tahun, mak segera bawa mereka ke klinik. Selepas pemeriksaan doktor, mak ke kaunter ubat dan diterangkan tentang preskripsi setiap ubat ikut sukatan.

Setiap ubat bukan saja ada label nama pesakit, tapi disertakan tarikh dan bilakah waktu sesuai mahu diambil. Selang dua hari, anak kedua yang berumur 6 tahun pula diserang demam. Memandangkan mak tersangatlah sibuk dengan kerja, tak sempat nak bawa anak kedua ke klinik.

Mak ambil ubat Along dan berikan pada Angah. Cara itu sebenarnya SALAH! Sebenarnya ada banyak perkara perlu diperiksa dengan teliti sebelum ubat diberikan kepada anak. Ibu bapa fahami maklumat ini. Kemudian, kongsikan dengan penjaga anak-anak jika mereka diasuh oleh orang lain.

6 Cara Betul Beri Anak Ubat

1. Pesakit Yang Betul

Sebelum diberi ubat, pastikan ianya untuk si manja. Pastikan nama anak ditulis dengan jelas. Jika di tempat asuhan mungkin ada beberapa nama yang sama atau hampir sama. Elakkan terjadi ubat untuk Mohd Amin diberikan kepada Mohamed Amin sebagai contohnya. Jadi penjaga harus lebih  berhati-hati ketika memberi ubat untuk memastikan penerima yang betul.

IKLAN

2. Ubat Yang Betul

Pastikan sebelum membawa pulang ubat dari klinik, ubat ditulis nama dan untuk apa. Ini memastikan ibu bapa tahu apa yang diberikan kepada anak. Jika tidak pasti, tanya perawat untuk menjelaskan kekeliruan. Ini juga memudahkan kita mengenal pasti ubat mana yang sesuai, memberi alahan dan sebagainya untuk rujukkan akan datang.

3. Dos Yang Betul

Sila ikut arahan yang ditetapkan untuk mendapat kesan yang dikehendaki atau mengelakkan keracunan jika terlebih dos. Jangan menambah atau mengurangkan dos sesuka hati. Gunakan penyukat yang disediakan atau picagari untuk penyukat ubat cecair.

IKLAN

4. Cara Yang Betul

Bukan semua ubat perlu dimakan! Ada ubat yang ditampal “RACUN” atau “POISON” di mana ianya untuk kegunaan luar sahaja. Terdapat juga ubat  untuk dititiskan ke mata, telinga dan hidung. Ada juga untuk dimasukkan melalui dubur. Asingkan ubat yang dimakan dan yang di label racun. Jika ada anak yang perlu disuntik insulin, pastikan lokasi otot ditukar-tukar.

5. Masa Yang Betul

Perhatikan arahan masa pengambilan ubat. Ada yang perlu diambil dengan perut kosong atau selepas makan. Ada yang khas untuk diambil pada waktu malam. Periksa kekerapan pengambilan mengikut selang masa yang titetapkan terutamanya antibiotik.

IKLAN

6. Sebab Yang Betul

Ada ubat yang diarahkan ambil bila perlu dan dihadkan pengambilannya mengikut keperluan. Contohnya ambil bila demam atau sakit sahaja. Terdapat inhaler yang perlu diambil hanya ketika lelah menyerang sahaja dan perlu dibawa kemana-mana.

Kongsi Ubat Itu SALAH, Ini 6 Cara Betul Beri Anak Makan Ubat
Norazizah Hj Ruslan

Tip Ini Mak Ayah Wajib Hadam

  • Jangan berkongsi ubat dengan orang lain walaupun penyakit yang sama; kerana kesesuaian belum tentu sama. Ada ubat yang diberikan secukupnya untuk keperluan seorang pesakit, jika dikongsi ianya boleh menyebabkan kekurangan dos dari  yang sepatutnya.
  • Sentiasa ambil tahu nama setiap ubat dan direkodkan supaya boleh dijadikan rujukan untuk masa akan datang.
  • Habiskan antibiotik walaupun demam telah hilang, ianya untuk memastikan bakteria penyebab penyakit tersebut dapat dihapuskan.
  • Krim yang mengandungi steroid perlu disapu senipisnya dan di kawasan yang terlibat  sahaja.
  • Sekiranya berjumpa dengan lebih dari seorang doktor pada masa yang sama, pastikan diberitahu ubat yang sedang diambil untuk memudahkan doktor memberi rawatan.
  • Adalah penting untuk ibu bapa tahu apa yang diberikan kepada si manja serta tahu apa kebarangkalian yang akan timbul. Perhatikan sebarang tanda-tanda alahan. Hentikan pengambilan ubat serta merta dan bawa ke klinik atau hospital dengan segera.
  • Simpan ubat dan peralatan ditempat yang selamat dan jauh dari kanak-kanak. Simpan mengikut arahan seperti di tempat gelap, didalam peti sejuk mengikut suhu yang sesuai. Buang ubat yang lama dengan cara yang betul. Picagari yang telah digunakan untuk suntikan perlu dibuang di dalam tong sampah khas.

Sumber: Norazizah Hj Ruslan, Penceramah Bebas Pemakanan dan Gaya Hidup Sihat, Platinum Holistic Wellness Centre, Shah Alam

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI