
Mengajar si kecil berpuasa bukan suatu tugas yang susah. Yang penting ibu bapa harus menjaga pemakanan mereka sepanjang hari berpuasa. Makanan pemberi tenaga sangat penting untuk diberikan kepada anak-anak kecil anda yang sedang belajar untuk berpuasa. Ketahui apakah makanan pemberi tenaga yang sesuai untuk kanak-kanak dan apakah makanan yang perlu dihindari mereka sepanjang bulan Ramadan nanti.
Bersahur dan berbuka
Ketika berpuasa, waktu sahur adalah waktu penting untuk setiap individu yang berpuasa. Oleh yang demikian amatlah penting untuk si kecil anda yang belajar berpuasa untuk bangun dan makan makanan pemberi tenaga ketika bersahur. Makanan kaya serat yang digalakkan ketika si kecil bersahur adalah:
- Nasi
- Roti
- Mi atau mihun
- Bijirin
Mama juga perlu pastikan makanan yang disediakan kurang lemak, kurang minyak dan kurang gula. Seperti diketahui umum, makanan masin tidak bagus untuk kesihatan tubuh. Ketika berpuasa, elakkannya terutamanya ketika bersahur. Pengurangan pengambilan makanan masin bukan sahaja akan dapat mengelakkan penyakit bahkan kita tidak akan rasa terlalu dahaga ketika sedang berpuasa di pagi hari.
Dalam pada itu, ada juga makanan yang perlu dipertingkatkan pengambilannya iaitu buah-buahan dan sayur-sayuran. Mungkin ramai yang tidak tahu, kebanyakan buah-buahan tempatan seperti ciku, betik, pisang dan belimbing besi mengandungi lebih banyak khasiat berbanding buah-buahan import seperti epal, pir mahu pun lai. Selain vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayur-sayuran turut menyumbangkan kandungan serat kepada tubuh.
Dalam penyediaan juadah berbuka puasa pula, disarankan untuk mama masak menu yang mengandungi karbohidrat iaitu nasi atau mee, protein dan kalsium seperti daging, ikan, ayam, kekacang dan susu serta jangan lupa sayur-sayuran atau buah-buahan. Mulakan waktu berbuka puasa dengan mengajar si kecil menjamah kurma terlebih dahulu. Kurma terkenal sebagai buah-buahan yang tinggi kandungan gula dan mudah ditukarkan menjadi tenaga segera.

Tip menu Ramadan untuk kanak-kanak
- Masakan panas boleh menambahkan selera makan anak-anak. Sebaiknya sediakan masakan panas untuk mereka ketika bersahur.
- Sediakan juadah kegemaran mereka sebagai galakan untuk berpuasa.
- Pelbagikan menu masakan supaya mereka tidak jemu.
- Sediakan makanan yang mudah dimakan dan mengenyangkan seperti sup dan makanan berkuah untuk si kecil.
- Elakkan masakan pedas dan berempah untuk keselesaan perut mereka sepanjang berpuasa.
- Pastikan menyediakan buah-buahan ketika berbuka dan bersahur.
- Pastikan anak-anak minum air kosong ketika bersahur dan berbuka.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nak Anak Cepat Pandai & Duduk Diam, Sikap Inilah Musnahkan Perkembangan Anak!

Percayalah sikap mak ayah nak anak cepat pandai sebenarnya itulah jadi punca perkembangan si comel terbantut. Lagi teruk, ada anak yang suka berlari-lari atau memanjat dikatanya budak nakal! Allah… ini satu masalah!
Janganlah dikawal anak yang sedang belajar buat sesuatu itu, dan janganlah dipaksa anak menghadap buku terlalu awal sebab nak anak bijak!
Ok mohon mak ayah boleh berlapang dada dengan perkongsian Puan Liyana Raya ini…
“Puan, anak (antara usia 2-4 tahun) susah nak fokus bila buat aktiviti. Macam mana nak buat, ya?”
Ini soalan paling susah saya nak jawab. Kadang-kadang saya “face palm” muka saya sendiri sebab pelik, kenapa nak awal sangat anak fokus dan duduk diam macam kita? Buka minda luas-luas,tarik nafas dalam-dalam tentang apa yang saya nak cakap ni.
Ini Prosesnya
Setiap benda ada proses untuk mendapatkan sesuatu hasil. Budak, bukan terus kelaur jengah dunia terus dapat jadi seperti kita, orang dewasa. Adakah budak, asal keluar saja dari perut terus boleh bercakap, membaca, menulis, memakai baju, membasuh pinggan seperti kita? Ada ke? Secara fitrahnya, tiada kan?
Benda fokus tak fokus yang asyik bermain dalam fikiran kita ini hanyalah satu persepsi dan mainan perasaan semata-mata. Sebab apa? Sebab kalau boleh, kita nak anak ini duduk diam-diam sebab kita pun nak buat kerja kita, nak berehat, nak ada ‘me time’.
Ibu bapa, kanak-kanak ini fitrahnya mereka untuk meneroka. Mana ada budak yang boleh duduk diam. Kalau ada budak-budak keluar saja dan duduk diam, kena cepatlah bagi pergi buat pemeriksaan sebab ianya sudah ‘melawan’ fitrah manusia.
Kanak-kanak perlu melalui fasa perkembangan yang wajib ada pada diri kita sebagai manusia biasa iaitu, Sensorimotor Development atau Perkembangan Sensorimotor.
Jika perkembangan sensorimotor ini tidak lengkap, ada istilah Sensory Processing Disorder. Sebab itu saya menentang sekeras-kerasnya kaedah membaca untuk kanak-kanak di bawah usia dua tahun.
Sensory Processing Disorder ini kalau tak berlaku pada anak anda, tak mengapa. Tetapi kalau berlaku pada anak orang lain?
Kadang-kadang saya geram juga. Apa yang saya cakap, seringkali tidak dipandang endah sedangkan setiap tahun saya dan therapist lain menerima rujukan untuk kes kanak-kanak yang developmental delay yang kebanyakannya berpunca daripada proses perkembangan sensorimotor tidak berjalan dengan baik dan ianya semakin meningkat dari sehari ke sehari. Setiap satu tadika kini boleh dikatakan sekurang-kurangnya ada seorang dua kanak-kanak yang tidak boleh mendengar arahan, berkomunikasi dengan baik dan mempunyai tingkah laku yang sukar untuk dikawal.
Kalau sudah dari kecil diajar duduk untuk membaca, tengok televisyen, tengok gajet semasa makan, semasa tidur, di waktu kita nak berehat, memanglah jadi begitu. Tetapi bila bagi mainan benda kotor, kita kata geli, bila anak nak memanjat kita risau jatuh.
Inilah dia sikap ibu bapa zaman sekarang yang sebenarnya memusnahkan proses perkembangan anak itu sendiri. Semua nak cepat, nak anak cepat belajar, nak anak cepat pandai, nak anak cepat duduk diam, nak anak cepat berjalan, cepat itu, cepat ini tetapi prosesnya tak nak lalui sendiri.
“Susah kalau nak ikutkan kehendak anak nak lari sana sini. Boleh sempat saya dibuatnya,”
No comment. Ini jawapan paling malas saya nak layan. Akhirnya saya memang tak reply dah. Sorry ya. Proses perkembangan sensorimotor yang utama dan yang wajib anak lalui dan anak berikan kepada anak-anak. Paling penting untuk usianya 0-4 tahun adalah:
1. Beri pendedahan sekeliling
Anak-anak perlu diberi pendedahan terhadap setiap tekstur yang ada di sekeliling mereka. Bukan sahaja pada kulit badan, malah terhadap mulut juga. Tekstur ini faham tak apa? Tekstur lembut, berpasir, keras, kasar, berbulu, suhu panas dan sejuk, licin, tekstur makanan termasuklah yang crunchy, yang chewy, yang lembut, keras, juicy, ada rasa masam, manis, masin, pahit, tawar, pedas dan sebagainya.
Ini semua rangsangan. Kalau tidak diberi, sistem otak tak boleh berfungsi. Faham ke tak faham? Sebab itu jangan obses sangat dengan flash cards. Flash cards tak ada semua bentuk rangsangan ini. Bagi benda realiti di depan mata. Buah epal dalam gambar mana sama dengan buah epal yang sebenar.
Kalau ajar anak 0-4 tahun, huruf A, kalau dia tak kenal lagi, rileks sudah. A secara real tidak melambangkan apa-apa. Sebab itu kadang-kadang berpuluh kali ajar, anak tak reti terus jadi stress sebab anak tak pandai lagi. Padahal diri sendiri yang buat benda ‘melawan fitrah’ anak. Selepas itu kata anak tak fokus. Apakah?
Bila kita bagi rangsangan terhadap kulit dan mulut yang betul, secara automatiknya otot-otot anak bergerak. Ini respon yang otak berikan setelah semua pemprosesan tadi berlaku dalam otak.
Contohnya bila otot mulut bergerak, baru mudah anak nak bertutur dengan baik. Tapi benda ini tidak akan dapat dalam sehari dua. Maka bersabarlah. Yang penting kita beri secara konsisten.
2. Kanak-kanak Suka Bergerak
Ada masalah ke nak bagi anak bergerak? Lagi lama mereka bergerak, lagi baguslah sebenarnya. Pergerakan anak ini sebenarnya banyak merangsang proses yang kita sendiri tak nampak dengan mata kasar. Bila anak bergerak, sistem keseimbangan badan dirangsang, sistem penghantaran maklumat antara otak kiri dan kanan berlaku dengan pantas, sistem penglihatan membantu proses visual perceptual berlaku dengan baik, sistem daya tumpuan dalam otak menjadi kukuh, sistem otot dan sendi menjadi kuat dan ada endurance (ketahanan).
Jadi, bila lagi lama kita melatih anak untuk bergerak, ketahanan otot dan sendi akan menjadi semakin kuat. Anak mudah untuk duduk diam. Lagi sekali, proses ini bukan anak akan dapat dalam sehari dua. Ada anak, pada usia 5 tahun apabila sudah dirangsang elok sistem pergerakan badannya, dia akan mudah duduk diam dan fokus pada tugasnya.
Ada anak kadang-kadang proses dia nak bergerak itu lama. Sampai usia 7 tahun pun belum tentu boleh duduk diam dan fokus. Ada masanya sampai usia akil baligh baru nak duduk diam. tapi sampai bilalah nak berkejaran dengan anak-anak ini kan?
Tak perlu risau, aktiviti fizikal ini bagi saja anak ke taman permainan sama ada indoor atau outdoor. Antara rajin atau tidak saja kita nak buat semua ini sebenarnya. Bagi anak yang lasak, boleh cabar dirinya dengan membuat aktiviti seperti hiking, masuk hutan, rock climbing dan sebagainya. Tapi janganlah sampai suruh mereka memanjat signboard ‘IPOH’ yang besar itu pula. Kalau nak suruh boleh tapi pastikan keselamatan diri terjamin dan ada surat kebenaran. Haha!
Anak yang tak belajar lagi untuk bermain bola, ajarkan. Dengan sebiji bola, kita boleh membaling, menangkap, menendang, menampar dan sebagainya. Pilih satu sukan untuk anak libatkan diri dan tiada salah untuk ajarkan skillsnya sebab ianya merangsang segala benda yang saya tulis di atas tadi. Badan sihat, otak cerdas.
Kalau asyik duduk dalam rumah saja, bila masa badan nak sihat dan otak nak cerdas? Kalau kita boleh main golf, ajarlah anak main golf. Kalau tak boleh sangat, dah kalau anak nak berlari juga, pergilah ke taman tasik, buat aktiviti berjogging dan berlari sama-sama. Kalau kita pun malas, jadi anak pun malas. Jangan disalahkan anak.
Bergerak tidak menjadikan anak nakal. Anak yang lasak seringkali disalah tafsirkan sebagai anak yang nakal. Menumbuk adalah satu bentuk bermain dan ada sesetengah negara bagi ruang untuk anak buat ‘fighting play’ atau ‘pillow play’. Ini benda normal. Anak yang nakal adalah mereka yang melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam agama dan masyarakat. Selagi anak-anak ini tidak melakukan perkara yang dilarang, selagi itulah pergerakan yang mereka lakukan adalah sah.
Anak yang bergerak tanpa arah tuju, berikan ‘arah tujuannya’. Angkat dan letakkannya di atas papan gelongsor, buaian dan jongkang jongket. Kalau anak takut, jangan risau, beri masa. Inilah prosesnya. Janganlah mudah mengalah. Ini dah kira panjang lebar sangat dah saya beri penjelasan untuk ajar anak supaya menjadi fokus. Tiada proses yang mudah untuk buat anak menjadi fokus. Jangan pernah melawan fitrah perkembangan anak. Risau nanti lain pula jadinya.
Mungkin dari segi perkembangan yang kita lihat pada mata kasar ini jadi sempurna eloknya di awal usia. Tetapi di pertengahan usia mereka lain pula jadinya. Ada banyak kes anak yang sudah dibiasakan menjadi pandai sejak kecil, menjadi ‘down’ terus ketika sudah besar. Tiada motivasi untuk belajar kerana sentiasa diharapkan untuk menjadi pandai sehingga tekanan datang dalam banyak bentuk-cikgu paksa untuk dijadikan kebanggaan sekolahlah, tak dapat terima bila dapat markah rendah dan sebagainya.
Nabi pun mula membaca di usia Baginda mendapat wahyu. Anak kita? Belum boleh jalan lagi sudah disibukkan untuk membaca. Walhal Nabi, ketika proses membesar, banyak membesar dengan memikul tanggungjawab sendiri dan kehidupan di sekeliling Baginda.
Sumber: Liyana Raya,
Occupational Therapist
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu Letak Syarat Jadi Isteri Shuib “Mesti Kena Pandai Masak ‘Daddy’ Kuat Makan. Macam Ibu (Arwah Sarah) Kena Masak Pukul 2 Pagi”

Ibu letak syarat jadi isteri Shuib, selepas pemergian menantunya Allahyarham Siti Sarah Raissuddin ibu kepada Shuib Sepahtu, Salamiah Jalani meletakkan beberapa syarat sekiranya ada wanita yang ingin berkahwin dengan anaknya.
Ibu Letak Syarat Jadi Isteri Shuib

Seperti mana hantaran sebuah video yang dimuat naik di Instagram Siti Sarah, Salamiah menyatakan, wanita itu perlu pandai memasak memandangkan arwah menantu seorang yang rajin memasak semasa hayatnya.
Ibu Shuib berkata demikian bagi menjawab hasrat cucunya yang juga anak kedua Shuib dan Arwah Sarah, Dzahira Talita Zahra yang ingin melihat bapanya berkahwin.

“Amboi, suruh ‘daddy’ kahwin? Nak mak tiri ke? Berani ke?”
“Kalau nak kahwin dengan ‘daddy’, pertama dia mesti kena pandai masak sebab ‘daddy’ kuat makan. Macam ibu ( Arwah Sarah) kena masak pukul 2 ke 3 pagi. Sanggup ke, siapa nak kahwin dengan ‘daddy’?” ungkapnya.

Nak Jaga Hati Suami Kena Jaga Perutnya
Menerusi video yang sama, Salamiah juga menerangkan dia bukanlah ibu mentua yang cerewet.
“Kena hadap mama, (tapi), mama taklah teruk sangat nak hadap. Kena pandai masaklah sebab Shuib kan kuat makan. Nak jaga hati suami, kena jaga perut dia. Itu sajalah kot,” sambungnya.
Baca Disini Juga: Shuib Dapat Sentuh & Kucup Ayash “Teringat Pesan Siti Sarah, ‘Jaga Anak Ke-4’, Akan Jaga Sampailah Jadi Anak Soleh”
Mingguan Wanita : Teringat pada Arwah Siti Sarah seorang yang cukup ceria dan begitu menyanyangi anak-anak. Al-Fatihah buat arwah.
Sumber / Sumber Foto : Instagram Shuib Sepahtu & Instagram Siti Sarah Raisuddin
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
10 Kesalahan Ini Bila Mak Ayah Lakukan, Boleh Buat Anak Jauh Dari Syurga Allah

Matlamat setiap mak ayah dalam mendidik anak, tentulah mahu menjadikan setiap anaknya cemerlang dunia dan akhirat. Mencapai syurga Allah dengan usaha-usaha baik yang dilakukan di dunia. Sebab itulah dalam membesarkan anak-anak berhati-hatilah. Usahakan agar mak ayah tak lakukan 10 kesalahan ini.
Perkongsian daripada Puan Nurkhomsiah Bakrim ini diperoleh semasa beliau memandu dari sekolah. Akuinya beliau dalam 20 minit pemanduan itu, Allah kurniakan rezeki ilmu mendengar ceramah Ustaz Zainal Abideen.
“Biasanya dengar tazkirah apa yang PERLU DILAKUKAN dalam didikan anak. Kali ini, dengar apa yang TIDAK BOLEH DILAKUKAN dalam didikan anak. Nasihat Ustaz sangat terkesan di hati.”
Saya catatkan semula di sini mengikut pemahaman sebagai checklist serta peringatan kepada diri sendiri dan anda yang sedang membaca:
10 KESALAHAN DALAM MENDIDIK ANAK
Pertama : Salah Niat & Tujuan
Mungkin ada ibu bapa yang berniat mendidik anak kerana mahu penghargaan manusia. Contohnya, mahu dipuji hebat dan bagus dalam didikan anak.
Mungkin ada ibu bapa yang berniat mahu anak menjadi cemerlang dalam akademik untuk mendapat kesenangan dunia, mendapat jawatan tinggi dan dimuliakan oleh manusia lain.
Niat untuk mendapat penghargaan musia dan tujuan keduniaan sebegini salah.
Seharusnya:
√ Ibu bapa sentiasa muhasabah diri niat mendidik kerana Allah. Atas kesedaran anak ini amanah, maka hanya perlu mengharapkan redha Allah semata-mata.
√ Anak juga wajib dididik niat mahu menuntut ilmu kerana Allah. Berusaha untuk menjadi hamba dan khalifah Allah yang diredhai-Nya.
Maksud firman Allah:
“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu..”
(Surah Al-‘Alaq: 1)
Kedua : Salah Memilih Sekolah
Memilih sekolah yang terkenal kerana berprestasi tinggi dan bertaraf antarabangsa tetapi mengetepikan element keislaman dalam pendidikan adalah satu kesalahan dalam proses pembesaran seorang anak.
Mungkin ada ibu bapa yang berpendapatan tinggi memilih sekolah berdasarkan populariti dan standard tetapi kurang cakna tentang falsafah pendidikan yang dipegang, bagaimana latar belakang tenaga pengajar dan rutin harian serta disiplin yang diamalkan di sekolah itu.
Seharusnya
√ Pemilihan sekolah yang terbaik ialah meletakkan asas akidah dan akhlak islamiah sebagai faktor utama.
Ketiga : Salah Kaedah Pendidikan
Mungkin ada ibu bapa yang terlalu tegas dalam mendidik sehingga si anak merasa takut dan kurang disayangi.
Lebih teruk, ada kes si anak merasa trauma kerana sikap ibu bapa yang terlalu garang serta suka memukul dan menghukum.
Mungkin ada pula ibu bapa yang terlalu lembut dengan anak sehingga segala kemahuan anak dituruti. Maka, wujud istilah.. “Bila si ibu melahirkan tuannya” atau merujuk kepada filem Melayu lama yang sangat popular, “Anakku Sazali.”
Seharusnya
√ Ibu bapa berbincang dan mengambil langkah pertengahan. Masih bertegas dalam kelembutan. Masih berlembut dalam ketegasan. Islam itu agama yang suka kepada kesederhanaan.
Keempat : Salah Memberi Motivasi
Mungkin ada ibu bapa yang meletakkan ganjaran duniawi semata-mata sebagai reward untuk memotivasikan anak melakukan kebaikan.
Contoh-contoh situasi:
“Kalau Adik puasa penuh sebulan, Ayah bagi duit raya RM300”.
“Kakak mesti menang pertandingan Hafazan peringkat kebangsaan. Nanti boleh masuk TV dan surat khabar.”
“Abang kena target mati syahid. Nama Abang akan disebut-sebut sepanjang zaman.”
Ganjaran berupa materials dan duniawi yang berlebihan adalah merosakkan.
Seharusnya, reward berbentuk materials perlu diberi sesekali sahaja. Asas yang paling kukuh perlu ditanam dalam jiwa seorang anak ialah melakukan segalanya kerana Allah dan untuk mendapatkan redha Allah serta ganjaran di Akhirat iaitu Syurga yang kekal abadi, inshaa Allah.
Kelima : Salah Memberi Kebebasan
Anak-anak yang semakin besar boleh diberi kebebasan dan kepercayaan untuk membuat keputusan dalam kehidupan.
Namun, satu kesalahan jika ibu bapa memberi kebebasan membuat keputusan tanpa berpandukan Al-Quran & Sunnah.
Contoh-contoh situasi:
√ Anak minat menyanyi. Maka, anak diberi kebebasan membuka aurat dan menyanyi lagu-lagu yang melalaikan di hadapan khalayak ramai.
√ Anak minat melukis dan mahu menjadi fashion designer. Maka, anak diberi kebebasan mereka design baju yang kebaratan dan tidak islamic.
√ Anak minat main bola sepak dan mahu menjadi pemain bola sepak professional. Maka, anak dibiarkan sahaja berlatih dengan memakai seluar pendek dan pulang lewat ke rumah sehingga tidak sempat solat Maghrib berjemaah.
Seharusnya:
√ Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menegur dan memandu anak-anak membuat keputusan yang tepat dalam hidup berpandukan neraca Islam.
Keenam : Salah Menjadi Contoh Teladan
Mungkin ada ibu bapa yang begitu mahu anak menjadi soleh dan solehah tetapi diri sendiri masih belum layak digelar soleh dan solehah.
Contoh-contoh situasi:
√ Ibu bapa yang mahu anak rajin mengaji al-Quran tetapi diri sendiri malas mengaji al-Quran.
√ Ibu bapa mahu anak bercakap sopan tetapi diri sendiri bercakap kasar dan suka menengking.
√ Ibu bapa menyuruh anak menghormati waktu solat tetapi diri sendiri masih bersama phone ketika azan berkumandang.
Seharusnya :
√ Ibu bapa mesti menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa perlu bertindak dan mengamalkan dahulu apa yang diperkatakan. Pendidikan terbaik ialah melalui teladan.
“Actions speaks louder than words.”
Maksud Firman Allah S.W.T:
“Wahai orang-orang yang beriman,
Mengapa kamu menyuruh orang lain berbuat sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu menyatakan apa yang tidak kamu kerjakan.”
(Surah As-Shaff: 2-3)
Ketujuh : Salah Kerisauan Melampau
Mungkin ada ibu bapa yang mengalami kerisauan melampau sehingga anak-anak dikongkong ketat.
Contoh-contoh situasi:
√ Anak tidak diberi peluang langsung bermain di luar rumah dan bersosial dengan jiran-jiran.
√ Anak tidak langsung diberi peluang ‘screen time’ walaupun hanya 1 jam sehari.
√ Anak tidak dihantar ke sekolah apabila tiba masanya kerana risau dibuli.
√ Kerisauan melampau ini adalah satu kesalahan dan merosakkan pembesaran normal dan fitrah seorang anak.
Seharusnya :
√ Ibu bapa masih memberi peluang kepada anak-anak bersosial dan berhibur tetapi dalam kawalan yang sewajarnya disamping menasihati dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Menjaga.
Kelapan : Salah Membandingkan Anak
Mungkin ada ibu bapa yang suka membandingkan anak pertama dengan kedua dan seterusnya. Atau membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain.
Perbandingan yang diterjemahkan melalui kata-kata dan tindakan ini melukakan hati anak dan boleh menimbulkan isu ‘pilih kasih’ dari pelbagai sudut. Anak-anak juga membesar dalam keadaan tidak harmoni dan penuh dendam.
Seharusnya :
√ Ibu bapa bersikap adil dengan menerima setiap kelebihan dan kekurangan anak seadanya dengan penuh syukur. Sedar hakikat, setiap anak itu rezeki dan mempunyai characteristics, minat dan potensi tersendiri.
Maksud Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, Ayat 8,
“Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa..”
Kesembilan : Salah Menuduh Anak
Mungkin ada ibu bapa yang suka menjatuhkan hukuman kepada anak-anak secara melulu tanpa usul periksa.
Anak-anak yang selalu dituduh dengan kejahatan atau dipandang serong akan membesar dalam suasana negatif dan penuh kebencian.
Seharusnya :
√ Ibu bapa bersikap matang, teliti dan tenang dalam menjatuhkan hukuman sebagai pengajaran sekiranya anak benar-benar bersalah.
Kesepuluh : Salah Menjauh Dari Orang Soleh
Mungkin ada ibu bapa yang tidak suka membawa anak-anak pergi ke masjid, surau atau majlis-majlis ilmu agama.
Pemikiran bahawa anak-anak dirasakan mengganggu atau menyusahkan adalah satu kesalahan.
Seharusnya :
√ Anak-anak dididik untuk suka dengan rumah Allah dan taman Syurga sejak kecil. Di sini, mereka belajar bahawa mendekatkan diri dengan insan-insan soleh dapat membawa mereka lebih dekat dengan kebaikan, inshaa Allah.
TIADA IBU BAPA SEMPURNA
KITA ADA AGAMA YANG SEMPURNA
“Berilah peringatan! Sesungguhnya, peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”
.
(Surah Adz- Dzaariyat: 55)
Sumber/Foto : Nurkhomsiah Bakrim
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

