Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sepanjang masa dan tiada kurangnya. Pengorbanan seorang ayah rela melakukan apa sahaja, mengenepikan maruah diri dan rasa malu demi menyelamatkan nyawa seorang anak.
Kejadian yang berlaku di tepi sebuah jalan di China, kelihatan seorang lelaki melakukan gimik dengan berpakaian pengantin perempuan sedang duduk sambil memegang sepana di tangan.
Poster di sebelahnya tertulis ,”Mahu berkahwin untuk selamatkan anak, rela jadi pengantin/pekerja seumur hidup untuk membayar hutang sekiranya anda membantu menanggung kos rawatan anak saya”
Anak Hidap Leukemia
Guo Anchuan, 45 seorang tukang kayu kini terdesak mencari wang bagi membiayai rawatan anak perempuannya yang menghidap leukemia ‘acute lymphoblastic’ sejak berumur empat tahun. Tindakan ini dilakukan setelah 5 tahun berusaha mencari duit untuk menanggung kos rawatan anaknya, Gou Yuting,9 tahun.
Ads
Ditanya mengapa memakai gaun pengantin perempuan, Anchuan berkata, ia untuk menarik lebih banyak perhatian.
“Saya tidak lagi berfikir tentang maruah, mahupun rasa malu. Apa yang penting anak saya dapat diselamatkan,” ujarnya.
Ads
Menurut lelaki itu, anaknya Guo Yuting telah menjalani lapan sesi kemoterapi sebelum kanser itu kembali menyerang awal tahun ini. Pembedahan segera harus dijalankan bagi menyelamatkan nyawa anaknya.
Ads
Setakat ini, Anchuan berjaya mengumpul 16,000 Yuan (RM 9,960) namun ia masih belum mencukupi untuk menampung kos pembedahan.
Tabahnya hati seorang ayah, rela berkorban demi anak tersayang. Semoga segala usaha dan pengorbanan si ayah ini dipermudahkan dan anaknnya dapat menjalani rawatan serta kembali sembuh seperti sedia kala.
“Ayah, bila nak beli baju raya…” Permintaan dan pertanyaan dari bibir anak kecil berusia 10 tahun ini membuatkan hati lelakinya menangis kerana dia tiada kemampuan menunaikan apa dihajati oleh anaknya itu.
Mungkin tidak banyak permintaan anaknya, Mohamad Khairul Iziham sekadar sepasang baju raya, tetapi disebabkan tiada sumber kewangan, masa yang sama dirinya juga sedang dalam proses pemulihan dari kecederaan parah selepas dilanggar sebuah kereta yang pemandunya sedang mabuk pada 12 Januari lalu membuatkan dirinya hanya mendengar tanpa memenuhi impian anaknya.
Hampir lima bulan dia terlantar di tilam. Segala-galanya memerlukan bantuan isteri dan adik-adik ipar serta bapa mentua. Hilang malu kerana kecederaannya terlalu parah. Tidak hairanlah tatkala anak tunggalnya menyebut ingin membeli baju raya, sekali lagi hatinya menangis! Semasa sihat, sebutlah apa saja, mahu makan apa saja, dia akan gagahkan diri untuk memenuhi permintaan anak tunggalnya itu tetapi hari ini, dia hanya mampu mendengar sahaja!
Ramadan tahun ini disambut ala kadar sahaja oleh mereka sekeluarga. Bagaimanapun kemeriahan Aidilfitri dapat dirasai juga kerana dia duduk bersama keluarga mentuanya. Apabila sudah berkumpul memang riuh rendah jadinya, ia mampu memberi sedikit keriangan bagi hatinya. Malah di bulan Ramadan penuh keberkatan ini, dia melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana sudah mampu duduk di kerusi roda berbanding hanya terbaring sahaja di tilam sebelum ini, selepas ditimpa kemalangan.
Berkongsi kisah kemalangan yang dialaminya, jelas Said bin Me, 44 tahun, dia ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli nasi ayam yang diminta anaknya.
“Saya dari arah sempadan Kampung Lalang ingin ke Kampung Becah Sawah, Baling. Kereta itu dari arah bertentangan. Jalan tidaklah sibuk sangat ketika itu. Tak banyak kereta lalu lalang pun. Tetapi tanpa disedari satu hentakan kuat tepat mengenai saya sehingga tubuh saya terpelanting di sebalik pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam cerunan. Saya tidak sedarkan diri selepas kemalangan. Saya koma 10 hari! Dari Hospital Baling saya dibawa pula ke Hospital Kulim kerana kecederaan yang saya alami ini.”
Banyak sebenarnya kecederaan yang dialami ekoran kemalangan itu. Paha kanannya dimasukkan besi, buku lali yang hancur juga dimasukkan. Bukan itu sahaja dia mengalami kecederaan di bahagian betis yang terkoyak teruk, tulang punggung pecah, tulang bahu juga terkeluar dan tulang selangkanya merapat menyebabkan paru-parunya berfungsi dengan sempurna.
“Dahi saya juga menerima jahitan yang banyak dan panjang kerana luka besar di bahagian itu.”
“Disebabkan kecederaan terlalu parah, saya tidak mampu bergerak dan pembedahan memasukkan besi dilakukan beberapa hari selepas kejadian. Ada beberapa bahagian yang patah namun kata doktor, ia akan mengambil masa untuk pemulihan kerana tidak sesuai dilakukan pembedahan. Agak lama juga saya terlantar di tilam rumah. Dari rumah sendiri, disebabkan susah untuk isteri menguruskan saya seorang diri, kami berpindah ke rumah mentua di Kampung Becah Sawah ini.
“Bayangkan bila hendak mandi, saya perlu didukung ke bilik air. Sekarang ini, mereka letakkan saya di kerusi roda dan terpaksa mandi di atas kerusi roda juga.”
Menurut Said, dari cerita saksi di tempat kejadian motosikalnya melekat di bawah kereta sehingga kereta yang melanggarnya tersekat dan tidak boleh bergerak.
“Pemandu tidak mengalami kecederaan tetapi isterinya mengalami sedikit luka walaupun keretanya agak remuk kerana terseret ke pembahagi jalan.”
Beberapa orang saksi kejadian mendakwa pemandu kereta itu mungkin dalam pengaruh air ketum berdasarkan air tersebut ada bersamanya ketika kemalangan itu berlaku.
“Kenderaan yang datang dari arah Thailand itu, tiba-tiba sahaja dia masuk ke laluan saya dan terus melanggar motosikal saya. Motosikal terlekat di bawah kenderaan sementara saya terpelanting ke sebelah pembahagi jalan. Aduan dibuat di balai polis dan dia mengaku telah melanggar saya. Kini kes berkenaan masih dalam siasatan polis.”
Ketika itu Said cuma bekerja kampung sebagai tukang dengan upah sebanyak RM100 sehari.
Bila dah tidak mampu buat apa-apa lagi, tiadalah sumber kewangan untuknya. Katanya pihak JKM telah memberikan bantuan sebanyak RM300 sebulan. Untuk menambah pendapatan, isterinya mengasuh anak orang dengan upah RM300 sebulan juga. Wang itulah yang digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu bagi menguatkan tulangnya. Selain itu dia sekeluarga turut dibantu oleh adik beradik isterinya yang tinggal serumah.
Naluri seorang isteri, pasti dapat merasakan sesuatu yang tidak kena apabila orang yang disayangi bakal ditimpa bencana. Petang itu, Fatimah Abdul Razak, 37 tahun berkata, dia bagaikan resah dan sesekali memandang ke luar tingkap rumah. Hatinya tertanya-tanya kenapa kelibat suami masih tidak kelihatan sedangkan waktu itu suaminya sepatutnya sudah tiba di rumah.
“Saya cuba telefon suami tetapi tidak berangkat. Hati mula risau. Pandang ke jalan raya, kelibatnya tidak ada. Tidak lama kemudian, adik menelefon. Katanya bersabar banyak-banyak, suami saya kemalangan. Saya sangat terperanjat mendapat khabar berita itu. Adik terus membawa saya ke tempat kejadian. Ketika itu suami sudah terbaring di atas rumput di tepi jalan raya. Sementara menanti ambulan, darah dari tubuh suami terus keluar. Saya tidak sanggup melihat.
“Dari hari pertama menemaninya di hospital, saya tidak balik ke rumah. 11 hari lamanya di hospital menunggu suami sedar dari koma. Biarpun kecederaannya agak parah ketika itu tetapi kata doktor, tiada pembedahan boleh dilakukan. Ia mengambil masa untuk pulih, sebelum menjalani pembedahan.”
Kos pemasangan besi membabitkan sejumlah RM1100 tetapi selepas pembedahan dilakukan, mereka diminta menambah lagi sejumlah RM1600 namun tidak dijelaskan.
Mengakui Ramadan ini adalah masa-masa sibuknya menguruskan keperluan suami, namun masa yang sama, Fatimah akui dia redha dengan ketentuan Ilahi.
“Syukur Alhamdulillah kerana suami masih ada di sisi. Biar sibuk menguruskan segala keperluannya, tetapi saya anggap itulah pahala menjaga suami yang selama ini mencari rezeki buat saya dan anak.”
Buat masa ini Fatimah memilih tinggal sementara bersama keluarganya berikutan kecederaan teruk dialami suaminya itu.
Di sebalik kejadian kemalangan ini, kata Fatimah, dia mendapat tahu pihak yang melanggar suaminya itu ada meminta dia menarik balik laporan polis. Itupun bukan disampaikan sendiri oleh empunya diri sebaliknya oleh jiran yang datang melawatnya.
“Ada juga saya dengar dia menyara kehidupan kami sedangkan semua itu tidak benar sama sekali. Terasa sedih juga tetapi buat masa ini semua urusan saman dan tuntutan dilakukan oleh peguam yang datang semasa suami dirawat di hospital. Saya mengharapkan segalanya baik belaka dan berharap kes ini akan selesai dalam masa terdekat,”
Buat masa ini suaminya belum lagi menjalani latihan fisioterapi kerana kaki dan pahanya belum kuat selain laporan doktor, besar kemungkinan suaminya akan memperoleh kad OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Bagi anda yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga ini bagi menghadapi sambutan Aidilfitri, bolehlah salurkan bantuan ke akaun Bank Islam milik Fatimah Abdul Razak di nombor 02-048-02-046570-2. Semoga sedikit sumbangan anda dapat meringankan bebanan mereka.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita ini pernah jadi viral gara-gara aksinya memandu lori kontena dengan berbaju kurung. Masyarakat terperanjat kerana ada orang perempuan yang memilih kerjaya yang cukup sinonim dengan lelaki. Apatah lagi kerjaya sebagai pemandu lori dikaitkan dengan kerja yang lasak, tak glamor dan tak sesuai dengan keperibadian wanita yang lemah lembut
Menurut Rokiah bt Salim, 52, atau mesra dengan panggilan Ekka, dia tidak pernah menyangka akan menjadi viral dan dikenali satu Malaysia. Yang pasti, dia cukup berbangga dengan kerjayanya sebagai pemandu lori kontena di Syarikat HL Super Sdn Bhd di Seberang Prai, Pulau Pinang.
“Saya tiba-tiba saja terkenal kerana aksi saya yang membawa lori dengan berpakaian baju kurung tersebar. Masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang pelik. Tapi secara peribadi, saya tak rasa pelik pun bila memandu lori dengan berbaju kurung. Pakaian tak pernah mengganggu saya melakukan kerja. Malah saya bangga dan selesa mengenakan pakaian itu kerana ia pakaian tradisi kita. Di bahagian dalam saya tetap mengenakan seluar jeans untuk menjaga aurat.
” Walau bagaimana pun saya gembira kerana kisah saya sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat terutamanya wanita supaya lebih yakin untuk menceburi bidang yang di luar kebiasaan. Banyak cabang kerja yang boleh kita lakukan, asalkan rajin dan sanggup sahut cabaran. Jangan takut pilih kerja yang tak glamor, asalkan mampu beri pulangan yang lumayan. Malah saya bangga kerana dengan kerja ini, saya berjaya membesarkan dan menanggung pengajian dua anak saya hingga memperoleh ijazah di dalam bidang biotech dan pendidikan,” ujar wanita gemarkan aktiviti lasak ini.
Mengimbau keterlibatannya di dalam kerjaya ini, Ekka sebelum itu bekerja di sebuah kilang sehinggalah dia ditawarkan VSS.
” Selepas berhenti kerja dan ditawarkan VSS pada tahun 2014, saya tercari-cari pekerjaan untuk menyara dua anak lelaki saya memandangkan saya ibu tunggal. Ketika itu pula saya aktif di dalam dunia permotoran dan menyertai sebuah kelab motosikal. Rakan-rakan bikers yang menyarankan saya mencuba kerjaya sebagai pemandu lori. Lantas saya sahut saranan mereka itu. Lagi pun, saya banyak mengembara ke luar negara dan wanita yang bekerja sebagai pemandu lori bukan perkara yang asing di sana. Jadi, apa salahnya jika saya cuba kerjaya itu.
” Terus terang, pada mulanya banyak syarikat yang menolak permohonan saya. Sehingga akhirnya syarikat tempat saya bekerja sekarang, HL Super Sdn Bhd, membuka peluang pada saya. Sejak itu saya bekerja memandu lori kontena untuk dihantar ke pelabuhan Prai. Saya hanya buat local trip sahaja dan tidak minat untuk membuat long distance. Tempat kerja saya juga hanya 15 minit daripada rumah yang terletak di Tasik Gelugor.
“Dua anak lelaki saya sangat menyokong keputusan saya tetapi ada ahli keluarga saya yang menentang. Mereka beranggapan kerja itu susah dan tidak sesuai untuk wanita. Namun kini mereka dapat terima. Saya sedar mereka melarang sebab mereka sayangkan saya. Alhamdulillah, saya berjaya buktikan pilihan saya tepat. Namun sebenarnya kerja ini taklah begitu susah bagi saya. Hanya duduk di dalam lori dan pandu. Bukan kena angkat barang berat. Tapi, sudah tentu perkara pertama adalah mendapatkan lesen GDL bersendi untuk melayakkan saya memandu lori kontena,” tambah Ekka lagi.
Ujar Ekka, dia seronok berada dalam bidang yang dimonopoli oleh lelaki. ” Seronok dan bangga kerana kita melakukan kerja yang orang lelaki selalu buat. Tak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sekerja kerana mereka suka menolong,” jelas Ekka yang ingin menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar tidak memilih kerja.
“Bagi anak-anak gadis, jangan terlalu memilih kerja. Konon nak bekerja di dalam pejabat saja, sedangkan masih banyak peluang yang ada. Kerjaya sebagai pemandu lori mendatangkan pendapatan yang lumayan. Cuma, kalau nak gaji lebih, kenalah kerja lebih masa. Semuanya terpulang pada diri sendiri.
” Anggaran pendapatan yang boleh diperoleh antara RM3000-RM5000 sebulan. Waktu kerja juga fleksibel. Saya bekerja antara jam 8.30 pagi hingga selewatnya 10.30 malam. Purata antara tujuh ke lapan trip sehari. Kalau nak pergi bercuti ke luar negara, saya akan buat target. Saya akan kerja lebih panjang dan kemudian akan ambil cuti panjang selepas itu. Saya pernah bercuti hingga 12- 20 hari. Yang penting, kena cukupkan 150 trip sebulan.
“Untuk ibu tunggal, kita perlu bangkit. Tiada gunanya bersedih terlalu lama. Fikir anak-anak tersayang dan jangan harapkan bantuan orang saja. Diri sendiri yang perlu berusaha.Peluang dan ruang ada, terpulang pada diri masing-masing. Walau bagaimana pun, saya ingin nasihatkan ibu-ibu tunggal di luar sana, perpisahan adalah di antara kita dan bekas suami. Jangan libatkan anak-anak. Jangan jadikan bekas suami musuh anda kerana dia tetap ayah kepada anak-anak anda selamanya,” nasihat Ekka.
Wanita bertubuh kecil molek ini sememangnya berjiwa kental dan minat dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, camping dan maraton. Sebelum ini, dia terlibat di dalam dunia permotoran namun setelah kehilangan motosikal CBR hilang pada tahun 2008, dia mula beralih ke aktiviti mendaki gunung.
” Saya seorang yang aktif dan lasak. Saya gemar mendakI, kebanyakan gunung di Malaysia ini sudah saya tawan. Selain itu, saya sanggup ke luar negara untuk mendaki. Antara puncak yang pernah saya jejaki ialah Anapurna Base Champ dan Everest Base Champ. Di Filipina saya pernah mendaki Mount Pulag dan lebih banyak mendaki gunung-gunung di Indonesia. MisalnyaGunung Rinjani, Gunung Selamet, Gunung Sibayak dan banyak lagi.
“Selain mendaki, saya juga gemar bercuti ke luar negara untuk menimba pengalaman di tempat orang. Paling jauh saya pernah ke Rusia. Hujung tahun ini pula, saya akan ke Mongolia bersama anak sulung untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Anak sulung saya itu juga berkongsi minat mendaki dengan saya manakala si bongsu sebaliknya,” ulasnya lagi.
Walau pun berkerjaya lasak, namun sebagai wanita, dia tetap menitik berat soal kecantikan dan penampilan diri. Buktinya, walau pun bekerja sebagai pemandu lori kontena, Ekka tetap mampu kelihatan cantik.
“Siapa kata kerjaya sebagai pemandu lori kontena tak membolehkan kita kelihatan cantik? Saya tetap menjaga kecantikan dan penampilan diri sebagai seorang wanita. Bahkan terus terang, saya sangat mengambil berat soal pemakanan. Mungkin ada wanita yang takut hendak ceburi kerjaya sebagai pemandu lori kerana takut tak boleh jaga kecantikan. Itu tak betul. Terpulang pada diri sendiri. Sekarang ini di tempat kerja saya sudah ada lima pemandu lori wanita dan saya tumpang bangga kerana kerjaya itu mula diterima masyarakat. Cuma kami tidak lagi dibenarkan memakai baju kurung ketika memandu lori,” akhirinya yang akan mendaki gunung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Macam-macam ragam berlaku sempena Piala Dunia yang baru berlangsung di Rusia baru-baru ini, terutamanya buat golongan para suami, Ramai yang sudah lama menyimpan hasrat untuk menyaksikan secara ‘live’ perlawanan bola antara pasukan-pasukan terbaik dunia ini, namun terpaksa memendam rasa dan kecewa kerana tidak mendapat ‘kebenaran’ isteri.
Sekumpulan pemuda Mexico menjadi perhatian netizen di media sosial yang terhibur dengan gelagat lucu mereka apabila membawa potongan kadbod rakan yang gagal ikut menyaksikan Piala Dunia di Russia kerana tidak mendapat izin isteri.
Walaupun kecewa dengan berita malang itu, empat rakan lelaki terbabit yang cuma dikenali sebagai Javier sepakat tidak mahu ‘meninggalkan’ rakan mereka bersendirian.
Malah, mereka turut membuat laman Facebook dengan nama ‘Ingue Su Matrushka’ yang menunjukkan beberapa keping gambar mereka dengan potongan kadbod Javier dalam keadaan melucukan.
Menerusi kadbod itu, Javier memakai baju T yang tertulis ‘Isteri saya tidak benarkan (pergi).’
Satu gambar dimuat naik menunjukkan potongan kadbod berupanya tidur sambil menutup muka dengan topi sombrero selain bergaya dan berparti dengan rakan seperti yang biasa dilakukan.
Lima rakan itu dilaporkan sudah membuat perancangan sejak empat tahun lalu untuk ke Russia, ketika berlangsungnya Piala Dunia Brazil malah merancang menaiki bas dicat dengan warna bendera negara mereka.
Allahuakbar, ibu tak ada siapa-siapa dah. Hidup ibu sunyi tanpa hampa bertiga. Kenapa tak bawa ibu sekali, adik abang tarik tangan abah sekali ke syurga.Al-Fatihah, Nor Hamiza.