Rencana ALLAH tiada siapa yang tahu apabila dua rakan sekolah yang terpisah lebih 40 tahun bertemu jodoh selepas kedua-duanya kematian pasangan dua tahun lalu. Kisah jodoh tak diduga ini membuktikan bahawa takdir Allah itu indah dan penuh kejutan.
Lebih menarik lagi, Zul A’ini Ariffin, 58, telah dilamar suaminya Alias Yahaya, 58, di tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa iaitu di Jabal Rahmah dan kemudian mengikat tali pertunangan di hadapan Kaabah di Makkah.
Mereka kini sah bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan pada 11 Oktober lalu di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof di Sikamat, Seremban.
Jodoh Tak Diduga Selepas 40 Tahun Berpisah
Menceritakan pertemuan semula dengan suaminya, Zul A’ini berkata, mereka bertemu semula pada tahun 2019 di Baling, Kedah ketika menghadiri majlis kenduri seorang kawan lama.
“Saya dan suami sebenarnya pernah sekelas dari Tingkatan Satu hingga Tiga, tapi terputus hubungan selepas suami berpindah ke sekolah Sains.
“Kawan-kawan sekolah mula berhubung semula selepas menubuhkan kumpulan WhatsApp pada tahun 2016 dan saya terserempak dengan suami tiga tahun kemudian dalam satu majlis kenduri kawan kami di Kedah, ketika itu dia datang bersama isterinya yang berkerusi roda,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu berlalu begitu sahaja kerana ketika itu dia masih berstatus isteri orang sehinggalah arwah suaminya meninggal dunia dua tahun lalu akibat kencing manis.
Ads
Perkenalan Kembali Di TikTok Berputik Jadi Cinta
Menurut Zul A’ini, dia terdetik untuk menghubungi Alias selepas diberitahu seorang rakan bahawa isteri lelaki terbabit telah meninggal dunia akibat penyakit yang sama.
“Memandangkan kami saling mengenali, saya mesej dia di aplikasi TikTok, ucap takziah dan menasihatinya supaya tidak berterusan bersedih.
“Saya juga baru kehilangan suami dan sejak itu kami mula berkawan,” katanya.
Jelasnya, ketika itu tidak terlintas dalam fikirannya untuk membawa hubungan itu ke fasa seterusnya, tambahan pula dengan usianya yang sudah lebih 50 tahun. Namun selepas beberapa hari berhubung, Alias tiba-tiba bergurau mengajaknya berkahwin.
“Saya anggap gurauan saja, tapi setiap hari dia tak pernah lupa hubungi saya bertanya khabar,” ujarnya.
Ads
Lamaran Di Jabal Rahmah Dan Pertunangan Di Hadapan Kaabah
Dari situ hubungan mereka menjadi lebih rapat. Zul A’ini memaklumkan kepada Alias bahawa dia merancang menunaikan umrah pada bulan Ogos. Alias pula menyatakan hasrat untuk turut serta dan melamarnya di sana.
“Dari situ saya nampak dia memang serius dan telah maklum kepada anak-anak serta adik mengenai perkara itu,” jelasnya.
Pada awalnya, kata ibu kepada empat anak dan enam cucu ini, ada anak-anaknya yang kurang bersetuju kerana bimbang dia dipermainkan. Namun selepas melihat keikhlasan Alias, mereka memberi restu dan kali pertama berjumpa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Sebelum pergi umrah pun kami dah hantar borang nikah dan tetapkan tarikh untuk diijabkabulkan selepas keluarga masing-masing bersetuju.
“Sepanjang di sana, saya banyak berdoa kepada ALLAH agar jika Alias ini baik untuk saya, dekatkanlah kami. Di hadapan Kaabah kami bertunang dengan bersaksikan adik perempuan, sepupu, anak saudara dan mutawif,” katanya.
Ads
Jodoh Tak Diduga, Takdir Yang Menyatukan Kembali
Selepas 40 hari pulang dari umrah, mereka akhirnya disatukan di Seremban. Zul A’ini mengakui tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi selepas kematian suaminya.
“Selepas suami meninggal, saya memang tak terfikir pun nak kahwin semula. Saya dah rancang untuk duduk di sekolah pondok belajar agama, tapi anak-anak tak izinkan.
“Dengan takdir-Nya, saya bertemu semula dengan Alias yang merupakan rakan lama sekolah. Selepas buat solat istikharah, ALLAH beri petunjuk dan bukakan hati saya,” katanya dengan penuh syukur.
Kisah jodoh tak diduga ini membuktikan bahawa setiap perpisahan dan pertemuan telah diatur indah oleh Allah, dan cinta sejati sentiasa akan menemukan jalan pulangnya.
Rezeki dapat mentua baik. Tak semua dapat rasai sebegini. Beruntunglah bagi yang mempunyai mentua yang sangat memahami walaupun berlainan agama.
Kisah tentang satu keluarga yang mempunyai tiga agama dan tiga bangsa ini tidak asing di media sosial. Sebelum ini pernah viral tentang mak mentua yang sanggup datang menjaga cucu semasa menantu dalam pantang.
Kali ini, video perkongsian di media sosial cukup membuatkan sesiapa saja akan mengatakan ‘beruntungnya dapat mentua yang baik’.
Apa tidaknya, mentua sanggup datang dari Perak ke KL dan tinggal seminggu bersama anak menantu untuk sama-sama sambut puasa, walhal dia berlainan agama dan tidak berpuasa pun.
Menariknya, sepanjang berada di rumah anak menantu, dialah yang memasak, menjaga cucu ketika bersahur dan cucu ketika anak menantu solat terawih.
Dalam perkongsian video tersebut:
“Masak untuk orang berpuasa dan sambut anak menantu berpuasa walaipun diri sendiri tidak berpuasa kerana berbeza agama dan bangsa.
Seronoknya, mentua siap tanya menu apa untuk dia masak dan sediakan untuk berbuka.
Lebih menyentuh perasaan, seminggu berada di rumah anak menantu, sebelum pulang ke Perak pun masih sempat untuk masak dan sediakan lauk berbuka puasa buat anak dan menantu.
.
Mingguan Wanita : Rezeki setiap orang berbeza. Alhamdulillah diberi mentua yang baik dan memahami walaupun bukan satu agama.
Anda sebagai isteri tentu rasa sangat bahagia jika suami sentiasa di depan mata dan anak-anak yang baik. Namun bayangkan jika anda dikelilingi orang yang murung. Besar kemungkinan anda juga terpalit dengan rasa kemurungan itu.Lebih-lebih lagi jika suami, orang yang paling rapat dengan diri anda sendiri yang mengalami kemurungan. Sebagai isteri, anda perlu main peranan dalam memberikan sokongan emosi buat suami menangani kemurungan itu.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, daripada Promind Training And Consultation, yang juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Masalah
Suami yang ada masalah di tempat kerja, dihimpit hal kewangan atau masalah hubungan dengan anda sangat terdedah kepada kemurungan ini. Keadaan ini adalah benar kerana kira-kira satu pertiga penduduk di negara ini mengalami penyakit kemurungan seumur hidup. Ini berdasarkan statistik Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada 2015. Dengan cabaran peningkatan kos hidup hari ini pasti situasi kemurungan ini semakin mencengkam.
Anda mungkin tidak terkesan dengan keadaan ini jika suami sentiasa senyum semasa di rumah. Tetapi bagaimana jika sebaliknya? Dua hari lepas, dia balik dalam keadaan macam naga. Anak-anak yang tidak tahu apa-apa, semua ditengkingnya dengan kata-kata berapi. Semalam dia senyap dan banyak termenung. Puas anda bertanya tetapi dia kata ‘tidak ada apa-apa!’. Malam tadi dia mengigau sehingga bertempik-tempik. Semua itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Sekarang izinkan saya bertanya. Apa yang perlu lakukan sekarang?
Faham
Pertama sekali anda tidak boleh bertindak balas tanpa faham situasi suami. Ya, anda rasa dia menengking tanpa sebab. Anda betul tetapi kena segera beristighfar dan berundur. Anda tahu bahawa itu bukan sifat suami anda yang sebenar. Salurkan apa juga ayat-ayat kasar yang dia hembus ke telinga kanan terus keluar ke telinga kiri. Jangan benarkan tengkingan itu melencong masuk ke dalam hati. Saya pasti Allah akan memberikan pahala mudah yang melimpah ruah apabila anda sebagai isteri mengamalkan tip pertama ini.
Emosi Kena Teguh
Untuk berada di samping suami yang kemurungan, emosi isteri perlu teguh dan kuat. Anda tidak tahu selama mana keadaan itu akan berlaku tetapi yang pasti emosi anda perlu bertahan selama kemurungan itu berterusan. Semua itu bukan mudah tetapi juga bukan mustahil. Seperti menakung ‘air tempayan’ maka air itu perlu dilepaskan keluar. Kalau tidak nanti jadi tempat nyamuk membiak. Bagaimana untuk melepaskan tenaga negatif itu?
Cara terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh. Apabila kita bersenam atau melakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh maka sesuatu yang ajaib berlaku. Tubuh secara semula jadi mengeluarkan hormon dopamine, endorphin dan serotonin. Anda tidak perlu ingat nama hormon-hormon ini tetapi cukup mengetahui inilah hormon yang mendatangkan rasa lega dan gembira. Maka bila suami tidak ada maka bersenam dan kemaskanlah rumah. Pasti anda rasa lega dan sedia untuk satu pusingan lagi.
Diri Sendiri
Siapa atau apakah yang menjadi cabaran terbesar anda dalam menghadapi suami yang kemurungan? Bukan suami tetapi sebenarnya ialah diri sendiri. Apabila dalam kesedihan kita cenderung membandingkan diri dengan orang lain yang kelihatan ceria. Secara tidak sedar kita mula menghitung kesusahan yang pernah dilalui.
Yang peliknya kita hanya menghitung hal-hal yang tidak elok saja. Adakah selama hidup ini tidak ada rahmat Allah yang kita nikmati?. Oleh itu elakkan daripada membandingkan diri kita dengan orang lain yang dirasakan lebih hebat.
Jika cabaran kemurungan suami ini menjadi cabaran, pasti ada orang lain menghadapi cabaran hidup yang sepuluh kali lebih getir. Sebab itu kita perlukan agama untuk faham erti reda dalam hidup. Apa juga cabaran yang sedang dihadapi pasti bukan satu yang sia-sia. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik untuk anda kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Menjadi tetamu, jangan dilupakan adab berziarah dan keselesaan buat tuan rumah.Pesanan buat mak ayah yang ada anak kecil, jangan lupa bawa plastik kecil untuk membungkus dan mengikat diapers anak selepas menggunakannya. Tak kiralah anak buang air kecil atau air besar.Kerana ia boleh meninggalkan bau dan rasa kurang senang buat tuan rumah jika dibuang begitu sahaja.
Jadilah mak ayah yang prihatin dan empati dengan tuan rumah. Bukan apa, perkara ini mungkin dianggap remeh sebab rasa ia perkara biasa, namun hati tuan rumah juga perlu dijaga demi keselesaan mereka. Silap-silap jika dilakukan boleh bermasam muka pula dengan tuan rumah nanti.
Ni pengalaman ummi Zayd sendiri. Masa tu umur Zayd baru 7 bulan lebih. Berkunjung ke rumah saudara yang takde anak kecik.
Diitakdirkan tengah rancak berbual dengan tuan rumah, Zayd buang air besar dan bau sangatt tak best. Serius busuk sangat sampai ummi pun tak boleh tahan. Ummi dah lupa zayd makan apa.
Ummi Zayd pun minta izin guna toilet dekat dapur untuk tukar pampers.
Bila dah siap tukar pampers, ummi zayd cari tong sampah. Bila nak buang pampers dalam tong sampah kat dapur, ummi jadi serba salah gilerrr. Dalam tong yang terbuka ada sampah sisa makan dan beberapa plastik makanan.
Lama ummi termenung pandang tong sampah tu. Rasa malu dan bersalah sangat nak ‘tumpang’ tong sampah tuan rumah. Inikah adab tetamu? Nak tinggalkan ‘buah tangan’ dan bau yang tak best dekat tuan rumah yang hidang kita makanan best? Layan kita dengan sopan santun dan beradab?
Ummi tak jadi buang. ummi pun mintak plastik, bungkus pamper zayd dan buang on the way balik rumah.
Lesson learnt untuk ummi, sejak dari peristiwa itu, ummi selalu bawak plastik diapers sendiri. Setiap kali tukar pampers, ummi akan bungkus siap-siap, ikat rapat-rapat untuk hilang rasa bersalah dan elakkan berbau.
Kita tak tahu, bolehjadi nampak remeh bagi kita, tapi boleh beri impak besar pada orang lain. Kita taknak orang mengata buruk pasal kita. Ini bukan pasal betul atau salah.
Ini pasal adab dan tanggungjawab menghormati sesama saudara lain supaya kita tidak jadi tetamu yang tak diundang lagi.
Dekat Lazada pun ada jual diapers disposal plastic bag. orang lain mungkin dah lama ada kesedaran, tapi ummi Zayd dapat kesedaran dari pengalaman. Ummi Zayd beli plastik yang murah harga tak sampai RM2. Kuantiti pun banyak dan jimat.
Semoga jadi pengajaran untuk parent lain.
Sekian, coretan ummi zayd.
Belajar dari anak pertama.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan. Adab menjadi tetamu, agar tuan rumah juga perlu rasa selesa. Perkara ini, mungkin dianggap remeh namun besar kesannya. Jadi buat mak-mak yang ada anak kecil, siap sedia beg plastik kecil untuk membungkus pampers anak, ketika datang berziarah di rumah orang.
Kisah menyayat hati seorang ibu di Kampung Binjai apabila anak sulungnya disahkan menghidap kanser pangkal otak tahap kritikal. Ketahui perjalanan rawatan dan bantuan yang diterima keluarga ini dalam menghadapi ujian berat.