Jodoh adalah rahsia Allah SWT. Tiada siapa yang tahu siapakah jodohnya sehinggalah tiba masanya. Namun, sering kali menjadi cemuhan dan bualan bila melibatkan jodoh di antara lelaki muda dengan wanita berusia. Atau gadis muda dengan lelaki yang terlalu jarak usianya.
Apa pun, tak ada salahnya. Bahagia tetap mampu diraih. Cuma betulkan niat ye…
“Dr., okey tak kalau saya terima gadis yang lebih tua daripada saya?” tanya seorang pemuda.
“Jarak umur berapa tu?”
“Jarak lima tahun Dr. Saya baru 25, dia 30. Tapi kami nekad nak kahwin. Okey tak nanti jadinya?”
“Okey ke tidak bergantung pada apa niat kamu. Apa niat kamu nak berkahwin tu?”
“Rasanya dah sampai masa. Lagipun dah sanggup pikul tanggungjawab. Errr, kawan-kawan semua dah kahwin Dr.”
Jodoh Dah Sampai
Saya tertawa dengan jawapan yang hujung itu. Kalau alasan serupa itu semata-mata, bukanlah kuat untuk menempoh kehidupan yang sedikit pelik, kelak.
“Kahwin sekadar ikut-ikut ni bahaya. Tambahan lagi bakal isteri lebih tua daripada kamu. Dia mungkin lebih dulu kereput, sedang kamu masih muda belia. Macam mana tu?” Duga saya.
“Rasa-rasanya saya boleh menerima Dr. Alah, lawa-lawa sangat pun akhirnya tua juga. Yang muda pulak demand tinggi. Tak ada dua puluh ribu tak mahu kahwin, sedangkan saya ni baru bekerja, manalah ada duit.”
Saya menunjukkan isyarat bagus. Kahwinlah dengan siapa pun, tak kira sama umur atau lebih tua, yang penting niatnya kena betul. Kalau niatnya betul, insya-Allah semua masalah dapat dilalui dengan mudah.
Yang dikatakan niat yang betul itu macamana? Allah. Niatkan kerana Allah. Berkahwin kerana Allah akan menjadikan perkahwinan itu sangat berkat, moga-moga bahagia hingga ke sudah.
Macam pemuda tadi, dia hendak berkahwin dengan gadis yang lebih tua, kalau dihenyak dengan telahan, “Apalah kau ni kahwin dengan orang yang lebih tua!” jawab “Aku kahwin kerana Allah,” akan senyaplah si penemplak. Andai ada orang berani mempertikai niat serupa ini, berani sungguhlah dia untuk berdepan dengan murka Allah.
Kebaikan Bila Jodoh Wanita Lebih Tua
Sebenarnya berkahwin dengan wanita lebih tua ini baik sebab selalunya selain pemikiran matang, kerja juga sudah stabil. Sebaik berkahwin boleh membeli rumah, kereta dan lain-lain, berbanding berkahwin sama umur, sama-sama 22 tahun, susah juga tu untuk mengumpul harta kecuali dua-dua bekerja. Tetapi kalau suami sahaja bekerja, tinggal pula di bandar, ada sedikit susahlah.
Alasan kedua yang mesti diambil kira ialah sunnah. Ingatlah sejarah Nabi Muhammad s.a.w berkahwin dengan Khatijah. Ketika itu Nabi s.a.w tersangat muda sedangkan Khatijah berusia lanjut, janda pula. Tetapi oleh kematangan yang dimiliki oleh Khatijah menyebabkan Nabi s.a.w dapat menempuh detik kerasulan dengan baik sekali.
Stabil Emosi Dan Material
Moga-moga perkahwinan anda dengan gadis lebih berusia mendatangkan kehidupan yang stabil dari segi mental, emosi dan material. Saya sendiri mempunyai ramai kenalan yang berkahwin dengan gadis lebih tua, sesetengahnya hingga jarak 10 tahun. Kehidupan mereka terus baik sehingga hari ini. Sebab itulah, niat yang betul kena dipasak terlebih dahulu, sekiranya terlepas, masa untuk memperbetul sentiasa ada.
Ads
Alasan ketiga adalah keserasian. Jika anda sanggup mengambil gadis yang lebih tua bermakna anda seorang yang sangat boleh bertolak ansur. Memang hidup ini perlu diterima seadanya, usah terlalu rakus oleh kehendak yang muluk-muluk sebab kemahuan serupa itu selalunya terdorong oleh sifat mahu menunjuk, ego, perasan bagus dan lain-lain.
Sebaliknya apabila rela menerima seseorang seadanya dia, bermakna kita juga seorang yang lunak. Kehidupan sememangnya perlu dilalui dengan humble, barulah segala-galanya menjadi penyebab untuk rasa bahagia dengan sempurna.
Bersedia Untuk Berdepan Cemuhan
Apabila kita membuat keputusan memilih sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan itu bukti kita istimewa. Namun, perlu jugalah diingat, sesuatu yang sedikit berlainan daripada kebiasaan selalunya juga akan menjadi perhatian. Bersedialah untuk berhadapan dengan apa saja, baik berupa cemuhan mahupun pujian. Orang memuji, sesetengahnya bukan jujur tetapi menyimpan sindiran tajam.
Apapun setiap orang ada pilihan tersendiri. Apapun pilihan kita, pasakkanlah dengan tiga alasan utama tadi. Apabila menghadapi masalah baik datangnya dari diri sendiri, dari pasangan mahupun keadaan sekeliling, tebat diri dengan tiga alasan berkenaan – ALLAH, Nabi s.a.w dan keserasian. Anda akan stabil dan tenang.
Usah terlalu diambil kira kata-kata manusia, andainya ia baik jadikan itu perangsang tetapi andainya tidak, jadikan itu pembakar semangat untuk lebih cemerlang. Orang bermotivasi tinggi tidak pernah lemah oleh kata-kata orang. Jangan keliru-keliru ye. Ingatlah, apapun kalau baik, ia sentiasa baik.
Cukup buat orang sentiasa rasa cukup. Bila lihat keadaan sekarang ini, semua barang mahal dan berkira-kira dalam mengeluarkan perbelanjaan. Sudah tentu cukup kalau fikirkan ia cukup, sebaliknya tak cukup kalau memang selalu fikir tak cukup.
Selalunya, tengah bulan mula fikirkan duit gaji cukup atau tidak sampai hujung bulan. Dah tentu cukup buat orang yang cukup walaupun gaji tidak berapa banyak. Kalau gaji banyak pun ada juga yang berkira-kira dan rasa tak cukup. Semuanya atas diri kita sendiri.
Bayangkan bagaimana mak ayah yang tinggal di kampung. Beruntungnya kos di kampung tidak sebanyak di bandar. Tak kisah di bandar atau kampung, aklau kita fikir cukup pasti akan cukup, begitulah sebaliknya.
Cukup Buat Orang Sentiasa Rasa Cukup, Jalan Rezeki Berbeza
Perkongsian daripada Siti Suryani Yaakop membuatkan kita berfikir sejenak dan jadikan pengajaran untuk kita yang sentiasa rasa tidak cukup. Moga dijadikan panduan bersama.
Kelmarin isi borang Kak Mia nak masuk asrama tahun depan. Lepas tu kami kira sekali kos semua. Banyak tak banyak mesti juga diusahakan. Dah kita hendak.
Dulu masa mula nak hantar anak sekolah swasta ni, begitulah. Kira sana. Kira sini. Tolak sana. Tambah sini.
Sampai kami kata jangan merayap sangat lah hari minggu. Duduk rumah. Jangan makan mewah sangat tiap minggu. Tunggu hujung bulan. Jangan main redah je nak travel. Tunggu ada baki lebih.
Tapi akhirnya selepas 8 tahun, Alhamdulillah. Eh, cukuplah pulak. Masih juga boleh merayap. Masih juga makan sedap. Masih boleh ke sana sini tak tunggu baki.
Lalu saya teringat pada beberapa manusia yang jadi idola dan motivasi saya.
Baru ni kami berjumpa. Masa bercerita kisah anak sekolah. Kisah harga barang naik. Dia cakap pada saya,
“Akak ni Amy, Abang bagi 400 sebulan. Itulah duit dapur. Itulah duit jajan sekolah. Itulah duit nak modal meniaga nasi lemak. Mesti orang fikir boleh ke pusing. Tapi entah macamana sentiasa cukup sampai hujung bulan. Tak tahulah kot mana dia jadi. Tapi…cukup.”
Sedangkan saya yang ada lebih sikit lagi ni pun kadang selalu rasa nak banyak lagi.
Begitu beberapa orang yang saya kenal. Bekerja kecil-kecil dari rumah. Bekerja sambil-sambil jaga anak sendiri.
Bahagia. Seronok. Hormat suami. Gelak ketawa sesama dia. Anak baik-baik dan dengar kata. Bawa pergi mana pun takpa. Siap bawa 3 anak kecil pergi mendobi baju. Bawa pergi beli barang dapur. Tak ada la kata budak tu duduk tak reti berlari sana sini. Minta itu ini. Dengar kata sungguh.
Kemudian membawa saya pada satu kefahaman.
Cukup itu sentiasa cukup pada orang yang rasa apa pun cukup. Dan tak cukup itu sentiasa jadi tak cukup pada orang yang tak pernah cukup-cukup.
Jalan Rezeki Berbeza, Terus Berusaha
Jalan rezeki kita ni berbeza dari satu manusia ke satu manusia. Yang penting jangan risau kalau kita dah usaha. Pasti ada bahagian kita. Mengikut keperluan kita. Tapi kalau kehendak lain lah dia punya rasa. Berbeza lah dia punya cerita.
Dalam doa sentiasa saya mohon mereka ni selalu dimurahkan rezeki. Diberi balasan baik di alam yang kemudian nanti. Diberi kemewahan yang tak mereka dapat di sini. Ditambah bahagia dan rasa besar atas setiap rezeki yang Tuhan beri.
Juga dalam doa saya minta Tuhan bagi saya rasa cukup yang sama. Menambah itu adalah usaha. Tapi rasa cukup sentiasa perlu lebih besar mengatasi semuanya. Sama macam mereka.
Bagi setengah orang nampak macam tiada tapi sungguh mereka lengkap semuanya.
Nampak biasa di mata kita tapi sungguh kadang mereka adalah manusia terbahagia.
Mingguan Wanita : Kalau rasa tak cukup memang akan tak cukup. Jalan terus, adalah rezeki yang Allah berikan.
Setiap daripada kita inginkan rumah tangga yang bahagia dan diberkati. Namun tidak semua bernasib baik. Indahnya sesebuah rumah tangga pabila masing-masing tahu dan jalankan tanggungjawab masing-masing.
Jika sebaliknya, maka pincanglah rumah tangga yang dibina. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan apa kesannya jika rumah tangga tidak lagi seindah yang diimpi:
Antara nikmat, ujian dan musibah dalam perkahwinan…
Perkahwinan adalah sesuatu yang indah… Indah bagi mereka yang menjalankan tanggungjawab masing-masing… Indah bagi mereka yang melaksanakan kewajipan masing-masing… Indah bagi mereka yang memahami tugas masing-masing…
Buat tiga perkara ini, iaitu tanggungjawab, kewajipan dan tugas masing-masing dalam perkahwinan tersebut, maka perkahwinan itu adalah sebuah nikmat untuk mereka syukuri…
Pincang salah satunya, maka perkahwinan mereka adalah sebuah ujian… Ujian kekuatan, ujian kesabaran, ujian ketabahan, ujian kesetiaan, ujian air mata dan sebagainya… Mereka diuji dengan pasangan yang tidak bertanggungjawab, tidak melaksanakan kewajipan dan tugas yang Allah SWT sudah amanahkan pada bahu mereka…
Cara Allah SWT “menegur” pasangan sebegini ialah dengan memberikannya musibah yang berbentuk seperti bala…
Rezeki sempit, hutang keliling pinggang, gaji tidak naik, urusan harian menjadi sukar, hati tak tenteram, selalu jatuh sakit, harta benda asyik rosak, ada saja perkara yang berlaku dalam kehidupan hariannya yang membuatkan kehidupan tak bahagia dan tenang seperti orang lain…
Bala yang dihantar Allah SWT ini adalah satu bentuk teguran untuk menyedarkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan dalam alam perkahwinan itu yang mana ianya telah menyebabkan berlakunya penganiayaan atau kezaliman pada pasangan…
Buat baik dalam perkahwinan, kita dapat nikmat… Buat sebaliknya dalam perkahwinan, maka tunggulah “teguran” Allah SWT dalam bentuk musibah untuk diri kita…
Pilihan di tangan anda…
MW: Jika mak, ayah inginkan perkahwinan diberkati, berbuat baiklah pada pasangan dan tunaikan tanggungjawab sebaiknya. Barulah rumah tangga aman dan bahagia. Insyallah.
Mak ayah pastinya gembira bila anak cepat dan lancar membaca seawal usia. Namun nak realisasikan hasrat ini bukanlah sesuatu yang mudah. Selain ketekunan dan kegigihan mak ayah sendiri untuk mengajar, kegunaan alat bantuan yang berkesan juga diperlukan untuk memudahkan dan mempercepatkan kemahiran membaca pada anak.
Menurut Cikgu Norishah Jaafar Full yang merupakan Guru Pemulihan Linus NKRA yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Sg Marong, Bentong, Pahang, terdapat alat bantu mengajar yang berkesan untuk melatih anak mengeja, membatang perkataan dan membacar seawal usia.Hanya menggunakan ‘telefon bacaan’ yang diinovasikan daripada PVC pipe dan PVC elbow dengan kos serendah RM 4 sahaja namun paling murah dan mudah.
Menurut cikgu ini lagi, idea asal telefon bacaan ini telah dikongsikan oleh guru pemulihan senior dan ilmu ini dikongsi bersama supaya murid dapat menguasai kemahiran membaca dengan lebih berkesan.Selaku guru pemulihan, mereka berusaha mencuba kaedah terbaik dan paling mudah untuk diaplikasikan kepada murid.
Berikut merupakan perkongsian oleh cikgu ini yang boleh dijadikan panduan buat mak ayah;
“Sedikit perkongsian untuk ibu bapa yang nak melatih anak-anak mengeja, membatang perkataan dan membaca seawal usia 5-6tahun. Boleh pakai pvc pipe ni yang kami guru pemulihan panggil telefon bacaan. Modal murah je. Pergi kedai hardware minta dia potong ikut size anak dan beli pvc elbow tu 2pcs. Bila ia diletakkan di telinga, anak membaca ia akan pantulkan bunyi ke telinga seperti telefon.”
Kaedah ni sangat bagus untuk anak yang sukar mengeja dan membatang perkataan serta membaca. Tak percaya?? Cubalah dulu. Anak memang akan suka main dengan “telefon” ni. Kami guru pemulihan ramai yang guna ni sebagai alat bantu mengajar di dalam kelas. Pic ini saya ambil dengan salah seorang murid Sekolah Kebangsaan Felda Lurah Bilut di program khidmat bantu guru pemulihan linus NKRA .
Boleh guna kreativiti masing-masing untuk cat/hias bagi cantik. Kami ni tak sempat lagi nak menghias sebab murid ramai. Hehehe.
Kalau rasa susah nak pergi beli meh pm saya.Saya tolong belikan kedai hardware tepi rumah saya jer. Tahan lama. Berbaloi-baloi.Kos satu ni RM4 sahaja.
*Sekiranya gusar / risau dengan risiko pvc kepada anak-anak tuan/puan boleh cuba menggunakan material lain yang lebih selamat. Untuk info ia hanya digunakan pada masa yang perlu sahaja bukan sepanjang masa dan setiap hari bagi anak mengeja dan membaca guna telefon ni. Anak hanya bercakap dan mendengar balik menggunakannya pada masa yang singkat pd satu-satu waktu. Bila anak dah mahir tak perlu dah pakai ni.
Kemahiran pemulihan perkataan KV +KVK . Jadi nama jamal dan gitar digunakan kerana ia adalah perkataan kv+kvk.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.