Mahu dirinya lebih dihargai, Noraishah binti Mohamed Saad, 32 mula mengorak langkah apabila dirinya menjadi ejekan yang dilemparkan oleh kawan anak kepada anaknya, yang mengatakan ibu ‘gemuk dan hodoh’. Dan dari situ Noraishah berasa tercabar.

“Saya mula mencari jalan untuk menjalani gaya hidup sihat, menjaga makan dan mencari tempat untuk melakukan aktiviti sihat,” terang Noraishah. Akui sebelum ini mengalami masalah berat badan atau obesiti sehingga menyebabkan sakit lutut, sukar berjalan dan solat. Bukan itu saja malah Noraishah juga sering diejek dan sering merasa rendah diri.

“Saya mula lakukan aktiviti kecergasan pada bulan November 2017. Berat saya ketika itu mencecah 83kg. Alhamdulillah saya telah berjaya turunkan berat sebanyak 26kg dan berat terkini 57kg,” ungkap Noraishah yang kini boleh bergaya memakai pakaian yang digemari berbanding dahulu, sangat terbatas dalam memilih pakaian kerana saiz badanya yang besar.

Kini Sudah Boleh Melaram, Ejekan & Sindiran Bebaskan Noraishah Dari Obesiti

Pilih Senaman Aerobik

Ditanya tentang senaman yang diamalkan sehingga berjaya menurunkan berat badan yang banyak. Noraishah menerangkan selain berjoging dia juga gemar melakukan senaman aerobik.

“Saya mula melakukan aktiviti sihat dengan sertai senam aerobik di Rafflesia Aerobic Studio berdekatan kawasan perumahan saya. Memilih senaman kerana menyeronokkan, malah dapat bakar kalori dengan muzik dan menari.

“Tambahan pula, ramai yang mempunyai misi yang sama di studio tersebut iaitu nak turunkan berat badan sambil ‘enjoy workout’. Jika ada waktu lapang, saya akan bersenam lima hari dalam seminggu memandangkan kelas aerobik dibuat pada setiap Isnin hingga Jumaat,” jelas Noraishah yang jatuh cinta dengan aktiviti kecergasan selepas berasakan badannya ringan apabila banyak keluar peluh.

IKLAN

Meneruskan perbualan, Noraishah juga menerangkan pada hujung minggu dia lebih gemar melakukan aktiviti larian atau berjoging.

“Aktiviti sihat yang lain yang kini menjadi aktiviti yang paling digemari adalah berlari dan berjoging. Sabtu dan ahad atau hari cuti umum adalah hari di mana saya akan berjoging di waktu pagi, petang atau malam (ikut kesesuaian keadaan). Saya bukan berjoging berseorangan, kadang-kadang bersama suami dan anak (tolak stroller sambil berlari). Saya juga akan sertai mana-mana program larian di sekitar Lembah Klang jika ada program yang sesuai dengan masa saya,” luahnya.

Kini Sudah Boleh Melaram, Ejekan & Sindiran Bebaskan Noraishah Dari Obesiti Kini Sudah Boleh Melaram, Ejekan & Sindiran Bebaskan Noraishah Dari Obesiti

Kongsi Aktiviti Sihat Di Laman Sosial

Mahu rakan-rakan juga aktif dalam senaman Noraishah setakat ini masih belum menjadikan aktiviti sihat sebagai sumber rezeki. Cuma buat masa ini dia sering berkongsi pengalamannya di media sosial.

IKLAN

“Saya sering kongsi aktiviti sihat yang saya lakukan di sosial media seperti facebook dan instagram untuk bagi semangat pada kawan-kawan. Selain daripada aerobik dan berlari, saya kerap kali mengikut suami saya bermain badminton bersama rakan-rakannya. Pada mulanya hanya pergi untuk menemankan suami, tapi kini mula belajar dan bermain badminton bersama-sama rakan suami.

“Hampir setiap hari saya melakukan aktiviti kecergasan. Jika hujan atau ada kekangan untuk pergi ke kelas aerobik, berlari, joging atau badminton, saya akan buat senaman ringan dirumah, ikut video zumba di youtube,” katanya.

Wanita ini juga sering menyertai aktiviti marathon. Bermula Disember 2017 hanya dengan menyertai Funrun 5km, kemudian 10km, 13km, half marathon 21km dan terkini full marathon 42km. Malah paling dibanggakan mendapat tempat keenam dalam funrun 5km pada Disember dan finisher medal setiap kali menamatkan larian dalam program yang disertai. Menyentuh tentang wanita yang mahu aktif cergas seperti dirinya, Noraishah berkongsi beberapa tips antaranya pilihlah sukan yang paling digemari dan seronok untuk diikut.

IKLAN

“Bagi wanita-wanita di luar sana jangan mudah terikut-ikut apa yang kawan lakukan. Sentiasa tanya minat sendiri. Cuba buat sekerap mungkin. Jangan buat separuh jalan. Kerana buat kerja separuh jalan akan buat diri kita mudah mengalah. Paling penting beri ganjaran pada diri setiap kali dapat lakukan sesuatu yang baik sepanjang melakukan aktiviti. Contohnya dengan membeli kasut atau baju sukan baru,” sambungnya.

Kini Sudah Boleh Melaram, Ejekan & Sindiran Bebaskan Noraishah Dari Obesiti Kini Sudah Boleh Melaram, Ejekan & Sindiran Bebaskan Noraishah Dari Obesiti

Sangat Berbaloi

Menerusi aktiviti kecergasan yang dilakukan Noraishah akui apa yang dilakukan selama ini sangat berbaloi.

“Ya sangat berbaloi! Saya rasa hidup lebih sihat berbanding keadaan saya yang dulu. Berasa lebih yakin dengan penampilan diri sendiri. Serta keluarga lebih gembira dengan amalan saya sekarang.

“Malah ramai yang bertanya apakah rahsia kejayaan saya hingga berjaya menurunkan berat badan. Di sini saya mahu kongsikan di mana saya mula dengan belajar menjaga permakanan seimbang dan saya sedaya upaya untuk tidak makan yang mengarut-ngarut. Suami yang sangat memberi sokongan juga merupakan punca kejayaan saya menurunkan berat badan. Dia yang akan mengingatkan tentang apa yang boleh dan tak boleh dimakan, serta bagi semangat untuk buat aktiviti kecergasan. Malah dengan menjaga permakanan dan ditambah dengan bersenam sangat membantu proses penurunan berat badan saya,” akhiri Noraishah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI