Kerja rumah memang tak akan pernah siap, kalau selesai lipat kain baju mungkin pinggan mangkuk belum siap. Dan kalau berjaya sudahkan bab mengemas, ada kemungkinan dapur tak sempat nak berasap.
Haa… tak payah stress sangat, sebab mak-mak boleh renungkan perkongsian saudara Firdaus Shakirin ini seminit. Ada benarnya dan tak perlulah nak hasilkan kerja rumah yang sempurna. Janji mak-mak ada cuit sikit dan anak-anak tak terbiar.
Cerita Hal Kerja Rumah
Pesanan kepada si isteri…
Semuanya tak perlu terlalu sempurna.
Ads
Mempunyai keinginan untuk buat yg terbaik didalam rumahtangga adalah tindakan terpuji. Namun, dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, usahlah berusaha sehingga membebankan diri. Buat ikut kemampuan, layan suami ikut keupayaan yang ada… semuanya tak perlu terlalu sempurna.
Nak bangun pagi pukul 4 atau 5 pagi untuk menyiapkan sarapan itu bagus, tapi kalau dah berdukung anak kecil di dapur, bersengkang mata, tidur cuma 3,4 jam sehari, itu akan memenatkan dan meletihkan anda.
Ads
Tentatif seorang isteri terutamanya suri rumah :
– Menyediakan sarapan
– Menyiapkan anak untuk ke sekolah, menghantar anak ke sekolah
– Mengemas rumah ( sapu sampah, mop rumah, buang sampah, lap cermin, almari , kemas dapur, susun barang-barang, susun permainan anak)
– Basuh baju, sidai baju, Lipat Baju
– Memasak utk mkn tengahari
– Menjemput anak dari sekolah
– Mengemas dapur setelah anak-anak selesai mkn
– Membantu anak-anak menyiapkan kerja-kerja sekolah
– Menyediakan cucur, air minum petang utk suami balik kerja
– Menyambut kepulangan suami, melayani suami
– Menyediakan makan malam, mengemas dapur
– Menidurkan anak-anak
– Iron baju sekolah, siapkan peralatan dan kelengkapan sekolah anak
– Iron baju suami, sediakan kelengkapan untuk suami
– Tidur
Ads
Penat dan letih tidak terkira… tapi tak perlu semuanya dilakukan dalam SATU hari. Jika hari ni mengemas, maka esok buat laundry. Tak perlu terlalu sempurna sebenarnya, banyak isteri yang buat serba serbi, kemudian suami balik kerja, suami persoalkan, “ kenapa anak tak mandi lagi?”
Satu pertanyaan sahaja, tapi hati mula rasa kurang senang dgn pertanyaan tersebut, sebab diri dah penat, dah letih dgn apa yg dilakukan dari pagi sehingga petang. Ditambah lagi dengan tidur yg tak cukup…pasti rasa nak marah…rasa nak melenting. Suami kalau boleh, jangan tanya, sebaliknya kita sendiri yang mandikan anak…. Kalau mainan bersepah, kita sendiri kutip, kemas.
Elakkan Dari Mempersoalkan, Sebaliknya Bantu
Ya, kita juga letih, seharian dah bekerja, tapi isteri juga letih walaupun seharian duduk rumah. Menjadi suri rumah itu bukan bermakna dia tidak buat apa-apa… sama-sama letih, sama-sama penat sebenarnya, tapi bukan kah perkahwinan itu satu perkongsian. Kita berkongsi jalan hidup yang sama. Maka sebaiknya, sama-samalah kita berkongsi untuk meringankan beban pasangan kita.
Dan kepada isteri-isteri diluar sana, semuanya tak perlu terlalu sempurna dalam rumahtangga. Buat ikut kemampuan supaya anda tidak tertekan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jika sang lelaki masih belum berkahwin dan bujang, ianya tidak mendatangkan masalah jika dia seorang “anak emak”. Namun pastinya situasi ini menjadi rumit apabila anak lelaki tersebut berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Tindakan suami menurut segala kemahuan ibu membuatkan si isteri acapkali menjerut rasa.
Sewajarnya seorang isteri tidak boleh melatah secara membuta tuli. Sebaliknya, anda cuba memperbaiki keadaaan dan mengambil jalan tengah untuk menangani masalah agar tidak menggugat kebahagiaan rumah tangga. Antara langkah yang dapat dilakukan ialah:
Belajar Menerima
Pastinya kamu telah mengetahui situasi ini sejak kamu berdua mula berkenalan. Pada waktu itu, anda boleh melihat cara perbualan atau kekerapan teman lelaki anda bercerita mengenai ibu atau ahli keluarganya.
Jika anda boleh menerima situasi dia sebagai lelaki ‘anak emak’, maka anda seharusnya belajar menerima situasi itu dari awal. Jika anda wanita yang tidak dapat bertolak ansur dengan situasi tersebut, sebaiknya anda sudah menamatkan hubungan itu daripada pergi terlalu jauh.
Apabila anda memahami lebih awal sifat tersebut, setelah berkahwin anda lebih mudah menyesuaikan diri dengan situasi itu.
Luahkan perasaan
Jika kamu terasa dengan sikap suami atau ini mentua, cuba luahkan pada suami. Jangan memendam perasaan atau meluahkan secara kiasan. Pastinya suami tidak memahami apa yang telah terjadi.
Di samping itu, elakkan diri kamu dari rasa amarah atau cemburu sekiranya suami lebih memberi tumpuan kepada ibunya. Ini akan membuatkan dia berasa tertekan dan mendorong kepada keretakan hubungan indah suami isteri.
Berfikiran Terbuka
Biar pahit kenyataan yang harus ditelan, anda harus sentiasa berfikiran terbuka dan positif atas segala tindakan sama ada suami mahupun ibu mertua. Jadi perkara ini lama-kelamaan tidak akan menjadi masalah besar kepada anda. Sentiasa berdoa di samping bersabar dalam mengharungi segala ujian yang melanda.
Harus diingat, ibu mertua adalah ibu kepada suami anda, jadi dirinya memerlukan perhatian yang lebih berbanding anda. Usianya yang semakin meningkat juga membuatkan dirinya inginkan perhatian anak lelakinya.
Layani Sebaiknya
Jika suami anda melayani kamu dan keluarga sebaiknya, apa salahnya jika anda juga berbuat demikian. Layanilah ibu mertua seperti ibu anda sendiri. Walaupun kadang kala anda tersentap dengan tegurannya, tetapi sebagai menantu, anda harus pasrah.
Jangan sesekali anda lupa, tanpa didikan serta pengorbanan wanita tersebut mungkin tiada suami disisi anda. Sebaiknya, berusahalah mengambil hati ibu mertua dengan menghadiahkan sesuatu yang istimewa sempena hari ulangtahun kelahirannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Semalam, ketika Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) maklumkan dalam ucapannya ada keluarga yang sampai nak panggil makan pun terpaksa gunakan gajet. Nampaknya semacam sukar nak mulakan ‘masa tanpa gajet’ dalam keluarga?
Aduhai.. kenyataan itu amat menyeramkan. Betapa kroniknya ketagihan gajet rakyat Malaysia ketika ini. Tapi semua itu tak mustahil. Sebab itu, bila KPWKM dilancarkan kempen ‘Masa Tanpa Gajet’ Mingguan Wanita sokong sepenuhnya.
Jangan terkejut bila kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke Lima (KPM-5, 2014) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) mendapati medium komunikasi remaja dengan ibu bapanya adalah melalui telefon (73%), pesanan ringkas (54.6%) dan media sosial (15.6%).
Dah macam negara robot! Malah sepanjang mengelola artikel di website Mingguan Wanita banyak sekali permasalahan rumah tangga mahupun anak-anak berpunca daripada gajet. Alangkah indahnya masa tanpa gajet. Mak ayah dan anak-anak boleh berbual dari hati ke hati tanpa gangguan smartphone atau apa saja seumpamanya.
Bagaimana mahu memulakan ‘Masa Tanpa Gajet’. Tip yang akan disarankan ini boleh mak ayah praktikkan ketika menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak.
Gajet Bukan ‘Babysitter’ Anak-anak, Amal 5 Tip Isi Masa Tanpa Gajet
1. Mulakan Dengan Kotak ‘No Gadget Hour’
Walau di rumah, mak ayah boleh cuba cara ini. Sediakan sebuah kotak khas. Tuliskan besar-besar ‘No Gadget Hour’ atau ‘Masa Tanpa Gajet. Fungsinya untuk menyimpan segala macam gajet terutama smartphone, tab dan sebagainya pada masa yang anda tetapkan. Baik mak ayah atau sesiapa saja dalam rumah kenalah bekerjasama masukkan peralatan elektronik anda dalam kotak khas itu.
2. Tetapkan Masa Terbaik Untuk Mulakan Misi Kotak ‘No Gadget Hour’
Selepas sediakan kotak, tetapkan pula masa untuk mulakan misi kotak ‘masa tanpa gajet’. Jika sukar mahu dilaksanakan secara harian. Boleh mulakan setiap Sabtu dan Ahad atau ketika hari cuti. Logiknya, masa inilah keluarga dapat berkumpul bersama. Jangan jadikan gajet menghalang masa berkualiti yang ada.
Bila dah pilih hari, cari masa yang sesuai. Misalnya 1 jam tanpa gajet. Pilih sama ada waktu pagi atau petang. Masa ini nanti anda akan isi dengan aktiviti yang menyeronokkan dengan suami, isteri dan anak-anak.
Bila dah berjaya melepasi tempoh sejam, anda boleh lanjutkan ke 2 jam dan seterusnya. Ikut keselesaan keluarga anda.
3. Apa Nak Isi 1 Jam Tanpa Gajet Tu
Macam-macam mak ayah. Kalau ada anak kecil, mulakan dengan cabaran mewarna dengan berikan pertandingan dan hadiah, berkreatif dengan bahan-bahan yang ada di dapur atau libatkan anak-anak memasak sesuatu yang istimewa bersama anda.
Masa inilah anda boleh tanyakan hal-hal personal anak tapi jangan sampai menyindir, melukakan hati mereka kerana idea itu akan buatkan anak lebih berkecil hati dan menjauh.
4. Bawa Ke Taman Pun Membantu
Ramai juga mak ayah yang buat aktiviti ini. Nak lebih menarik, benarkan anak-anak beraktiviti ketika di taman permainan. Misalnya menaiki basikal, bermain belon gergasi, menunggang motosikal elektrik. Sesetengah tempat memang menyediakan kemudahan begini.
5. Tak Salahkan Belanja Anak Tengok Wayang
Kalau dulu, mak ayah tengok wayang berdua. Bila anak-anak dah mulai faham bawalah mereka menonton wayang. Sesuaikan ikut usia. Jika masih kanak-kanak bawalah tengok cerita animasi.
Bila dah remaja belanja pula tengok cerita yang lebih berat mesejnya. Anak-anak akan lebih seronok dan rasa mereka dihargai. Tapi ingat, masa ini gajet masing-masing perlu ada di dalam kotak.
Kalau tidak tak bermakna semua saranan yang diberikan di atas itu. Sebabnya jika gajet masih di tangan, bermakna masih juga tiada komunikasi. Tiada connection, tiada mata bertentang mata apatah lagi turun ke hati.
Apa yang cuba disampaikan ini adalah ahli keluarga kenalah berkomunikasi. Sebab itulah cara mengeratkan jurang kasih dalam keluarga. Dan masa tanpa gajet antara solusinya.
Saya Sayang Keluarga Saya
Ia adalah tema untuk sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) 2017. Bila gajet ini terlalu menguasai satu-satu isi rumah, banyak kebimbangan mula dirasakan.
Kerana gajet bukannya ‘babysitter’ anak-anak kita. Ibu bapalah yang seharusnya mencorak pemikiran anak-anak.
Sebab itu, mak ayah jangan sesekali memanjakan anak-anak mereka dengan gajet sejak dari kecil.
Benar, gajet ada kebaikannya baik dalam urusan pembelajaran, komunikasi, jual beli namun teknologi tanpa pengawasan memberi kesan negatif pada permata hati kita.
Sebab itulah, mak ayah perlu ada masa berkualiti dengan anak-anak. Jangan sesekali mengutamakan gajet semasa bersama keluarga.
Mak ayah juga digalakkan menetapkan penggunaan gajet apabila berada di rumah, makan atau beriadah. Atas dasar inilah ‘Saya Sayang Keluarga Saya’ perlu ditanam dalam setiap hati isi rumah demi kesejahteraan negara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Tapi saya paling sedih bila suami sendiri menuduh saya mandul!
Berusaha Untuk Dapatkan Zuriat
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah, bermakna saya tak mandul. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki pada saya.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, mandul. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir?
Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah kerana memikirkan mungkin suami ingin rasa seperti memiliki anak sendiri. Tapi saya dapat ‘mengesan’ sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab oleh Z.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan:
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya.
Onak Dan Duri
Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri. Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Onak duri, ombak badai mainan harian. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Puan yang dirahmati Allah. Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangannya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Saya kurang pasti adakah puan dan suami mahu mengambil anak angkat. Dalam keadaan suami telah ada wanita lain untuk dikahwini, mungkinkah puan tidak berhasrat ke arah itu? Tahukah puan ramai dalam kalangan pasangan yang tidak dikurniakan zuriat mengambil anak angkat sebagai penghubung kasih antara suami isteri.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan Tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Pandang Hikmah
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, sentiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solatlah malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat, solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pilih tema gothic vampire di hari sanding, pengantin akui peminat muzik metal. Sepasang pengantin menjadi tular di media sosial gara-gara memilih tema gothic vampire...