Dari tahun lalu sehingga kini, kita hidup dalam norma baharu berikutan pandemik Covid19. Banyak sektor utama seperti kesihatan, ekonomi dan pendidikan terjejas.

Kesan daripada ini ramai yang diberhentikan kerja, diminta cuti tanpa gaji atau dipotong gaji. Keperitan hidup ini mengganggu emosi dan ada yang hilang motivasi diri.

Susulan itu, sebagai portal Wanita #1 tanahair, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, berusaha menyalurkan maklumat dan menunjukkan jalan alternatif bagaimana mereka dapat dibantu untuk bangkit dan meneruskan kehidupan dengan lebih yakin.

Setelah kejayaan rancangan Bangkit Wanita: Webinar #bisnesdarirumah yang berakhir April lalu, terbaharu, Bangkit Wanita: Kisah Inspirasi & Sukses (KIS) dilancarkan.
Rancangan bual bicara santai ini boleh diikuti secara siaran langsung menerusi FB Mingguan Wanita setiap Isnin jam 3 petang.

KIS Dedah Kisah Hidup Wanita Hati Kental, Hapuskan Air Mata Dan Terus Jalan
Mila Jirin, tetamu jemputan bagi episod pertama KIS.

Program ini membawakan secara eksklusif personaliti wanita berjiwa kental, kuat dan tabah mengharungi suratan takdir yang ditetapkan Allah. Mereka berkongsi kisah teladan, pengalaman suka duka yang boleh dijadikan contoh dan sempadan sebagai pedoman. Rahsia, tip dan formula kejayaan dikongsi bersama.

Perkongsian ini merupakan satu pendekatan psikologi pihak Mingguan Wanita yang inginkan semua wanita terus bersemangat dan kuat berjuang dalam hidup.
Kisah kejayaan dan kegagalan personaliti yang diundang adalah contoh sebenar yang boleh dijadikan inspirasi dan peringatan agar tidak melakukan kesilapan sama.

KIS Dedah Kisah Hidup Wanita Hati Kental, Hapuskan Air Mata Dan Terus Jalan
Dzuriasikim Dzulkefli seorang ibu tunggal yang berjaya, merupakan pengasas produk penjagaan K’Hermosa.

Siapa sangka panas di siang hari rupanya hujan di sebelah petang. Hidup tak selalunya indah, namun mengetahui kitaran hidup seperti roda; ada masa di atas dan di bawah, maka amat penting untuk kita bersiap siaga menyediakan payung sebelum hujan.

Begitulah kiasannya untuk menggambarkan betapa kita perlu menyediakan persiapan yang betul bagi mengharungi kehidupan sekarang dan hari muka. Dalam saat di puncak, ingatlah di saat kita atau orang lain pernah susah. Itu lah matlamat KIS disiarkan untuk tontonan umum. Memberi kesedaran dalam masa sama memberi semangat.

KIS Dedah Kisah Hidup Wanita Hati Kental, Hapuskan Air Mata Dan Terus Jalan
Nor Azila Mahmood, pengasas Kerepek Bronis yang viral.

Beberapa personaliti bakal dijemput sebagai tetamu undangan dan antaranya ialah selebriti/usahawan Mila Jirin, Pengasas syarikat katering dan ruang acara Bizmilla, Nor Azila Mahmood, pengasas Kerepek Bronis yang pernah tular inovasi kerepeknya yang lain daripada lain, Dzuriasikim Dzulkefli pengasas produk penjagaan K’Hermosa, penulis dan pakar motivasi yang telah banyak menyuntik nilai positif pengikutnya dan ramai lagi yang lain.

Setiap daripada mereka mempunyai kisah suka duka sebelum berada di kedudukan sekarang. Jika bukan menawan satu dunia sekalipun, setidak-tidaknya mereka telah banyak mengubah taraf kehidupan dari biasa-biasa kepada luar biasa malah menjadi inspirasi kepada yang lain.

KIS Dedah Kisah Hidup Wanita Hati Kental, Hapuskan Air Mata Dan Terus Jalan
Mila Jirin tidak pernah kering idea dalam memastikan setiap kebajikan staf terjaga.

Ada yang bermula daripada kehidupan susah, ditinggalkan suami lantas bingkas bangun memajukan diri tanpa menoleh ke belakang. Ujian getir menjadikan mereka kuat, dan ada juga ingin mencabar diri, berhenti kerja dari jawatan selesa dan bergaji besar untuk berdiri di kaki sendiri. Penat, letih sukar dan mencabar namun semua ini berbalas dengan kejayaan-kejayaan manis.

Ingat, wanita biarpun nampak lembut, namun jiwanya kental. Dia handal di dapur, turut hebat di pejabat! Susuri kisah perkongsian perjalanan menarik mereka dalam Kisah Inspirasi & Sukses, FB Live Mingguan Wanita, setiap Isnin jam 3 petang.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI