

Allahyarhamah Hajah Fazita Khalid telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas 20 hari bertarung nyawa di Hospital Mouwasat Madinah dan kemudian dipindahkan ke Hospital King Fahd Madinah sebelum menghembuskan nafas terakhirnya tangga 22 Februari 2026 selepas mengadu sesak nafas.
Arwah telah selamat dikebumikan di Perkuburan Baqi Al-Gharqad yang menempatkan jutaan insan terpilih, berada berdekatan dengan makam Rasulullah SAW.
Keperibadian arwah yang juga seorang pencinta kucing serta memiliki sifat ringan tulang selain mudah ceria membuatkan dirinya terpilih dalam jutaan umat manusia.
Memetik kisah dikongsikan kakak arwah iaitu Rosita Khalid di facebook miliknya, arwah adiknya telah berangkat ke Tanah Suci pada 23 Januari bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.
“Adik sepatutnya pulang ke Malaysia pada 2 Februari 2026. Namun pada hari kepulangannya, ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz, dirinya tiba-tiba mengalami masalah sesak nafas yang agak serius.

Menurut kakaknya, arwah sempat menghantar mesej memaklumkan keadaannya yang semakin sukar bernafas.
“Dia mesej beritahu sesak nafas teruk dan rasa macam hilang nyawa. Dia kata sekarang ni cuma perlukan oksigen saja,” katanya.
Tambah Rosita, semasa kejadian itu, arwah adiknya telah kehilangan suara dan tidak mampu memaklumkan dengan mutawwif kerana keadaan dirinya yang terlalu lemah.
“Keluarga segera menghubungi mutawwif bertugas dan memaklumkan kedudukan adik di Gate 115. Pasukan perubatan lapangan terbang kemudiannya tiba dan memberikan bantuan oksigen sebelum adik disahkan tidak fit untuk menaiki penerbangan.
“Arwahkemudian dikejarkan ke hospital dan terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas disahkan mengalami jangkitan paru-paru serius.

20 hari antara harapan dan takdir
Sepanjang hampir tiga minggu menerima rawatan, jelas Rosita arwah adik bergantung sepenuhnya kepada mesin ventilator dan Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO). Bahkan adik turut melalui prosedur intubasi selama 12 hari.
Dalam tempoh itu, arwah pernah menunjukkan perkembangan positif apabila sedar, tersenyum dan memberi respons kepada keluarga melalui panggilan video walaupun tidak dapat bercakap kerana tiub pernafasan.
“Kami sempat video call. Dia angguk kepala, senyum… walaupun tak boleh bercakap,” kata kakaknya.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya kembali merosot pada 18 Februari sebelum dilaporkan muntah darah sehari kemudian. Pada 20 Februari, keluarga dimaklumkan peluang arwah 50-50 dan keadaan kesihatannya dalam keadaan kritikal.
“Walau kami sangat menyayanginya, tanggal 22 Februari lalu jam 3.45 petang waktu tempatan, arwah adik menghembuskan nafas terakhir,” kongsinya.

Penghormatan Terakhir Di Tanah Suci
Apa yang sangat menyedihkan, disaksikan dua orang kakak, jenazah kemudian disolatkan di Masjid Nabawi dengan kehadiran jutaan jemaah dan arwah Hajah Fazita satu-satunya jenazah disolatkan orang ramai sebelum dikebumikan di Perkuburan Baqi Al-Gharqad, tanah perkuburan yang menempatkan ramai sahabat Rasulullah SAW.
Andalusia salur bantuan secukupnya
Dalam pada itu, syarikat pengendali umrah, Andalusia Travel & Tours dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memberi bantuan penuh sepanjang tempoh arwah menerima rawatan di Madinah.
Mutawwif yang bertugas sentiasa memantau keadaan arwah di hospital serta membantu keluarga dalam urusan dokumentasi dan pengebumian. Kos rawatan juga ditanggung sepenuhnya melalui perlindungan insurans yang disediakan.
“Kemulian meninggal dunia di Bumi Madinah ketika bulan Ramadhan dan disolat oleh beribu umat islam di Masjid Nabawi. Hanya jenazah arwah satu satunya disolatkan ketika itu. Moga pengakhiran kita semua seperti beliau. Andalusia Travel mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga dan semoga arwah ditempatkan dikalangan orang orang yang beriman .(Al-Fatihah)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




