Cabaran sungguh buat pasangan suami isteri muda yang ada anak kecil tengah lasak. Terutama nak bawa mereka makan di kedai makan. Mana nak makan, mana nak jaga anak yang tak duduk diam.. Fuh!
Masa inilah betul-betup menguji kesabaran mak mahupun ayah. Bila mana anak kecil anda tak mahu duduk diam melainkan berlegar legar keliling meja makan.
Orang keliling tengok jangan ceritalah malunya macam mana. Itu belum masuk bab siapa nak makan dulu. Haa.. inilah tip yang mak ayah ada anak kecil boleh cuba ketika bawa keluarga makan di kedai makan.
Tip Bawa Anak Kecil Dan Isteri Makan Di Kedai Makan
1. Baik Suami Mahupun Isteri Kena Tahu Giliran Makan Masing-masing
Bila makanan yang diorder dah sampai, suami kena cepat-cepat selesaikan makanan. Kalau boleh bawah 10 minit.
Sebab lepas dari jangka masa itu takut anak dah bosan dan meragam. Nanti sudahnya isteri pula tak dapat makan.
Masa suami makan, isteri akan layan anak yang tengah lasak itu. Tapi jangan pula terasa hati bila mak tengah makan, ayah bawa anak jauh dari meja makan.
Ads
Ada setengah suami yang begitu perangainya. Bukan sebab apa. Dia nak beri peluang isterinya makan dengan selesa.
Tapi ada juga isteri yang suka waktu dia makan suami layan anak dekat-dekat meja makannya. Bila suami tak faham kehendak isteri, inilah jadi punca perbalahan.
2. Suap Sajalah Isteri Itu
Kalau anak itu jenis memang tak boleh berenggang dengan mak, apa kata suami suap sajalah isteri itu.
Ads
Sedangkan masa makan beradap relax je kamu buat adegan suap menyuap itu kan. Inikan pula dah sah jadi isteri.
Jangan pula nak mengelak. Suap isteri pun suami boleh dapat pahala. Mudah sebenarnya nak cari pahala lebih ini. Isteri bahagia, rumah tangga terbina dengan sebaik-baiknya.
3. Kalau Nampak Makanan Isteri Tak Habis, Tapau Kan Lah
Kebiasaannya, isteri takkan makan banyak bila nampak suami kalut menjaga anak yang lincah. Dia makan seadanya, sekadar untuk menutup lapar.
Ads
Kadang tak habis pun, jadi sebagai suami yang prihatin, bila nampak isteri makan sedikit. Tapaulah untuk isteri. Belikan baru dan bawa pulang ke rumah.
Nanti isteri akan sambung makan bila dia dah lapang sedikit di rumah. Paling tidak pun, bila dia nampak suami belikan sesuatu dia akan bancuhkan air dan anda boleh makan sekali lagi dengan dia di rumah.
Tip ini ringkas saja tapi membawa makna yang cukup besar sekiranya dapat dilakukan dengan baik oleh suami isteri.
Jika tiga cara ini berjaya, bermakna anda boleh mencuba lagi membawa anak kecil yang lasak ke kedai makan.
Sentiasalah positif dan percaya bahawa suatu hari nanti anak-anak yang lasak ini akan jadi anak sayang teramat baik ketika makan di kedai makan. Sabar dan sabarlah mendidik mereka tentang adab makan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ramai mak ayah yang anaknya alahan laktosa dan susu lembu, beralih memilih susu kambing. Sayangnya, berapa ramai mak ayah yang benar-benar ‘lulus’ dengan ilmu susu kambing ini?
Mak ayah faham susu kambing itu sunnah. Apabila susu kambing di pakej kan, ia tak lagi segar dan ada macam-macam penambah baikan mengikut keperluan penggunanya.
Ini penjelasan terperinci berkenaan pemberian susu kambing kepada anak daripada Dato Dr Suriyakhatun Osman. Sebelum mak ayah tahu apakah 11 jenis susu kambing yang tak boleh diberikan pada anak, kena kaji dan fahamkan dulu tentang susu kambing ini.
“Ramai juga yang memilih susu kambing sebab ia makanan sunnahkan?”
“Ada pula doktor yang katakan susu kambing jangan sekali-kali beri kepada anak sebab kurang berkhasiat dan akan dapat anemia. Betul ke?
“Ada yang berikan susu kambing sebab anak alah pada susu lembu. Boleh ke begitu? Jom kita kaji dan faham betul-betul tentang susu kambing ya.”
Ada lima sebab untuk pilih susu kambing
1. Lebih mirip susu manusia.
2. Sudah semula jadi homeogenis.
3. Laktosa kurang dari susu lembu maka jarang ada laktose intolerance.
4. Lebih senang hadam.
5. Kurang Alpha Casein dan lebih Beta Casein maka kurang bahan yang menyebabkan alergik.
Persoalannya : Susu kambing memang kurang kalsium dari susu lembu dan ia juga kurang asid folic tetapi adakah ini bererti orang yang ambil susu kambing akan dapat enemia dan tulang senang reput?
Jawapan : Tidak begitu . Ada kajian yang menunjukkan lima perkara ini
1. Susu kambing tingkatkan kadar zat besi dalam tikus yang anemic.
2. Susu kambing lebih tinggi medium chain TG dan ini menyebabkan zat besi lagi mudah diserap.
3. Susu kambing lebih tinggi vitamin A dan Vitamin C dan kedua ini membantu penyerapan zat besi.
4. Susu kambing tambahkan penyerapan kalsium serta fosforus dan ini mengurangkan kemungkinan kalsium ganggu penyerapan zat besi.
Persoalannya : Adakah kurangnya kalsium dalam susu kambing menyebabkan tulang kurang kuat?
Jawapan : Tidak juga sebab kajian menunjukkan pengambilan susu kambing boleh hindarkan osteoporosis.
Ada beberapa jenis susu kambing dalam pasaran. “Kesemua susu di bawah kecuali no.11 tidak boleh diberikan pada anak bawah setahun.”
1. Freeze dried organic pure goats milk dan susu kambing segar. Yang segar pastikan sudah di didihkan 15 saat.
2. Freeze dried organic ditambah probiotik dan lemak wajib.
3. Susu kambing dengan maltodextrin dan pengemulsi seperti soya lecithin.
4. Susu kambing dengan krimer.
5. Susu kambing dengan minyak sayur? Sama dengan krimer? Sebab minyak sayur yang ditepukan sama dengan krimer.
6. Susu kambing dengan gula dengan berbagai nama dan ada yang sembunyi sebagai ekstrak buah dan madu. Madu dari mana? Apa mutunya?
7. Susu kambing berperisa coklat atau lain-lain sama ada perisa asli atau tiruan.
8. Susu kambing ditambah prebiotik.
9. Susu kambing dengan pengemulsi atau maltodextrin.
10. Kombinasi bahan 4-9.
11. Susu formula kambing untuk anak bawah umur setahun.
Susu yang lebih manis dari susu asli tak kira disebabkan gula atau ekstrak buah atau madu lebih elok jangan diberikan kepada anak lebih setahun yang masih banyak menyusu.
Jika diberikan, ini akan kekalkan tabiat suka manis dan kalori lebih dari gula walaupun gula buah akan kurangkan selera makan pada makanan pepejal. Ia boleh diberikan kepada anak yang sudah tidak kuat menyusu sekali sehari jika nak juga beri.
Susu kambing yang ditambah krimer pula: Banyak mana krimer? Krimer dari lemak sayur atau palm olein? Jika dari lemak sayur selain palm olein, akan ada transfat maka tidak sesuai untuk konsumsi. Di US ada tindakan sekarang untuk ban produk yang ada transfat sebab kajian telah menunjukkan ia bahaya pada kesihatan.
Susu yang diletak perasa tiruan, contohnya vanilin. Vanilin atau perasa vanilla adalah perasa sintetik yang dibuat antara lain dari guaiacol ia itu bahan petrochemical. Ia boleh menyebabkan alahan dan dalam kuantiti banyak boleh ganggu hati sebab ia adalah kimia.
Banyak jenis kuih, biskut, kek, ice cream, minuman serbuk guna vanilin. Susu kambing pun ada diletak vanilin. Vanilla asli adalah jauh lebih mahal dari perasa sintetik ini.
Jangan tanya nama susu mana ada bahan apa. Saya membuat tanggapan pembaca sudah matang dan sebagai penguna tahu memilih produk yang baik untuk diri dan keluarga.
Belajar baca label dan belajar untuk berhubung dengan penjual/pengeluar untuk mengetahui lebih tentang produk. Bila pembeli tidak peka tentang produk, pengeluar bebas membuat bermacam dakwaan tentang produk mereka.
Berkenaan dengan susu kambing formula ie untuk anak bawah setahun. Susu kambing penuh krim dengan bancuhan yang tepat ada terlalu banyak zat galian untuk anak bawah setahun.
Jika dicairkan pula akan tidak cukup lemak dan karbohidrat. Maka, formula adalah rumusan khas untuk anak supaya kandungan nutrisi sedekat mungking kepada keperluan anak .
Malangnya sekian lama, bahan yang ditambah pada formula adalah gula yang rendah mutunya, minyak sayur dari beberapa sumber kebanyakkan dari minyak ini perlukan proses kimia untuk ekstrak minyak dan minyak soya, minyak jagung serta minyak Canola adalah GMO.
Ada mak ayah niatnya nak melarang anak buat sesuatu, maka muncullah idea takut-takutkan anak dengan hantu. Konon mengharapkan kerja jadi lebih mudah terutama kalau anak kecil itu jenis tak dengar kata, tetapi rupanya cara ini menimbulkan implikasi kurang sihat dalam diri anak-anak.
Situasi ini akan mudah difahami mak ayah jika ikuti penjelasan oleh Parent Connect Consultancy, Puan Noor Afidah Abu Bakar menerusi media sosial miliknya.
Saya dan suami tidak pernah menakut-nakutkan anak kami dengan hantu semasa mereka kecil dahulu. Kami beruntung kerana ketika mereka kecil kami tinggal di Melbourne, Australia, negara maju yang tidak takutkan hantu dan tidak menakut-nakutkan kanak-kanak dengan hantu. Manusia yang perangai seperti hantu juga tidak ramai di daerah kami ketika itu. Kes jenayah terlalu rendah. Saya faham bagaimana perasaannya bila takutkan hantu.
Semasa kecil dahulu kawasan perumahan saya bersebelahan dengan tanah perkuburan Islam. Bayangkan cerita-cerita yang berlegar-legar sesama kawan sepermainan dan juga cerita-cerita orang-orang tua yang menakut-nakutkan kanak-kanak dengan hantu supaya kami berkelakuan baik. Ketakutan yang saya alami itu sungguh mengganggu, dan saya masih ingat bagaimana ketakutan itu menghalang pergerakan dan membantutkan eksplorasi sebagai kanak-kanak. Semua kerana takutkan hantu.
Anak-anak kami yang kecil ketika itu langsung tidak takutkan gelap. Berbeza dengan saya sewaktu kecil. Gelap menimbulkan ‘anxiety’ dalam diri saya. Lari lintang pukang bila gelap sebab takutkan hantu, peluh membasahi tubuh sehingga tidur pun terganggu. Saya tidak mahu perkara yang sama dialami oleh anak-anak saya. Anak-anak kami tidak faham apa itu hantu dan tidak kaitkan kegelapan dengan hantu. Walaupun dalam masyarakat Barat, konsep ‘monster under the bed’ itu biasa, tetapi anak-anak tidak terkesan dengan konsep itu sebab kami tidak pernah sebut dan mungkin rakan-rakan di sekolah juga tidak bangkitkan.
Hanya beberapa bulan selepas pulang ke Malaysia dan bersekolah di sini, mereka mula takutkan gelap. Mereka tidak pernah sebut takutkan ‘hantu’ tetapi mereka mula menemani sesama sendiri apabila perlu turun ke tingkat bawah rumah pada waktu malam. Kami kecewa. Bertahun-tahun pupuk perasaan berani dan tidak takutkan hantu dalam diri anak-anak tetapi sekelip mata keberanian itu lenyap. Itu adalah lumrah berkawan. Apabila mula berkawan dan bersosial, pelbagai pengaruh mula meresap ke dalam diri anak-anak kita, termasuklah nilai dan amalan yang bertentangan dengan nilai keluarga kita.
Walaupun takut atau ‘fear’ adalah salah satu dari emosi asas yang dirasai oleh manusia tetapi itu tidak bermakna kita perlu menggalakkan lagi emosi takut itu dengan hikayat hantu. Margee Kerr, seorang pakar sosiologi dan penulis buku Scream: Chilling Adventures in the Science of Fear mendapati bahawa perasaan takut mempengaruhi kanak-kanak pada kadar dan skala yang lebih besar berbanding ketakutan yang dialami oleh orang dewasa. Tahap pemikiran atau kognitif kanak-kanak belum berupaya untuk menjastifikasikan keadaan dan ketakutan. Keupayaan berimaginasi kanak-kanak sangat tinggi maka ketakutan amat menghantui dan amat mempengaruhi emosi mereka. Mereka masih belum berupaya untuk membezakan antara realiti ataupun fantasi, belum berupaya untuk menilai apa yang nyata dan apa yang karut.
Hari ini kita melihat anak kecil yang takutkan “Hantu Kak Limah” divideokan ketakutan dan esakkannya oleh si ibu dan ditularkan di media sosial untuk dijadikan bahan jenaka oleh orang dewasa. Di manakah akal dan fikiran orang dewasa?
Hari ini juga kita melihat orang dewasa beramai-ramai mentertawakan anak kecil yang meraung dalam video tular kerana takutkan ‘screen display’ telefon dengan imej hantu yang dipasang oleh orang dewasa. Bukan itu sahaja, ramai juga yang bersetuju kaedah itu patut digunakan untuk menghentikan ketagihan skrin pada kanak-kanak.
Orang dewasa yang menyebabkan ketagihan itu dan orang dewasa jugalah yang cuba menghentikannya dengan kaedah yang tidak menggunakan akal dan fikiran.
BERHENTILAH MENJADIKAN KETAKUTAN KANAK-KANAK SEBAGAI BAHAN JENAKA. KANAK-KANAK BUKANNYA BADUT.
Adakah kita begitu ‘clueless’ dalam mendidik anak-anak sehinggakan kita perlu menggunakan ‘hantu’ sebagai autoriti dalam keibubapaan?
Kalau nak membentuk kelakuan dan tabiat anak bukankah kita perlukan ilmu, akal dan fikiran dan bukannya hantu?
Ilmu itu perlu dicari.
Belajar.
Jika kita tidak mahu anak mengganggu malam kita, bukankah kita yang perlu mendisiplinkan anak untuk tidur, bukannya menggunakan hantu sebagai medium.
Andai tidak mahu anak keluar merayau ke tempat yang merbahaya, bukankah kita perlu tetapkan peraturan dan terangkan kepada anak akan bahayanya dan bukannya menggunakan hantu sebagai alasan.
Bagaimana anak-anak ingin meneroka dan bereksperimen kiranya hantu membantutkan perkembangan pemikiran mereka?
Zaman sudah berubah. Sekarang ini hantu yang takutkan manusia kerana manusia itu lebih aneh berbanding hantu itu sendiri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Tular kisah seorang lelaki rebah di rukun Yamani ketika tawaf wada, tulis anaknya: "Abah saya, Hamdan Ahmad meninggal hari ini di depan Kaabah di Mekah. Masa tengah buat tawaf Wada’. Allahu akbar. Speechless."