Kes Zara Qairina, laungan takbir ‘Allahuakbar’ berulang kali, penduduk dakwa hidu bau harum seperti bunga. Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, malam Sabtu apabila laungan takbir ‘Allahuakbar’ berulang kali kedengaran mengiringi trak polis yang membawa jenazah Zara Qairina Mahathir, 13, selepas kuburnya digali semula.
Sejak jam 2 petang, penduduk dari kampung sekitar sudah memenuhi pekarangan tanah perkuburan sebaik mengetahui proses penggalian semula kubur remaja itu akan dilakukan.
Seorang penduduk dari Kampung Maligan, Jeffry Fauzi Rahman, 53, yang turut berada di lokasi, mendakwa terhidu bau harum sebelum kerja penggalian dimulakan.
“Sebelum proses menggali dimulakan, ada bacaan doa diadakan. Saya juga ada terhidu bau wangian harum seperti bunga lalu tadi,” katanya.
Jeffry berkata, kehadirannya adalah sebagai tanda sokongan kepada keluarga mangsa dan harapan agar kematian Zara Qairina mendapat pembelaan sewajarnya.
“Saya memang mengikuti perkembangan kes ini sejak dari awal dan memandangkan saya sudah berada di pekan hari ini, saya turun ke tanah perkuburan serta melihat sendiri proses ini.
“Walaupun dari jauh, tetapi kami tetap mahu menyaksikan sendiri proses itu berlangsung dan kami berharap proses bedah siasat itu telus,” ujarnya.
Hasil tinjauan turut mendapati sebahagian penduduk yang hadir mengenali rapat ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45.
Proses menggali semula kubur yang dikendalikan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bermula kira-kira 5.30 petang dan selesai sekitar 7.15 malam. Turut hadir memantau adalah pasukan peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah.
Jenazah kemudian dibawa keluar menaiki trak polis untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi tujuan bedah siasat.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Kubur Zara Qairina Akan Digali Semula Untuk Bedah Siasat Ikut Peruntukan Undang-undang
Himpunan Solidariti Buat Zara Qairina, Bergema Laungan Tuntut Keadilan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE