Kredit foto: Berita Harian

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, mak dan ayah adalah insan paling sibuk menguruskan anak-anak. Selain memastikan anak-anak cukup makan dan minum, mak ayah juga perlu memastikan keselamatan anak-anak di rumah. Anak yang masih kecil mungkin lebih mudah dan mendengar kata.

Namun agak sukar menguruskan anak-anak yang makin meningkat remaja. Oleh itu, mak ayah memerlukan pendekatan yang berbeza untuk mengawal anak-anak remaja. Tetapi apa yang menimpa remaja perempuan ini harus dijadikan iktibar buat kita semua.

Sesungguhnya malang tidak berbau, apa yang berlaku pasti membuatkan seluruh ahli keluarganya bersedih. Al-Fatihah. Remaja ini dipercayai keluar malam untuk bersiar-siar bersama teman lelakinya sebelum motosikal yang dinaiki bertembung dengan kerbau. Akibat takut, teman lelakinya telah membonceng mayat kekasihnya sejauh 15 kilometer.

Membonceng Mayat Sejauh 15 Kilometer

Tindakan sepasang remaja bersiar-siar dengan motosikal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, berakhir tragedi apabila motosikal dinaiki mereka bertembung kerbau, menyebabkan seorang gadis terbunuh awal pagi semalam.

Dalam ketakutan melihat teman wanitanya meninggal dunia di lokasi nahas itu, remaja lelaki terbabit membawa mayat mangsa dengan motosikal sebelum ditinggalkan di bawah garaj rumah keluarga gadis terbabit di FELDA Keratong 10 di  Muadzam Shah.

Suspek berusia 17 tahun itu, dikatakan membawa mayat mangsa yang meninggal dunia akibat cedera parah di kepala itu sejauh 15 kilometer, selepas mereka terbabit kemalangan dengan kerbau berkenaan di hadapan kilang sawit FELDA Keratong 3, kira-kira jam 3.30 pagi.

IKLAN

Polis Lakukan Siasatan Lanjut

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskun, berkata siasatan mendapati suspek bersama mangsa berusia 17 tahun itu, keluar bersiar-siar dengan motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru.

Bagaimanapun sampai di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mereka bertembung seekor kerbau yang dikatakan baring di tengah jalan.

“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan peha serta berada dalam keadaan tidak sedar selepas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

IKLAN

Tinggalkan Mangsa Di Bawah Garaj

Azari berkata, suspek kemudian bertindak membawa mangsa dengan motosikal sama ke rumah remaja perempuan terbabit di FELDA Keratong 5, sebelum ditinggalkan di bawah garaj di situ.

Suspek tidak memaklumkan kepada keluarga mangsa berkaitan kemalangan terbabit, sebaliknya terus beredar dari rumah berkenaan dipercayai kerana terlalu takut.

“Kira-kira jam 10 pagi ini, datuk mangsa yang sedang meletakkan kenderaan di garaj berkenaan menemui mayat cucunya yang dibungkus dengan kain, sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

IKLAN

Beliau berkata, mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik dan siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata.

Polis sudah menahan remaja lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut dan kita turut merampas motosikal Yamaha 135 LC berkenaan.

“Mayat mangsa juga sudah dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

MW: Sebaiknya tinggal di rumah dan patuhi arahan PKP, bukannya mencuri-curi keluar di waktu malam. Sudahnya apabila berlaku perkara yang tidak diingin menyesal tiada berguna. MW mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan diharapkan mereka tabah menghadapi ujian ini. 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI