Ini suara hati seorang wanita yang ingin melihat Malaysia kembali gah seperti dulu. Wanita yang tidak tahu menggunakan senjata, namun ada pena untuk digunakan sebagai senjata yang paling kuat.
Luahan hati Cik Puan Ammy dari pengalaman zaman kanak-kanak mengundi dengan mak ayahnya, dikongsikan bersama Mingguan Wanita dalam catatan yang cukup menyentuh hati. Dengan iringan doanya, “Semoga kerajaan yang baru ini akan membangunkan negara dan ekonomi kita semakin pulih malah akan menjadi lebih baik.”
Kita Nak Mengundi Sayang
Dahulu, seingat aku ketika itu aku masih anak hingusan, masih lagi kanak – kanak yang mandi di sungai tanpa berbaju, mentah dan naif, dosa dan pahala masih dibahu ibu dan ayah. Petang itu sedang berbasikal ke hulu kehilir bersama kawan – kawan aku melihat ramai orang memasang dan menggantung bendera – bendera kecil di tepi – tepi jalan, pada pokok – pokok dan pagar – pagar kedai. Aku hairan kenapa mereka memasang bendera pelbagai corak dan warna itu, adakah kami akan menyambut sesuatu perayaan…
“Kita nak mengundi sayang…”
Jawab ayah bila aku bertanya.
“Undi tu apa dia pok…?”
Panggilan manja aku pada ayah. Ayah hanya diam, senyum dan mengusap lembut rambutku.
“Tu bendera apa pok..?”
Aku menyoal lagi. Setahu aku bendera yang selalu mereka bawa, gantung dan pasang pada tiang – tiang hanyalah satu sahaja. Ada bintang, bulan dan jalur – jalur merah dan putih, bendera Malaysia.
“Yang ada keris tu, bendera AMNO, yang ada tulis S46 tu, Semangat 46, yang hijau ada bulat putih kat tengah tu PAS…”
“Untuk apa tu pok. Kita nak raya eh..?”
Ayahku ketawa kecil bila mendengar soalan daripada anaknya yang berumur 8 tahun itu. Alhamdulillah sehingga kini aku masih berpeluang melihat senyuman dan ketawa itu.
“Adik kecil lagi dah besar nanti pok bagitahu..”
Ayah menyeluk poketnya dan menghulurkan RM1.
“Dah, pergi main. Kawan – kawan dah tunggu tu.”
Ads
Aku pun berlalu….
Ketua Inilah Boleh Tolong Kita Bila Susah
Hari berlalu. Hampir setiap hari aku lihat mereka tidak jemu menampal kertas – kertas pelbagai corak di kedai – kedai dan pagar – pagar rumah, bersemangat sekali. Pada suatu pagi ayah dan mak mengajak aku temani dia beratur. Barisannya amat panjang sekali. Lebih panjang daripada barisan untuk membeli makanan di kantin sekolah.
“Nak pangkah undi dan memilih pemimpin kita. Hari tu kan Adik tanya pok bendera – bendera tu untuk apa, untuk ni la.”
Ramainya orang beratur daripada pagi sampai tengahari. Pelbagai bangsa ada, Cina, India, Melayu dan ada jugak Orang Asli. Bila tiba giliran ayah aku turut serta masuk dan aku tengok ayah pangkah dua keping kertas gambar yang sama.
“Kenapa pok pangkah gambar tu bukankah kena right. Gambar tu salah ke?”
Ayah ketawa kecil. Maklumlah sudah biasa di sekolah kan. Bila betul cikgu tanda right, kalau salah cikgu akan pangkah.
“Bila kita pangkah maknanya kita dah pilih dia. Sebab dia boleh jadi ketua kita. Boleh tolong kita bila kita susah. Macam Adik pilih siapa jadi ketua kelas kat sekolah. Satu lagi, ni rahsia tau… Jangan bagitahu sesiapa pok pangkah gambar apa walaupun dengan mak.”
Aku mengangguk walaupun aku tidak faham.
Keesokan hari ayah bagitahu aku gambar yang ayah pangkah itu telah menang.
“Ini lah ketua dia. Perdana menteri kita.“
Ads
Ayah tunjukkan pada aku wajah orang yang ayah pilih menjadi ketua itu di kaca television. Dia bercakap panjang dan ayah tekun mendengarnya sehingga aku terlena di riba ayah. Rindunya pada ayah.
Aku Tak Lagi Temani Ayah Mengundi
Masa berlalu. Daripada sekolah rendah, kini sudah ke sekolah menengah. Aku tidak lagi menemani ayah keluar mengundi untuk memilih pemimpin. Aku yakin ayah masih pangkah gambar atau lambang yang sama kerana Perdana Menteri Malaysia tidak pernah berubah.
Kata ayah, jika rakyat masih percaya akan beliau dan beliau menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan baik selagi itulah beliau layak menjadi Perdana Menteri Malaysia dan jika suatu hari nanti beliau ingkar maka rakyat berhak memilih Perdana Menteri yang baru, itulah yang dinamakan ‘mengundi’ atau Pilihan Raya Umum! Ayah kata beliau banyak berjasa kepada negara. Pelbagai pembangunan yang telah beliau bangunkan dan salah satunya menara KLCC.
Dewasa aku di bawah kepimpinan beliau. Adat berjuang, adakalanya kita rebah. 1998 ekonomi Malaysia merundum. Ramai yang terkena tempias. Ramai yang kehilangan pekerjaan dan ada perniaga yang tutup kedai.
Namun gigih beliau membangunkan kembali. Syukur pada ilahi Malaysia kembali membangun. Sudah menjadi hukum dunia. Bila di atas mesti akan terima pelbagai tomah dan caci. Namun beliau tenang tidak melatah. Beliau tangani dengan bijak.
Penghujung 2003, beliau umumkan perletakkan jawatan. Pada aku mungkin 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia beliau sudah penat. Beliau ingin berehat dan menjalani hari – hari tua bersama isteri tersayang. Menghabiskan sisa – sisa kehidupan bersama kasih sayang anak dan cucu.
Malaysia Sudah Ada Perdana Menteri Yang Baru
Malaysia ada perdana menteri yang baru. Lama benar aku tidak mendengar ayah berceloteh mengenai perdana menteri baru itu. Mungkin ayah tidak ada cerita menarik atau mungkin aku tidak sebetah dulu yang suka bertanya.
Sebenarnya aku tahu apa yang sedang berlaku. Pelbagai tragedi berdarah berlaku tidak kurang juga bencana alam yang mengorbankan ratusan nyawa. Cukup lah aku diam – diam sahaja kerana aku sedar aku ibarat mentimun mereka ibarat durian. Digilis sakit dan menggilis pun tetap sakit. Ayah kata kita orang awam jangan campur urusan politik, jangan kerana pulut santan binasa. Biarlah mereka selesaikan urusan mereka dan kita dengan urusan kita. Kalau tidak suka, diam – diam kita ubah. Undikan rahsia…
Akhirnya aku diberi kuasa untuk ‘pangkah’ lambang yang aku suka. Kata ayah pastikan ‘lambang’ yang kita pilih itu ketuanya boleh menjalankan tanggung jawabnya sebagai pemimpin. Pilih ikut kata hati dan naluri. Ingat jasa yang mereka beri. Aku pangkah lambang apa yang ayah pangkah.
Tradisi… Bila ayah kata mereka menang dan berjaya mengekalkan tempat mereka di Malaysia. Aku hanya senyum sahaja. Biarlah selagi kita bebas beriadah di luar rumah tanpa ada serangan bom atau peluru sesat maka bersyukur lah Malaysia masih aman. Rakyat masih bersatu padu. Tapi sampai bila..?
Ads
Melihat yang miskin ditindas, yang kaya menjadi raja. Mangsa dipenjara dan dihukum sedangkan si pelaku dibela. Kadar jenayah semakin berluluasa ekoran kos sara hidup semakin tinggi sehinggakan kerana satu tin susu anak sanggup meragut dan merompak. Kenapa Malaysia sudah menjadi sedemikian rupa?
Tidak keterlaluan kalau aku mengatakan rakyat jelata, terutama sekali golongan bawahan dan pertengahan paling terkesan serta tertekan dihimpit kos hidup yang terlampau tinggi seperti apa yang dialami ketika ini. Selagi keadaan ekonomi terus merudum, selagi itulah golongan yang berpendapatan kecil tidak termampu mengimbangi kadar kenaikan harga barang dan perbelanjaan harian yang terus meningkat kesannya para peniaga menjadi mangsa maki dan hamun.
Aku Kena Ubah
Malangnya bila ekonomi negara sedang bergelut untuk berada di landasan yang kukuh, masalah rasuah pula semakin hari semakin serius sehingga gagal dikawal. Bukan itu sahaja, semakin ramai ketua dan pegawai tinggi jabatan kerajaan yang ditahan membabitkan kesalahan, malahan jumlah wang suapan mencecah jutaan ringgit dengan bersembunyi di dalam rumah sendiri. Maruah negara semakin tercalar.
Aku kena ubah. Hak memilih ditangan aku. Benar kata ayah. Kita bagi peluang pada mereka 5 tahun sahaja untuk buktikan ketulusan untuk membela nasib rakyat. Jika rasa tersepit kita ubah lagi. Lima tahun bukan satu masa yang lama.
Hari ini 09 Mei 2018 untuk kali kedua aku di beri peluang untuk ‘memangkah’ dua keping kertas ‘keramat’ itu. Dan aku bersyukur kerana besama – sama aku ada ‘lelaki tua’ yang aku anggap telah ‘penat’ itu kembali untuk membela nasib rakyat.
Beliau lupakan hidup selesa yang diidamkan selama ini. Lupakan sebentar kegembiraan bermain dengan cucu – cucu. Di usia ini… Sekali lagi sudi beliau sanggup menggalas tanggungjawab yang pernah di amanahkan kepada yang lain tetapi disia – siakan.
Beliau kembali berusaha mengutip dan mencantum kembali sisa – sisa harapan rakyat yang berderai dek kerana rasa kesal dan kecewa ditindas dalam diam. Kali ini, aku ‘pangkah’ bukan kerana tradisi, bukan kerana lambang bukan dek kerana cerita – cerita ayah.
Bukan Senang Nak Pecahkan Tradisi
Walaupun waktu itu seperti berdiri ‘diatas pagar’. Bukan senang untuk memecah tradisi. Aku tahu bukan semua yang berkuku besi, kerana ada yang bersungguh – sungguh membela nasib rakyat, contohnya seperti menteri besar di negeri aku.
Beliau cukup sayangkan rakyatnya. Banyak jasa beliau kepada rakyatnya. Membela peniaga – peniaga kecil seperti aku. Aku sayangkan berliau dan aku yakin di luar sana ada beribu lagi yang sayangkan beliau. Namun inilah bak kata si bijak pandai ‘dek kerana nila setitik’ rosak susu sebelanga.
Dengan Bismillahirahmanirahim tanpa memandang pada lambang – lambang yang lain… Aku tunaikan tanggujawab aku sebagai rakyat Malaysia. Walaupun aku hanya wanita biasa, namun hatiku sekeras waja.
Demi masa depan anak -anakku, anak – anak bangsaku aku perlu cuba. Kali ini aku tidak lagi tertidur di riba ayah takala mendengar hujah – hujah bernas beliau. Sama – sama bersengkang mata kesubuh hari bersama ayah mendengar keputusan rasmi PRU 14 dan ianya tidak sia – sia.
Beliau sekali lagi diberi mandat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Semoga beliau berjaya membawa Malaysia kembali gah dimata dunia. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur.
Sesebuah kerajaan akan terus disokong dan tidak perlu bimbang kalah pada pilihan raya sekiranya ia benar-benar berkhidmat serta berprihatin terhadap nasib rakyatnya.
5 tahun bukan satu jangka masa yang lama. Kuasa mengundi ditangan kita. Kalau tidak suka, diam – diam kita ubah. Undikan rahsia.
Ini catatan ibu anak 3, Puan Rahimah Ahmad Akhirudin, tokey Gula-Gula Kurus yang terpaksa melalui detik getir dalam ‘labour room’ ketika bersalinkan anak bongsunya secara caesar (pembedahan). Biarpun ngilu membacanya, namun di hujungnya anda akan faham betapa besarnya pengorbanan seorang wanita ketika melahirkan.
Dari Mata Hati Seorang Ibu, Ikut Tingkap Kali Ke-3
“Anak pertama dan kedua keluar ikut tingkap. Jadi anak ketiga pun sama, awak pilih sahaja tarikhnya,” jelas doktor dengan tenang.
Aku tak tau nak menangis atau nak berlagak kuat. Siapalah boleh lupa kenangan pisau menusuk perut 7 lapis, disiat hidup-hidup demi melahirkan cahayamata kali ke-3. Serius ngiluuuuuu.
“Dan lagi satu, kalau rupa rahim tak elok, kita ikat mati je. Takut risiko untuk mengandung anak ke-4, boleh berlaku pendarahan,” bertubi-tubi pesanan doktor.
Mata ku mula kecil besar kecil besar. Badan makin tak berdaya, sungguh rasa terjelepuk macam nak pitam di situ juga. En somi dah mula bertanya soalan sains dengan doktor, fikiran ku pula melayang entah ke mana.
Tarikh keramat pagi 28 Julai 2011. Masih ingat lagi tatkala tubuh ini ditolak masuk ke bilik bedah. Kelihatan di satu sudut, tersusun rapi pisau bedah pelbagai saiz di atas tray. Ditepi nya seorang pemuda yang asyik mengelap satu persatu hinga terpancar kilauan tajam menusuk kalbu.
Memang prosedur sebelum dibedah, doktor bius akan beraksi dahulu. Saat inilah sebenarnye yang paling sakit, bila di cucuk di belakang, peritnya terasa hingga ke sum sum tulang. Auuuchhh.
Kepala ku mula terasa berat dan memeningkan. Loya ya amat hingga keluar muntah hijau, mujur doktor bius cekap menadah. Separa badan ku mula tidak memberi apa-apa reaksi, seperti hilang ibu jari kaki.
Ku lihat doktor bedah mula merapati ku. Membaca nama dan menerangkan situasi atas apa yang akan berlaku. Sempat juga aku mencelah.
“Doktor, jangan ikat mati peranakan saya, tanpa saya izinkan.” Itu sahaja yang terus bermain di kepala. Ianya lebih menyeramkan dari melahirkan si kecil ini. Aku tekad akan berjuang mati-matian tanpa tenggelam dalam kesakitan mahupun lambaian tidur.
Doktor mengangguk kepala dan terus mencapai satu demi satu pisau yang di hulurkan padanya. Segala itu belaku dibalik tirai putih, namun aku boleh bayangkan apa yang berlaku mengikut gerak tubuhnya. Cukuplah aku simpulkan ianya agak mencemaskan.
Walau pun begitu, aku gagal menahan air mata dari terus berderai satu persatu. Doktor bius tetap duduk disisi dan bertanya pening ke? Aku hanya diam membisu. Sebenarnya aku risau kondisi rahimku. Takut kena simpul mati.
Hampir 20 minit, memang boleh terasa banjirnya katil bedah tak bertilam itu dek sebaldi air mata ku. Sejuknya makin terasa. Doktor bius berbisik dan suruh aku bersabar, sikit lagi katanya.
“Tolak,” kata doktor pada assistant di sebelah. Bergegar rasa badan. “Sekali lagi. Lagi. Lagi.”
Ooooh mak, susah betul nak keluarkan baby yang kali ni. Seram jugak seingat yang pertama dan kedua cepat je dah dengar bunyi tangisan bayi.
Badan aku makin lemah. Mata dah makin kabur, namun ku gagahkan diri, takut disimpul mati.
Rasanya adalah lebih 10 kali percubaan assistant doktor ‘berguling’ dengan perutku. Rasa macam nak ku lututkan, mujur aku tak mampu mengangkat kaki, jika tidak nahas kau dikkk.
“Uweeeek,” tiba-tiba terdengar tangisan bayi menangis. Doktor masih tak berkata apa-apa, lelaki ke pompuan ke. Sihat ke. Bilik bedah itu terlalu senyap. Dan kemudian bayi tadi hilang dari penglihatan.
Aku masih pening. Namun ku gagahkan badan melawan ubat yang makin menenggelam aku ke lautan dalam. Perasaan ingin tahu dan risau makin kuat. Terasa ini satu penantian yang paling panjang,
“Rahimah, bahagian rahim awak masih ok, boleh untuk kali ke-4,” sebut doktor sebutir sebutir. Mungkin dia tahu aku dah makin lalok. Dan tatkala itulah air mata ku berderai laju tanda syukur pada Illahi.
Pertempuran di katil bedah ini berakhir dengan satu perasaan sedih dan gembira. Sedih untuk mengharungi berpantang sendiri tanpa mak, namun sujud gembira atas kehadiran bayi Imran dan tiada simpulan mati dalam diri ku lagi.
Yang ada hanyalah simpulan kasih sayang tak berbelah hati buat suami dan anak-anak tersayang.
Kalau tengok bayi comel, kita geramkan. Kadang tanpa sedar, ada pula mak ayah atau kenalan yang timang-timang. Sebab geram.. comel sangat! Lagi parah jenis penggeram yang timang tinggi-tinggi sampai cucur atap.
Walau kedengaran lucu, sebenarnya memberi gegaran kepada bayi yang masih kecil boleh mengundang bahaya pada mereka. Inilah yang berlaku pada Darwisy Hakimi ketika usianya 3 bulan 2 minggu.
Bayi comel ini dikejarkan ke hospital kerana alami muntah-muntah teruk, nafas bergerak laju, badan tersentak-sentak sehingga mata putih saja yang kelihatan ketika berada di taska. Waktu itulah dia alami sawan yang teruk.
Sebaik sampai di hospital, dengan rawatan kecemasan yang diberikan, doktor mengesahkan Darwisy alami Shaken Baby Syndrome (Sindrom Goncang Bayi).
Dari ujian scan ianya adalah Acute & Chronic Subdural Hematoma. Acute dan Chronic ada dua bermaksud Acute pendarahan yang berlaku 72 jam trauma sebelum kejadian dan Chronic pula 21 hari atau tiga minggu dan lebih trauma sebelum kejadian.
Otak Cuma Berfungsi 20%
Pendarahan di otak Darwisy pula berlaku di ruang paling atas otak manusia.
Kata ibunya, Saidah Abdul Aziz, 31 “Jika 21 hari ke tiga minggu lebih bermakna sejak saya habis pantang dan terus di hantar ke taska. Saya langsung tak perasan, adakah sesuatu berlaku pada anak saya ketika di taska. Atau mungkin saya penyebabnya kerana saya menggunakan buaian. Adakah saya membuat dengan laju?
“Saya tak salahkan sesiapa. Segala kemungkinan boleh berlaku. Barangkali saya ibu yang tidak bernasib baik yang menggunakan buaian dan anak jadi begitu.”
Sindrom Goncang Bayi yang dialami menyebabkan otak Darwisy cuma mampu berfungsi sebanyak 20% saja. Sebabnya, 80% lagi, otaknya sudah rosak.
Dari diagnos itu, Darwisy hanya akan mampu terlantar seumur hidup dan tak mampu buat apa-apa.
Kuasa Allah Tiada Siapa Boleh Menduga
Ibu dan ayah Darwisy tak pernah putus harap. Biarpun disahkan anaknya bakal terlantar, mereka tetap memberikan latihan rangsangan. Ikhtiar dan keazamannya begitu kuat.
Sejak masuk umur 3 tahun, Darwisy bebas dari serangan sawan. Badannya tak lagi kaku dan keras. Dalam takut-takut, dia boleh berjalan. Dia boleh memahami apa yang didengar.
Perkataan yang mampu dituturkan cuma 20 patah kata saja. Tapi bagi ibunya itu sudah membahagiakan. Itu kemajuan dari hasil terapi yang sarat usaha.
Nasihat Siti Saidah Abdul Aziz
“Biarpun dimaklumkan doktor keadaan anak kita. Jangan sesekali mengaku kalah. Doktor cuma menjalankan tanggungjawab memaklumkan dari sudut pandangan seorang doktor. Namun, kisah seterusnya Allah juga menentukan.
“Cari ikhtiar dan berusaha. Doa dan kasih sayang ibu tidak mustahil untuk menjadikan anak itu kuat dan mampu berdikari bak orang normal.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wartawan Mingguan Wanita pernah menemuramah ibu yang diuji dengan kanser tulang pada tahun 2007. Akbat implan yang dipasang di kakinya mengalami masalah, kaki sebelah kirinya terpaksa dipotong sehingga ke paras paha.
Rupanya di sebalik ujian kanser tulang, ibu muda ini, Noor Zeeda Abd Aziz (Zeeda Aziz) membesarkan seorang anak sulung yang disahkan alami autisme, Danish 13 tahun.
Boleh bayangkan tak mak ayah bagaimana kepayahan yang terpaksa ibu ini tanggung? Tapi, hebatnya wanita ini dia tidak mengalah dengan ujian hidupnya.
Anak autistiknya itu tidak dibiarkan. Dia mungkin tidak punya waktu untuk membawa anaknya berjumpa pakar kanak-kanak, tapi ibu ini sentiasa ada waktu untuk mendapat, memberi kasih sayang pada anak sulungnya itu.
Dan di bawah abang sulung ini, ada lagi dua orang anak lain yang perlu diberi perhatian iaitu Deana, 11 dan Dafique, 9 tahun
“Sejak kecil, anak saya menunjukkan ciri-ciri autistic child tapi saya tak pernah bawa dia untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.
Bukannya tak nak bawa jumpa child psychologist, tapi kebanyakan masa saya dihabiskan di hospital untuk rawatan kanser tulang.
Danish menunjukkan sensory problem sejak dari dalam kandungan. Bunyi telefon berdering, dia menendang. Bunyi blender, vacuum cleaner, hair dryer pun boleh buat bergoncang perut saya.
Selepas lahir, dia tak boleh ditinggalkan seorang diri walaupun seminit. Babycot tu beli saja, guna tak pernah. Kalau dia tidur, satu rumah kena tip toe bila berjalan. Terhentak sikit je tapak kaki, bangun lah dia.
Dia bayi yang baik diam kalau saya kepit je dia. Tapi dia boleh menangis (melalak) non stop for hours kalau saya letak dalam car seat.
Ini Yang Danish Tak Pernah Buat
Sepatutnya bila masuk usia 6-7 bulan, bayi sudah mula belajar memasukkan tangan atau mengutip apa saja untuk masuk ke mulut. Yang ini Danish tak pernah buat. Hatta biji Tic Tac warna warni pun tak dipedulinya.
Dia juga skipped merangkak. Terus duduk, berdiri, berjalan. Umur 8 bulan melangkah, 10 bulan dah berlari. Progress paling cepat berbanding anak-anak saya yang lain.
Pertuturan dia juga lebih cepat dan sangat pandai menyusun perkataan. Kalau dia salah atur ayat, dia sendiri betulkan.
Bila Danish dah boleh berjalan, tangannya tak pernah letak di tepi paha. Mesti nak pegang semua benda yang ada di laluannya. Mendepang tangan usik railing, usik orang, usik apa boleh.
Selain itu dia ada separation anxiety. Tak boleh jauh dari saya. Dia akan shutdown. Zero communication.
Walaupun dah besar (tahun ni form 1), dia masih ada meltdown. Ikut suka dia je nak nangis kat mana pun. Hat ni la saya kena banyak-banyak sabar. Especially bila outing di luar, tak boleh ada orang lain duduk sebelah saya melainkan dia. Abahnya nak duduk pun tak kasi.
Danish Obses Dengan Pertukangan Dan Blok
Ciri-ciri fizikal masih nyata. Selipar yang dipakainya tak disarung sempurna. Senget macam mana ntah. Tumitnya juga tak jejak tanah kalau berjalan.
Danish obses dengan kerja yang melibatkan pertukangan dan blok. Cita-cita dia, nak jadi tukang kayu.
Sekarang ni saya risaukan masalah linguistik dia. Result terakhir sebelum tamat sekolah, cuma 10%. Yang lain bagus. Jenuh ajar dia untuk buang ketakutan/malu/anxiety tapi macam tu juga. Emas dalam mulut, cikgunya kata.
Masuk Sekolah Berasrama Penuh, Kami Semua Risau..
Selepas sebulan berkongsi catatan hati dengan grup Autisme Malaysia, ibu ini diberikan kejutan indah dari anaknya Danish.
Alhamdulillah Danish lulus ujian psikometrik UKSBP dan diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains berasrama penuh di Kangar.
Tahu sahaja Danish terima tawaran SBP, cikgu sekolah rendah dia risau, makcik, opah, dan sesiapa yang kenal dia semua jadi tak tentu arah. Boleh ke Danish survive di asrama? Pandai ke dia urus diri. Gosok gigi, syampu dan sabun ketika mandi pun perlu diingatkan setiap kali. Tak suruh tak buat le.
Macam mana dia nak guna public phone, reti ke dia. Makan ke tidak si Danish ni kalau lauk tak kena selera.
Di rumah, bangun tidur setiap hari mommy kena kejutkan. Kalau tak buat begitu, tidurlah sampai ke tengahari. Abis, di asrama nanti sapa yang nak bangunkan dia?
Ini Kejutan Danish Selepas 3 Hari Di Asrama
Selepas 3 hari di asrama…, Danish berjaya mengejutkan kami semua.
Elok pula rambutnya bersyampu, gigi bersih digosok. Pandai pula dia makan lauk bergulai yang tentu-tentu ada bawang (dia muntah kalau ada bawang).
Yang paling best, dah pandai outing dengan kawan² dorm, makan KFC di bandar. Selama ni, nak suruh order burger di stall tepi jalan pun, keras macam patung H&M.
“Lega mommy ni. Anak yang tak tahu potensinya di mana, kini dah berada bersama kelompok pelajar cemerlang dari serata Malaysia.”
Semoga Danish mampu mencipta sejarah yang hebat, mungkin setanding dengan Prof. Temple Grandin. Ameen..
"Anak Yang Baik Tapi Penuh Teka Teki, Sukar Dijangka” itulah antara ungkapan yang ditulis oleh selebriti popular Abby Abadi buat anak perempuannya Marissa Dania....