
Kes Buli
Kes buli di SMK Za’ba menjadi kisah panas hari ini. Ramai yang rasa marah dan kecewa dengan apa yang berlaku, nak-nak melibatkan pelajar tingkatan dua yang dikira masih baharu masuk alam sekolah menengah.
Setiap kali berlaku kes buli, kita marah. Tetapi selepas beberapa hari, semuanya kembali seperti biasa. Sepatutnya kita tidak boleh terus menunggu tragedi seterusnya.
Mengambil pandangan Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dusuki, sudah tiba masanya kita ubah sistem bukan sekadar menghukum selepas kejadian.
Kes buli tidak boleh lagi ditangani dengan cara biasa-biasa. Kalau mahu hasil yang berbeza, kita mesti berani buat perubahan yang luar biasa.
Khususnya di sekolah berasrama, lantik warden profesional termasuk bekas anggota Tentera dan Polis. Guru tidak seharusnya dibebankan dengan tugas warden sebagai tanggungjawab sampingan semata-mata.
Setiap kes mesti disiasat segera secara telus adil dan tegas. Kes berat yang mempunyai unsur jenayah mesti terus dirujuk kepada polis.
Mangsa dan ibu bapa mesti tahu hak mereka serta mempunyai akses jelas kepada Tribunal Antibuli dan saluran undang-undang.
Sesiapa yang sengaja menyembunyikan, melengah-lengahkan atau menekan mangsa supaya berdiam diri mesti dikenakan tindakan. Keselamatan anak lebih penting daripada reputasi sekolah.
Pasang CCTV di kawasan berisiko yang dibenarkan dari sudut privasi dan perhebat rondaan mengejut, khususnya di asrama.
Kesan lebih awal budaya senioriti melampau, pemerasan, tingkah laku agresif, perubahan emosi mangsa dan tanda-tanda pengasingan sosial.
Ragging, hukuman tidak rasmi, penghinaan dan budaya “senior mengajar junior” mesti dihentikan. Ibu bapa pelaku juga wajib terlibat dalam proses intervensi dan pemulihan. Kita bukan sekadar mahu menghukum pembuli.
Menurut Setiausaha Agung UMNO itu lagi, kita mahu memutuskan budaya yang melahirkan pembuli. Anak-anak pergi ke sekolah untuk belajar dan membina masa depan, bukan untuk hidup dalam ketakutan.
Kes masih berjalan, harap pihak yang berkaitan mengambil tindakan tegas dalam kes ni. Semoga keluarga mangsa mendapat keadilan yang telus.