Memang ada benarnya, sebagai wanita kekalkanlah diri dengan sifat malu, tolak trend yang semakin menular iaitu pakai baju tapi selak bahagian yang menutupi kemaluan semata-mata untuk nampak lebih stailo.Pesan juga pada anak-anak gadis kita, agar mengekalkan maruah daripada terikut-ikut dengan trend sebegini.
Hadam perkongsian daripada Puan Sharifah Zahidah ini sebagai peringatan bersama.
Trend jenis pakai baju yang asalnya labuh atau kemeja butang tengah – tapi bahagian baju yang menutupi kemaluan tu diselak untuk beri effect lebih stylo dan fashionable sekarang nampaknya kian rancak digayakan anak muda dan mak-mak yang tak berapa muda jugak.
Saya faham keinginan anak-anak muda nak bergaya dan melawa. Tapi harus tahu untuk pilih mana yang sesuai untuk kita gayakan, dan mana gaya yang elok kita tong sampahkan saja tak kisahlah siapa pun yang ajar dan bawa trend tu walaupun tukang ajar tu ada ratus ribu and million followers pasal fashion.
Angkat Nilai Maruah Diri
Minta tolong jugalah content creator untuk fashion anak muda ni – untuk turut sama angkat nilai maruah diri anak-anak gadis kita dalam kalian berkarya nak hasilkan trend-trend baru yang mempersona.
Dalam satu mafhum hadis Nabi, dah disebut bahawa orang yang cipta trend berdosa / berpahala dan orang follow dia, dia pun KUTIP DAN KAUT sama semua dosa / pahala pengikut-pengikut yang follow trend dia tu. Jadi jangan salah pilih cipta trend. Tak berbaloi pun cipta trend tak elok. Di akhirat nanti followers ni lah akan heret kita balik masuk neraka sebab mereka tuduh kita yang punca mereka terjebak buat / tayang / meremehkan soal dosa.
Followers kat dunia ni sifatnya puja puji kita. Ingatlah, kat akhirat, followers ni lah akan jadi liabiliti paling besar dan paling durjana buat kita bila kita jadi trend setter yang menjunjung elemen dosa dalam trend yang kita bawa.
Jadi, fikir dan set good trend elok-elok. Trend pakai baju selak pep*t ni kita tolak tepi ya? Dilepaskan dan dibiar melabuh tutup pun, dah cantik dan nampak lebih dihormati.
Doa Minta Pelihara Malu & Iman
Malu ni dah jadi rezeki iman yang kian jarang didoakan dan didambakan wanita akhir zaman. Masa kecil kita dilahirkan, ianya datang dengan pakej fitrah kita selaku wanita. Tapi semakin kita membesar dan terhidang dengan fitnah dunia, malu itu kian hilang dari jiwa. Lantas menjadikan ia sebagai sesuatu yang WAJIB kita minta dari ALLAH. Takda guarantee dah akhir zaman ni kau lahir sebagai wanita maka kau ada pakej malu untuk jaga maruah diri kau. Takda. Memang kita kena doa dan minta ALLAH pelihara.
Ads
Minta, berdoa sebut. “Ya ALLAH, kurniakanlah aku sifat malu yang dengannya dapat menghalang dan menghentikan aku dari melakukan perkara yang mencalar maruah dan kemuliaanku sebagai wanita yang hakikatnya Engkau tinggikan darjat dan kemuliaannya…”
Anak-anak kita dari kecik lagi, umur 6, 7 tahun dah boleh ajar mereka untuk berdoa agar ALLAH bagi dan kekalkan sifat malu dalam diri mereka.
“Pah, malu-malu sangat ni nanti payah dia nak bekerja. Nak bercakap depan orang, nak terkedepan jadi leader apa semua tak boleh..”
Jap, yang anda maksudkan tu SOAL KEYAKINAN DIRI bukan SOAL MALU. Jangan campur aduk atau confuse pula ya.
Akhir kata, kita ni wanita wajib jadi perempuan berprinsip. Jangan nak tiru dan sapu semuanya sampai trend baju selak part kemaluan pun nak tiru sehingga ternampak belahan-belahan rahsia.
Sama-samalah kita tegur budaya fashion sebegini supaya ianya tak jadi trend lagi dalam kalangan anak-anak gadis Muslimah yang kita sayangi ni. Baju tu dicipta labuh sampai tutup bahagian kemaluan tu pada asalnya sebagai extra protection. Kita pulak selak betul-betul part tu semata-mata nak follow trend.
Kalau tak berani nak tegur sendiri, share saja post saya ni. Kalau tegur taknak, share taknak, maka jangan pelik lagi kenapa di usia kian senja hati kita masih jauh dari kasih sayang dan rahmat ALLAH.
Ads
Bukan ALLAH yang taknak bagi kita hidayah, tapi kita yang langsung takda effort nak pertahankan syariat ALLAH walaupun benda tu hanya seringan mengetik button share (bila tak mampu menegur sendiri).
“Berkesan ke Pah, tulis-tulis dan share ni sebagai langkah bendung benda tak baik?”
Jawapannya, jika tak berkesan untuk ubah dan pelihara satu dunia. Sekurang-kurangnya ia berkesan untuk menyelamatkan diri dan zuriat ketururunan kita dari terbiar teruji tanpa pedoman dan bimbingan.
Allahualam.
Sharifah Zahidah
#sebelumsenja
7 April 2022
Mingguan Wanita: Ada benarnya pesanan dan peringatan ini. Kekalkan sifat malu dan iman dalam diri, tolak tepi trend selak baju begini, semata-mata untuk lebih nampak stailo dan ikut fesyen. Pesan pada anak-anak gadis kita juga.
Fakir di dunia dan hidup dalam serba kekurangan, tak apa. Namun di sisi Allah SWT, kita kaya raya. Apa maksud fakir di sisi Tuhan?
Saat ramai di kalangan umat akhir zaman kini sedang berlumba-lumba mengejar kekayaan harta-benda, saranan supaya hidup dalam ‘kefakiran’ tentunya agak janggal serta bakal dipandang sinis.
Namun begitu, tentu ada insan yang bakal berubah hati apabila memahami jalan hidup ‘kefakiran’ yang dimaksudkan dalam perbincangan ini.
Fakir Harta
Perkataan “kefakiran” biasanya dikaitkan dengan keadaan individu atau keluarga yang tidak memiliki kekayaan harta-benda. Jika memiliki harta-benda pun jumlahnya sedikit dan tidak mampu menampung keperluan hidup yang sepatutnya. Kehidupan mereka diibaratkan kosong daripada pemilikan harta-benda lantas mereka bergantung harap dengan bantuan orang lain yang lebih berkemampuan.
Bukan kefakiran sebegini yang dimaksudkan dalam perbahasan ringkas ini. Kefakiran yang dimaksudkan adalah kefakiran seseorang di sisi Allah SWT. Maksudnya, bagaimana seseorang meletakkan dirinya sebagai hamba yang fakir di sisi Tuhan dan dia menjalani kehidupan duniawi ini dalam serba kefakiran di sisi Ilahi serta sentiasa bergantung harap dengan kekayaan-Nya.
Bagi individu yang memilih jalan hidup kefakiran di sisi Tuhan, dia perlu belajar untuk merasai bahawa dirinya ‘kosong’. Dia belajar merasai bahawa dirinya tidak memiliki apa-apa. Segala yang ada pada dirinya adalah milik Allah SWT.
Jika individu memiliki ilmu maka ilmu itu kepunyaan Tuhan dan dirinya tidak berilmu. Jika individu memiliki harta maka harta itu kepunyaan Tuhan dan dia tidak berharta. Jika individu memiliki pangkat, kuasa atau pengaruh maka semua itu milik Tuhan dan dia tidak berkedudukan apa-apa. Jika individu memiliki pasangan dan anak-anak maka keluarganya itu milik Tuhan semuanya.
Sentiasa Rasa Diri ‘Kosong’ Dan Tak Punya Apa
Sebenarnya tidak salah memiliki segala kesenangan dan kemewahan dunia asalkan hati individu dapat merasai bahawa dirinya sentiasa ‘kosong’ di sisi Tuhannya, tidak memiliki apa-apa dan dia sentiasa fakir di sisi Allah SWT sebagai pemilik yang hakiki. Segala yang dimiliki kepunyaan Tuhan yang boleh diambil atau dihilangkan dalam sekelip mata.
Perasaan serta keyakinan inilah yang menjadi cabaran besar kepada individu yang ingin merasai dirinya kosong serta meletakkan Tuhan sebagai pemilik segala yang ada di langit dan di bumi, termasuk apa yang dimiliki oleh dirinya. Lebih-lebih lagi bila diri individu sudah dikuasai oleh oleh penyakit ‘cintakan dunia dan bencikan kematian’ dan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi kesenangan duniawi.
Walau apa bentuk cabarannya, hati perlu dididik untuk merasai kefakiran atau kekosongan diri dengan sekosong-kosongnya di sisi Tuhan. Bila diri sudah benar-benar berada dalam kefakiran atau kekosongan yang maksima maka janji-janji Tuhan akan hadir dalam kehidupan insan berkenaan. Tuhan berjanji akan memenuhi kekosongan itu dengan limpahan nikmat kurniaan daripada-Nya.
Meyakini janji Tuhan
Antara janji Tuhan kepada hamba-hamba-Nya yang benar-benar pasrah menyerah diri kepada-Nya adalah limpahan rezeki yang tidak disangka-sangka. Salah satu cara kepasrahan diri seorang hamba terhadap Tuhan ialah melalui jalan kefakiran diri ini. Insan menyerahkan segala pemilikan yang dimilikinya kepada pemiliknya yang sebenar iaitulah Allah SWT.
Insan mengembalikan dirinya kepada hakikat sebenar keinsanan yang tidak memiliki apa-apa di alam kehidupan ini. Hati insan meyakini bahawa dirinya kekal ‘kosong’ dan dia sangat fakir di sisi Tuhan.
Limpahan Rezeki
Dengan memilih jalan kefakiran ini maka individu bakal beroleh limpahan rezeki daripada Allah SWT dalam pelbagai kurniaan rezeki Tuhan yang amat luas. Bila dikaji sirah kehidupan para nabi dan rasul terdahulu, saat mereka benar-benar kosong di sisi Tuhan maka pertolongan Tuhan hadir dalam bentuk mukjizat dan seumpamanya.
Kehidupan moden masa kini juga masih membenarkan janji-janji Tuhan kepada insan-insan yang ikhlas menyerahkan diri kepada Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan yang dilaluinya.
Oleh itu belajarlah merasai diri ini benar-benar kosong serta sangat fakir di sisi Tuhan. Pilihlah jalan kefakiran ini mudah-mudahan keperluan duniawi dan ukhrawi kita dipercukupkan. Belajarlah memahami hakikat kehidupan ini bahawa segala yang ada di alam ini adalah milik Allah SWT. Yakinlah, bila insan kosongkan, Tuhan akan penuhkan.
Sumber: Dr. Muhamad Jantan, Perunding Motivasi Dan Psikologi, RMJ Holistic Solution
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau mak-mak ke pasar, sebolehnya harga barang yang ingin dibeli terutamanya yang ingin di beri makan keluarga mahu dikurangkan selagi boleh dengan penjual. Selagi tidak berjaya, selagi itulah dipujuknya.
Sampaikan penjual tidak mampu berbuat apa dan memberikan harga yang diminta oleh pembeli. Keadaan ini biasanya berlaku di pasar basah, yang mana pembeli membeli makanan atau pun bahan basah untuk di beri makan keluarga.
Inilah yang dikatakan belanja ber akad bathil iaitu memaksa penjual untuk dapatkan harga yang lebih murah. Tawar menawar ini boleh saja tapi jangan sampai memaksa penjual, bimbang penjual tidak ikhlas dan dalam keterpaksaan menjualnya.
Apa yang boleh dikatakan, barangan yang dibeli itu halal tapi tidak diredai oleh Allah. Kena hati-hati. Contoh yang boleh dilihat adalah perkongsian daripada Farhan Bin ini. Moga ia memberi pengajaran untuk kita semua.
JANGAN BERI MAKAN KELUARGA DENGAN BELANJA BER AKAD BATHIL
Emak: Ayam sekilo berapa man? Penjual: 8 ringgit je makcik..! Emak: Alaa 7 ringgit dah la ye..! Penjual: Hurmm, bolehla makcik Emak : Hati ayam ni sekilo berapa? Penjual: 4 ringgit je.. Emak : Minta 3 kilo ye. Sama kaki ayam setengah kilo ya.. Penjual : Kaki ayam setengah kilo 2 ringgit je makcik.. Emak: 10 ringgit dah la ye. 3 kilo hati ayam dengan setengah kilo kaki ayam tu..! Penjual : Bolehla makcik.. Emak: Jadi total berapa bang semua..? Penjual : Ayam sekilo 7 ringgit + hati ayam + kaki ayam 10 ringgit. Jadi semuanya 17 ringgit je makcik. Emak : Alah 15 ringgit dah la ye.. beli untuk anak balik kampung je ni. Nah 20 ringgit. Meh baki dia.! Sambil hulur tangan. Penjual : .. Emak: Acik ambil pedal ini 2 ketul yaa (sambil masukkan pedal ayam dalam beg plastik) Penjual: @@@@
………….
Kena Tahu Rukun Jual Beli
Wahai mak-mak, dalam jual beli ada 3 rukun yang perlu kita tahu iaitu:
1. Al Aqidan (penjual & pembeli) 2. Al Ma’qud alaih (wang & barang) 3. Shigat beli
Dalam Shigat Akad adalah bentuk isyarat dari penjual dan pembeli yang melakukan transaksi tanpa paksaan.
Sudah ikhlaskah penjual tadi melepaskan barang jualannya ?
Jangan sampai tidak ikhlas penjual itu melepas barang jualannya menjadikan barang yang kita beli menjadi tidak diredhai kerana dilakukan dengan bathil atau memaksa penjual.
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesamamu dengan cara yang Bathil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu”
(QS.An-Nisaa:29)
Wang yang kita dapat halal, untuk beli barang yang juga halal, jangan sampai rosak kerana transaksinya yang tak diredhai Allah..
Semoga bermanfaat untuk bersama
Ps: gambar sekadar hiasan
-MSS (peniaga jalanan)
MW: Biasalah mak-mak, kalau membeli kat pasar, mahu minta dikurangkan selagi boleh kecuali di pasar raya memang harga tetap. Tapi tidak semua yang suka tawar menawar, ada yang tanya harga terus bayar.
Bila menyentuh perkahwinan Rasulullah s.a.w, ramai suami yang teringatkan soal poligami semata-mata. Realitinya, masih banyak kisah dalam rumah tangga Rasulullah s.a.w yang boleh dijadikan teladan.
Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali https://www.facebook.com/suzana.ghazali.94, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie, juga penulis ruangan RESIPI HIDUP di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Diceritakan daripada hadis Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya yang bermaksud: “Aku tahu masa anda redha dan marah kepadaku.” “Bagaimana anda mengetahuinya wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika anda senang denganku, anda akan berkata; tidak demi Rabb Muhammad. Sementara jika anda marah terhadapku, anda akan mengatakan; tidak demi Rabb Ibrahim. Aisyah R.Anha berkata; “Tepat wahai Rasulullah. Demi Allah, namun aku tidak mendiamkanku (ketika aku marah) kecuali tidak menyebut namamu.” – hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Isteri Tak Puas Hati Pada Suami
Hadis ini membuktikan, tidak ada salah dan dosa jika isteri marah terhadap suaminya disebabkan faktor perselisihan yang biasa terjadi dalam kehidupan seharian dan kehidupan rumah tangga.
Sudah namanya manusia, pasti terdapat kekurangan di mana-mana termasuk rasa tidak puas hati atau berkecil hati dengan tindakan suami hatta Rasulullah s.a.w sendiri.
Perlu Ada Batasan
Biar pun begitu, teladanilah kesopanan Aisyah R.Anha dan kecerdikan Rasulullah s.a.w. Hadis ini menunjukkan perselisihan dalam rumah tangga adalah perkara biasa tetapi memerlukan batasan. Aisyah masih kekal bersopan terhadap suaminya walau dalam keadaan marah dan Rasulullah s.a.w menundukkan perasan marah tersebut dengan kelembutan dan kasih sayang.
Aisyah masih kekal melayan suaminya dengan baik, malah bercakap dengan suaminya hanya tidak menyebut nama suami sebagai tanda protes dan tanda emosinya terganggu. Tika ini, Rasulullah s.a.w pula sebagai suami berusaha untuk memahami dan dalam masa yang sama, berusaha memujuk. Sesuai dengan fitrah kejadian wanita bak tulang yang bengkok, dibiarkan akan kekal bengkok, dipaksa lurus akan segera patah. Jalan terbaik, memujuk dengan sabar dan berhikmah.
Suami Isteri Jangan Sampai Tak Bercakap Ye!
Lantas, mengambil teladan kisah rumah tangga Rasulullah s.a.w ini, sewajarnya pasangan suami isteri mengelakkan diri daripada tidak bercakap apatah lagi menyisihkan diri. Tindakan tidak bercakap terutama tindakan menyisihkan diri daripada pasangan menjadi penyumbang kepada bertambahnya kekalutan dalam rumah tangga.
Seperti kata orang lama kita, kalau disimbah minyak ke api, pastinya api tambah marak. Jalan terbaik untuk memadam api ialah dengan menyiram air. Samalah juga dengan pergaduhan, jika masing-masing berkeras hati, enggan mengakui kesilapan diri dan berterusan tidak bercakap sesama sendiri, masalah tidak akan selesai dan memungkinkan wujudnya masalah baru pula.
Diam Bila Perlu
Jangan mendiamkan diri! Betul! Ada masanya diam itu perlu ketika anda pasti pasangan anda tidak dapat mendiamkan dirinya sendiri dan terus berhujah hingga gagal mengawal diri. Tika ini, memang wajar anda berdiam seketika. Tunggu hingga keadaan menjadi sejuk, carilah ruang dan peluang untuk meluah isi hati anda pula.
Jika yakin meluah rasa dengan lisan menambah buruk keadaan, sebagai contoh anda sukar meluah dengan terkawal kerana pasti disusuli kata-kata yang keras atau tangisan yang tidak digemari pasangan maka luahkanlah segalanya di lembaran kertas. Hingga detik kedamaian dikecap semula, usahakan untuk menepis ego dengan teruskan bercakap seperti biasa. Walau hati rasa sakit tapi yakinlah, jika anda kekal berbuat baik, kesudahannya pasti akan baik juga…
Ujian Hadir untuk Mendidik
Dalam mengharungi hari-hari mendatang dalam perkahwinan, jangan harapkan detik manis dan kebahagiaan semata. Hakikatnya, ujian dan cabaran yang hadir bukan untuk memusnahkan bahagia sebaliknya untuk mendidik diri agar menjadi manusia yang lebih matang dan bijak menangani permasalahan.
Kajian membuktikan, kesilapan paling utama yang wujud dalam rumah tangga ialah kegagalan pasangan suami isteri untuk bergaduh secara selamat.
Kalau Suami Isteri Masih Saling Sayang
Pergaduhan yang selamat akan wujud jika anda sedar dengan siapa anda sedang bergaduh, pastinya teman hidup anda; sama ada suami atau isteri yang anda sayangi. Jika anda sayangkan si dia yang sedang bergaduh dengan anda, pastinya anda akan dapat mengawal emosi marah anda agar tidak keterlaluan hingga membawa kemudaratan kepadanya.
Tika bergaduh, tanamkan dalam diri, anda sedang bertengkar kerana satu sebab yang berlaku, mungkin salah pasangan, mungkin juga salah anda sendiri. Pokoknya, bukan mencari salah siapa tetapi pastikan masing-masing berusaha untuk menangani permasalahan yang berlaku.
Memahami Dan Difahami
Masalah hanya selesai jika masing-masing mengawal diri, berterus terang dan berbincang. Namun, masalah yang timbul dalam usaha menyelesaikan masalah yang telah ada ialah masalah komunikasi sesama setiap insan iaitu masalah untuk memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan sukarnya untuk difahami.
Jalan terbaik ialah dengan memberikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...