
Proses bedah siasat terhadap jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, disahkan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan atau unsur luar seperti yang tular di media sosial.
Kepastian ini diberikan sendiri oleh peguam keluarga arwah, Shahlan Jufri, yang menyaksikan prosedur tersebut dari awal hingga akhir atas permintaan waris.
“Saya boleh beritahu perjalanan post-mortem sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti dakwaan ada ‘tangan-tangan’ tertentu. Semua itu tiada. Saya sendiri lihat arwah diperiksa secara menyeluruh oleh pasukan forensik,” ujar beliau ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.
Shahlan memaklumkan, bedah siasat dijalankan oleh empat orang pakar, termasuk Pakar Perunding Patologi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun, dibantu jurufoto forensik dan jurufoto polis. Sepanjang prosedur, hanya beliau dan pasukan forensik berada di dalam bilik bedah.
Laporan Forensik Mengambil Masa
Selesai prosedur, laporan bedah siasat akan disediakan oleh pasukan forensik dan tempohnya bergantung kepada perbincangan serta pengesahan semua pakar terlibat.
“Biasanya paling cepat dalam tempoh tertentu, tetapi paling lambat mungkin dua bulan,” jelas Shahlan, yang berada di HQE sejak jam 11 pagi hingga 7.30 malam pada hari kejadian.

Kronologi Penggalian Semula
- Jenazah Zara tiba di HQE pada 10.30 malam Sabtu selepas digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, sekitar jam 7.31 malam.
- Sebelum proses bedah siasat, jenazah dibawa ke Jabatan Radiologi untuk imbasan CT, sebelum ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik.
- Penggalian semula dilakukan selepas perintah Majistret Zuraini Ali Musa melalui prosiding secara aplikasi Zoom di IPD Papar pada tengah hari Sabtu.
Tragedi di Asrama
Allahyarham Zara sebelum ini dikebumikan pada 17 Julai lalu, sehari selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar. Kejadian itu meninggalkan tanda tanya yang kini sedang dirungkai melalui proses undang-undang dan siasatan forensik yang teliti.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI