“Anak saya bukan jatuh. Anak saya bukan bunuh diri. Dia dibuli. Dan saya akan cari keadilan untuk dia, walau kuburnya perlu digali semula.”
— Noraidah Lamat, ibu Allahyarham Zara Qairina
Di sebalik wajah polos seorang pelajar Tingkatan 1, tersembunyi derita yang tidak terluah, dan kini keluarga kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, tampil menuntut keadilan yang selama ini seakan disorok di sebalik senyap dan sunyi siasatan.
Keluarga ini memohon agar satu inkues rasmi diadakan bagi menentukan punca sebenar kematian anak gadis ini, yang dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.
Menerusi laporan polis tambahan yang difailkan oleh ibunya, Noraidah, terdapat rakaman perbualan telefon antara beliau dan arwah yang mendedahkan gangguan berterusan daripada pelajar senior.
Antaranya, seorang pelajar dikenali sebagai ‘Kak M’ yang pernah mengugut Zara:
“Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”
Apa yang lebih memilukan, keluarga turut mempersoalkan kecederaan fizikal yang tidak sepadan dengan dakwaan jatuh dari tempat tinggi.
“Wajah anak saya tiada lebam, tiada luka parah. Seolah-olah bukan jatuh dari tingkat tiga,” kata ibu yang kini gigih mencari keadilan dari sisi undang-undang.
Lebih mengelirukan, pihak sekolah dikatakan meminta agar laporan polis tidak dibuat, satu tindakan yang menambahkan syak wasangka terhadap apa yang sebenarnya berlaku.
Menerusi kenyataan dua peguam yang mewakili keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, satu permohonan rasmi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara Sabah pada 31 Julai 2025, memohon agar inkues diadakan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Peguam turut menafikan dakwaan liar yang menyalahkan ibu Zara dalam kematian anaknya, menyifatkan ia sebagai fitnah jahat dan tidak berasas.
“Tidak ada ‘plot twist’. Tidak ada unsur si ibu bersalah. Yang ada hanya suara seorang ibu yang menuntut kebenaran untuk anak tunggalnya.”
Lebih memburukkan keadaan, dari 17 hingga 27 Julai, keluarga langsung tidak menerima perkembangan siasatan daripada pihak polis. Hanya selepas gesaan dan tekanan awam, kenyataan ringkas dikeluarkan bahawa siasatan masih berjalan dan 60 orang telah dipanggil memberi keterangan.
Namun bagi seorang ibu, kesenyapan adalah bentuk penderaan kedua—bila kebenaran digantung di awangan dan duka tidak diberi penghujung.
Di akhir kenyataan, pihak peguam menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebar fitnah, sebaliknya menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Nota editor: Sekiranya anda pernah menjadi mangsa buli atau mengenali sesiapa yang terkesan, jangan diam. Bersuara. Kerana setiap nyawa muda adalah harapan masa depan yang tidak sepatutnya padam sebelum waktunya.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.