
Kegembiraan Mendaki
Kegembiraan mendaki bertukar menjadi detik cemas apabila seorang wanita mengalami patah kaki selepas tergelincir pada banir pokok ketika mendaki menuju Puncak Pine Tree, Bukit Fraser.
Mangsa, Salina Zainal Abidin, 43, dilaporkan mengalami kecederaan serius pada kaki ketika dalam perjalanan dari kawasan Hobbit Cave menuju ke Pine Tree Hill (First Peak) sebelum terpaksa berpatah balik akibat kesakitan yang semakin memuncak.
Kejadian yang berlaku berhampiran kawasan Gua Akar itu menyebabkan mangsa tidak mampu meneruskan perjalanan dan memerlukan bantuan kecemasan untuk dibawa keluar dari laluan pendakian yang mencabar.
Menurut maklumat dikongsikan, sepasukan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Raub segera digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan mengenai insiden tersebut.
Operasi menyelamat bukanlah tugas mudah kerana pasukan penyelamat terpaksa meredah laluan trek yang sempit, bergaung serta dipenuhi akar dan banir pokok yang berisiko. Keadaan muka bumi yang mencabar itu memerlukan penggunaan pelbagai teknik khas bagi memastikan keselamatan mangsa sepanjang proses pemindahan.
Mangsa dibawa keluar menggunakan kaedah usungan darling carry, pengusung semula jadi serta Junkin Stretcher, selain bantuan sistem tali bagi melalui kawasan berbahaya sepanjang trek pendakian.
Selepas melalui operasi yang memenatkan, mangsa akhirnya berjaya dibawa keluar ke lokasi permulaan trek dalam keadaan selamat sebelum dihantar ke Hospital Raub menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Turut membantu dalam operasi berkenaan ialah Malim Gunung Perhutanan (MGP) Raub yang memainkan peranan penting dalam memandu pasukan penyelamat melalui laluan pendakian tersebut.
Syabas kepada anggota bomba dan semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat ini. Semoga mangsa diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.
Apa pun, buat anda yang mahu meneruskan minat mendaki, pastikan sentiasa berhati-hati dan membawa alatan yang membantu waktu-waktu kecemasan yang bakal menyinggah ketika di dalam hutan.
Sumber: Utusan Malaysia