
Kanak-kanak dipukul bapa saudara dengan tukul – “Belum dapat dipastikan otak Ammar akan normal atau sebaliknya.” Belum dapat dipastikan sama ada fungsi otak seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera parah selepas kepalanya dihentak dengan tukul oleh bapa saudaranya pada Khamis lalu akan kembali normal atau tidak.
Kanak-kanak Dipukul Bapa Saudara Dengan Tukul – “Belum Dapat Dipastikan Otak Ammar Akan Normal Atau Sebaliknya”
Perkara itu dimaklumkan ibu mangsa, Nur Ayuni Mohd Kamaruzaman, 29, yang menjelaskan bahawa doktor pakar masih belum mampu memberikan jawapan berhubung tahap sebenar otak anaknya, Muhammad Ammar Muhammad Badrul.
“Setakat ini pakar tak dapat beri jawapan sama ada sama ada otak Ammar masih normal atau sebaliknya kesan hentakan kuat pada tempurung kepala itu.
“Ammar jalani satu lagi imbasan pada otak jam 1 tengah hari tadi, namun keluarga masih belum dimaklumkan berkenaan keputusan itu dan keadaan terkini.
“Saya tanya doktor, andai kata anak saya diberikan umur panjang untuk bersama saya, adakah dia normal… doktor tak ada jawapan, cuma seorang ibu, dia suruh saya bersiap sedia dan redha,” katanya ketika ditemui hari ini.
Dalam kejadian Khamis lalu, Ammar mengalami kecederaan serius selepas dipercayai dipukul menggunakan tukul besi oleh bapa saudaranya berusia 46 tahun yang dikatakan mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah serta mengalami halusinasi. Suspek kemudiannya melarikan diri ke Pantai Melawi sebelum ditemui meninggal dunia.
Nur Ayuni turut berkongsi bahawa selepas bercerai, beliau menetap di Terengganu manakala bekas suaminya, Muhammad Badrul Remli, 31, menjaga Ammar. Katanya, dia baru sahaja menghabiskan cuti sekolah bersama anaknya dari 12 hingga 19 September lalu sebelum menghantar semula kanak-kanak itu kepada bekas suami.
“Itu kali terakhir saya jumpa… sepanjang cuti dan duduk dengan saya, anak kerap peluk dan beritahu nak tinggal dengan saya.
“Saya berbincang dengan bekas suami dan dia bersetuju. Mulai tahun depan anak akan tinggal pula dengan saya, tetapi tak sangka kejadian ini pula berlaku,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Badrul berkata, anaknya kini masih ditidurkan dan tidak dapat dipastikan berapa lama akan berada dalam keadaan sedemikian.
“Seandainya otak anak saya tiada masalah, tiada pembedahan akan dilakukan tetapi sebaliknya jika keadaan masih sama, doktor maklum otak anak ada luka dan bengkak.
“Tempurung kepala juga ada banyak kesan retak, tapi saya harapkan kesan retak itu tidak jejaskan otaknya,” katanya.
Sumber: Berita Harian Facebook Muhammad Badrul
Artikel lain: Pukul Anak Saudara Dengan Tukul Besi, Suspek Gantung Diri Pada Pokok Di Pantai
Bapa Kanak-kanak Dipukul Dengan Tukul Mohon Doa Orang Ramai
Kanak-kanak Dipukul Dengan Tukul Masih Kritikal, Suspek Disahkan Ada Rekod Dadah & Halusinasi
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI