Kes kematian Wan Ahmad Faris, ibu bapa hantar memorandum, mahu kes disiasat, diberi keadilan. Ibu bapa kepada pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pada Isnin menyerahkan satu memorandum kepada kerajaan Kelantan bagi menuntut penjelasan serta kerjasama berhubung kes kematian anak mereka yang kekal menjadi tanda tanya sejak tahun 2013.
Kes Kematian Wan Ahmad Faris, Ibu Bapa Hantar Memorandum, Mahu Kes Disiasat, Diberi Keadilan
Peguam yang mewakili keluarga, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin, berkata memorandum tersebut dikemukakan bagi mendapatkan perhatian kerajaan negeri memandangkan sekolah tempat kejadian berada di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Antara isu utama yang dibangkitkan dalam memorandum ialah memohon penjelasan berhubung perobohan tandas asrama sekitar dua hingga tiga minggu selepas penemuan mayat Wan Ahmad Faris di lokasi itu dan rekod keluar masuk pelajar.
“Selain itu, ketiadaan siasatan terhadap insiden pergaduhan sebelum penemuan jasad arwah serta keraguan berhubung kehilangan barangan peribadi termasuk kad SIM telefon bimbit mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan memorandum di Kota Darulnaim, Isnin.
Turut hadir ketika penyerahan itu ialah ibu bapa arwah, Ruhani Hussin, 70, dan Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79. Memorandum berkenaan diterima wakil kerajaan negeri, Anas Rizuan Shamsuddin, yang juga Pegawai Khas kepada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan.
Menurut Tengku Shazuan, keluarga sebelum ini sudah memfailkan saman sivil pertama terhadap kerajaan Persekutuan, manakala tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri masih dipertimbangkan selepas rundingan bersama barisan peguam.
Ads
“Ini usaha kedua terhadap kerajaan negeri selepas saman sivil terhadap kerajaan Persekutuan pada Julai lalu.
“Bagi bahagian siasatan jenayah pula, setakat ini kerajaan memberi kerjasama positif,” katanya.
Dalam pada itu, Ruhani menegaskan beliau serta suaminya tetap berpegang pada tekad untuk memperjuangkan keadilan buat Wan Ahmad Faris meskipun usia mereka semakin lanjut.
Ads
“Kami bukan orang politik, kami hanya mahu supaya kes Allahyarham disiasat dengan sempurna dan diberikan keadilan yang saksama oleh kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.
“Saya tidak akan berhenti untuk menegakkan keadilan kepada arwah anak kami,” katanya.
Allahyarham Wan Ahmad Faris, 16, pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, ditemukan tergantung dalam tandas asrama pada Disember 2013.
Kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai bunuh diri, namun inkues di Mahkamah Koroner pada 2016 memutuskan punca kematian adalah akibat perbuatan pihak yang tidak dikenal pasti.
Bagaimanapun, pada 2020, siasatan kes ditutup dengan status tiada tindakan lanjut (NFA), sebelum dibuka semula bulan lalu berikutan desakan keluarga serta perhatian masyarakat.
Wanita kecewa JPJ rampas Alphard, “ini bukan kereta penjenayah, guna cari rezeki lepas suami meninggal. Dalam beberapa hari ini, tular sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard disita dalam Ops Luxury di hadapan rumah pemiliknya.
Dalam CCTV yang tersebar luas di media sosial, kelihatan seorang wanita memunggah beberapa barangan niaga disaksikan anak-anaknya yang masih kecil. Kelihatan sama, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bersedia membawa pulang kenderaan yang disita.
Selepas hal ini tular, pemilik kepada video berkenaan membuat luahan di facebook miliknya @Dblance Shop jelas kecewa dengan tindakan anggota JPJ yang tidak mempedulilkan rayuan dibuatnya sebalik terus menyita kenderaan Alphard milik arwah suaminya.
“KERETA SAYA YANG SUDAH PAYOFF TAPI JPJ RAMPAS DEPAN ANAK KECIL. 30 Ogos lepas, Alphard saya disita oleh 3 pegawai JPJ sempena Ops Luxury Car.
“Puncanya? Roadtax mati,” luahnya dalam nada kecewa.
Menurut wanita dikenali sebagai Saratul Hajar Mohd Zambri, dirinya merayu agar diberikan saman malah turut menghubungi agen insuran di hadapan tiga pegawai JPJ bagi memperbaharui cukai jalan dan insuran serta-merta.
“Jujurnya saya saya memang terlupa untuk renew roadtax dan insuran. Ia memang khilaf saya Saya mohon disaman saja, sebab memang nak renew terus on the spot. Memang khilaf saya terlupa. Tapi rayuan langsung tak dilayan,” katanya.
“Saya mohon disaman saja, sebab memang nak renew terus on the spot. Khilaf saya betul-betul terlupa. Tapi rayuan saya langsung tak dilayan. Anak saya menangis dalam kereta, saya jelaskan itu kereta arwah suami, risau urusan nak tebus nanti jadi rumit.
Tapi akhirnya kereta tetap juga disita.
Ekoran kenderaan mewahnya disita, jelas ibu ini semua barangan jualan hari pertama dia membuka booth di Pasar Dinda tidak dapat dilaksanakan. Akibat sitaan itu, semua perancangan berniaga musnah sekelip mata.
“Sedihnya, masa tu Alphard penuh dengan barang niaga. Itu hari pertama saya nak buka booth di Pasar Dinda, staff dah tunggu di tapak niaga. Semua perancangan habis musnah,” ujarnya.
Lebih mengecewakan hatinya, walau cukai jalan dan insuran sudah diperbaharui namun kenderaannya masih tidak belum dilepaskan. Pihak JPHJ memaklumkan, halangan utama ialah ketiadaan dokumen sah yang membuktikan beliau sebagai pentadbir harta arwah.
“Sekarang, roadtax dah ada. Kereta tu pun dah habis bayar (payoff), bukan hutang bank lagi. Tapi JPJ tetap tak lepaskan sebab alasan SOP katanya saya tiada dokumen sah sebagai pentadbir harta arwah.
“Soalnya, SOP ni langsung tak bertimbang rasa ke? Ini bukan kereta penjenayah. Bukan kereta dadah. Ini kereta keluarga, kereta arwah suami yang saya gunakan untuk hantar 4 orang anak kecil ke sekolah, untuk berniaga, untuk urusan hidup seharian.
JPJ Pahang, tolong bertimbang rasalah. Ke semua pegawai hanya tahu ikut SOP membuta tuli macam robot?
Kecewa dengan apa dilaluinya, dirinya berdoa agar sesiapa yang menyusahkan hidupnya disusahkan kembali.
“Saya berdoa yang susahkan urusan saya nak ambil balik hak saya dan anak-anak dengan alasan SOP ini, semoga anak isteri dia rasa balik satu masa nanti apa yang saya rasa,” luahnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Doa seorang ibu anak jadi mangsa nafsu serakah bertopeng Ustaz termakbul, Fathi Naim dipenjara 15 tahun. Allah sentiasa bersama orang yang benar.
Doa seorang ibu yang mencari keadilan buat anak perempuannya yang menjadi mangsa serakah seorang bergelar “Ustaz” akhirnya termakbul apabila penceramah bebas, Fathi Naim semalam dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol mangsa yang berusia 13 tahun ketika itu.
Memiliki tiga isteri dan lapan anak, semalam Hakim Mahkamah Seksyen Klang, Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fathi Na’im Mazlam atau dikenali Ustaz Fathi Naim selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
“Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan sepanjang perbicaraan. Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan,” kata hakim itu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan ketiga-tiga hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai sakit slipped disc selain perlu menanggung tiga isteri serta lapan anak yang masih kecil dan bersekolah.
Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara.
Di sebalik berita penceramah bebas ini dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rogol mangsa bawah umur, peguam Nor Zabetha yang berjuang bersama ibu kanak-kanak ini berkongsi bagaimana si ibu terpaksa menghadapi pelbagai fitnah dan tekanan. Namun syukur, walau diawalnya penuh keperitan dan ujian tapi Allah bersama mereka. Ikuti catatan dari peguam Nor Zabetha mengenai kisah ibu ini.
Tadi petang ketika, si ibu mangsa menghubungi saya sebelum saya menjawab, saya terdengar sendiri si ibu sedang menyuarakan kesyukuran dengan individu di sebelah “Alhamdulillah, macam-macam fitnah yang kita kena..”, dia berhenti bila saya menjawab salam.
Dia sambung perbualannya dengan saya, “Alhamdulilah. Dia dihukum puan 15 tahun penjara”.
Saya ingat kali pertama si ibu hubungi saya. Dia jadi susah hati dan gusar. Macam-macam tuduhan dia terima.
Orang tuduh dia jual anak dan menggunakan anaknya baru 13 tahun memerangkap ustaz kononnya dan menjual anaknya untuk habuan.
Tak cukup anaknya dimangsakan diantun secara seksual tanpa pengetahuannya. Bila dia tahu dan dia meneruskan tindakan undang-undang, dituduh pula dia menjual anak. Dia digambarkan ibu yang jahat dan kejam.
Sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Siapalah yang mahu percaya ceritanya berbanding si ‘ustaz’ itu. Dia tidak popular. Dia tidak pandai menarik ‘audience’ atau bermain naratif.
Semuanya bermula dengan anak ini bertanyakan soalan di media sosial pada penceramah ini tentang hukum dan dia diminta untuk hubungi whatsapp.
Lelaki ini telah menodai anaknya ketika berusia 13 dan/atau 14 tahun, tak lama dari tarikh perkenalan mereka.
Saya masih ingat lagi bagaimana kes ini dulu ditertawakan oleh warganet yang tidak bertanggungjawab. Bila Fathi Naim dituduh dengan beberapa pertuduhan di mahkamah, hal ini menjadi jenaka pula.
Ada yang menulis di posnya bahawa kalau berkali-kali kejadian itu, entah-entah ustaz yang dirogol gadis 14 tahun.
Kemudian diselang-seli komen, “14 tahun macam kereta Myvi baru keluar kilang”.
Biadap dan bodoh! Tiada apa yang kelakar untuk mentertawakan atau berjenaka dengan kesalahan jenayah. Sedang Fathi Naim dituduh dengan 9 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang dan 1 pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur.
Apa yang lucu bila siasatan dan pertuduhan dimulakan di mahkamah? Sudah ada elemen jenayah, jadi tak kelakar memperlekehkan mangsa.
Kali pertama si ibu hubungi saya “Puan saya tak percaya dekat orang, saya hendak dapatkan keadilan. Macam-macam orang fitnah saya”, si ibu sangat tertekan. Saya ambil kes ini secara pro bono. Saya kalau bab hati seorang ibu ini, memang lemah.
Waktu kes ini dilaporkan, pelbagai naratif pembelaan pada si ustaz ini. Ibu jual anak, ustaz terperdaya. Saya tidak boleh tularkan atau terlalu menulis tentang kes ini, saya bimbang identiti anak ini terlalu didedahkan. Bimbang memberi kesan kepada pemulihannya dan masa depannya.
Sejak 2022 sementara menanti keputusan ini. Fathi Naim masih kekal memberi ceramah-ceramah. Masih dijemput memberikan khutbah Jumaat di atas mimbar di masjid-masjid. Saudara Firdaus Wong pernah menulis tentang ini.
Pada May 2023, kami menerima perkhabaran mengejutkan bahawa pertuduhan terhadap Fathi akan digugurkan kerana surat representasi oleh peguam yang mewakili Fathi pada ketika itu. Saya lihat surat tersebut tidak dinyatakan pertuduhan yang mana.
Saya terus hubungi si ibu dan maklumkan status. Saya juga pada ketika ini, panggil team JusticeforBella untuk bermesyuarat dan kami fikirkan rangka dan cara terbaik.
Banyak perkara kita kena ambil berat. Mangsa kanak-kanak. Bimbang juga tentang identiti mangsa dengan gaya penerimaan netizen ada yang mengejek dan mempersendakan mangsa.
Firma saya merangka surat rayuan agar dipertimbangkan semula keputusan. Kami rangka segala kronologi berdasarkan perbualan, bagaimana anak ini diantun. Pertemuan rahsia yang diaturkan oleh tertuduh, bagaimana dia diajar menipu itu dan ini. Bagaimana anak ini diajar tentang perkara sumbang langkah demi langkah. Dari anak yang naif terus menjadi seperti apa yang dibentuk.
Kami nyatakan segala alasan-alasan kenapa tertuduh perlu dibicarakan. Kami emailkan segera kepada Jabatan Peguam Negara.
Saya jadi panik, bagaimana kesalahan begini akan dilepaskan tanpa sebarang perbicaraan? Bagaimana jika dibiarkan terus mempunyai akses untuk bertemu wanita dan kanak-kanak.
Waktu saya hubungi si ibu tentang perkhabaran pertuduhan ini, si ibu seperti hilang arah. Dia sedih. Dia kecewa. Ada ketika saya rasa bimbang, bila tak dapat hubungi si ibu kerana bimbang keadaan dirinya.
Alhamdulilah dalam masa 24 jam, email rayuan kami terus dibalas. Pendakwaraya memaklumkan ada beberapa pertuduhan dan hanya 1 pertuduhan sahaja digugurkan kerana kurang pembuktian.
Fuh! Lega. Alhamdulilah. Akhirnya hari ini telah diputuskan oleh mahkamah. Penjara 15 tahun dan 3 sebatan bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, empat tahun lalu.
Terima kasih team pendakwaraya! Kalian hebat membawa tertuduh ke muka pengadilan. Kita bimbang penjenayah pedofilian terus berleluasa dan menggunakan topeng agama untuk mencari mangsa. Tambah pula mereka bijak bermain dengan membina naratif dan mendapat sokongan awam.
Ada beberapa lagi 6 pertuduhan terhadap tertuduh ini.
Semoga keadilan sewajarnya dan anak-anak kita dijauhkan dari pemangsa. Kita pantau anak-anak kita. Kredit :- Peguam Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Fattah Amin kongsi momen Fatima tak mahu berenggang ketika majlis nikah – “Mungkin dia terlalu rindu..” Pelakon popular, Fattah Amin, 35, mengakui terharu melihat gelagat anaknya, Nur Fatima Aisya, 5, yang enggan berpisah dengannya ketika berlangsungnya majlis akad nikah bersama isteri tercinta, Amira Othman, 32.
Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin berkata, aksi manja Fatima itu mungkin berpunca daripada kerinduan terhadap dirinya, lebih-lebih lagi apabila si kecil itu ternampak kelibatnya selepas seketika menghilang di belakang pentas.
“Betul, dia (Fatima) tak mahu lepaskan saya. Sebab kebetulan dia pun tengok daddy dia hilang sebab masa itu dia pergi ke belakang. Mungkin juga dia rindu.
“Jadi bila dia nampak saya, dia terus peluk. Kita pun tak sangka ingat bila dia dah peluk, dia nak lepas. Rupanya dia tak lepaskan Tapi, itulah mungkin dia rindulah.
“Saya pun sentiasa rindukan dia. Tapi Alhamdulillah, Amira seorang yang boleh terima dan dia (Amira) memang sangat memahami.
“Macam tadi pun (malam semalam) dia (Fatima) tak tahu sama ada dia nak lepaskan saya atau tidak, tapi bila Amira kata Fatima angguk itu yang saya bawa juga,” jelasnya.
Menurut Fattah, kebahagiaan isteri dan anak menjadi fokus utamanya pada malam bersejarah itu, dan dia bersyukur segalanya berlangsung lancar walaupun kejutan kecil berlaku.
“Masa ‘rehearsal’ kita tak macam itu (Fatima tak nak lepaskan Fattah). Tapi, semuanya berlaku sudah ditakdirkan macam itu.
“Apa yang penting, Amira gembira dan Fatima pun gembira, itu sudah cukup dah,” katanya lagi.
Majlis akad nikah pasangan selebriti ini berlangsung di Dewan Utama, Golden Palm Tree, Bagan Lalang. Hanya dengan sekali lafaz tepat jam 9.08 malam, Fattah sah bergelar suami kepada Amira selepas dinikahkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman menerima seutas rantai tangan sebagai mas kahwin. Majlis bersejarah itu turut dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat serta disiarkan secara langsung menerusi Inspirasi Unifi TV 2.0.
Terdahulu, Fattah pernah berkahwin dengan aktres Nur Fazura pada 2017 sebelum bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang puteri, Nur Fatima Aisya.
Naluri pasangan tidak pernah salah. Inilah yang berlaku apabila isteri tak sedap hati kerana tiba-tiba alat GPS milik bekas pemain sepak takraw negara.