Besar mana pun gaji seseorang, jika tak pandai nak urus akhirnya belum sampai hujung bulan dah tinggal seringgit dua. Silap-silap, belum habis bulan, duit pun dah tak ada.
Salah satu tip nak hidup tenang selain bebas hutang, tentulah peroleh keberkatan rezeki yang tak pernah putus.
Ada hal-hal dalam kehidupan harian kita, yang tak kita sedari rupa-rupanya buatkan rezeki tersekat, tidak berkat. Cuba perhatikan apa kah kita pernah terbuat hal-hal ini dalam kehidupan seharian kita.
Dapat Gaji Tapi Tak Lunaskan Hak Pada Mereka Yang Sepatutnya
Baik suami atau isteri, masing-masing punya tanggungjawab. Suami tentulah memberi nafkah kepada isteri. Isteri yang baik pula akan sentiasa ada untuk meringankan beban suaminya.
Kalau pun isteri tak nak hulur sikit duit pada suami, zakat dan sedekah itu perlu dilaksana. Jika hal sepenting ini pun tak ditunaikan, ke mana akhirnya pendapatan akhir anda.
Ads
Tengok balik, ‘track’ satu-satu, muhasabah diri. Kenapa agaknya serba serbi tidak cukup, ada saja perkara yang perlu dibayar, padahal anda dah aturkan belanja siap-siap. Tentu Allah mahu tegur kita dengan cara paling halus.
Tak Sedar Membazir Makanan Atau Apa Saja Yang Kita Ada
Dalam bab makan ini orang Malaysia memang paling untung. Sayangnya, dalam mendapat nikmat rezeki yang banyak itu, kita membazir. Makan tak habis, masih bersisa dibuang begitu saja ke tong sampah. Nasi di pinggan ada lagi sebutir dua tak nak dijamah.
Semua itu ada kaitan dengan keberkatan rezeki.
Ads
Lagi sedih, sudahlah berpangkat, gaji besar pula.. bila dipanggil ke majlis kenduri. Ini yang jadi. Ambil makanan punyalah banyak, siap bawa anak beranak. Tapi makannya acah-acah diet. Allahu..
Kesian tuan rumah.
Ads
Tak Pandai Nak Sekat Nafsu
Baik suami atau pun isteri, masing-masing tak saling mengingati. Bila tiba hari gaji, masa itulah semua nak beli. Rambang mata. Lebih dari pendapatan hutang-hutangnya.
Kereta setiap sorang ada. Betullah masing-masing kerja, tapi kalau tak mampu kenalah aturkan balik kewangan keluarga itu. Tengok balik ada riba atau tidak dalam bayaran ansuran kereta ke, rumah ke atau apa saja.
Jika suami isteri lebih berhati-hati, tahu nilai setiap hasil titik peluhnya, faham akan tanggungjawabnya. Walau bergaji kecil, anak berderet, Insya Allah.. Allah akan cukupkan rezekinya sebagaimana keperluan setiap orang dalam keluarga.
Itulah namanya keberkatan rezeki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ibu kuat demi nufail.” Tapi kini derita kakak bertambah, Jahidah semakin kurus. Cukup menyayat hati. Itulah perkataan sesuai menggambarkan keadaan terkini wanita koma dibelasah suami, Jahidah Nordin, 43, selepas dikeluarkan daripada wad hospital Jumaat lalu.
Perkongsian adiknya, Fauziah Nordin di akaun TikTok mendapat pelbagai reaksi di kalangan netizen apabila melihat keadaan Jahidah yang cukup berbeza dari sebelum ini.
Selepas kira-kira sebulan dimasukkan ke wad tanpa berjumpa ahli keluarga, keadaan Jahidah amat kurus serta luka ‘bedsore’ pada bahagian pinggulnya kian serius hingga menampakkan tulang punggung.
Menurut Fauziah Nordin, dia seperti tidak mengenali kakaknya itu pada awalnya kerana jauh berubah, malah terpaksa membaca nama pada katil ketika mahu membawa pulang wanita itu dari wad.
“Saya terkejut apabila melihat keadaan kakak yang sangat kurus. Kakinya dipenuhi kudis dan saya juga mendapati ‘bedsore’ yang sebelum ini sudah pulih kini sangat teruk.
“Selepas dibawa balik, saya mengelap badannya dan terpaksa menukar air beberapa kali berikutan dakinya yang tebal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Cerita Fauziah, beberapa hari selepas pulang ke rumah, air kencing Jahidah sangat sedikit dan selepas diberikan susu mengikut rutin, barulah air kencing kakaknya kembali kepada keadaan sebelum ini.
“Sebelum ini kakak juga pernah dimasukkan ke wad bersalin di hospital sama, namun keadaannya jauh beza daripada sekarang.
“Saya mempersoalkan tindakan dan cara penjagaan kakak, namun doktor memaklumkan kakitangan tidak cukup dan ramai pesakit. Kami pula tidak dibenarkan melawat kakak atas alasan Covid-19.
“Saya tidak sanggup untuk melihat keadaan kakak sebegini. Saya serik untuk menghantarnya ke hospital lagi, namun dalam masa sama bimbang sekiranya keadaan kakak tidak stabil,” katanya.
Dalam posting yang lain, Fauziah turut berkongsi dia perlu mengambil masa membersihkan kakaknya sebaik balik daripada hospital. Setelah bersih barulah Fauziah letakkan anak buahnya, Nufail di sisi kakaknya.
Detik-detik ini meruntun jiwa apabila kelihatan Nufail tenang berada di sisi ibunya. Perasaan rindu yang tak terluah antara kedua-duanya. Allahuakbar.
RM5000 Sebulan
Menurut Fauziah lagi, keluarganya kini menampung perbelanjaan kira-kira RM5,000 sebulan untuk tujuan rawatan Jahidah seperti susu, lampin pakai buang, tiub minuman, tiub urin, kos upah jururawat bebas bagi merawat bedsore dan kos upah pembantu ketika dia mempunyai urusan luar.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bantuan perubatan Jahidah boleh menyumbang melalui akaun bank CIMB 7617797037 (Fauziah Nordin).
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Selain ajar mengucap, ini perkara yang patut dilakukan jika ahli keluarga mak, ayah sedang nazak. Bukan hanya menangis, sepatutnya lakukan perkara-perkara ini kerana masa sangat-sangat suntuk.
Jangan terlalu menurut perasaan bila doctor beritahu pasangan atau ahli kekuarga mak, ayah tidak dapat diselamatkan. Paling utama ajar mereka mengucap sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.
Kongsi Dr Ahmad Zakimi Abdullah, setelah kami berusaha dan cuba sedaya mungkin, namun pesakit tidak dapat diselamatkan.
Selain Ajar Mengucap
Tangan sudah mula menggigil setelah lakukan CPR selama hampir setengah jam. Serius tak lagi berdaya.
“Ayah! Ayah! Jangan mati” tangisan anak-anak.
“Encik, encik semua jangan masuk ramai-ramai ya! Doktor tengah bantu CPR tu!” Ujar pakcik guard.
Mereka menyerbu masuk ke zon merah tanpa endah arahan pakcik guard suruh mereka keluar.
“Suka hati kamilah. Ini ayah kami. Apa neh!”
Ini Perkara Yang Patut DiLakukan
Mereka memarahi pakcik guard. Aku pun dimarahi kerana tak benarkan mereka masuk. Suasana sedikit tegang ketika itu.
“Benarkan seorang atau dua anak pesakit masuk,” arahku kepada pakcik guard sambil aku meneruskan CPR ke atas pesakit.
Setelah diberitahu keadaan ayah mereka yang mana tidak dapat diselamatkan lagi, lalu aku arahkan mereka supaya ajarkan mengucap sebelum kami hentikan CPR.
“Encik boleh ajar mengucap untuk ayah ya,” ujarku sambil CPR.
Tangisan anak-anak dan isteri pesakit terhenti.
“Eh! Di mana mereka ramai-ramai tadi,” soalku kepada seorang kakitangan.
Semua hilang setelah suruh ajar mengucap. Ke mana mereka semua? – aku bermonolog dalam hati.
Jika Ahli Keluarga Sedang Nazak
Masuk salah seorang dari anak pesakit.
“Encik boleh ajarkan ayah mengucap sekarang.” Sekali lagi aku mengarahkan supaya dia ajarkan mengucap.
“Kami tak pandai mengaji, doktor.”
“Saya bukan suruh encik mengaji tapi ajar mengucap kalimah syahadah.”
“Macam mana tu doktor?”
Kemudian aku sendiri yang ajarkan mengucap kalimah syahadah kepada ayah mereka.
Tadi ramai betul masuk dan menangis. Disuruh keluar kerana aku dan rakan-rakan cuba nak bantu ayah mereka, aku dan rakan-rakan pula dimarahi.
Sekali suruh ajar mengucap, semua cabut. Berkali-kali juga aku suruh namun seorang pun tak dapat lakukan.
Ajar Mengucap ‘Lailahaillallah’
Apa yang patut kita lakukan jika saudara atau kenalan tengah nazak adalah:
1. Ajar mengucap ‘Lailahaillallah’
2. Bacakan surah Yasin dan Ar Ra’du
3. Berdoa
4. Membaca Al-Quran
Caranya adalah dengan memangku (jika boleh) atau berada di sisi saudara yang tengah nazak dan ajarkan mengucap. Jika kita tidak berada di sisi, kita boleh bacakan surah Yasin, Surah Ar Ra’du, berdoa dan baca Al quran.
Semoga arwah berada di kalangan orang-orang yang beriman.
Dr Zek
Mingguan Wanita : Sememangnya bukan mudah berdepan dengan saat-saat kehilangan insan tersayang. Namun di waktu genting sebegini lakukan yang terbaik untuk dia, paling kurang ajarkan dia mengucap.
Zaman berubah, begitu juga dengan cara ibu bapa mendidik anak. Sebagaimana kata- kata yang terkenal “Didiklah anakmu sesuai mengikut zamannya’. Dalam kehidupan yang semakin moden ini, semakin banyak impian dan keinginan yang ingin dicapai.
Secara tidak langsung, ia memerlukan ibu bapa memiliki kerjaya masing-masing. Di tambah pula dengan kewujudan gajet dan sosial media, tumpuan dalam kehidupan telah di alihkan kepada banyak perkara.
Dengan kata lain, perkataan ‘multitasking’ menjadi popular. Ibu bapa sekarang berkeupayaan untuk membuat pelbagai perkara dalam satu masa. Contohnya seorang wanita mempunyai kerjaya, mempunyai bisnes online sambilan, menjadi seorang isteri yang taat, ibu kepada anak- anak, membuat kerja rumah dan sebagainya.
Menurut, Pakar Analisa Tulisan Tangan & Pembangunan Karektor, Dr Azura Hashim, tanpa masyarakat sedar, melakukan pelbagai tugas secara serentak mencerminkan tumpuan yang semakin berkurangan. Ianya biasanya menghasilkan output yang kurang kualiti berbanding seseorang yang fokus melakukan satu perkara sahaja.
“Secara tidak langsung, ini berkait rapat dengan tanggung jawab ke atas anak-anak. Berkemungkinan, ibu bapa yang sibuk akan mengambil jalan mudah dengan menyuap si kecil dengan gajet.
“Lalu di sini anak mudah mendapat jalan untuk akses ke dunia luar tanpa sempadan. Mudah membina teman lain melalui media sosial seperti facebook, instagram, twitter dan banyak lagi aplikasi yang menarik perhatian mereka.
“Situasi ini perlu dijaga, kerana anasir- anasir luar tanpa sempadan kawalan yang membimbangkan. Input apa yang masuk ke dalam minda anak- anak? Adakah di pantau oleh ibu- bapa?” katanya memulakan perbualan.
Di samping itu, jelas Dr Azura perlu di tekankan bahawa rumah adalah madrasah pertama membina khalifah di masa hadapan. Peranan kita sebagai ibu bapa adalah untuk melengkapkan madrasah tersebut dengan aqidah Islam, akhlak, adab terutamanya tauhid dan dicurahi dengan kasih sayang dalam berkeluarga.
Siapakah Pihak Ketiga
Dr Azura mengaitkan bahawa pihak ketiga adalah individu yang mendapat kepercayaan oleh anak-anak. Sudah tentu pihak ketiga juga boleh terdiri daripada bapa atau ibu saudara, guru, pembantu rumah, rakan sebaya atau teman berlainan jantina.
Sebenarnya, anak mahukan perhatian, mahukan ibu bapa mendengar cerita dan luahan anak. Di saat mereka memerlukan tempat mengadu, ibu bapa tiada ataupun masih sibuk dengan telefon. Lalu mulalah mereka menagih kasih pihak ketiga.
“Kalau di luar, anak berkawan dengan rakan sebaya, mereka bebas untuk bergaul. Cuma kadang ada yang tersilap langkah, batas pergaulan terlalu bebas. Ya betul, guru mendidik anak-anak di sekolah, namun harus di ingat pendidikan pertama adalah dari rumah.
“Ibubapa sendiri perlu tahu menunjukkan contoh yang terbaik di hadapan anak-anak. Didikan yang tepat dapat melindungi anak-anak dari termakan dengan sikap diri sendiri.
“Di sinilah perlunya koreksi diri, apa yang sudah berlaku dan bagaimana kita mahu memperbaikinya,” jelas Dr Azura satu-persatu.
Punca Anak Managih Kasih Pihak Ketiga
Terdapat pelbagai punca yang menyumbang kepada permasalahan ini mengikut pandangan Dr Azura antaranya:
Sifir mudah mengenai punca mengapa anak menagih kasih orang luar adalah kerana kurangnya kasih sayang dan perhatian.
Komunikasi dengan ibu bapa agak terbatas dan lebih kepada komunikasi satu hala.
Mereka sebenarnya tercari- cari sokongan untuk memenuhi ruangan kosong di jiwa mereka yang menyebabkan mudah terjerumus dalam trend rakan sebaya dan mencuba perkara baru.
Kesan Kepada Institusi Kekeluargaan
Apalah ertinya keluarga tanpa kebahagiaan. Apabila anak-anak lebih memilih orang luar berbanding ahli keluarga sendiri. Hilanglah rasa kasih sayang dan nilai penyayang dalam diri anak-anak. Nilai kekeluargaan itu pergi seiring dengan masa.
“Ibu bapa hanya dijadikan tempat meminta duit dan bercakap apabila perlu. Jangan jadikan harta sebagai ukuran kebahagiaan dalam keluarga. Anak-anak tidak lagi menghormati dan menghargai ibubapa.
“Lalu adakah mereka sudah menderhakai kita ataupun sebenarnya kita adalah ibubapa derhaka? Sesuatu yang perlu direnung secara mendalam.
“Apabila anak-anak selesa memilih orang ketiga, mulalah hendak mencari salah siapa. Namun apabila difikirkan semula, semua orang memiliki kekhilafan masing-masing. Yang sepatutnya bertindak dahulu adalah ayah sebagai ketua keluarga,” ujarnya lagi.
Tambah Dr Azura, sesungguhnya seorang ayah yang perlu berusaha untuk mewujudkan suasana “bersama” sekurang-kurangnya sekali seminggu ataupun setiap dua minggu. Ketika itu ajarkan didikan agama, mengaji dan solat.
Selain itu, didik anak-anak, termasuk anak lelaki membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, menyapu, membuang sampah dan sebagainya.
Manakala ibu, sediakan dan didik anak-anak dengan ilmu masakan, penjagaan rumah dan diri, ajari anak-anak tentang pergaulan, tambah-tambah anak perempuan. Perlu dingat, menegur anak juga biarlah kena dengan caranya. Ada yang perlu ditegur secara terbuka, ada yang perlu ditegur secara sentuhan personal.
Nasihat Kepada Ibu bapa
Akhir sekali Dr Azura menyeru ibu bapa untuk memulihkan situasi ini, sebagai ibu bapa muhasabah semula apa yang telah berlaku.
Dekatkan diri pada Allah Yang Maha Esa. Selain itu, jangan malu untuk rujuk pada yang lebih berpengalaman dari kita.
Sejujurnya apabila kita ingin berubah, mulakan dengan diri sendiri, dan selepas itu perlahan-lahan bimbing ahli keluarga ke arah yang lebih baik. Contoh mudah, kurangkan penggunaan gajet di rumah, lebihkan masa bersama tidak kiralah berbincang ‘one to one’ dengan anak, termasuk banyakkan lakukan aktiviti bersama seperti solat berjemaah.
Ambil peduli siapa sahabat anak- anak. Sentiasa mengingatkan dengan pesanan- pesanan yang baik seperti jaga tingkah laku, kehormatan dan keselamatan. Biarlah anak-anak merasakan ibu bapa sedikit mengongkong, ia sebenarnya bukti bahawa ibu bapanya ambil berat mengenai diri mereka. Anak yang soleh menjadi saham akhirat kepada ibubapa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Polis mengesahkan nota terakhir suspek tikam berusia 14 tahun dirampas ketika tangkapan, bukan di lokasi kejadian. Frasa “Dunia ini palsu, saya sudah menang” kini disiasat bagi mengenal pasti motif sebenar.