Lipan selalunya dijumpai dalam bilik air, dalam bilik tidur mahupun di dapur. Sakitnya terkena sengatan lipan, rasa membengkak, kemerahan dan menyebabkan kegatalan. Sebagai panduan jangan panik bila terkena sengatan lipan, buat perkara ini terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan doktor.

Fahamkan perkongsian daripada Dr Hj Uwais Al Qorni ini sebagai rujukan;

Hari ini klinik doc dikunjungi oleh seorang anak muda berbangsa Indonesia, beliau kena sengat lipan malam tadi dalam pukul 2 pagi sewaktu sedang lena tidur. Kasihan pula doc tengok tangan dan bahunya bengkak. Lepas sengatan pertama, beliau boleh sambung tido lagi, mungkin dah terlampau kerap disengat, orang kata “alah bisa tegal biasa”. Tapi selepas disengat kali kedua, barulah beliau rasa geram nak bunuh lipan tu.

Tapi malangnya cari punya cari tak jumpa juga, rupanya lipan beliau ni pandai main sorok-sorok. Hehe. Doc pon sebenarnya tertanya-tanya juga, kebelakangan ni banyak juga pesakit doc yang kena sengat lipan. Kebanyakannya datang klinik doc awal pagi, dan sewaktu tengah tidur.

Doc secara peribadinya memang dah terlalu banyak menangani kes disengat lipan, jadi doc memang kalau boleh tak mahu lagi ada yang tersalah anggap mengenai makhluk Allah yang bernama lipan ini.

Baca Lagi Di Sini:

Jangan Panik Bila Anak Melecur Kena Air Panas, Perlu Tahu Rawatan Kecemasan Yang Betul, Elak Jadi Lebih Teruk

Antara perkara yang perlu anda tahu mengenai lipan adalah :

1. Lipan dalam Bahasa Inggeris dipanggil “Centipedes”. Perkataan ini berasal daripada Bahasa Latin yang bermaksud “seratus kaki”. Tetapi tiada lipan yang memiliki seratus kaki kerana kaki lipan berjumlah ganjil seperti 9,11,15 dan seterusnya.

2. Sengat lipan memang berbisa, tetapi tidaklah sampai membunuh. Melalui pembacaan doc, anda perlu disengat sekurangnya lebih seribu kali sebelum boleh mati disebabkan sengat tersebut. Namun ada beberapa keadaan di mana anda perlu mengambil serius dan berjumpa doktor juga. Teruskan bacaan.

3. Lipan ada beberapa jenis, tapi yang paling berbahaya kalau di Malaysia adalah lipan bara (Scolopendridae). Ia berwarna merah dan saiznya besar serta boleh mencecah 30cm. Walaupon begitu, lipan ini sangat jarang dijumpai di kawasan yang didiami manusia, dan selalunya membesar di hutan serta kawasan bawah tanah hutan hujan tropika.

IKLAN

4. Lipan selalunya tinggal di kawasan yang kotor dan lembap seperti dalam rekahan lantai bilik air, celah rak, bawah tikar getah,bawah rumput karpet dan dalam kasut. Selain itu, ia juga suka tinggal dalam selimut dan bersembunyi dalam baju terutamanya pakaian yang kerap dibiar berlonggok di lantai. Oleh itu, perhatikan setiap kawasan yang berisiko ini.

5. Lipan sering menyengat apabila berasa terancam. Jika anda terjumpa lipan, anda jangan lah terlalu takut,melatah,menjerit dan sebagainya.(Doc kuat melatah sebenarnya. Hahaha) Sebaliknya, dengan tenang ambil objek tumpul dan ketuk kepala lipan tersebut sampai lunyai. Doc pakai lesung batu je. Hehehe

6. Kesan sengat lipan mirip seperti gigitan ular, kerana terdapat dua bintik halus dan kemerahan . Jangan pula anda terkeliru dan pastikan anda betul-betul melihat jenis lipan tersebut, seperti saiz dan warna. Kalau berani, tangkap dan simpan lipan tersebut serta tunjukkan kepada doktor yang merawat.

7. Lipan tidak memiliki taring atau penyengat, tetapi sebaliknya ia menggunakan dua kaki depan yang berbentuk seperti penyepit (seperti ketam dan lobsters tu!) yang dipanggil Forcipules untuk “mencubit” dan menyuntik bisanya ke badan mangsa.

8. Kebanyakan lipan tidak memiliki mata! Mereka bergerak dengan berpandukan bunyi yang dikesan oleh sesungut Antena mereka. Oleh itu selepas ini anda jangan takut-takut lagi untuk berperang dengan lipan ya! Sebab dia tak nampak anda, tapi dia boleh mendengar, jadi jangan bising-bising sangat lah ya.

Baiklah, andai kata anda sedang tidur, dan tiba-tiba terasa seperti dicucuk objek tajam, anda terjaga dan terlihat lipan. Apa yang perlu anda lakukan?

  1. Ketuk Kepala Lipan Dengan Objek Tumpul

Dengan tenang, cuba “kepung” lipan tersebut. Cari objek tumpul dan ketuk kepalanya beberapa kali sehingga beliau mati syahid. Kalau anda ingin merasa disengat sekali lagi, bolehlah biarkan ia hidup. Sebab lipan akan menyengat mangsanya berkali-kali sekiranya terasa diancam.

2. Basuh Tempat Sengatan Dengan Sabun Antibacterial

Ok, lipan sudah mati dan anda puas. Bagaimana pula dengan tempat sengatan lipan yang sakitnya amat tajam dan mencucuk itu? Segeralah basuh kawasan disengat lipan dengan sabun antibacterial beberapa kali dan bilas dengan air yang banyak.

3. Tak Perlu Picit Kawasan Sengatan

Tidak perlu dipicit kawasan sengat kerana bisa lipan kebiasaanya tidak merebak. Tindakan memicit kawasan sengat akan menyebabkan ia mudah dijangkiti kuman dan menyebabkan bisa masuk lebih dalam menyebabkan sakit anda lebih lambat pulih.

4. Rendam Dengan Air Panas (Suam)

Sengatan lipan terdiri daripada protein yang boleh terurai oleh suhu panas. Sekiranya tempat sengatan anda menjadi bengkak, rendamkan kawasan tersebut dalam air panas(35-45’C) selama 30minit. Kepada mereka yang dah lama follow doc, doc memang selalu kongsi pasal rendaman air panas ni. Termasuklah kalau disengat obor-obor, ikan batu, ikan sembilang dsb.

5. Guna Krim Steroid

Sesetengah lipan menyebabkan kawasan sengat menjadi gatal. Oleh itu, anda boleh dapatkan krim steroid seperti Hydrocortisone untuk mengurangkan gatal dan kesan kemerahan pada kulit.

6.Dapatkan Nasihat Doktor Guna Ubat Penahan Sakit Jenis NSAIDs

Sengat lipan amat sakit dan terasa sehingga 48jam lamanya. Dapatkan ubat penahan sakit jenis NSAIDs seperti tablet Diclofenac atau Ibuprofen. Pastikan anda mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya anda baru pertama kali ingin mengambil ubat ini.

5. Bila Perlu Berjumpa Doktor?

  • Jika kesan sengat lipan tidak baik selepas beberapa hari dan semakin bengkak.
  • Sejurus selepas disengat, anda dinasihatkan mengambil suntikan anti-tetanus (kancing gigi).
  • Beberapa kes sengatan lipan boleh menyebabkan alahan yang teruk.(anaphylaxis reaction) Oleh itu berjumpalah doktor segera untuk penilaian lanjut sekiranya anda mengalami sesak nafas,pening kepala, sakit dada, merah seluruh badan dan sakit yang melampau.
  • Anak kecil yang berusia 5 tahun ke bawah serta warga emas yang digigit lipan hendaklah dibawa berjumpa doktor dengan segera.

Tips Extra! :

Ada juga pesakit doc yang pergi sapu perut lipan pula di tempat terkena sengatan lipan. Tapi nampaknya tak berkesan sebab tu terpaksa cari doc juga. Antara petua orang tua yang lucu bila doc baca antaranya ada yang sapu getah keladi dekat tempat kena sengat! (Tak melekit ke nanti?) Ada juga yang sapu cuka dan biji hitam, kemudian gaulkan dan campur pula bawang putih (Ni dah macam nak memasak pulak!). Yang sapu abu lipan pon ada (Baik buat BBQ lipan je. Nyum-nyum). Sapu air asam jawa dan macam-macam lagi lah petuanya.

Petua ni sebenanya pada pendapat doc selagi ia tidak memudaratkan, tak salah nak mencuba. Tetapi kemungkinan anda akan rugi masa dan tenaga saja jika petua tersebut tidak berkesan. Jadi, doc sarankan anda berjumpa dengan doktor terlebih dahulu atau boleh juga cuba tips yang doc kongsikan ini.

Dr Hj Uwais Al Qorni
Haji yang takut lipan

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi jika terkena sengatan lipan, jangan panik dan ikut tip-tip yang dikongsikan ini terlebih sebelum berjumpa doktor.

Sumber: Muhammad Uwais Al Qorni