Tidak dapat bayangkan bagaimana seorang anak yang masih kecil melihat ibunya menghabiskan nafas terakhir di depan matanya sendiri.
Dalam kejadian petang semalam, sebuah kereta telah dilanggar sebuah treler yang hilang kawalan. Si anak pilu lihat ibu meninggal dunia di depan mata.
Anak Pilu Lihat Ibu Meninggal Depan Mata
Pilunya hati seorang kanak-kanak apabila melihat ibunya tersepit di dalam kereta sebelum meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 3, Jalan Bentong-Raub, Bentong, Pahang.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa S Puganeswari, 42, meninggal dunia serta-merta di dalam kereta Perodua Myvi dipandunya manakala anaknya yang berusia 11 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan mendapati sebuah treler dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dari arah bandar Raub menuju ke arah Bentong dipercayai hilang kawalan.
“Keadaan itu menyebabkan dia terlanggar belakang sebuah kereta Proton Wira dan treler itu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Myvi.
“Pada masa sama, kereta Proton Wira itu melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Wish yang berada di hadapannya,” katanya.
Beliau berkata, pemandu kereta Perodua Myvi itu berasal dari Bentong dan mayatnya yang tersepit di dalam kereta dikeluarkan anggota bomba.
Ads
Pemandu Treler Positif Dadah
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
MW: Semoga kematian mangsa S Puganeswari mendapat pembelaan sewajarnya dan anaknya dapat menerima kenyataan bahawa ibunya telah tiada.
Tempoh 20 tahun bukan satu jangka masa yang sekejap, malah lebih perit apabila disabitkan dengan kesalahan yang diri sendiri tidak lakukan. Seorang lelaki Korea Selatan yang menghabiskan 20 tahun meringkuk dalam penjara atas kesalahan rogol dan bunuh, didapati tidak bersalah selepas penjenayah sebenar membuat pengakuan.
Beliau berjaya membersihkan namanya selepas seorang pembunuh bersiri yang terkenal di negara itu mengaku memperkosa dan membunuh mangsa, seorang gadis berusia 13 tahun, pada 1988.
Yoon Seong-yeo, 53, yang dihukum penjara seumur hidup, dibebaskan dengan parol pada 2009, selepas 20 tahun dipenjarakan.
Dia mendengar dengan tenang ketika Hakim Mahkamah daerah Suwon, Park Jeong-je, meminta maaf kepadanya Khamis lalu bagi pihak badan kehakiman kerana menyebabkan ‘kesakitan fizikal dan mental sangat besar’ akibat keputusan yang salah.
“Tertuduh tidak bersalah,” umum Park dan pembebasan Seong-yeo disambut tepukan gemuruh daripada penyokongnya di galeri.
“Saya harap tiada sesiapa yang perlu melalui apa yang saya lalui dan semua kes menerima perbicaraan yang adil,” kata Yoon kepada pemberita selepas keputusan itu.
Seong-yeo, yang ketika itu berusia 22 tahun dan bekerja sebagai mekanik di sebuah rumah ladang di Hwaseong, ditahan pada Julai 1989 selepas polis menuduhnya merogol dan membunuh seorang gadis pada September 1988.
Antara 1986 dan 1991, 10 wanita pelbagai peringkat usia dirogol serta dibunuh dengan kejam di kawasan Hwaseong dan Yoon ditahan selepas polis dikritik hebat kerana gagal mengenal pasti pembunuh bersiri itu.
Polis membuat kesimpulan Seong-yeo meniru siri jenayah yang berlaku walaupun dia menafikannya dan menyatakan bahawa penyiasat polis memaksanya untuk mengaku melakukan jenayah berkenaan.
Mahkamah Daerah Suwon menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Oktober 1989, yang kemudian disahkan Mahkamah Agung pada Mei 1990.
Ketika siri kes pembunuhan Hwaseong dilihat tidak berkesudahan, tahun lalu pihak polis mengumumkan ada suspek lain yang membuat pengakuan.
Lee Chun-jae, seorang lelaki yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh kakak iparnya pada 1994, mengaku melakukan pembunuhan termasuk gadis berusia 13 tahun itu, mendorong Seong-yeo memfailkan perbicaraan semula.
Chun-jae turut memberi keterangan pada perbicaraan semula Seong-yeo bulan lalu dan mengulangi pengakuannya.
Pembunuhan di Hwaseong juga ilham kepada penerbitan filem ‘Memories of Murder’ pada 2003 dan mencipta kejayaan bagi pengarah, Bong Joon Ho, yang memenangi filem terbaik Anugerah Akademi pada tahun ini bagi filem ‘Parasite’. – AGENSI
MW: Menderitanya apabila meringkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukan. Meskipun masa yang berlalu tidak boleh diulang kembali, namun pembebasan ini sekurang-kurangnya dapat membersihakan nama baik dan maruah diri.
Lupa segala janji yang pernah dilontarkan saat bergelar suami isteri untuk setia hingga ke hujung nyawa. Lupa janji untuk susah senang bersama dalam membesarkan anak-anak. Segalanya dia lupa setelah mabuk dengan cinta baru. Lupa dosa!
Ikuti luahan rasa seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Sal saja. Dia memegang status janda setelah tidak tahan lagi sengan sikap suami yang lupa tanggungjawabnya pada keluarga dan asyik dengan cinta baru.
Pada mulanya hidup kami bahagia dalam perkahwinan yang menjangkau usia 19 tahun waktu itu. Walau pun pelbagai onak dan duri dilalui, kami dapat mengharungi bersama. Rumah tangga kami makin ceria dengan kehadiran tiga cahaya mata yang berusia 18, 17 dan 15 tahun. Hanya anak kedua lelaki.
Waktu itu kurasakan hidupku lengkap, ada suami yang penyayang (Y) dan anak-anak yang taat. Tak pernah terlintas di fikiran, rumah tangga yang kubina atas dasar cinta itu musnah akibat orang ketiga.
Y seorang yang aktif di sekolah bahkan dia sering dilantik sebagai ketua. Dia juga terkenal dengan kelunakan suaranya saat mengalunkan ayat suci al-Quran dan sering menjadi imam di kalangan teman-teman.
Sebenarnya sikap aktifnya itu sejak zaman sama-sama di maktab dulu. Antara tarikan yang dia miliki yang membuat aku terpikat kepadanya adalah karismanya sebagai seorang pemimpin. Dia pengerusi pelajar di maktab dulu.
Sebagai ayah, dia sangat penyayang dan ambil berat tentang anak-anak. Tegasnya bertempat dan aku lebih garang berbanding dirinya.
Kalau ditanya, sejak bila dia mula berubah? Entahlah. Cuma aku mula perasan bila dia makin kerap di sekolah walau pun hari cuti. Alasannya macam-macam aktiviti yang perlu diuruskan.
Bila balik rumah, dia jarang nak duduk berbual dengan anak-anak di ruang tamu sedangkan kebiasaannya kami akan bersama-sama duduk sambil memantau anak-anak membuat kerja sekolah.
Dia lebih suka duduk di dalam bilik menghadap laptop. Aku tak syak apa-apa.
Makin lama ku lihat sikap Y makin berubah. Bila berada di rumah kami jarang berbual macam dulu. Bila anak-anak tanya tentang kerja sekolah, dia cepat melenting dan suruh aku yang ajar.
Dengan aku juga begitu. Pantang ada yang tak kena di matanya, dia akan membebel dan marah-marah sedangkan selama ini dia sangat lemah lembut.
Satu hari, ketika sedang asyik menghadap laptop, tiba-tiba ada rakannya datang. Selepas membancuh air, aku masuk bilik untuk mandi. Tergerak hati untuk melihat laptop yang tak ditutup. Niatku hendak tolong off laptop itu.
Tak sangka, aku mendapat jawapan di atas segala perubahannya selama ini. Mungkin nak cepat, dia lupa nak off laptop dan ku lihat dia membuka facebook dan aku ternampak sedang berbalas mesej dengan seseorang.
Alangkah terkejutnya aku bila mendapati mesej itu bersama seorang wanita. Hatiku hancur bila membaca mesej antara mereka. Penuh kata-kata rindu dan cinta. Yang aku lebih terperanjat, wanita itu sanggup mengirimkan fotonya tanpa bertudung kepada suami! Sedangkan wanita itu bertudung litup!
Menggeletar jarinya saat melihatkan profile wanita itu dan rupanya wanita itu juga seorang ustazah dan janda anak dua. Usianya pertengahan 30-an. Ternyata sudah hampir enam bulan mereka berskandal.
Aku tunggu Y masuk bilik dan dia terperanjat besar bila lihat aku sedang berada di depan laptop. Aku terus bangun dan tanpa sepatah kata aku beredar ke bilik anak bongsuku. Malam itu aku tidur di situ. Aku tak mampu untuk berdepan dengan suami.
Keesokan pagi, aku bangun lebih awal daripada biasa dan siapkan sarapan dan terus ke sekolah. Sempat aku berpesan pada anak-anak supaya ke perpustakaan dulu hingga aku jemput mereka balik petang nanti. Nasib baik mereka sudah besar dan pandai jaga diri. Ke sekolah mereka akan menaiki van sekolah. Hanya yang sulung duduk di kolej.
Aku tak nak bersemuka dengan suami. Memang selama ini kami pergi mengajar berasingan kerana mengajar di sekolah berbeza.
Sampai di sekolah, aku ada terima mesej daripadanya yang ingin jumpa aku tapi aku tidak balas.
Jiwaku sangat celaru dan aku menangis di sekolah di depan kawan baikku M. Aku tak kuat untuk terima itu semua dan akhirnya berterus terang dengannya. Aku juga minta tolongnya untuk menemani aku bersemuka dengan suamiku.
Balik sekolah, ku lihat Y sudah ada di rumah dan wajahnya serba salah. Tak lama kemudian M sampai bersama suaminya Z. Mereka dikira kawan baik aku dan suami.
Di depan M dan Z sebagai saksi, aku minta Y berterus terang. Benar sekali, dia mengaku sudah menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Dia juga mengaku, dia akan mengahwini wanita itu kerana wanita itu sudah pun bercerai dengan suaminya selepas mereka bercinta.
Aku tak sangka, tergamak mereka tergamak berskandal di saat wanita itu masih isteri orang sedangkan keduanya ada ilmu agama. Rasa dikhianati membuatkan aku tekad minta dilepaskan. Aku tak sanggup hidup dengan lelaki yang curang padaku bahkan terang-terang mengaku akan memadukan aku dengan wanita lain.
Walau pun puas dipujuk, aku tekad. Syukur, aku bahagia dengan jalan hidup yang ku pilih dan kini lebih dua tahun aku bergelar ibu tunggal. Aku happy dengan anak-anak dan belum terfikir untuk mencari pengganti.
Bekas suamiku sudah pun berkahwin dengan kekasih gelapnya itu. Aku tak pernah lagi bersemuka dengan bekas suami. Kalau dia datang jumpa anak-anak, aku takkan keluar jumpa dia. Aku tak pernah halang dia jumpa anak. Rasa marah dan sedihku belum terubat. Aku memaafkan namun tidak mampu melupakan.
Nona Superwoman Award 2020 mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan wanita melalui 47 kategori anugerah daripada pelbagai kerjaya.
Anugerah berprestij ini telah diadakan buat julung kalinya pada tahun 2018 dengan mengangkat Tan Sri Rafidah Aziz sebagai penyandang anugerah utama.
Fenomena ini diteruskan buat kali kedua melalui Nona Superwoman Award 2020 sebagai kesinambungan kejayaan yang lalu.
Selepas kejayaan Nona Superwoman Award sebelumnya, kali ini Majalah Nona menampilkan 47 anugerah buat individu paling cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing.
YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah adalah di antara penerima anugerah utama di majlis malam pengiktirafan Nona Superwoman Award 2020.
Seramai 47 individu daripada pelbagai kerjaya akan diraikan dalam satu majlis virtual yang telah berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC). Individu yang dipilih adalah berdasarkan kecemerlangan dan sumbangan yang diberikan kepada komuniti dan negara sepanjang tahun 2020.
Majlis bertemakan ‘New Normal Glam’ yang dihoskan oleh selebriti terkenal Daphne Iking dan ditaja sepenuhnya oleh jenama produk penjagaan rambut, Faith Fleur. Berlokasi di Shah Alam Convention Centre (SACC), ia distrimkan secara langsung melalui YouTube Live dan Facebook Live saluran Majalah Nona.
Paling membahagiakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Yang Berhormat Datuk Seri Rina Mohd Harun turut hadir bagi merasmikan majlis penuh gemilang ini.
Pada majlis ini juga, Editor Pengurusan Nona, Kiffy Razak menyatakan majlis pengiktirafan buat kali kedua ini cukup berbeza berbanding sebelumnya.
“Saya bersyukur kerana majlis pengiktirafan ini akhirnya dapat dilaksanakan, meskipun secara maya memandangkan situasi pandemik Covid-19. Disebabkan itu juga, kami di majalah Nona keluar dari norma sebelumnya dan memberikan satu penghargaan yang cukup besar kepada wira negara. Yang berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Noor Hisham serta para petugas barisan hadapan yang sedang berjuang untuk kita semua.
“Setiap individu yang diraikan pada mala mini juga adalah antara yang turut terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi namun masih mampu bertahan dengan semangat yang kuat. Tahniah kami ucapkan!” ungkap Kiffy Razak.
Dengan pematuhan SOP yang ketat, pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial sepanjang majlis berlangsung, malam pengiktirafan dengan kehadiran tetamu seramai 100 orang ini turut diserikan persembahan artis terkemuka Malaysia, Noryn Aziz dan Erni Zakri.
1. Nona Superwoman Award – Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
2. Nona Frontliner Award – Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah
3. Nona Royal Award – Che Puan Sofie Louise Johansson
4. Nona VIP Award – Puan Sri Nisa Bakri
5. Nona Fashion Moghul Award – Dato’ Seri Dr Farah Khan
6. Nona Homegrown Award – Dato’ Sri Siti Nurhaliza
7. Nona Motivator Award – Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa
8. Nona Legend Award – Ella
9. Nona Health Influencer Award – Dr Nur Amalina Che Bakri
10. Nona Educated Celebrity Award – Dr Soo Wincci
11. Nona Business Icon Award – Neelofa
12. Nona Fashion Designer Award – Alia Bastamam
13. Nona Most Promising Entrepreneur Award – Tya Arifin
14. Nona Active Award – Farah Ann Abdul Hadi
15. Nona Fashionista Award – Scha Alyahya
16. Nona Charity Award – Heidy Quah
17. Nona Influencer Award – Mira Filzah
18. Nona Best Young Entrepreneur Award – Nabella Anuar, Kayman Beauty
19. Nona Best Beauty Entrepreneur Award – Datin Fatin Amyera Zainal Abidin, Amyera
Empire
20. Nona Best Networking Business Award – Siti Noor Sabrina Soobri, Mamasab
International
21. Nona Best Aesthetic Award – Nur Izzati Aqilah Lokman Hakim &
Mohammad Syafiq Lokman Hakim, Beaux Aesthetic
22. Nona Best Emerging Founder Award – Dato’ Sri Anis Romli, Imorice
23. Nona Best Charity Award – Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajjah Rozzanamoon
Dato’ Haji Rahmat
24. Nona Best Islamic Education Award – Ustazah Siti Khadijah Mohni, Hatimurni
Islamic Private School
25. Nona Best Medical Footwear Award – Nur Diana Dzulkiply, MEDSHOE
26. Nona Best Halal Beauty Award – Norazimah Abd Jalil, HAUS Cosmetics
27. Nona Best Hair Care Product Award – Siti Mariam Abdul Samad & Mohamad Abdul
Halim Bahadorisam, Faith Fleur
28. Nona Best Accomplishment Business Award – Siti Mariam Abdul Samad &
Mohamad Abdul Halim Bahadorisam, Faith Fleur
29. Nona Best Image Consultant Award – Debby Yunus
30. Nona Best Online Supplement Award – Nurul Diana Mohd Pudzi, Dianz Cosmetics
31. Nona Best Birdnest Skin Benefit Award – Norshahila Ahmad, Birdnest Beauty
32. Nona Best Businesswoman Award – Zurin Zakaria, Carrisa Cosmetics
33. Nona Best Influencer Skincare Brand Award – Nursyafiqah Aina Abdul Wahab,
Ainaa Beauty
34. Nona Best Duo Entrepreneur Award – Datin Ayu Roslan, Bokitta
35. Nona Best Entrepreneur Cosmetics Award – Afzalizah Nizam Azizan, Cubre Mi
36. Nona Top Rising Entrepreneur Award – Norashima Edi, Snowhitee Beauty
37. Nona Excellence Entrepreneur Award – Yaya Suhaimi, Nufiya
38. Nona Best Collaboration Founder Award – Nadjua Zailani & Izzat Roslan, Bungaa X
AnissaFaizul
39. Nona Excellence Bird’s Nest Brand Award – Amy Yusuff & Norelissa Idayu, Sahi
Sarang Burung
40. Nona Best Emerging Hijab Brand Award – Nurul Fareha Anuar, Fareha
41. Nona Best Textile Entrepreneur Award – Siti Zaharah Ismail, Fyzara
42. Nona Early Edupreneur Award – Nor Fadilah Alias, Al Khauthar Eduqids
43. Nona Best Uprising Hijab Brand Award – Siti Zaleha Hamzah, Hijab by Hanami
44. Nona Best Beauty Brand Award – Ladybossrafa, K-Colly
45. Nona Best Strategic Business Thinker Award – Datin Adzliana Dato’ Sri Dr Hasan
46. Nona Best Premium Bird Nest Health & Beauty Brand Award – Nurlyana Darwesh,
Eve Essentials
47. Nona Best Safe Use & Dermatologist Tested Skincare Award – Nur Bashirah Hussin,
Charms Malaysia
Anugerah pengiktirafan Nona Superwoman Award telah diadakan buat julung kalinya pada tahun 2018 dengan mengangkat Tan Sri Rafidah Aziz sebagai penerima anugerah utama.
Selari dengan visi dan misi Majalah Nona untuk memperkasakan golongan wanita, fenomena ini diteruskan buat kali kedua melalui Nona Superwoman Award 2020 sebagai kesinambungan kejayaan yang lalu.
Barisan penerima anugerah juga dipilih berdasarkan kecemerlangan individu dalam bidang yang diceburi, selain semangat dan kepimpinan individu tersebut yang mampu menjadi inspirasi luar biasa kepada wanita lain.
Follow kami di : Facebook Mingguan Wanita Instagram Mingguan Wanita Twitter Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kisah yang agak meruntun hati, baru sebulan dapat tinggal bersama setelah PJJ (perhubungan Jarak jauh) namun suaminya pergi buat selamanya akibat kemalangan.