Kes hibah RM1 juta, adik dedah kakak terpaksa tanggung kos guaman ratus ribu untuk lawan kes. Masih ingatkan tentang kes seorang balu anak lima yang memperoleh hibah bersyarat (Hibah Nomination) bernilai RM1 juta dari arwah suami.
Kes ini menarik perhatian ramai selepas adik wanita berkenaan, Shahrul Sabri, mendedahkan di threadsnya bahawa hibah RM1 juta yang diterima kakaknya telah dicabar keluarga mentua di Mahkamah Tinggi Sivil.
Orang ramai rata-rata terkejut apabila mengetahui pemberian hibah takaful bersyarat boleh dicabar di Mahkamah Tinggi Sivil yang sebelum ini diiktiraf sah oleh Mahkamah Syariah.
Menyentuh perkembangan terkini hibah bersyarat RM1 juta ini, sekali lagi ia menjadi tumpuan kerana kes akan mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada 25 September 2025 jam 9 pagi.
Berkongsi berita terkini di threadsnya, Shahrul Sabri memaklumkan perjuangan kakaknya untuk mengekalkan hibah RM1 juta itu menempuh jalan penuh liku.
#Hibah1juta. Baru dihubungi peguam. Katanya kos untuk lawan kes ni mencecah ratusan ribu ringgit. Kesan kes ini kalau tak dilawan, keseluruhan industri takaful akan musnah. Tapi yang kena tanggung kos ini kakak saya,”katanya semalam.
Jelasnya lagi, perjuangan kakaknya membesarkan anak-anak seramai lima orang dengan berniaga kecilan di jalanan bukan mudah namun kini perlu melalui perjuangan sendirian.
“Sepatutnya industri yang berbilion ini melindungi pelanggan. Bukan seorang balu yang terpaksa pikul beban mempertahankan sistem mereka,” tambahnya.