Bunyi macam kelakar kan tapi inilah realiti kehidupan mak-mak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. Saat pihak berkuasa ‘berperang’ dengan rakyat Malaysia yang masih degil melanggar arahan PM, mak-mak juga turut ‘berperang’ di dapur.

Habis ikan, ayam dan segala haiwan ‘dikerjakan’. Tak cukup dengan itu, ‘bersilat’ pula dengan spesis sayuran dan variasi tepung. Habis berkecah di dapur seperti perang dunia. Semuanya demi mencapai misi menyediakan hidangan lima ke enam kali sehari kepada suami dan anak-anak.

Bila berkurung di rumah, selera keluarga lain macam. Lapar memanjang, inilah yang terjadi. Anak-anak dan suami sama naik, asyik buka peti ais.

Pergerakan mereka sukar dikawal. Jadi jangan terkejut bila berakhir tempoh kuarantin, ramai yang terpaksa beli peti ais baru kerana peti ais lama pintunya dah tercabut.

Mama Pun Nak Rehat

Kalau pihak berkuasa tampak kemas dan terserlah kredibiliti mengenakan baju uniform, golongan mak-mak tak kurang hebatnya. Apron ‘melekat’ kemas di badan ditemani wajah comot.

Walaupun badan sudah lesu namun hati mak-mak tetap kental demi kasih sayang pada keluarga. Memang mencabar bila anak-anak dan suami cuti berjemaah. Bukan sahaja perlu siapkan makanan dan keperluan lain malah mental mak-mak kena kuat.

IKLAN

Bila anak-anak dan suami bergabung, rumah pasti seperti dilanda garuda. Itu belum lagi aduan bertubi-tubi dari si kecil dan pergaduhan adik-beradik. Paling menguji iman, bila anak-anak ada projek khas.

Selalunya projek khas ini berakhir dengan air mata. Kalau mak tak nangis sebab geram atau terkilan, anak-anak yang nangis selepas ‘kawad cam’. Biasanya pasti ada barang mak yang jahanam dek kreatifnya anak-anak.

Mama Bekerja Dari Rumah

Dalam kesibukan menguruskan rumah tangga dan keluarga, mak-mak yang bekerja dari rumah tidak lupa tanggung jawab pada majikan. Kerja tetap jalan walau mengadap laptop dengan apron.

IKLAN

Jadi bila tiba-tiba ada online meeting, jangan terkejut ramai wanita yang menyarung telekung. Itu yang paling cepat untuk dicapai kerana tak sempat bersiap.

Sayang Mama, Tolong Bukan Arah

Suami oh suami, tak kasihankah pada isteri? Mereka adalah MAMA bukan MAMAK. Mereka dah berkorban macam-macam untuk keluarga. Jika isteri boleh bekerja bagi membantu meringankan beban keluarga, mengapa suami tak boleh bantu isteri buat kerja rumah?

Kalau nak rumah tangga bahagia, suami kena tolong bukan arah! Suami jangan jadi ‘ular sawa’, lepas makan tidur. Sama-sama buat kerja rumah. Ajar anak untuk berdikari dan berehsan dengan mak.

IKLAN

Suami yang rajin sangat disayangi isteri. Tak susah pun nak buat isteri bahagia. Bukan minta ganjaran. Ringan tangan bantu memasak atau membasuh pinggan sudah buat isteri senyum meleret. Ingat ye, isteri yang bahagia pasti berusaha menjadi isteri hot untuk suami.

Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI