Tak pelik pun sebab masih ramai suami yang gagal nak menjaga isteri lepas bersalin. Ada yang serah isteri pada orang tua untuk dijaga dan ada juga yang biarkan isteri berpantang sendiri di rumah tetapi suami gagal untuk memahami apa yang patut ditolong sebenranya.
Nah, sebelum jadi kes isteri meroyan atau ‘penderaan emosi’, jemput baca perkongsian saudara Najmi Nawawi ini…
Lepas Isteri Bersalin, Suami Wajib Tahu
1. Buang air besar dan kecil akan jadi sangat sakit. Lepas bersalin bahagian perineum akan menjadi sangat sensitif.
2. Isteri mungkin akan buasir tapi jangan risau, lama-lama ianya akan pulih kembali dan baik. Pastikan isteri makan makanan yang membantu sistem penghadaman.
3. Nak perut isteri kurus dan kempis balik bukan magic. Memanglah baby dah keluar. Tapi tetap akan ambil masa, insyaAllah dalam 5-6 minggu untuk kembali asal.
Ads
4. Rambut memang akan gugur, rumah akan ada banyak rambut isteri berguguran. Kesan dari hormon estrogen yang turun mendadak. Dalam masa setahun akan pulih. Tolonglah sapu rambut tu, jangan biar je.
5. Yes. Berpantang memanglah macam biasa. Tapi jangan melampau sangat sampai air kosong pun tak bagi minum. Hati-hati, dan banyak dapatkan nasihat doktor.
Ads
6. Baby Blues boleh berlaku lepas bersalin. Faham-faham je, hormon yang tak stabil akan buat emosi pun tak stabil. Tapi kalau berlarutan lama sangat, kena dapatkan nasihat doktor takut jadi Post Partum Depression.
7. Luka bersalin (koyakan) memang tak dinafikan dasyat tapi kena ingat juga luka emosi dan dalaman jiwa isteri juga perlukan rawatan dan sokongan yang berterusan.
Ads
8. Otot bahagian abdomen isteri memang akan melonggar. Ambil masa untuk kuat kembali. Nanti sokong isteri dalam usaha menguatkan otot setelah 3 bulan selepas bersalin. Boleh tanya doktor, senaman yang sesuai.
9. Jangan marah isteri kalau nampak sedikit berisi berbanding sebelum ini. Lemak yang ada akan digunakan sebagai simpanan tenaga untuk penyusuan. Ambil masa untuk kembali ke bentuk asal, setelah 9 bulan mengandung. Jangan push untuk kurus. Beri motivasi serta sokongan.
10. Jika isteri anda bersalin melalui kaedah caesarean, pasti akan mengalami masalah sukar untuk bergerak pada mulanya akibat luka yang sakit. Tapi jangan sampai larang isteri untuk tidak bergerak langsung. Bergerak itu penting, bagi memastikan pengaliran darah yang baik.
Tolong sebarkan pada semua, terutama yang sedang menanti anak pertama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pastinya mengimpikan kehidupan bersama hingga ke hujung nyawa. Tapi kita sebagai manusia hanya mampu merancang, selebihnya Tuhan yang menentukan.
Perkenalan Darmawatie Alwi Hendrick, 37 dengan bekas suami 10 tahun yang lalu menerusi salah seorang saudara telah membibitkan rasa cinta antara dia dan pasangan. Lalu keputusan diambil untuk menghalalkan hubungan yang ada dengan sebuah ikatan perkahwinan yang suci.
Disangka langit selalunya cerah, tapi ternyata hujan di tengah hari. Perkahwinan yang terbina hanya mampu bertahan selama lapan tahun sahaja. Meski pahit untuk ditelan, sementelah pula wanita yang lebih mesra dengan panggilan Watie ini tidak bekerja ketika berpisah, namun kehidupan perlu diteruskan. Dua orang puteranya hasil perkongsian hidup bersama bekas suami perlu dijaga dan diberi kasih sayang demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.
“Saya berkenalan dengan bekas suami melalui anak saudara saya. Setelah berkawan dan ada keserasian kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Tapi jodoh kami tak panjang, tiada lagi persefahaman antara kami berdua, mahligai yang dibina hanya bertahan selama lapan tahun sahaja,” ujarnya memulakan cerita.
Anak-anak Terkesan
Mempunyai dua orang anak lelaki yang masih kecil dan rapat dengan bekas suaminya dahulu, ketika mula-mula berpisah keadaan cukup meruntun hati Watie setiap kali anak-anaknya bertanyakan tentang ayah mereka.
“Pada permulaan, anak-anak memang selalu bertanya mana daddy mereka sebab tak balik-balik ke rumah. Saya hanya mampu beritahu mereka bahawa daddy bekerja jauh sahaja pada masa itu. Memang kesian melihat anak-anak sebab tak pernah berpisah dengan daddy mereka. Anak-anak saya memang rapat dengan ayahnya. Ketika itu memang saya sedih sangat tengok keadaan anak yang masih kecil dan tidak memahami. Akibat perpisahan kami, anak-anak jadi mangsa keadaan,” ujarnya sayu.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, ketika dirinya ditinggalkan Watie hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa. Terasa dunianya gelap seketika, tiada lagi tempat untuk bergantung harap. Hanya ibu dan anak-anak penguat semangat untuk teruskan kehidupan yang belum tahu penghujungnya kelak.
“Setelah berpisah dengan bekas suami memang saya berasa down sangat. Umpama dunia saya gelap seluruhnya, saya hilang tempat bergantung. Saya tidak bekerja sebelum ni dan hanya suri rumah. Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Dengan anak-anak dan mak saya lagi. Saya sudah tiada ayah dan merupakan anak tunggal. Segalanya bergantung pada saya seorang sahaja. Apa yang mampu saya lakukan adalah berdoa kepada Allah S.W.T semoga terus tabah dan kuat dengan ujian yang diberikan.
Berniaga Lunchbox
Perpisahan yang berlaku menjadi titik tolak kepada Watie untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan makanan. Syukur pada Yang Esa, segalanya dipermudahkan. Perniagaan makanan yang diusahakan semakin hari semakin maju, malah dia juga sering mendapat tempahan daripada pelanggan lama dan baru menerusi laman instagram dan facebook miliknya.
“Dalam keadaan bersedih dengan nasib yang menimpa, saya sedar saya perlu bangkit untuk teruskan kehidupan. Saya ada anak-anak untuk dibesarkan, ada ibu untuk dijaga. Jadi saya perlu kuat dan tabah. Alhamdullilah, akhirnya saya didorong olehNYA untuk berniaga makanan memandangkan saya seorang yang suka memasak. Saya terus gagahkan diri mencari rezeki untuk kami anak beranak. Walaupun hati masih terluka, saya perlu kuatkan semangat untuk teruskan kehidupan. Berbulan juga saya ambil masa untuk pulihkan hati ketika itu.
“Sebagai tunggak utama dalam keluarga segalanya di atas bahu saya seorang. Jadi saya harus kuat tidak boleh mengalah. Selain itu saya sering berdoa semoga segala urusan saya dipermudahkan. Segala perbelanjaan rumah, kereta, rumah dan semuanya saya perlu cari sendiri. Saya bermula dari bawah dan sedikit demi sedikit atas sokongan saudara terdekat, rakan-rakan baik dan rakan-rakan di media sosial yang banyak membantu mempromosikan perniagaan saya. Alhamdulillah rezeki anak-anak dan mak sentiasa ada. Tempahan yang saya dapat tak putus-putus, syukur sangat. Dari tempahan lima bungkus untuk lunchbox sampai sekarang saya dah dapat tempahan untuk katering pelbagai majlis,” ujarnya penuh kesyukuran.
Ibu Penyokong Kuat
Dalam kebangkitan Watie meneruskan kehidupan sendirian, ibu adalah sosok utama yang memberikan sokongan dan dorongan kepadanya untuk lebih bersemangat. Selain itu saudara mara dan rakan-rakan juga turut menyumbang kepada kebangkitan ibu muda ini.
“Ibu sayalah yang paling banyak membantu saya. Dalam perrniagaan ibu sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk saya lebih kuat, pemberi semangat untuk saya terus berusaha mencari rezeki. Selain itu saudara mara yang terdekat banyak memberi semangat serta rakan-rakan baik dan paling membantu adalah rakan-rakan media sosial. Sejujurnya media sosial adalah satu medium yang banyak membantu saya dalam perniagaan yang saya jalankan,” katanya lagi.
Apa yang berlaku kepada Watie bagaikan sekelip mata, terlalu cepat untuk dihadam. Namun alah bisa tegal biasa, dengan berbekalkan sedikit simpanan yang ada dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri selain berdoa pada Yang Maha Mendengar, wanita ini bangkit semula.
“Nasib baik saya ada sedikit simpanan untuk menjadi modal perniagaan saya. Segalanya saya perlu buat sendiri, anak-anak pengguat semangat saya untuk teruskan kehidupan. Perpisahan yang berlaku cepat sangat dan tidak dijangka. Saya cuba sentiasa positifkan, saya percaya semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Apa yang boleh saya katakan kepada ibu tunggal di luar sana teruskan kehidupan anda walaupun tiada insan yang bergelar suami di sisi. Tiada pasangan hidup bukan bermaksud kelam seluruh kehidupan kita. Lalui kehidupan dengan tenang dan tabah walaupun ia sangat perit untuk dilalui. Insya Allah kesedihan itu akan ganti dengan kegembiraan yang tidak dijangka. Sentiasa berfikiran positif untuk menjadikan jiwa kita lebih tenang. Sentiasa perbaiki kelemahan diri, kita hanya manusia biasa, sentiasa mencari keredhaan Sang Pencipta, Insya Allah pasti ada sinar untuk kita. Saya doakan wanita-wanita yang senasib dengan saya akan lebih tabah dan gembira kelak. Yang penting jangan pernah putus asa dengan kehidupan. Terima Qada dan Qadar, itulah perjalanan manusia selagi masih berpijak di bumi Allah. Reda dengan ketentuan Allah pasti hidup lebih tenang dan gembira,” akhirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pastinya ramai yang masih belum mengenali bakat baru yang lahir dari program realiti nyanyian popular, Akademi Fantasia 2016 yang juga pemilik nama sebenar Isyariana Che Azmi, 28 atau lebih glamor dengan panggilan Riana. Penulis yang turut pertama kali bersua wajah dengan gadis kelahiran Pahang ini, begitu selesa dengan layanan baik yang diberikan oleh penyanyi dan pelakon yang wajahnya seiras dengan penyanyi terkenal Indonesia, Agnes Monica.
Walaupun rezekinya ketika menyertai AF2016 terkandas hanya setakat konsert minggu kelima namun Riana bersyukur sejurus selepas tamat program tersebut dia terus menerima tawaran berlakon.
“Semasa menyertai AF2016 memang saya agak terkilan kerana tidak dapat meneruskan persembahan kerana disingkirkan sebelum konsert kelima bermula. Namun segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya terus mendapat tawaran berlakon dari pengarah tersohor Michael Ang menerusi drama bersiri Urusan Hati Cik Drama Queen. Kemudian drama Cik Serba Tahu dan selepas itu saya meneruskan perjuangan dalam seni apabila ditawarkan kursus menerusi Pak Nil, On Air Talent selama enam bulan.
“Saya sangat beruntung sewaktu mengikuti kelas bersama Pak Nil saya diajar menjadi seorang pengacara, pelakon dan penari. Dalam sibuk mengikuti kelas tersebut saya juga turut berlakon drama sehingga sekarang. Saya bersyukur kerana rezeki dalam seni tidak pernah putus.
“Dalam tempoh dua tahun berlakon saya telah bawa banyak karakter dan paling saya berjaya watak antagonis. Sememangnya tidak dinafikan menerusi watak jahat akan menyerlahkan lakonan seseorang pelakon. Namun saya sebenarnya gemar dengan watak berata yang memerlukan saya mengalirkan air mata. Saya ni sebenarnya jenis yang tak suka menangis tapi bila bab berlakon terutamanya watak wanita yang ditindas saya akan menangis semahunya. Malah menerusi watak sebegini saya cabar diri dengan menangis sepuas hati sehingga bengkak mata,” ungkap Riana yang kini lakonannya menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan sedang disiarkan di kaca TV.
Riana juga akui sememangnya fokus dalam sesuatu pekerjaan, contohnya apabila berlakon dia akan benar-benar menghayati watak yang diberikan dan akan menggunakan nama watak dan tak suka dipanggil nama sendiri sehingga penggambaran berakhir.
Seronok Bergandingan Dengan Artis Senior
Ditanya pelakon senior yang pernah bergandingan dengan dirinya, Riana terus tersenyum dan mengatakan semua pelakon yang digandingkan memberikan komitmen yang terbaik.
“Saya bersyukur kerana setiap kali bergandingan dengan mereka banyak ilmu yang diturunkan kepada saya. Antara artis senior yang pernah saya bergandingan, Kartina Aziz, Datuk Jalaluddin Hassan, Safura, Liza Abdullah dan ramai lagi. Selepas drama Lelaki Kiriman Tuhan saya diberi peluang berlakon dalam telefilem yang berjudul, Izinkan Aku Menyayangimu. Dan saya juga bersyukur walaupun masih baru telah diberi peluang beraksi dalam filem, menerusi filem Warkah yang tamat penggambaran pada bulan Mei lalu,” akui Riana yang begitu meminati lakonan pelakon dari Turki Meryem Uzerli dan Ibu Fauziah Nawi.
Memandangkan baru dua tahun dalam industri, Riana menolak populariti bagi dirinya bakat diutamakan dan populariti itu jatuh nombor dua.
Menyentuh tentang perkahwinan, Riana menyatakan setakat ini masih belum ada jejaka yang menambat hatinya.
“Saya masih mencari dan mama pun tak paksa saya untuk berkahwin. Dari dulu sampai sekarang mama tak kisah dengan siapa pilihan saya. Malah jika jodoh saya ditakdirkan sesama artis, saya terima dengan reda,” akhiri Riana sambil tertawa.
Menyentuh tentang nyanyian pula, Riana akui dia sebenarnya mengutamakan nyanyian.
“Saya sebenarnya lebih mengutamakan nyanyian. Kalau ada rezeki untuk menghasilkan single baru insyaAllah saya mahu merancangnya betul-betul. Saya juga berharap dapat mengeluarkan single berentak balada. Saya mula menceburi dunia nyanyian sejak 2012. Malah, sempat menganggotai kumpulan duo, Hanarose, sekitar tahun 2014. Kumpulan itu dicetuskan oleh Cat Farish dan mendapat kerjasama syarikat Luncai Emas milik Datuk M Nasir. Sebelum serius menyanyi di Kuala Lumpur pada 2012, saya terlebih dulu mengasah bakat dengan menjayakan acara tertutup. Hanya selepas bertemu Cat Farish, saya kerap diundang menjadi penyanyi ganti gantian untuk kumpulan The Fabulous Cats, selama setahun.
“Dari situ, saya digabungkan dengan bekas peserta AF musim kesembilan, Nur Atiqah Shariffudin atau Eka Shariff, di bawah nama Hanarose. Kami muncul dengan single Girlfriend, selain beberapa lagu untuk filem. Antara runut bunyi yang kami nyanyikan ialah Deritaku untuk filem Selamat Pengantin Malam, Tiba Kini Waktunya bagi filem Coverina dan UFO filem Usin UFO 2016,” ujar Riana yang boleh menyanyikan semua genre lagu.
Memandangkan jarang dapat meluangkan masa di rumah kerana sibuk dengan jadual penggambaran Riana menerangkan apabila habis penggambaran dia gemar duduk sendirian di ruang tamu rumah.
“Pada saya masa untuk diri sendiri sangat penting. Apabila ada masa saya sangat suka bergelimpangan sambil berehat di ruang tamu. Inilah paling nikmat. Sebabnya saya jenis yang tak suka berjalan-jalan dan lebih gemar duduk di rumah.
“Jika ada masa luang lagi saya akan ajak mama temankan saya pergi ke pusat beli belah. Setiap hari saya akan berhubung menerusi telefon dengan mama. Walaupun jarang berjumpa namun kami sentiasa whatsapp mama setiap apa yang saya lakukan.
“Mama ibarat rakan baik saya dan saya akan biasanya bila bercuti kami tidak rancang dan akan plan hanya di saat-saat akhir. Jadi kami hanya akan bercuti di dalam negara sahaja,” terang Riana yang sangat manja dengan ibunya.
Anak sulung dari dua beradik ini juga menyatakan adik kesayangannya juga mengikuti jejak langkahnya mahu menjadi seorang penyanyi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hari ini rutin harian Haikal agak sibuk, dari pagi hingga ke petang sudah lima jenazah dia uruskan untuk upacara pengebumian. Baru sahaja ingin berlalu ke kereta, tiba-tiba rakan sekerja meminta bantuan Haikal, satu lagi jenazah yang baru tiba. Keadaan mayat amat teruk kerana terlibat dalam kemalangan langgar lari.
Urus Jenazah Tanpa Waris
Biar pun lelah, Haikal cuba melawan perasaannya. Lagi pun memang ini tanggungjawabnya dalam menguruskan jenazah yang tidak mempunyai waris. Sudah hampir 10 tahun dia bergelumang dengan bidang tugas ini.
Selain Haikal, dia turut dibantu oleh beberapa staf pejabat agama yang lain. Tanpa berlengah, setibanya di hospital, Haikal terus ke bilik mayat dan mengambil mayat tadi untuk diuruskan.
Melihat keadaan mayat, Haikal jatuh kasihan kerana terdapat banyak luka dan kesan jahitan kerana mangsa dipercayai dilanggar sebuah lori. Maklumlah dia pesakit mental, pemandu lori tersebut meninggalkan dia begitu sahaja. Badannya yang tegap dan gemuk membuatkan badannya kelihatan amat bengkak.
Segala urusan berlangsung seperti biasa, setelah selesai mandi seterusnya jenazah dikapankan sempurna. Tiada perkara di luar dugaan berlaku.
Luar Biasa
Allah itu Maha Besar. Ketika mahu mengangkat jenazah ke kereta jenazah, satu kejadian luar biasa berlaku. Mulanya Haikal memarahi orang yang tidak bertanggungjawab yang memakir kenderaan betul-betul di depan bilik mayat.
Situasi ini membuatkan mereka perlu mengangkat jenazah hampir 200 meter untuk sampai ke van jenazah. Tetapi saat diangkat menggunakan pengusung, Haikal jadi keliru. Mana tidaknya, jenazah yang mungkin beratnya hampir 100 kilogram, teras cukup ringan, umpama daun kering. Tetapi Haikal hanya mendiamkan diri.
Jenazah Terlalu Ringan
Seterusnya setibanya di tanah perkuburan, tanpa membuang masa Haikal dan rakan-rakannya mengangkat jenazah ke kuburan. Masih sama, jenazah sangat ringan seolah-olah tidak mengangkat apa-apa. Biar pun jenazah dikebumikan selepas maghrib tetapi keadaan malam itu seolah-olah terang-benderang.
Paling ketara ketika menurunkan jenazah ke liang lahad, bauan harum menerpa seluruh kawasan tanah perkuburan. Masing-masing yang datang kelihatan takjub dengan segala yang berlaku. Mungkin ketika di dunia, almarhum diuji Allah kerana mengidap penyakit mental.
Pengakhiran lelaki ini cukup indah sekali apabila mayatnya menjadi terlalu ringan dan liang lahadnya berbau harum. Masya-Allah.
Benarlah orang gila atau pesakit mental ini tiada dosa kerana gugur dari segi syarak. Sudah tentu segala keistimewaan ini Allah kurniakan pada yang berhak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!