Tak dinafikan gigi anak-anak yang rosak dan bermasalah juga berpunca daripada ‘kesilapan’ mak ayah sendiri yang gagal menjaga gigi anak dengan sempurna. Kegagalan menjaga gigi anak ini seperti menzalimi anak sendiri, bila mana menjadi rapuh, rosak, bengkak bernanah sehingga terpaksa dicabut pada usia yang masih kecil. Kerosakan pada gigi boleh menyebabkan anak sukar makan, bercakap malah boleh menghilangkan keyakinan diri mereka.

Penting mak ayah, mengambil berat pemakanan dan penjagaan gigi anak. Biasakan dan latih anak-anak memberus gigi selalu untuk memastikan gigi mereka kekal bersih dan sihat.

Jemput baca dan fahamkan perkongsian pengalaman peribadi daripada Doktor Gigi ini, Dr Abdul Rahman Fauzi sebagai panduan.

Jangan biar anak terdera kerana gigi. Ini gambar anak sulung saya Umar dan adiknya Hanan. Apa yang berbeza tentang dua-dua anak saya ini? Muka?Kening?Hidung? Rambut? Mata?

Jawapannya terang lagi bersuluh! Gigi!

Gigi Hanan adalah manifestasi usaha saya menebus semula kesilapan saya semasa membesarkan Umar. Sewaktu Umar lahir, saya masih belajar dalam tahun 3 ijazah. Isteri pun sama. Kehidupan kami sangat sibuk dengan pelajaran dan tidak dapat menumpukan perhatian pada penjagaan makanan dan gigi Umar.

Kesannya, pada usia setahun lebih, gigi depan Umar mula menjadi warna coklat kekuningan dan rapuh.Sedikit demi sedikit gigi mereput dan patah. Dan beberapa kali juga bengkak bernanah kerana dah agak teruk. Akhirnya selepas Umar dah masuk 5 tahun, gigi susu pertamanya telah dicabut. Dan masuk 6 tahun, semua gigi susu kacip atas terpaksa dicabut kerana sudah bernanah.

Kesukaran Makan & Bercakap

Walaupun Umar nampak tak kisah, tapi nampak kesukarannya untuk makan dan bercakap. Dan saya berdoa moga kawan-kawannya di sekolah tidak mengejeknya kerana tiada gigi. Kesian. Disebabkan kecuaian saya, gigi susunya terpaksa dicabut lebih awal daripada waktu sepatutnya. Saya bernasib baik kerana gigi belakang dan gigi bawah lain tidak ada yang rosak.

Apabila Hanan lahir, sudah tentu antara azam saya untuk jaga giginya sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi saya sudah bekerja sebagai doktor gigi. Urusan penjagaan gigi anak-anak, saya ambil tanggungjawab sepenuhnya. Saya tidak harapkan isteri saya untuk buat. Kerana bagi saya, kalau tak jaga gigi anak, adalah seperti menzalimi anak sendiri.

Kerana kita yang beri mereka makan.

Kita yang perkenalkan mereka makanan dan minuman manis.

Tapi kenapa apabila bab memberus gigi, kita nak salahkan anak kita yang malas?

Anak-anak kita masih terlalu kecil untuk memberus gigi sendiri. Umar umur 6 tahun pun belum mampu pegang berus gigi dengan betul. Apa yang boleh kita harapkan daripada anak sekecil 2 tahun untuk jaga giginya?

Susah memang susah. Semua ibu bapa akan lalui. Umar dan Hanan, mula-mula nak gosok memang meraung menangis. Tapi apabila dah terbiasa, mereka akan tawarkan diri, ambil berus dan ubat gigi sendiri untuk saya berus gigi mereka. Saya tabik pada ibu bapa yang begitu konsisten menjaga gigi anak-anak mereka. Anda memang terbaik!

Latih Anak Berus Gigi

Apa tips terbaik untuk latih anak berus gigi?

1. Mulakan Dari Awal

Sebelum gigi tumbuh, biasakan lap gusi guna kain. Apabila gigi anak mula tumbuh, boleh bersihkan guna berus jari atau kain. Biasanya gigi susu akan mula tumbuh pada usia 6 bulan. Anak yang hanya menyusu memadai hanya dilap dengan kain. Nak berus pun biasanya saiz gigi terlalu kecil.

2. Waktu Guna Berus Gigi Dan Ubat Gigi

Guna berus gigi dan ubat gigi apabila mereka sudah pandai meludah. Tapi kalau keadaan gigi anak sudah ada warna coklat kekuningan(tanda-tanda awal karies), boleh mula guna ubat gigi untuk kanak-kanak lebih awal. Kalau risau tertelan, guna ubat gigi yang rendah kandungan fluoridanya tidak kurang daripada 1000ppm. Jangan guna yang tiada langsung fluorida kerana ia tidak banyak membantu. Dah habis gosok, suruh anak ludah. Kalau anak tak pandai ludah, lap sikit.

3. Berus 2 Kali Sehari

Semasa mereka mandi pagi sekali dan sebelum tidur. Anak saya Hanan biasa tidur dengan botol susu. Saya akan pastikan sedaya upaya untuk gosok giginya juga sebelum tidur. Kalau dia dah minum susu dulu, ambil botolnya dan gosok giginya sebelum bagi dia minum susu balik. Dan sebaiknya, apabila dah tertidur, tarik botol daripada mulutnya. Jangan bagi anak gonggong puting botol susu masa tidur kerana ia akan meningkatkan risiko karies gigi.

4. Bawak Berus Dan Ubat Gigi Di Mana Sahaja

Pergi ke mana-mana, jangan lupa bawak berus dan ubat gigi. Ini kena disiplin. Kita kadang-kadang bila balik kampung dan melancong kita tidak disiplin dengan penjagaan gigi anak-anak. Kalau 10 orang anak, bawaklah semua 10 berus gigi tu. Kalau tertinggal, beli je baru.

5. Bagi Banyak Minum Air Masak

Anak saya juga makan dan minum yang manis. Tak salah tapi kena kawal. Bagi mereka banyak air masak. Yang penting gosok gigi tu wajib.

Ada yang tanya kalau gigi anak saya dah teruk macam mana? Tak sampai 4 tahun lagi.

Tak perlu rasa down. Anggaplah semua tu kekurangan kita. Mula-mula bawak lah anak le klinik gigi untuk buat pemeriksaan menyeluruh. Mungkin ada yang patut dirawat. Dapatkan nasihat tentang penjagaan gigi anak kita daripada doktor gigi yang bertauliah.

Berazam Jaga Gigi Kekal Anak

Tahukah anda gigi kekal pertama akan tumbuh sekitar umur 6 tahun? Berazamlah untuk jaga gigi kekal anak kita sebaik mungkin. Ini masanya untuk betulkan balik kesilapan kita.

Yang dah rosak macam mana? Teruskan jaga seperti biasa. Kalau ada masalah, jumpa doktor segera. Rajin-rajin lah periksa gigi anak anda
sendiri.

Tengok gigi anak lengkap, bersih, tiada lubang merupakan satu anugerah tak ternilai. Mulakan dari sekarang.

Biarlah gigi kita sendiri mungkin tak sempurna, tapi jangan biarkan anak kita mewarisinya.

Kerana kita mampu mengubahnya.

~Saya sertakan jadual pertumbuhan gigi susu, waktu gigi susu patut luruh dan jadual pertumbuhan gigi kekal untuk rujukan anda.

Jadual gigi susu tumbuh(erupt) dan luruh(shed)
Jadual pertumbuhan gigi kekal

-Dr AR-
Klinik Pergigian Al-Huda Balok

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat mak ayah agar menjaga gigi anak-anak agar terus kekal sihat.

Sumber: Dr Abdul Rahman Fauzi