Di usia 35 tahun, sudah pasti saya juga ingin bergelar isteri dan ibu. Namun hasrat saya itu belum diizinkan Tuhan.
Terus terang, saya seorang wanita yang sangat mementingkan pendidikan dan karier. Saya tak kisah bila zaman remaja saya ‘habis’ dengan mengejar pelajaran dan cita-cita. Kini saya memiliki firma guaman saya sendiri, bersama seorang rakan baik.
Tak nafikan, kerjaya membuatkan ramai lelaki takut untuk menghampiri. Apatah lagi usia saya bukan lagi muda belia. Kalau ada pun, sudah bergelar suami orang dan pasti saya tolak mentah-mentah. Saya tak kisah kalau bertemu jodoh dengan duda, asalkan bukan suami orang. Bekerja sebagai peguam syariah, saya banyak uruskan kes perceraian dan banyak kes melibatkan isteri teraniaya bila suami ingin berkahwin lain. Lelaki muda? Lagi saya tolak!
Pertemuan
Kata orang, kadangkala apa yang kita nak elak, itu yang dapat. Baru-baru ini saya mengendalikan satu kes perceraian. Setiap kali datang berjumpa saya, dia akan ditemani adik lelakinya. Saya dapat rasa dia lelaki yang baik kerana sentiasa di sisi kakaknya dalam saat getir begitu.
Selepas kes itu selesai, saya terima panggilan telefon daripada lelaki itu (saya kenalkan sebagai M), mengucapkan terima kasih kerana telah membantu melancarkan kes perceraian kakaknya.
Makin Rapat
Sejak itu, sering kali juga dia whatsapp dan bila free, akan saya balas. Saya suka dengan sikapnya yang kelakar dan pandai hiburkan hati saya bila tengah tertekan. Lama-kelamaan tanpa sedar saban hari kami berhubung dan akhirnya mula keluar bersama.
Saya tak pernah simpan perasaan terhadapnya memandangkan umurnya enam tahun lebih muda. Saya membahasakan diri ‘kakak’ tapi dia enggan panggil saya begitu, katanya tak nampak pun saya lebih tua. Akhirnya saya biarkan saja.
Luah Perasaan
Dia bekerja sebagai pensyarah muda di sebuah IPTS. Satu hari saya tanya, takkan tak ada pelajar yang mengoratnya kerana orangnya boleh tahan segak juga. Tapi katanya hatinya sudah terpikat pada saya dan dia sukakan wanita yang lebih matang. Penat layan perempuan yang manja dan mengada-ada.
Mulanya saya tak ambil perhatian sebab ingatkan dia bergurau. Tapi bila dia luahkan perasaannya dengan serius, saya sedar dia tak main-main.
Ads
Dalam masa yang sama, pernah saya mengelakkan diri daripadanya selama tiga minggu namun dia tak henti-henti whatsapp walau pun saya tak balas. Akhirnya saya akur dengan perasaan sendiri, saya juga sukakan dia dan cuba beri peluang untuk kami berdua.
Kini sudah hampir setahun perhubungan kami dan rasanya ini saat tepat untuk bawa ke peringkat seterusnya kerana saya juga bukan muda lagi.
Masalahnya sekarang, saya tak tahu macam mana nak beritahu keluarga bila M mendesak saya bawa dia jumpa keluarga. Pernah saya cuba bagi ‘hint’ pada keluarga saya, apakah mereka akan terima kalau saya pilih lelaki muda tapi awal-awal lagi mak tak izinkan. Katanya jangan percaya dengan lelaki muda. Pasti nak kejar duit saya saja.
Saya serba salah, saya tahu M bukan begitu. Saya tak kisah kalau adik-beradik saya tak setuju, tapi kalau mak dan ayah, sebagai anak tentu saya kena fikir masak-masak. Saya tak nak jadi anak derhaka semata-mata kerana cinta. Dalam masa yang sama, saya juga sangat sayangkan M dan saya yakin dia dapat jadi suami yang baik untuk saya.
Miss K, Bangi.
Ads
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah. Kita merancang..Allah yang menentukan. Merancang dan berusaha serta bertawakal adalah ajaran yang Allah suruh kita ikut untuk mencapai apa yang dihasratkan. Bercakap soal jodoh, kadang-kadang pertemuan tidak dijangka menjalinkan hubungan erat yang akhirnya membawa ke alam perkahwinan.
Ramai wanita kini yang tidak berkahwin. Antara alasan yang kita sering dengar adalah wanita ramai, lelaki sedikit, susah untuk berjumpa lelaki yang baik, pendidikan lelaki jauh lebih rendah dari wanita, lelaki tidak bekerja atau pendapatan yang rendah (tidak setaraf), keluarga tidak terima berkawan dengan suami orang, dan ada juga faktor umur lelaki yang jauh beza.
Selidik Dulu Soalan Ini
Sebelum kita berbincang tentang penerimaan keluarga terhadap pilihan puan, cuba puan tanya keluarga solan-soalan ini.
i) Apakah kriteria calon yang mereka mahu?
ii) Dalam keadaan usia puan yang telah mencecah 35 tahun, adakah boleh dapat lelaki ikut kriteria yang mereka tetapkan?
Jika keluarga kata mereka boleh carikan, maka puan pula berikan satu tempoh yang bersesuaian yang boleh mereka carikan. Contoh dalam tempoh 3 bulan. Jika mereka berjumpa dengan calon pilihan mereka, mohon masa untuk berkenalan dahulu. Dan jika dalam tempoh tersebut mereka tidak dapat calon yang mereka mahukan, maka puan minta agar jodoh puan mereka terima.
Ads
Dalam masa yang sama, puan cuba kenali M dengan lebih mendalam…dari segi perwatakan, ilmu dan amalan keagamaan, kebiasaan aktivitinya, hubungan keluarga dan kerjaya melalui ahli keluarganya, rakan-rakannya dan di tempat kerjanya. Dari sini puan boleh membuat penilaian tentang latar belakang M. Namun, tidaklah perlu untuk mencari fakta kesempurnaannya kerana tidak ada manusia yang sempurna.
Maklumat ini puan simpan dan boleh dikongsikan dengan ahli keluarga terdekat yang boleh memberi kerjasama dengan puan. Dengan M yang selalu mendesak minta sedikit masa, katakan padanya keluarga agak berat menerima lelaki yang jauh lebih muda daripada puan. Atau boleh gunakan alasan lain yang bersesuaian. Beritahu dia solat istikharah sama ada pilihannya itu baik buatnya dan agamanya. Minta dia bersabar dengan tempoh masa itu. Jika dia benar mahukan puan, dia akan sanggup menunggu, kerana 3 bulan bukan tempoh masa yang lama.
Setelah sampai tempoh masa yang puan berikan kepada famili, jika tiada calon yang mereka bawa, maka puan boleh menyuarakan hasrat hati bahawa puan ada berkawan dengan M dan M ingin berkenalan dengan ahli keluarga. Jika puan sukar untuk memberitahu ahli keluarga dan meyakinkan mereka, maka puan boleh gunakan ahli keluarga yang memahami puan dan menyokong puan. Lihat respons keluarga sama ada mereka terima atau tidak. Jika responsnya negatif, maka puan bolehlah mengemukakan hujah dan maklumat yang puan tahu mengenai M. Puan seorang peguam, saya yakin tiada masalah untuk puan meyakinkan mereka dengan pilihan puan.
Ramai saja wanita yang lebih umur daripada lelaki antara 5 hingga 7 tahun mereka berkahwin dan kekal dengan perkahwinan. Pun jika ahli keluarga menyatakan bahawa lelaki itu hanya mahukan harta puan, maka puan juga boleh katakan bahawa bahagia bukan letak kepada banyaknya harta. Adakah puan rasa ahli keluarga bimbang jika puan berkahwin dengan orang muda yang tidak sebanyak harta yang puan miliki , maka mereka tidak dapat berkongsi harta puan?
Puan yang dirahmati Allah
Akhir kata, apa jua masalah, kehendak dan pilihan kita, carilah Allah mohon pertolongan. Seperti yang puan minta dia solat istikhrah, puan juga untuk beberapa malam atau dalam tempoh beri masa yang ditetapkan itu, buatlah solat istikhrah, mohon petunjuk dari Allah…apakah pilihan yang terbaik buat puan dan buat agama.
Jika apa yang puan harapkan tidak menjadi kenyataan, maka kita perlu bersyukur kerana perancangan Allah adalah lebih baik daripada perancangan kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Wallahualam.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Reen sedih kediaman mak ayah nyaris dihempap pokok kelapa, air melimpah. Dek kerana angin kencang, rumah ibu bapa pelakon terkenal Reen Rahim nyaris dihempap pokok kelapa.
Bukan itu saja, atap rumah yang bocor juga menyebabkan rumah tersebut dilimpahi air.
Musim hujan yang mengakibatkan banjir begitu membimbangkan. Kejadian yang ditakuti iaitu hujan yang lebat diiringi ribut berlaku malam tadi hingga mengakibatkan sebuah pokok kelapa hampir menghempap kediaman ibu ayah Reen Rahim.
Sebagai anak sememangnya kejadian itu menyedihkan. Namun paling penting dalam kejadian tersebut ibu dan ayahnya terselamat.
Reen Sedih Kediaman Mak Ayah Nyaris Dihempap Pokok Kelapa
Seperti yang diluahkan pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim atau Reen hatinya luluh melihat kejadian yang menimpa. Sememangnya dirinya berniat untuk lakukan ubahsuai di kediaman mak ayah tahun ini namun tidak menyangka kejadian tersebut menimpa keluarga.
Namun Allah segala perancangan, selepas ini Reen akui kena bekerja lebih kuat mengumpul duit untuk baiki dan lakukan ubahsuai rumah tersebut.
Menerusi video yang dikongsikan di akaun Instagramnya air menitis memasuki ruang tamu dan dapur.
“Allahu akbar, hancur nya hati. Niat tahun ni memang simpan duit nak renovate rumah umi sebab paling takut jadi macam ni. Tapi dah tertulis jadi macam ni. Mungkin ini buat aku lagi keja kuat nk simpan duit untuk buat rumah umi elok-elok, doa kan umi abah kuat k…
“Patut hari ni reen bawak dia jalan-jalan shopping-shopping, tapi confim lah balik ni reen bersialat kemas umah,” ujarnya.
Bagi pelakon dan ikon fesyen tersohor, Scha Al Yahya, beg tangan bukan sekadar aksesori. Ia menyimpan kenangan manis antara dirinya dan ibu tercinta, Allahyarham Junainah Hashim.
“Saya dan mak memang berkongsi minat yang sama. Setiap kali saya ada koleksi baharu, saya pasti akan berikan satu kepadanya. Tetapi arwah lebih gemar menyimpannya rapi daripada menggayakannya kerana terlalu sayang,” luah Scha penuh nostalgia.
Maka, tidak hairanlah apabila Scha memilih untuk menamakan koleksi pertama beg tangan di bawah label fesyennya, Ayaaya, sebagai Hey June—sebuah penghormatan buat insan tersayang yang begitu bermakna dalam hidupnya.
Ini Sepatutnya Diraikan Bersama-Scha Al Yahya
Dalam majlis pelancaran koleksi Hey June, Scha tidak dapat menahan sebak mengenangkan detik ini yang sepatutnya disambut bersama arwah ibunya.
“Dari dulu, mak selalu bertanya apa lagi yang saya ingin capai dalam dunia ini. Dia sentiasa memberi dorongan untuk saya terus melangkah lebih jauh. Saya pernah berjanji kepadanya bahawa saya sedang berusaha ke arah ini… dan akhirnya, hari ini, ia menjadi kenyataan,” katanya dengan mata berkaca.
Bagi Scha, fesyen bukan sekadar gaya, tetapi juga satu bentuk ekspresi diri yang membangkitkan keyakinan. Itulah semangat yang ingin dibawa dalam setiap rekaan di bawah jenama Ayaaya.
Hey June, Cara Scha Abadi Kasih Sayang
Lebih daripada sekadar koleksi beg tangan, Hey June adalah cara Scha mengabadikan kasih sayangnya terhadap arwah ibu.
“Saya mahu setiap wanita yang memiliki beg tangan ini merasai kehangatan kasih sayang seorang ibu, seperti mana yang saya rasai sepanjang hidup saya. Ini adalah dedikasi buat wanita hebat yang menjadi sumber kekuatan saya,” katanya penuh makna.
Pemergian Allahyarham Junainah pada 7 Disember tahun lalu akibat serangan jantung meninggalkan kekosongan yang mendalam dalam hidup Scha. Namun, menerusi Ayaaya, dia berharap dapat terus membawa semangat ibunya dan menginspirasi lebih ramai wanita untuk berani mengekspresikan diri melalui fesyen.
Asal nampak je periuk canggih lalu dekat wall, mulalah hati tu berdetak-detak. Selagi tak dapat, selagi tulah belek satu persatu ‘brand’ tu sampai puas. Akhirnya, bila memasak, tetap guna periuk belanga yang ada dekat dapur sendiri juga.
Diam-diam, lemah lembut pujuk suami belikan. Tak dapat hari ini, esok cuba lagi. Sampailah berjaya. Selagi tak berjaya, selagi itulah dok berangan nak kan periuk canggih idaman.
Sebenarnya mak-mak, dalam bab memasak untuk keluarga ini. Tanpa periuk canggih manggih pun kita masih boleh sediakan hidangan sedap untuk anak-anak dan juga suami. Prinsipnya mudah. Macam yang dikongsikan penulis buku masakan, penulis masakan dan personal chef, Sue M Arukin ini, tak cukup peralatan pun tak apa. Guna saja apa yang ada di dapur.
Tiada Periuk Cast Iron, Kalau Rajin Ke Dapur Masak Penuh Ikhlas..
Kau ada pressure/multi cooker paling canggih dan mahal pun tak guna kalau malas nak masak. Beli segala periuk/kuali cast iron mahal lagi berjenama pun takde maknanya kalau kau masih rajin makan/tapau di kedai. Almari penuh koleksi pinggan mangkuk jenama antarabangsa sekalipun tak memberi apa-apa erti kalau hanya dijadikan perhiasan.
Tak perlu jadi chef pun, kau masih boleh jadi kebanggaan dan kesayangan keluarga kalau rajin ke dapur masak dengan penuh ikhlas. Kalau tak pandai tak apa, janji rajin. Tak cukup peralatan pun tak apa, guna saja apa yang ada di dapur.
Kau jangan terpengaruh sangat dengan segala peralatan yang asyik lalu-lalang di media social sampai bergaduh suami-isteri pasal nak beli benda-benda tu. Sampai merajuk buat muka kat suami sebab tak dibelikan benda-benda tu yang dicanangkan oleh penjual boleh membantu kau kat dapur.
Adik, kakak sekalian; segala gajet tu hanya membantu sedikit saja, selebihnya diri sendiri. Ubahlah mind set. Kalau ada duit tak apa, beli lah apa jenama sekali pun gajet dapur yang kau nak. Jangan sampai benda-benda ni jadi punca kau menjeruk hati ya! Kau pakailah dapur kayu pun ok, periuk tanah pun tak apa. Asal jangan guna periuk api!
*cooking is simple, don’t complicate it!
MW : Betulkan! Memasak itu mudah saja sebenarnya. Guna periuk kuali lejen dalam rumah tu pun boleh menjadi, kalau betul cara dan tekniknya.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Tudiaaaaaaa..antara webinar yang sedang berlangsung. Nak daftar sebagai peserta boleh ke :
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.