Wahai mak-mak yang sedang mengandung di luar sana, ingatlah. Walau seteruk mana pun pekerjaan anda, ajarkanlah diri agar tetapkan dalam kepala ‘Kalau penat.. berehatlah’.
Masa hamil inilah ibu kena banyak berehat dan tenang fikiran. Kerehatan itu bukan sebab baby dalam perut semata-mata tapi kesihatan diri anda itu yang paling utama. Bila ibu sihat, bayi pun sama-sama jadi sihat. Dan sebaliknya yang jadi jika ibu tak cukup rehat atau keterlaluan penat.
Inilah kisah benar yang terjadi pada Puan Zalmah Mat Amin ketika mengandungkan anaknya yang kedua. Kisah yang berlaku pada 20 November 2016 ini merobek hatinya. Menyedarkan banyak hal akan apa yang telah dilaluinya.
Inilah catatan beliau yang mana ia bertujuan untuk memberi pengajaran buat mak-mak yang ketika ini sedang mengandung. Bukan tujuan mahu menakut-nakutkan, tapi ikhlas mahu memberi kesedaran ‘KALAU PENAT, BEREHATLAH MAK-MAK MENGANDUNG’
Saya Usap Perut Sambil Menangis
Assalammualaikum dan salam sejahtera ibu-ibu dan bakal ibu semua. Kisah yang saya nak kongsikan ini berlaku pada 29 November 2016.
Ambillah sebagai ikhtibar dengan apa yang berlaku pada anak kedua saya. Waktu itu, kakaknya berumur 3 tahun lebih.
“Pada permulaan preggy yang kedua, condition kesihatan saya tip top. So happy sangat sebab masa mengandung kaka dia, saya ada diabetes dan darah tinggi. Tapi under control lagi.”
Ads
Ketika mengandung kali itulah pelbagai masalah dan ujian menimpa hidup menyebabkan saya stress dan teramat penat.
“Dalam bulan 3 doktor detect saya ada darah tinggi dan kencing kotor. Pernah kena stay 3 malam di HKL. Kena makan ubat darah tinggi pun iya.
“Masalah-masalah saya itulah menyebabkan saya menjadi terlalu berdikari. Hingga terlupa yang saya ini mengandung.”
Walau terlalu penat, saya gagahkan diri hingga terlupa baby saya pun dah terlalu penat di dalam. Saya selalu usap-usap perut saya menangis agar anak saya bertahan.
Ads
Baby dalam kandungan beliau ternyata begitu aktif. “Dia menendang-nendang tak kira waktu.”
Pakar Maklumkan Saya Dan Baby, 50-50
Sampailah bulan November, kandungan beliau dah memasuki 7 bulan. Masa itulah, dia sedar yang baby dalam perut kurang bergerak.
“Saya pergi ke klinik dan akibat darah tinggi, saya dirujukkan ke hospital. Saya pilih Hospital Serdang sebab dekat dengan rumah. Dan akhirnya saya diwadkan.
“Ubat darah tinggi dan sawan ikut saluran darah diberikan, segala pakar masuk menemui saya dan memaklumkan condition saya 50-50.
Ads
“Baby saya tak mampu survive hingga cukup bulan. Air ketuban yang kurang dan kalau diteruskan dua-dua akan OUT!. So doktor pilih ibu. Masa itu hujan air mata selebat-lebatnya.
Saya merayu pada doktor buatlah sehabis baik untuk selamatkan anak saya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.
“Baby saya pergi juga meninggalkan saya dan dunia ini. Tenanglah sayang di sana bertemu Penciptamu. Tidak sedetik pun Mama melupakan Sayang dan Mama terlalu ingin bertemu Sayang.
“Mama titipkan salam rindu buat sayang setiap kali lepas solat. Mama terasa sangat ikatan antara kita walau kita di alam berbeza.”
Ingatlah Pesan Ini Mak Mengandung.. BEREHATLAH!
Sebenarnya terlalu banyak yang ingin saya kongsi. Tapi cukup untuk kali ini buat bakal-bakal ibu, jagalah kesihatan baik-baik.
Jangan buat kerja berat-berat.
Makan ubat ikut waktu.
Jangan cuba-cuba skip ubat.
Rehatlah secukupnya.
Buat anakku arwah Putra Muhamad Firas Firdawsi, Mama bangga memiliki Sayang. Doakan Mama tabah menghadapi ujian-ujian hidup yang sementara ini. Sayang berkorban untuk Mama di sana. Mama, Papa dan kakak Mayra sangat merindui sayang.
Adik maskot minion Teluk Cempedak sanggup berpanas, berusaha keras cari rezeki sebak terima hadiah motor. Sememangnya semangat adik yang tular mencari rezeki dengan menyarung maskot minion begitu gigih mencari rezeki.
Dia sanggup berpanas demi sesuap nasi. Malah menerusi video yang tular di tik tok aksi lucu adik ini juga mengundang sebak. Dia menghiburkan orang ramai demi membantu keluarga tercinta.
Adik Maskot Minion Teluk Cempedak Berpanas
Adik yang berasal dari Rompin itu sanggup bekerja di Kuantan untuk membantu keluarga mencari rezeki.
Walaupun baru berusia 19 tahun namun dia sudah memikul tanggungjawab yang berat
Seperti mana dikongsikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew, pihaknya berbesar hati membantu adik tersebut dengan menghadiahkan sebuah motor Ego Avantiz bagi memudahkan pergerakan adik ini untuk mencari rezeki.
“Hadiahkan Motor Ego Avantiz pada Minion Teluk Cempedak Kuantan yang tular di tik tok. Sebak dengar kisah adik ni.
Aksi lucu adik ni mengundang rasa sebak yang melihatnya di Tik tok. Setiap hari mencari rezeki jadi minion dari 5 petang sampai 12 malam. Menghiburkan orang lain disana. Saya pernah pakai maskot sejam je dah rasa macam tak bernafas. Panas lagi. Hebat adik ni. Suka tengok anak muda kuat berusaha cari rezeki.
Jalan Kaki, Naik Bas Untuk Hiburkan Orang
Adik ni dari Rompin. Bantu keluarga. Baru 19 tahun. Baik je adik ni. Sewa bilik dengan kawan di Kuantan. Jalan kaki, naik bas, kadang rehat je di Teluk Cempedak ni. Allahuakbar.
Kadang sedih juga. Bila penat sangat rindu mak. Tiba-tiba dia sedih. Nak tolong keluarga. Bila bagi motor dia terkejut dan gembira sangat. Ramai yang ada disitu turut rasa sebak tadi.
Begitulah rezekikan. Bila Allah beri tiada siapa dapat tahan. Jika Allah tak izinkan pasti tidak akan berlaku. Dialah Allah pemilik segalanya,” kongsi Ebit.
Dalam mendidik anak-anak, adalah penting bagi mak ayah meningkatkan kemahiran tersebut terutamanya daripada orang yang lebih berilmu dan berpengalaman dalam bidang keibubapaan. Dalam hal ini, 11 pesanan penting daripada pakar motivasi terkenal Profesor Dato Dr. Muhaya Muhammad boleh dijadikan panduan buat mak ayah dalam mendidik anak-anak.
1. Kirimkan Bacaan Al Fatihah
Jika tiba-tiba teringatkan anak, kirimkan bacaan Al Fatihah. Sampai ke ayat “iyyakanakbudu waiyyakanastain” – yang ertinya “Hanya kepada Mu kami sembah dan hanya padaMu pohon pertolongan” mintalah apa-apa hajat masa itu yang ada hubung kait dengan anak yang kita ingat.
Habiskan bacaan surah Al Fatihah, doakan semoga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanfaat dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.
2. Doa & Pandang Wajah Anak
Pandang wajah anak semasa dia tidur dan ucapkan bahawa, “ibu hendak (nama anak) jadi anak yang soleh sayang!. Cubalah amalkan sewaktu anak tidur kerana waktu ini kita sedang bercakap dengan rohnya. Setiap ucapan ini adalah doa dan Allah Maha mendengar lagi maha melihat.
3.Solat Hajat Di Sisi Anak
Ketika bangun solat malam, solatlah hajat di sisi anak. Solat dalam bilik anak, dekat dengannya. Jika kita selalu melakukannya dan selalu memberitahu anak yang kita sering mendoakannya, dia akan merasai satu ikatan kasih sayang hakiki yang kita amat sayangkan dirinya serta mahu dia menjadi anak soleh.
4. Minta Dikasihani
Ucapkan setiap masa bahawa kita sedang menunggu panggilan Allah. Jika dia tak menjadi anak yang soleh bermakna dia tak sayangkan ibu bapanya dan tentunya kita akan merana di alam barzah nanti.
5. Peluk Dan Cium Anak Selalu
Selalu peluk anak walaupun dia sudah besar, sebagaimana kita menatangnya semasa kecil. Peluk dan cium sambil bisikkan padanya yang kita bangga mempunyai anak sepertinya.
6. Maafkan Anak
Maafkan anak setiap masa walaupun perbuatannya amat melukakan hati. Muhasabbah diri, mungkin kesilapan yang anak lakukan itu adalah kerana dosa-dosa kita di masa lampau.
7. Jaga Tutur Kata & Minta Maaf
Jaga tutur kata kita, jangan sekali-kali ucapkan perkataan yang boleh melukakan hati anak. Jika ini berlaku kerana tidak sengaja, cepat-cepat cari masa yang sesuai untuk minta maaf pada anak. Mengakulah itu kelemahan kita tapi kita marah kerana dia buat salah, bukan bermaksud membenci.
8. Amalkan Membaca ayat 40 Surah Ibrahim
Supaya kita, anak dan zuriat termasuk dalam golongan orang-orang yang tetap mendirikan solat. [Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.]
9.Tekankan Kemuliaan Peribadi
Selalu ingatkan anak bahawa tidak guna ada pangkat, belajar tinggi, hatta menghafal Quran sekalipun jika tidak mempunyai peribadi yang mulia. Allah tak memandang wajah yang cantik tapi memandang hati yang cantik. Allah tak sayang, manusia pun tak suka.
10. Berdoa Ketika Membasuh Beras
Sewaktu membasuh beras niatkan “Ya.. Allah lembutkanlah hati anak-anak ku sebut nama dia…..untuk faham agamanya.” Kenapa anak perlu faham agama? Kerana anak yang tak faham agama boleh bawa ibu bapanya juga ke neraka.
Basuh beras lawan jam ( seperti bertawaf ) sambil selawat kepada Nabi Muhamad S.A.W. Sewaktu melakukannya kerja ini hati jangan lalai dan ingat kepada Allah selalu.
11. Ucap Kata-Kata Positif
Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi kata-kata positif kepada anak. Apabila memarahi anak-anak, jangan sesekali mengeluarkan kata-kata negatif. Tindakan ini membuatkan anak jadi seperti yang kita ucapkan.
Sumber:Prof Dato’Dr Muhaya
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dahulu, dialah paling rapat, peneman dan teman berbual setiap kali ibunya sibuk menyiapkan tempahan kuih muih. Dialah juga orang pertama yang akan merasa masakan ibunya.
Memori-memori inilah yang akan dikenang dan tidak dapat dilupakan bagi seorang ibu, Raja Rasiah Raja Ibrahim, 48 tahun, terhadap anak keduanya, anak yang paling rapat, Mohd Amier Firdaus Mohd Hijazi, 19 tahun.
Kini, anak manja dalam keluarga ini hanya terlantar di katil, tidak mampu berbuat apa-apa dan perlu diuruskan oleh keluarganya. Semua ini akibat kemalangan yang berlaku empat tahun lalu.
Nampak Perubahan
Menurut Raja Rasiah, kemalangan itu berlaku pada 16 November 2015, semasa Mohd Amier Firdaus atau dipanggil Abe Ngoh berusia 15 tahun.
“Saya boleh katakan Abe Ngoh seorang anak yang baik. Habis sahaja sekolah, dia akan terus pulang ke rumah dan kebanyakan masanya dihabiskan di rumah.
“Namun, dua hari sebelum kejadian tersebut, Abe Ngoh ada menunjukkan kelainan dengan berpakaian serba baru, sehinggakan saya sendiri tertanya-tanya dengan gayanya itu.
“Pada hari kejadian itulah, Abe Ngoh meminta izin pada saya untuk keluar bersama kawan-kawan ke tempat perkelahan di Telaga Bijih, Batu Gajah. Tanah Merah. Mereka menaiki dua buah motosikal. Sampai di tempat itu, Abe Ngoh hanya membasuh muka dan terus mengajak kawannya pulang. Katanya, dia ingin pulang untuk makan nasi di rumah,” cerita Raja Rasiah tentang kejadian itu.
Dua Jam Tunggu Bantuan
Cerita Raja Rasiah lagi, semasa dalam perjalanan pulang itu, motosikal yang dinaiki oleh Abe Ngoh berselisih dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan. Bagi mengelakkan kemalangan, motosikal Abe Ngoh melencong ke bawah jurang.
“Bila terjatuh, kawan Abe Ngoh merangkak naik ke atas untuk meminta bantuan kerana sebuah lagi motosikal sudah meluncur ke hadapan. Cukup menyedihkan dalam tempoh dua jam, kawan Abe Ngoh cuba meminta bantuan orang yang lalu lalang tetapi tidak ada seorang pun yang sanggup berhenti untuk menghulurkan bantuan. Ini kerana tempat kejadian itu adalah kawasan yang agak sunyi dan ramai orang tidak berani untuk berhenti di situ.
“Sehinggalah, ada seorang pakcik yang sanggup berhenti selepas melihat kawan Abe Ngoh menangis. Dalam tempoh menunggu bantuan itu, Abe Ngoh sudah tidak sedarkan diri.
“Mereka di hantar ke klinik berdekatan. Namun, selepas membuat pemeriksaan, doktor meminta mereka di rujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan. Melihat keadaan Abe ngoh yang tidak sedarkan diri, dia dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut. Pada masa itulah, kawan-kawan Abe Ngoh menelefon saya untuk memberitahu kemalangan yang menimpanya,” kata Raja Rasiah mengingatkan detik-detik itu.
Sudah Jatuh Ditimpa Tangga
Di HUSM, Abe Ngoh dirawat selama empat bulan dan dalam tempoh itulah, dia langsung tidak sedarkan diri.
“Saya, suami dan anak-anak berkampung di hospital itu, kebetulan cuti sekolah dan sukar untuk saya dan keluarga berulang alik. Kereta menjadi tempat tidur kami anak beranak. Mungkin tiada rezeki kami, kereta kami telah dicuri ketika menjaga Abe Ngoh. Semua barang di dalam kereta lesap.
Bagai jatuh di timpa tangga. Selepas mendapat kebenaran untuk membawa pulang Abe Ngoh ke rumah, sekali lagi Raja Rasiah dirundung sedih kerana dihalau oleh tuan rumah sewanya. Maklum sahaja selama empat bulan, dia tidak balik ke rumah dan tidak mampu membayar sewa rumah.
“Semua barang kami diletakkan di luar rumah dan ada barang kami di curi. Hanya yang tinggal barang-barang lusuh sahaja. Saya menumpang seketika di rumah kakak ipar di Tanah Merah. Lagipun, duit simpanan kami habis digunakan sepanjang berada di HUSM,” katanya dengan nada sedih.
Bina Hidup Baru Kembali
Bukan sahaja tiada tempat untuk berteduh, anak yang cukup disayangi terlantar sakit dan duit simpanan pula habis digunakan. Raja Rasiah seolah-olah bermimpi dan hilang segalanya dalam sekelip mata. Pernah satu masa, dia dan keluarganya tidak mampu membeli telur walaupun berharga RM2.
Dia tersentap dan perlu bangkit untuk membina hidup baru. Mujurlah dengan kudratnya itu, dia mencari rezeki dengan menerima tempahan kuih muih dan mendapat rumah hasil permohonannya dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Tanah Merah.
Di rumah itulah, dia dapat menjaga Abe Ngoh dengan lebih baik dan dengan sedikit wang yang dikumpul, dia bersama suami membuka gerai makan di depan rumah dengan menjual mi celup dan masakan panas bagi menampung perbelanjaan keluarga sejak setahun lalu.
“Dengan rezeki berniaga inilah, anak-anak saya dapat ke sekolah dan membeli keperluan untuk Abe Ngoh,” katanya lagi.
Tidak Mampu
Berbalik kisah anak keduanya ini, Abe Ngoh yang sudah terlantar empat tahun, Raja Rasiah dapat melihat perubahan dan perkembangan Abe Ngoh.
“Dari sehari ke sehari, saya lihat keadaan dia semakin uzur. Mungkin kerana saya menyekat pengambilan susu khas yang perlu diambilnya setiap hari. Kalau dahulu, Abe Ngoh akan minum susu khas sebanyak lapan skop setiap empat jam sekali.
“Kini, saya terpaksa kurangkan kepada lima skop sahaja. Saya terpaksa buat begini kerana tidak mampu untuk membeli susu. Sekurangnya satu tin mampu bertahan selama tiga hari,” katanya yang bergilir-gilir dengan anak perempuan untuk memberikan susu pada Abe Ngoh.
Tambah Raja Rasiah lagi, walaupun dia menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan namun perbelanjaan untuk tampung kos beli susu khas dan lampin pakai buang untuk Abe Ngoh tidak mencukupi.
Jika sebelum ini, Abe Ngoh tidak menunjukkan tindak balas. Kini, ada sedikit perubahan, di mana dia akan terkejut apabila dengar bunyi yang kuat. Tetapi bila terkejut atau batuk pun dia boleh kena sawan.
“Bila dia terkejut itulah, saya akan cepat-cepat memeluknya supaya sawan tidak menyerang,” katanya lagi.
Anak Yang Baik
Ketika ditemubual melalui telefon, sempat penulis bertanya tentang perkara yang sangat dirindui semasa Abe Ngoh sihat sahulu.
Dengan nada sedih, Raja Rasiah mengatakan dia rindu saat-saat Abe Ngoh menjadi teman berbual semasa dia menyiapkan tempahan kuih muih. Dia rindu untuk melihat Abe ngoh merasa masakannya. Dia rindu untuk melihat Abe Ngoh datang dan baring di lengannya. Dia rindu untuk mendegar permintaan Abe Ngoh supaya dipotongkan kuku dan dibersihkan telinganya.
“Dia anak yanga baik, manja dan tidak pernah menyusahkan ibu bapanya. Dia sanggup berusaha mencari duit poket untuk membeli barang yang diinginkan,” katanya dengan nada sebak.
Harapkan Keajaiban
Ditanya keadaan Abe Ngoh yang hanya mampu terlantar itu, apa yang diberitahu oleh doktor adalah kerana dia terlalu lama dibiarkan tanpa rawatan semasa kemalangan tersebut sehinggakan oksigen habis dan tidak dapat disalurkan ke otak.
“Doktor memberi tempoh selama enam bulan untuk Abe Ngoh kembali sihat. Jika lebih daripada tempoh ini, semuanya atas keajaibanNya.
“Saya tahu, dalam tempoh empat tahun ini tiada perubahan yang berlaku pada Abe Ngoh. Tetapi saya tetap berharap dan tidak henti berdoa agar Abe Ngoh sedar kembali. Walaupun tidak sempurna, sekurangnnya dia dapat bercakap dan kenal ahli keluarganya,” katanya penuh pengharapan.
INFO
*Selain Abe Ngoh, Raja Rasiah mempunyai dua anak perempuan iaitu Putri Amiera Nurfarisya, 16, dan Putri Amiera Nurfatiha, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2. Namun, dua anak ini seperti memahami keadaan keluarganya dan kerap tidak ke sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar duit tambang van RM4 sehari.
*Raja Rasiah turut mengalami masalah jantung dan kebas tangan kanan. Manakala suaminya, Mohd Hijazi Ismail, 56 tahun, juga tidak mampu melakukan kerja berat ekoran mengalami penyakit kencing manis kronik.
*Bilik yang menempatkan Abe Ngoh sangat kecil dan muat untuk dirinya sahaja. Cuba berusaha untuk besarkan bilik tetapi masih terbengkalai.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 011-17924802 atau menerusi akaun Bank Rakyat 221191118221 (Raja Rasiah Raja Ibrahim).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...