bunuh mak

Kisah tragis anak tergamak membunuh mak kandungnya dengan tangannya sendiri dan mayat tersebut dihumban ke dalam tangki najis baru-baru ini cukup menyayat hati. Terkini, abang sulung suspek telah menceritakan punca sebenar adik bongsunya sanggup bertindak agresif dan diluar kewarasan fikiran sehingga sanggup melakukan perkara sedemikian.

“Saya tak sangka adik sanggup bunuh mak,” kata Muhammad Fariz Ismail, 41, anak sulung kepada wanita yang dikelar lehernya hingga mati pada minggu lalu.

Pengaruh Hidu Petrol

Menurutnya, tindakan agresif adik bongsunya yang berusia 29 tahun itu jelas keterlaluan akibat daripada pengaruh menghidu petrol.

“Ini mak kita, itu pun adik kita. Bukan orang luar. Nak buang pun tak boleh sebab itu adik kita sendiri.

“Saya harap dia dikenakan hukuman setimpal. Kalau dia ada (di rumah) pun dia akan serang kami sekeluarga.

“Saya pun tak tahu apa punca sebenar sehingga dia sanggup kelar leher mak. Tapi selalunya dia akan bertindak agresif selepas hidu petrol,” katanya.

Sering Bertindak Agresif

Beliau berkata, suspek sering bertindak agresif ketika berada di rumah termasuk mengacu pisau kepada ibunya.

“Saya harap dia dihadapkan ke muka pengadilan sebab dia memang tak boleh nak dibimbing dah. Kami pun dah habis fikir untuk pulihkan dia.

“Masalah dia bila masa ok dia akan ok. Tapi bila dia tak ok, keluarga terdekat akan cedera dan jadi mangsa.

“Sebelum ini pun dia banyak kali acu pisau kepada arwah mak. Kakak dia pun dah pernah kena (cedera).

“Kalau dia sendiri tak nak berubah, tak boleh nak buat apa. Kami dah berusaha macam-macam cara untuk pulihkan dia,” katanya.

Sejak Umur 13 Tahun

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, suspek mula terlibat dengan gejala negatif itu sejak berusia 13 tahun lagi.

“Sekolah pondok kami hantar, pusat pemulihan pun kami hantar. Tapi tak berubah juga sampai sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya selepas mendapat berita suspek telah ditahan polis, beliau menyatakan rasa syukur.

“Alhamdulillah, kalau dia masih bebas kami takut dia akan serang kami di rumah pula.

“Dia kalau tak hidu petrol akan bertindak normal macam kita. Tapi bila dah hidu petrol, itu yang dia jadi hilang pertimbangan dan agresif,” katanya.

Mingguan Wanita mendoakan semoga pihak keluarga kuat dan sabar mengharungi dugaan ini.Semoga pelaku, menerima hukuman dan pembalasan yang setimpal.

Baca Disini: Hinanya Pengakhiran Seorang Mak, Dibunuh Anak Sendiri & Dihumban Dalam Tangki Najis!

Sumber: Sinar Online