Penyakit orang kita, suka sangat sebut bahagian yang tak sempurna. Padahal banyak lagi sikap lain yang bagus, saja mencari salah.
Itulah orang kata, kalau kita cari kebaikan maka yang baik lah kita jumpa. Namun jika selalu mencari keburukan, yang nampak cuma bahagian yang buruk.
Nak-nak pula memang dah tak serasi sangat, kesannya hubungan makin berjauhan dan langsung tak boleh ngam! Cuba renungkan perkongsian saudara Abd Ghani Haron ini, moga kita boleh berubah dan buang yang keruh.
Redalah Dengan Kekurangan
IBARAT MEMILIKI KAIN SESENTUNG. DITUTUP KEPALA TERBUKA KAKI
Pesan ayah saya ,“Kita ibarat memiliki kain sesentung, tarik menutup kepala, kaki terbuka, tarik tutup kaki, kepala terbuka.”
Ads
“Teringat zaman hidup susah dulu, kain pelekat sehelailah menjadi selimut, kaki kena di lipat atau kerekot untuk tutup semua anggota.
Maksud ayah, kita tak mungkin sempurna semuanya.
Ads
Anak yang dianugerah Tuhan takkan semua memenuhi impian kita. Kelapa setandan, bukan semua berisi, pisang setandan bukan semua sama besar, jari ditangan bukan semua sama panjang. Dengan yang demikian redalah pada kekurangan yang ada pada anak, bersyukurlah kepada penganugerah Tuhan, yang terkurang itu ujian Allah, peluang untuk bersabar dan berusaha.
Setiap Orang Tak Sempurna
Suami isteri nampak perfect, sempurna segalanya, masa belum berkahwin, bila dah duduk serumah nampaklah kudis sana sini, cacat cela sana sini. Itulah hakikat kekurangan untuk kita redha, bersyukur dan bersabar. Jangan melihat isteri saja yang kurang, diri sendiri tetap ada kekurangannya cuma tidak mungkin kita melihat dalam diri sendiri. Kalau nak tahu, bertanyalah kepada isteri yang melihatnya dari luar.
Ads
Tidak semua rakan dan pekerja kita sempurna. Terimalah kekurangan mereka dengan berlapang dada, membetulkan apa yang tidak kena, menambah apa yang terkurang. Jika anda seorang guru, ingatlah murid anda ibarat jari tangan yang tidak sama panjang. Pencapaian, perangai, kebolehan adalah berbeza, bersabarlah, bertekunlah untuk memperbaiki, padamkan percikan api kemarahan, kerana semua mereka juga ciptaan Allah.
Kita ibarat kain sesentung, tutup kepala kaki terbuka, tutup kaki kepala terbuka. Bersabarlah, berlapang dadalah. Jika anda memarahi anak orang lain, ibubapanya pasti terasa.
Jangan Terlalu Mencari Kekurangan Orang
Jika anda menyatakan kekurangan seorang, ibubapanya akan terasa. Apakah anda tidak takut jika anda memarahi atau menyatakan kekurangan seseorang, anda akan dimarahi oleh Tuhan yg mencipta mereka?
Inilah hakikat mengapa kita kena mengawal kemarahan, apalagi kepada manusia. Berpada pada dan berhati hatilah, marah mungkin pada perlakuan, jangan marah pada sifatnya. Jika anda merasa anda seorang yang baik marilah kita menjadi insan yang lebih baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Orang ketiga punca rumah tangga runtuh, cetus konflik hingga jejas hubungan suami isteri. Kehidupan rumah tangga sepatutnya menjadi tempat di mana kasih sayang, kepercayaan, dan kesetiaan antara pasangan suami isteri dipupuk dan dipelihara.
Namun, dalam realiti kehidupan, tidak semua hubungan perkahwinan dapat bertahan dengan utuh. Salah satu punca utama yang sering menyebabkan keruntuhan rumah tangga adalah kehadiran orang ketiga.
Orang ketiga merujuk kepada individu luar yang mengganggu keharmonian sesebuah perkahwinan, sama ada secara sedar atau tidak sedar. Kehadiran orang ketiga ini boleh membawa kepada pelbagai konflik dan masalah yang akhirnya menjejaskan hubungan suami isteri.
Antara faktor yang menyebabkan kehadiran orang ketiga termasuklah:
Kurangnya Komunikasi
Komunikasi yang tidak berkesan antara suami isteri boleh membuka ruang untuk orang ketiga masuk. Apabila pasangan tidak lagi berkongsi perasaan, masalah, atau kebimbangan, mereka mungkin mencari pendengar lain di luar perkahwinan. Ini boleh membawa kepada perasaan keterikatan emosi dengan orang ketiga tersebut.
Kurangnya Perhatian dan Kasih Sayang
Setiap individu dalam perkahwinan memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada pasangannya. Apabila salah seorang merasa diabaikan atau tidak dihargai, mereka mungkin mencari perhatian dan penghargaan daripada orang lain. Ini boleh membuka pintu kepada hubungan sulit yang merosakkan rumah tangga.
Masalah Kewangan
Tekanan kewangan sering menjadi punca kepada pertengkaran dalam perkahwinan. Apabila masalah kewangan tidak ditangani dengan baik, ia boleh menyebabkan ketegangan dan kekecewaan yang seterusnya membuka peluang kepada orang ketiga untuk masuk dan memberikan sokongan emosi yang diperlukan.
Perbezaan Nilai dan Matlamat Hidup
Setiap individu mempunyai nilai dan matlamat hidup yang berbeza. Apabila pasangan suami isteri tidak lagi sehaluan dalam mencapai matlamat hidup mereka, perbezaan ini boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati. Orang ketiga yang berkongsi nilai dan matlamat yang sama dengan salah seorang pasangan boleh menjadi daya tarikan yang kuat.
Media Sosial dan Teknologi
Kemajuan teknologi dan penggunaan media sosial telah memudahkan komunikasi dengan orang luar. Hubungan yang bermula dengan perbualan yang nampak tidak berbahaya di media sosial boleh berkembang menjadi hubungan yang lebih intim dan akhirnya menjejaskan perkahwinan.
Memetik laporan Berita Harian, Peguam syariah, Nurul Izzah Zainol, berkata faktor usia tidak menentukan berlaku perceraian, berikutan punca terlerai ikatan boleh terjadi disebabkan berapa lama tempoh perkahwinan ditempuhi mereka.
“Memang diakui satu-satu masa trend menunjukkan pasangan muda bercerai, namun pada satu ketika, pasangan berkahwin dengan tempoh 20, 30 bahkan 50 tahun pula mahu berpisah, kerana perubahan didambakan bertahun-tahun terhadap pasangan tidak menjadi kenyataan.
“Sebagai contoh, anak guam saya berusia 70 tahun mahu bercerai, kerana masing-masing tiada lagi ruang kesefahaman, walaupun sudah membina rumah tangga lebih 50 tahun.
“Hal ini membuktikan usia bukan faktor penentuan sama terus bertahan atau berpisah, kerana perceraian dipilih apabila seseorang itu dicurangi, tidak diberi nafkah, dicederakan hingga tiba satu masa, mereka bertekad memfailkan perceraian kerana tidak mampu lagi bertahan,” katanya.
Beliau berkata, ramai pasangan memilih pendekatan untuk bertahan walaupun dari awal perkahwinan dirinya dipukul, dibiarkan menanggung sepenuhnya beban kewangan tetapi masih tidak mahu mengambil keputusan berpisah demi masa depan anak-anak.
“Wanita seolah-olah imun (kebal) walaupun mereka dikasari namun sampai satu masa, kesabaran sampai kemuncaknya, mereka mula sedar kembali bujang lebih menjanjikan kehidupan bahagia.
“Sebab itu perceraian tidak berlaku secara tiba-tiba hanya kerana dicurangi, tetapi disebabkan faktor lain seperti wujudnya parasit atau peranan yang tidak seimbang antara pasangan, memaksa golongan wanita perlu bekerja keras berikutan semua beban ditanggungnya sendirian,” katanya.
Namun, menurut Nurul Izzah, persepsi ramai apabila seseorang itu merujuk masalah rumah tangga kepada peguam, hubungan itu pasti berakhir perceraian, adalah kurang tepat.
“Sebenarnya kita bukan bulat-bulat mengusulkan perceraian, tetapi peguam menasihatkan anak guam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan haknya untuk bercerai. Pilihan menggunakan haknya di sisi undang-undang atau tidak adalah atas individu itu.
“Peguam berperanan memberikan maklumat undang-undang misalnya, tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak mohon cerai fasakh dan jika empat bulan tidak diberi nafkah, boleh memohon cerai ta’liq.
“Bagaimanapun, intervensi guaman biasanya menjadi penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil contohnya berkaitan isu nafkah, ada wanita hingga ke peringkat menderita tekanan mental.
“Jadi kita memberi saranan sepatutnya seperti tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak memohon cerai, khidmat guaman adalah penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil,” katanya.
Beliau berkata, perkahwinan sepatutnya kedua-dua pihak mendapat manfaat yang lebih dan ikatan itu sewajarnya lebih memperbaiki banyak keperluan dan gaya hidup serta mempertingkatkan potensi, kecemerlangan, karier dan kewangan lebih baik.
“Itu tujuan perkahwinan. Bagi saya, apabila perkahwinan itu tidak mencapai matlamat daripada pelbagai sudut dan berlaku kepincangan, maksiat, maka matlamat perkahwinan sudah tidak lagi tercapai.
“Justeru, penyelesaiannya adalah perceraian, apabila perkahwinan tidak lagi menjadi ladang pahala, bahkan lebih banyak kemungkaran dan dosa, kualiti hidup juga tidak semakin membaik. Apa lagi yang ditunggu?
“Perkahwinan tidak seharusnya memandulkan potensi dan produktiviti setiap orang. Jika kita dimandulkan oleh perkahwinan sehingga tidak memberikan perubahan yang positif kepada diri dan masyarakat, itu bukan perkahwinan yang dimahukan dalam Islam.
“Jadi asas kita untuk menilai wajarkan sebuah perkahwinan itu dipertahankan adalah dengan melihat apa nilai positif dan negatif yg wujud daripada perkahwinan itu.
“Sekiranya lebih banyak mudarat berbanding kebaikan, maka perpisahan adalah jalan yang terbaik,” katanya
Keruntuhan rumah tangga akibat kehadiran orang ketiga adalah sesuatu yang menyedihkan dan sering meninggalkan kesan yang mendalam kepada pasangan suami isteri serta anak-anak.
Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, pasangan perlu sentiasa menjaga komunikasi yang baik, memberikan perhatian dan kasih sayang yang mencukupi, serta berusaha untuk memahami dan menghargai satu sama lain.
Kesetiaan dan kepercayaan adalah asas yang kukuh dalam sesebuah perkahwinan. Dengan berpegang kepada nilai-nilai ini, pasangan boleh mengharungi cabaran dan dugaan dalam perkahwinan dengan lebih berkesan, sekaligus mengelakkan kehadiran orang ketiga yang boleh meruntuhkan rumah tangga mereka.
Kita selalu menyangka kehidupan orang lain lebih baik daripada kehidupan kita, betul tak? Sebaik sahaja kita keluar rumah otak kita mula memikir tentang semua yang kita lihat.
Nampak nyonya memandu kereta baru kita berkata dalam hati, ‘Tentu nyonya itu banyak duit. Tatkala aku sedang pokai dia boleh pandu kereta baru.’
Belum lagi melihat kehidupan orang yang memang betul-betul kaya. Lalu di hadapan rumah mereka pun, kita berasa amat kecil dan langsung tak bertuah.
Kita sentiasa memikirkan orang yang tinggal dalam rumah besar seperti itu sedang bahagia. Kita juga yang masih tidak beruntung, terpaksa tinggal dalam rumah sewa.
Tatkala kita bersama-sama orang ramai yang sama taraf dengan kita pun, kita tetap merasakan mereka semua serba cukup, berbanding kita yang tidak pernah cukup-cukup.
Apakah masalahnya dengan diri kita? Masalahnya kerana kita selalu percaya kehidupan orang lain lebih baik daripada kita. Sedang sebenarnya orang lain itu pula percaya kehidupan kita jauh lebih baik daripada mereka.
Semua itu terjadi kerana kita kehilangan sesuatu yang penting dalam kehidupan iaitu berasa cukup (qanaah).
Mari semak tiga fasa kehidupan yang mungkin telah kita lalui atau bakal lalui atau sedang lalui. Kita perbetulkan mana-mana yang sempat untuk diperbetul.
Semak Fasa Demi Fasa Ini
Fasa Pertama
Ketika kita dalam umur remaja. Pada waktu itu kita ada masa yang cukup banyak campur tenaga yang bukan kepalang cemerlang, tetapi kita tidak punya harta.
Lihatlah para remaja hari ini yang kerap menghabiskan masa tidak tentu hala, pada usia kita yang telah melaluinya kita melihat betapa ruginya mereka itu.
Andainya kita dikembalikan pada usia mereka, kita akan gunakan sepenuh masa dan tenaga untuk berbuat perkara-perkara berfaedah.
Fasa Bekerja
Tetapi fasa itu sudah terlalu, dan sekarang kita dalam fasa bekerja. Kita memang ada pekerjaan yang hendak dilakukan.
Hari-hari kita bangkit awal pagi untuk bekerja lalu mendapat pendapatan daripadanya. Kita memiliki harta dan tenaga tetapi kita sudah tidak mempunyai masa.
Masa kita habis di tempat kerja, selebihnya menguruskan rumahtangga, menjaga anak-anak serta berkhidmat kepada pasangan.
Fasa ini adalah fasa ramai orang kandas dalam peribadahan. Ramai yang terlalu tertumpu pada pekerjaan hingga tidak sempat hendak solat, memperuntukkan masa untuk mendaftar haji, apalagi pergi ke masjid untuk belajar agama.
Masanya terpenuh semata-mata untuk kerja dan keluarga. Memang oleh kerja bukti kita bertenaga dan berharta, tetapi sudah tidak punya masa.
Fasa Usia Emas
Fasa ketiga adalah fasa usia emas di mana pada fasa ini kita memiliki harta dan masa tetapi sudah tidak punya tenaga.
Ramai orang pada usia persaraan hanya menghabiskan masanya di rumah menonton TV dan tidak berbuat apa-apa. Hartanya banyak, masanya juga banyak tetapi sudah ketiadaan tenaga.
Andai sewaktu muda pada fasa pertama dan kedua tidak pernah membiasakan diri dengan kerja-kerja keagamaan, boleh jadi pada usia ini pun demikian.
Lainlah, secara tiba-tiba timbul kesedaran untuk berubah, menggunakan sedikit usia yang tinggal itu untuk berbakti kepada ALLAH.
Fasa Keempat; Antara Sakit Dan Fasa Ketiga
Tahukah anda apa pula fasa keempat? Fasa keempat adalah seandainya kita sakit pada fasa ketiga. Dan biasanya begitulah.
Pada usia persaraan memang macam-macam penyakit akan mula bangkit. Kerana apa? Kerana kita terlalu ‘melemakkan’ diri berehat sepanjang hari dengan menonton TV dan makan tidak berhenti.
Pada fasa ini kita akan amat-amat menyesali semua yang telah dilalui. Kalaulah pada usia remaja kita penuhkan hidup dengan aktiviti berfaedah.
Tentu pada usia pekerjaan kita lebih terpantau, lalu pada fasa ketiga kita menikmati hasilnya – kesihatan (lantaran tidak pernah terlibat dengan pengambilan bahan- bahan berbahaya);
– qanaah (lantaran telah memahamkan diri terhadap berasa cukup, syukur lagi redha);
– bahagia (kerana kita cukup memotivasikan diri dengan pelbagai kaedah membahagiakan diri selari dengan cabaran semasa).
Pada fasa apa pun anda berada sekarang ini, sebenarnya belumlah terlalu terlewat untuk berbuat sesuatu. Yang diperlukan hanyalah kesedaran untuk berubah.
Motivasi terbaik adalah bertindak walau satu tindakan berbanding unjuran hebat tetapi hanya berada dalam fikiran. Mari jadi orang cemerlang untuk dunia kita, sementara kita masih diberi kesempatan untuk memperolehnya, tanpa sekali-kali melupakan untung nasib kita di akhirat pula nanti.
Penulis : HM Tuah Iskandar al-Haj, kolumnis ruangan Motivasi majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebagai mak ayah, sudah tentu kita mahukan anak-anak berpewatakan baik dalam apa jua keadaan tetapi juga di meja makan. Mungkin mak-mak merasakan anak-anak masih kecil dan tak perlu diajar terlalu ‘straight’.
Sebenarnya, masa kecil inilah mak ayah kena ajar anak bila berada di meja makan. Bukan saja setakat makan dan hidangkan untuk anak tapi kena tujuk cara dan adab betul lebih-lebih lagi bila bersama ahli keluarga lain.
Paling penting, jangan biarkan anak-anak anggap mak macam bibik bila di meja makan, minta itu dan ini seperti dilayan macam raja. Tidak baik.
Mungkin bagi mak tak kisah, asalkan anak-anak dapat makan bersama dan layan karenah anak di meja makan. Tapi kalau dibiasakan boleh beri kesan sampai dewasa.
Inilah yang ditekankan oleh Mohd Fhais tentang adab yang perlu diajar oleh anak bila berada di meja makan.
Sedih dan geram bila nampak anak layan ibu macam bibik!
Mentang mentanglah ibu ini jenis tak banyak cakap dan turut saja apa di suruh, di arah arahnya buat itu ini.
Tak boleh hilang adab di meja makan. Serius tak boleh!
Meja makan ini tempat keramat setiap anak untuk belajar betapa tingginya nilai adab dalam kehidupan terutama di depan ibu & ayah.
Kena ajar anak 7 adab ini di meja makan sebelum dia terbiasa sampai ke besar kelak.
1. Minta Tolong
Ini adab paling senang buat tapi paling jarang anak anak buat. Nak suruh ibu buat apa-apa pun boleh tapi pastikan mulakan dengan kata “ibu tolong….”
2. Cakap Terima Kasih
Adab hargai pertolongan pun kena ada. Ibu dah tolong kena lah ucap terima kasih. Sejuk hati ibu dengar, boleh hilang stres dia.
3. Tak Boleh Bergaduh
Depan rezeki tak baik bergaduh, tak bersyukur namanya. Kena ajar anak adab penting ini.
4. Kena Minta Izin
Nak ambil makanan jauh, nak minum air adik atau nak bangun dari tempat duduk kena minta izin dulu. Baru la tak havoc jadinya.
5. Di Larang Menjerit
Pantang di meja makan menjerit. Itu bukan tak ada adab tapi dah tahap kurang ajar.
6. Jangan Bergaduh
Budak-budak bergaduh itu biasa tapi di meja makan kena haramkan bergaduh. Dari kecil kena ajar anak hormat depan rezeki.
7. Minta Maaf
Jika ada tertumpah makanan ke, terbuat kesalahan ke kena minta maaf. Bukan tergelak, bukan menangis atau buat buat tak tahu, wajib minta maaf supaya anak belajar dari kesilapan.
Soal adab ni memang ayah yang kena tegur anak sebab kalau ibu tegur diorang susah dengar, gelakkan ibu lagi ada lah.
Memang fitrah suara ayah ni lebih tinggi autoriti untuk menegur hal adab. Anak lebih takut dan lebih patuh pada teguran ayah berbanding ibu.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Ibu Fatin Syazwani luah kesedihan, "Makcik memang takut duduk seorang diri dalam sel lokap polis. Dipakaikan baju tahanan reman selain dipisahkan dari suami dan...