
Bukan semua pasangan bertuah dan bernasib baik untuk mempunyai anak sendiri secara semulajadi. Ada yang perlu melalui rawatan kesuburan seperti IVF untuk mendapatkan anak. Namun demikian potensi untuk menentukan kejayaan rawatan IVF ini juga bergantung pada umur seorang ayah.
Satu kajian mendapati bahawa umur seorang ayah memainkan peranan penting bagi meningkatkan potensi mendapatkan anak menggunakan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF), lapor portal berita MailOnline semalam.
Kajian itu dibuat berdasarkan analisis data secara rawak yang diperoleh daripada pihak berkuasa persenyawaan Britain, Pihak Berkuasa Persenyawaan dan Embriologi Manusia.
Pengaruh Besar Peluang Dapat Anak
Analisis yang dilakukan ke atas hampir 19,000 kitaran IVF itu mendedahkan bahawa bagi wanita yang berumur bawah 35 atau lebih 40 tahun, usia pasangan mereka memberi pengaruh yang besar terhadap peluang mendapatkan anak.
Bagi wanita dalam lingkungan umur tersebut, kadar kelahiran hidup didapati menurun daripada 32.8 peratus (apabila umur ayah di bawah 35 tahun) kepada 27.9 peratus (apabila umur ayah antara 40 hingga 44 tahun).
Sekiranya umur pasangannya melebihi 55 tahun pula, kadar kelahiran hidup terus merosot kepada 25 peratus.
“Jelas di sini bahawa amat penting agar kita tidak boleh mengambil ringan faktor umur si ayah apabila memberi penjelasan kepada pasangan mengenai hasil rawatan kesuburan.
“Usia seorang wanita sememangnya memainkan peranan terpenting, namun fokus tidak seharusnya hanya diberikan kepada jam biologi jantina itu semata-mata,” kata salah seorang pengarang kajian, Profesor Geeta Nargund.
Mesti Baca:23 Kali Buat Rawatan (IVF), Rezeki Wanita Lahirkan Bayi Kembar Pada Usia 50 Tahun!
Baca Lagi Di Sini:Selepas 21 Tahun, Ini Rupa Kembar 7 Beradik Pertama Di Dunia Melalui IVF
Artikel Menarik:Bertahun-Tahun Buat Rawatan, Berkali-Kali Gagal, REZEKI Wanita Hamil Usia 50 Tahun!
Mingguan Wanita: Jadi buat pasangan yang berhasrat untuk melakukan IVF diharap jangan berputus asa atas faktor umur. Paling penting berjumpa doktor dahulu untuk lakukan pemeriksaan lengkap.
Sumber: Kosmo, Daily Mail
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita
Awas Perangkap ‘Dasim’, Bila Rumahtangga Serba Tak Kena, Rasa Nak Marah & Kerap Prasangka Buruk Pada Pasangan

Perasan tak dalam rumahtangga ada ketika serba tak kena, kadang rasa nak marah tak tentu pasal, kerap prasangka buruk pada pasangan, isu kecil pun boleh jadi isu besar. Tengok muka pasangan pun rasa meluat, tapi dalam hati rasa sayang dan bila berjauhan rasa rindu! Hah, bila keadaan ini berlaku, salah satunya adalah berpunca daripada jin/ syaitan penghasut yang bernama “Dasim”.
Perlu Tahu Mengenai “Dasim”
1.Dasim adalah iblis yang tak suka suami isteri & keluarga aman dan bahagia. Dasim ini tugasnya adalah menyebarkan sifat emosi yang keterlaluan, mudah marah dan permusuhan pada suami isteri.
2.Selalunya kes rumahtangga Dasim akan cuba meruntuhkan institusi kekeluargaan.Dasim akan cuba mengapi-apikan lagi suami isteri sampai bermusuhan dan buat suami isteri rasa tak tak sefahaman tanpa sebab!
3.Si Dasim ni, kerja dia suka buat pasangan terasa hati, dia akan buat orang tu takkan diam diri, bila terasa hati sikit je terus akan turut berperang mulut, keluarkan kata-kata yang menyakitkan hati tanpa berfikir secara waras.Kesannya rumah tangga yang dibina tu akan jadi suram, tawar dan ianya akan tak tenteram.
4.Dasim suka menghasut terutama pada wanita yang datang bulan, baru lepas bersalin atau sedang mengandung, yang sering alami emosi tidak menentu.
5. Dasim ni terlalu jahat hingga dia akan buat kita sanggup lakukan apa sahaja untuk puaskan hati kita yang marah, sampai rumah tangga kita hancur lebur tanpa sebab.
Al-Munawi menjelaskan mengenai hadith ini,
إن هذا تهويل عظيم في ذم التفريق حيث كان أعظم مقاصد اللعين لما فيه من انقطاع النسل وانصرام بني آدم وتوقع وقوع الزنا الذي هو أعظم الكبائر
“Hadith ini menunjukan peringatan yang sangat menakutkan tentang celaan terhadap perceraian. Hal ini merupakan tujuan terbesar (Iblis) yang terlaknat karena perceraian mengakibatkan terputusnya keturunan. Bersendiriannya (tidak ada pasangan suami/istri) anak keturunan Nabi Adam akan menjerumuskan mereka ke perbuatan zina yang termasuk dosa-dosa besar yang paling besar menimbulkan kerosakan dan yang paling menyulitkan” [Faidhul Qadiir II/408]
Pergaduhan dan perselisihan didalam rumahtangga memang hasutan dan kerja syaitan, namun kita suami isteri juga perlu kuat dengan mendekatkan diri pada Allah, buat perkara-perkara baik yang mana boleh menjernihkan kembali rumah tangga. Jangan mudah terpedaya dan terperangkap dengan hasutan ini.
6 TIP ELAKKAN HASUTAN DASIM
1. Bila tengah marah pada pasangan MENGUCAP DAN BERISTIFAR banyak-banyak, tarik nafas dan cari tempat yang menenangkan dalam rumah. Marah bagaikan api, redakan ia dengan air, mengambil wuduk dan tunaikan solat sunat dua rakaat.
2. Bila salah faham cepat-cepat MOHON MAAF pada pasangan dan jangan tunggu lama-lama. Ia akan menghilangkan prasangka dan rasa marah dalan diri.
3. Amalkan makan dan solat jemaah bersama-sama, BACA DOA SAMA- SAMA.
4. Ramai tak sedar benda ni. Bilik kosong yang dibiar lama, tambah-tambah yang ada katil & selimut akan buatkan iblis menumpang dalam selimut. Sebab tu Rasullah juga pernah berpesan “ketuk/libas” selimut bantal sebelum naik atas katil/tempat tidur & kerapkan juga solat & berzikir di dalam bilik-bilik yang tak berpenghuni tu. Buka pintu.. biar bila azan/ zikir/ mengaji Quran pun suara kita boleh didengar sampai ke bilik bilik kosong tu.
5. Jangan lupa memberi salam setiap kali masuk ke rumah, walaupun tiada orang didalam rumah.Rumah yang tidak diberikan salam, memudahkan ‘Dasim’ melakukan kerja dan hasutannya didalam rumahtangga.
6. Kerap baca yassin dalam rumah, bacalah setiap malam jumaat dan kalau nak lagi baik BACA AL-QURAN. Kalau suami tak sempat, isteri buat, kalau dua-dua tak sempat, galakkan anak-anak buat, kalau memang semua tak sempat, pasang MP3 pun ok. Biar ayat-ayat suci berkumandang dalam rumah kita!
Iblis dan syaitan laknatullah ni tak akan tenang selagi rumahtangga yang dibina tu hancur! Dari hari pertama kita nikah sahaja dia sudah menangis terpekek lolong! kalau kita bercerai-berai dia akan berpesta gembira!
Selamatkanlah rumahtangga kita, semoga dijauhkan daripada godaan syaitan dan iblis. Moga rumahtangga yang dibina berkekalan hingga ke Jannah! Amin.
Matematik Mudah Simpan Duit, Dengan Kaedah Paling Kedekut Tanpa Melupakan Prinsip Keberkatan Rezeki

Zaman sekarang bila cerita bab menyimpan ramai yang beri alasan, nak bagi makan anak pun tak lepas, inikan pula nak menyimpan. Satu ringgit kalau disimpan hari-hari, setahun boleh jadi RM365 lalu ditukar menjadi emas ia akan jadi satu nilai yang begitu besar pada anda dan keluarga.
Lupakan bab emas, kita fokus pada bab simpanan. Matematik simpanan yang Puan Marlia Ramli ini kongsikan dijelaskan dari pengalaman peribadinya. Perkiraannya juga detail sehingga anda pun boleh follow dan simpan untuk kegunaan masa depan.
Gaji Besar Lebih Mudah
Akak graduated ketika usia muda remaja. Terima ijazah pada tahun 2004, umur 22 tahun. Mana tak nya, siang malam kejar pointer, amik paper banyak-banyak setiap semester. Sebab akak nak cepat-cepat bekerja. Akak tahu, lagi lambat bekerja lagi banyak kerugian masa yang akak tanggung.
Tiga bulan sebelum tamat belajar akak dah hantar resume ke banyak-banyak tempat. Tak kira le kilang ke, pejabat ke, kedai perabut ke. Dan semuanya akak mohon kat KL. Sebab akak tahu, lubuk pekerjaan adalah KL. Akak perlu mulakan kerjaya di bandar yang besar. Peluang lebih banyak!
Akak dengan muka tak malu minta pensyarah tolong ajarkan cara buat resume walaupun belum tamat belajar. Memandangkan time tu akak muda remaja, pensyarah lelaki yang bujang itu pun dengan senang hati sudi membantu.
Lepas dua minggu akak dapat interview kat KL. Dengan yakin nya, akak bawak beg siap-siap. Mak dan abah yakin akak pasti dapat kerja masa interview. Mana tak nya, seminggu akak hafal dialog dan buat persediaan untuk temuduga. Pulun sungguh! Dan alhamdulillah akak memang dapat pekerjaan pertama sebagai Sales Support Coordinator.
Jawatan ini tak de kaitan dengan subject yang akak belajar. But, who cares? Janji dapat kerja rezeki yang halal. Jual CCTV dan alarm system. Ketuk pintu pejabat dan pujuk orang beli produk. Fuh! Tebal kulit muka tak yah cerita. Balik opis prepare proposal, slide material dan esoknya jumpa lagi potential clients. Muka perlu sentiasa senyum sebab hari-hari buat presentation.
Taraf jawatannya cam atas sikit daripada Kerani Am walaupun punya ijazah. Malu tak penting asalkan rezeki halal. Gaji? Basic RM1,500. Dan akak paksa saving minimum RM250 bersamaan 16.66% setiap bulan. Komisen sales, elaun dan insentif bulanan akak tak guna. Semuanya humban ke saving. Punya lah kedekut!
Tapi saving RM250 x 12 bulan = RM3,000 adalah sedikit. Akak perlukan 10 tahun (tidak termasuk dividen) baru dapat sentuh wang tunai RM30,000. Lambat eh! Maka akak tersedar bahawa tak kira bagaimana akak mengikat perut dan cari pendapatan kedua, gaji kecik sangat susah nak diurus. Perlu korbankan banyak perkara.
Maka, setahun kemudian akak mula berfikir cara kapitalis. Tingkatkan skills dan cari pekerjaan yang lebih tinggi. Usung resume dan sasarkan setiap kali kenaikan gaji 30% hingga 50% gaji. Dan kenaikan gaji itu tidak disentuh. Akak lambakkan ke saving dan mulakan pelaburan.
Ianya matematik mudah. Jika bergaji RM1,500, akak perlu mengikat perut untuk saving RM250 dan ianya cuma mencecah 16.66%. Increment tahunan cuma dalam purata 5% bersamaan RM75 hengget.
Tapi jika bergaji RM3,000, saving sebanyak RM1,500 hingga RM1,750 adalah mudah. Dan ianya adalah 50% daripada pendapatan. Caranya? Waktu bergaji RM3,000, akak kekalkan cara hidup gaji RM1,500. Dan saving membiak dengan cepat. Increment tahunan jika 5% dah RM150. Okay la tu buat cover kos inflasi tahunan.
Nak lagi cepat join saja ASBF. Tukarkan wang kepada harta sebenar atau asset. Beli rumah seawal usia. Perlahan-lahan bunuh semua hutang jahat. Kekalkan cara hidup sengkek bila pendapatan bertambah. Simpan, labur, simpan dan labur. Biar nampak miskin daripada bergaya yang papa.
Ya, ini kisah 13 tahun dahulu. Waktu itu jawatan akak level officer. Atas sikit daripada kerani. Akak belajar bahawa ratusan ribu sahabat lain juga punya ijazah. Tak de beza dan istimewa pun punya ijazah di zaman sekarang. Yang membezakan cuma cara berkomunikasi, presentation skill, positive attitude, menjaga hubungan baik dengan bos dan sanggup bermuka tebal demi rezeki yang halal.
Yang paling penting English communication. Di private sector grammar tak penting. Hentam je cakap, lama-lama jadi pandai. Mat Salleh pun grammar berterabur, kita yang makan belacan acah-acah nak jaga grammar. Last-last malu nak bercakap. Last-last lambat pandai. Ntah apa-apa ntah! Ceh!
Kalau ada kawan yang kutuk English kita berterabur dan kita ini pembodek bos, tinggalkan kawan tersebut. Kawan si kaki kutuk yang melemahkan semangat ibarat virus. Perlahan-lahan mereka akan memasuki minda dan menjamah semangat. Jangan dekat dengan mereka ini.
Paling akak ingat masa kerja HR Executive kat sebuah kilang. Bos akak Chinese lady dan GM nya Singaporean. Ianya 10 tahun lepas. Waktu tu akak muda, communication berterabur. Tapi sorry la, jangan harap akak nak cakap Melayu. Sebab akak nak bos akak speak English dengan akak. Daripada reply mereka akak belajar dan improved my communication skill. Eksekuihhh me! Haha…
Walau pun English akak tak sehebat bos Singaporean, akak usahakan juga bercakap dengan bos dan tiru slang beliau. Buat saja segala kerja yang bos bagi. Hati memang sakit sebab rasa cam bos ambik kesempatan. Tapi setahun di situ jawatan akak naik daripada HR Executive kepada Senior HR Executive. Dan akak dapat kenaikan gaji hampir 15% time tu. Senyum sampai telinga! Juma’ati Paizu dan Anita Azrinawati E-Shoppe tentu tak lupa ni ?
Maka, akak faham bahawa perkara penting dalam kerjaya adalah hard work, usaha hubungan baik dengan bos dan deliver result. Asalkan ada tugasan kerja, buat je. Jangan beremosi dan jangan buat perangai. Muka selalu senyum, barulah rezeki berani mendekat.
Lagi satu, dalam pekerjaan tak perlu setia sangat. Jika memang tak de passion dalam pekerjaan, bos tak bagi peluang, bonus suam kuku dan increment terkadang ada terkadang tak ada, tak payah tunggu lama-lama. Buang masa juga tenaga. Namun, pastikan diri bersedia dengan skills dan lompat pasaran pada kadar kenaikan 30% hingga 50%.
Akak berpendapat bahawa jika bergaji kecik banyak benda perlu korbankan untuk wujudkan simpanan. Mungkin perlukan pendapatan kedua, tingkatkan skill dan cari pekerjaan lain. Contohnya jika bergaji RM1,500, jenuh la cari pendapatan kedua korban masa dan ikat perut. Nak saving RM1,000 sebulan pun jenuh.
Namun jika bergaji RM3,000, saving bulanan RM1,500 bukanlah sesuatu yang mustahil atau susah sangat. Kekalkan gaya hidup, belanjakan RM1,500 dan saving baki lagi 50%. In fact kalau pemalas, tak perlu pun cari pendapatan kedua. Balik kerja, lepak je main game. Bulanan masih saving RM1,500.
Karang mesti ada yang cakap, mana cukup RM1,500 belanja bulanan. Kalau yang dah kahwin, ada anak juga isteri. Pampers, susu, ubat bagai. Adoii sayangku sahabat. Jangan lurus sangat. Jika dah berkahwin, pendapatan suami isteri gabungkan saja dan uruskan dengan berhemat. Gaji suami belanja keluarga, gaji isteri simpan dan labur. Suami tak kira isteri pangkat Manager, nafkah jangan abai kerana hukumnya wajib. Baru rezeki berkat, rumahtangga bahagia.
Akak cuma beri contoh perbandingan antara gaji RM1,500 dan RM3,000. Anda boleh sesuaikan antara gaji RM5,000 dan RM10,000. Atau RM15,000 dan RM20,000. Gaji anda, pandai-pandai la buat pengiraan. Manalah akak tahu berapa gaji keluarga anda. Dah nama pun contoh.
Maka, duhai anak muda yang berijazah juga berdiploma. Sentiasa rajin berusaha dalam kerjaya. Jangan malu. Dapatkan pekerjaan yang di level bawah dulu. Dengan pengalaman, anda akan meluaskan idea juga pemikiran. Dan anda akan tersedar bahawa gaji besar lebih mudah diurus jika berdisiplin.
Hari ini ada pasangan yang dah belasan tahun bekerja dengan sepasang anak. Walaupun saban tahun increment best dan bonus lima angka, namun mereka kekalkan hidup kekal sederhana dan kurangkan gaya. Mereka tahu hanya itu caranya untuk mampu bersara muda.
Ehh lagi satu… Gaji kecik ke gaji besar ke, kalau jenis boros dan tak minat menabung, ke laut lah juga. Lesap semua gaji sebulan. Lagi pula, hidup kita adalah dalam kawalan kita. Maka, kitalah yang tentukan!
Oh ya, ada anak Bujang yang mengadu. Dah lima tahun bekerja masih belum punya enam bulan dana kecemasan. Maka, akak contengkan saja contoh perbelanjaan anak muda yang bujang jika bergaji RM1,500.00. Sesuaikan mengikut kehidupan masing-masing.
Mak aiiih! Susahnya nak atur belanja jika gaji kecik! Haa… sebab itu lah akak cakap GAJI BESAR LEBIH MUDAH DIURUS. Kalau gaji kecik, nak tak nak perlu bawa bekal, drive kereta kecik, naik public transport, cari pendapatan kedua, sewa bilik dan potong segala perbelanjaan.
Tak kira gaji besar atau kecik, dengan disiplin, dijamin paling lewat 3 tahun bekerja dah punya 6 bulan dana kecemasan. Kalau suka, ikut saja. Kalau tak suka, abaikan ia. Aiman tak kesahhh… Eh!
Sumber/Foto: Marlia Ramli via Mingguan Wanita
Jangan Bandingkan Kita Dengan Orang Lain Sebab Hidup Semua Orang Tak Sama

Bahagianya tengok pasangan itu. Kayanya dia, apalah kerja dia. Itulah yang mesti terkeluar dalam mulut kita tiap kali tengok orang post gambar kat media sosial atau pun lihat dengan mata kepala sendiri. Kadang-kadang timbul rasa cemburu dan mulalah bandingkan dengan apa yang kita ada.
Rasanya tak perlulah rasa dengki atau cemburi dengan kehidupan orang lain. Semua ini telah diaturkan Olehnya. Kita hanya teruskan kehidupan dan lalui dengan apa yang telah diaturNya.
Ini antara perkongsian daripada Siti Suryani. Memang betul apa yang diperkatakan. Paling penting, kita bahagia cara kita.
Betul mak aku kata tu.
Jangan banding kita dengan orang.
Jangan ingat kalau kita boleh tu pasal kita hebat sangat.
Kalau aku nampak artis bagi tips cara lemah lembut dengan anak, aku kena tengok juga.
Rumahnya kemas. Duit pun berlonggok. Ada yang ada pembantu. Kerjanya cuma layan anak manjang. Takda banyak benda nak runsing. Itu rezeki dia.
Macam aku pun, anak dua je. Bolehlah rileks-rileks, sayang-sayang. Dah besar dah pulak tu. Takda nak kalut apa pun kat rumah.
Tugas Seorang Isteri
Cuba wanita yang jenis pukul 4 pagi dah bangun sediakan makan. Lepas tu pergi kerja. Balik karang singgah pasaraya. Beratur lak panjang. Padahalnya nak beli ikan bilis je pun. Teringat suami nak makan sambal bilis petai katanya.
Sampai rumah pukul 6. Nak solat, nak mandi, nak masak, nak angkat baju. Bersilatlah kita laki bini ni balik-balik kerja.
Malam nanti nak urus kerja sekolah anak. Member dia yang lain semua dah hantar dah. Dia je belum lagi. Dah mak ayahnya dua-dua pun kerja. Siapa yang nak tolong tengokkan. Sambil belasah bilis petai, sambil tu tengok anak buat kerja. Suami ada kerja lain lagi. Bisnes online. Nak tambah rezeki keluarga. Dia pun penat juga. Dia pun buat tanggungjawab dia.
Tak Pernah Habis
Siap dah semua, ingat nak baring kejap pelurus kaki. Allah…! Baju belum lipat. Tu kalau tak lipat hari ni, esok makin menggunung. Karang suami tak jumpa spender karang, tak pakai spender lak dia esok pergi kerja.
Tengah melipat, bangun pulak si kecik tu. “Nak acik”, katanya. Tadi dia tak berapa nak makan. Ni baru lapar perut. Takkan la tak buat kan. Kesian pulak dia.
Iye tak iye, pukul 1 pagi baru tidur. Esoknya pukul 4 pagi ulang rutin yang sama.
Lemah lembut
Iye. Semua pun nak sangat jadi ibu yang lemah lembut. Takda orang niatnya bangun tidur esok, aku nak jadi lebih marah lagi.
Ingat wanita tu lepas dia marah-marah, dia seronok ke? Dia nak tulis dalam diari ke yang dia berjaya marah lagi hari itu?
Pergi tengok dia lepas marah. Kadang airmata mengalir deras kerana rasa bersalah. Kadang lama dia bersujud atas sejadah. Rasa sedih amat kerana tak berjaya menjadi ‘yang terindah’.
Tidaklah aku kata marah tu bagus. Marah tu takpa. Bukan. Maksud aku, takda wanita yang menjadikan marah tu sebagai hobi dia. Dia pun tak sengaja. Dia pun tak suka. Semua mak inginnya satu saja. Nak jadi mak paling baik dan paling lemah lembut apa adanya.
Hidup Tak Sama
Hidup semua orang bukannya sama.
Belajarlah lihat manusia di sekeliling kita.
Saiz bahu kita ni tak serupa.
Beban di atasnya juga berbeza.
Kita mungkin boleh sembang sebab hidup kita kencang….
MW: Inilah tugas seorang isteri dan ibu. Tak pernah habis. Jangan sesekali mengeluh. Inilah kebahagiaan yang kita cari dan inilah kehidupan kita.
Artikel ini disunting dan diterbitkan dengan keizinan penulis.
Sumber: Siti Suryani Yaakop