Jodoh adalah rahsia Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Tiap orang pasti ingin jodohnya kekal ke akhir hayat namun ada yang tak kesampaian. Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang merupakan ibu tunggal. Jodoh dibantah kerana kekasih hatinya masih teruna.
Jodoh Terpisah Selepas Tiga Tahun
Saya seorang ibu tunggal, mempunyai seorang anak yang berusia enam tahun. Terus terang, saya menuntut cerai selepas tiga tahun berkahwin. Bukan saya minta perceraian itu terjadi namun saya lakukan demi kehidupan saya dan anak kesayangan.
Saya seorang kakitangan kerajaan, berpangkat pegawai dan gaji saya agak lumayan. Saya berkahwin pada usia 29 tahun dengan seorang jejaka, Man, satu kementerian tapi berlainan jabatan. Itu pun atas aturan rakan-rakan yang ingin menjodohkan kami. Saya akui, belum sempat cinta berputik sepenuhnya kami sepakat untuk melangsungkan perkahwinan. Biarkan kami menyulam cinta selepas kahwin. Itu lagi berkat. Perkahwinan kami hanya selepas empat bulan perkenalan.
Bahagia Hanya Sementara
Jika dilihat daripada segi luaran, tiada cacat celanya pada Man. Bertanggungjawab dan melayan saya dengan baik. Tapi, dari awal perkahwinan, ada sesuatu yang pelik pada dirinya yang saya tidak ketahui.
Hubungan kami bertambah rapat dan rasa sayang semakin menebal di hati sehinggalah terbongkar rahsianya selama ini. Rupa-rupanya dia seorang penagih dadah. Itu pun saya ketahui apabila terjumpa sesuatu yang meragukan ketika mengemas bilik stor di tingkat bawah. Saya jumpa peralatan menghisap dadah. Selama ini dia sering kali berkurung di dalam bilik itu tapi katanya mengemas stok atau mencari barang. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya tidak dapat terima kenyataan bahawa saya telah mengahwini seorang penagih dadah.
Man sujud di kaki saya memohon diberikan peluang kedua dan kerana anak yang masih kecil, saya turutkan. Namun, ternyata dia tetap tak berubah malah semakin parah. Kesabaran saya hilang apabila dia mula ‘naik tangan’ apabila saya menegur perbuatannya itu. Cukup! Setakat itu saja. Tak sanggup saya mengambil risiko untuk hidup selamanya dengan lelaki yang sudah menyakiti diri saya.
Tuntut Cerai
Akhirnya saya menuntut cerai. Walau pun pada mulanya Man cuba memujuk rayu namun saya tidak sanggup lagi hidup bersama seorang penagih dadah. Dalam terpaksa, Man merelakan perpisahan kami dan talak satu dilafazkan.
Ads
Selepas bercerai, saya meminta ditukarkan ke negeri kelahiran, agar lebih dekat dengan keluarga. Syukur permohonan saya berjaya dan saya berpindah tinggal bersama ibu bapa. Kehidupan saya lebih tenang dan fokus saya hanya untuk membesarkan anak tunggal saya itu.
Berkenalan
Takdir Tuhan tiada yang dapat menduga. Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, hati saya dijentik oleh seorang jejaka, Rizal. Kami satu jabatan dan sering bekerjasama. Pada mulanya saya agak segan untuk berkawan rapat dengannya memandangkan dia masih bujang sedangkan saya bergelar janda. Tapi apabila melihatkan keikhlasannya, saya terima huluran persahabatannya walau pun tidak pernah secara terang-terangan melafazkan kata sayang kepadanya.
Namun dia sedar dia satu-satunya lelaki yang paling rapat dengan saya. Kami sebaya namun dia lebih matang pemikiran dan caranya. Saya yakin Rizal dapat menjadi pemimpin saya dan anak kelak. Malah anak saya dapat menerima kehadiran rakan rapat saya itu dengan baik.
Keluarga Soal Jodoh
Apa yang membuatkan saya buntu apabila keluarga saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya ini. Mereka meragui keikhlasan lelaki itu mencintai saya yang sudah ada anak satu. Sepanjang perkenalan kami, Rizal pernah bawa saya berkunjung ke rumahnya berjumpa mak dan ayahnya dan ternyata mereka dapat terima diri saya seadanya.
Masalahnya sekarang di pihak keluarga saya sendiri. Mak dan ayah berterus terang dengan saya bahawa mereka membantah hubungan saya dan Rizal. Sepanjang perhubungan kami selama setahun lebih, saya belum berani hendak bawa Rizal jumpa keluarga. Mana taknya, bila saya cerita pun mereka awal-awal lagi dah bantah. Puan, bagaimanakah caranya saya boleh meyakinkan mak dan ayah untuk terima Rizal?
Perkahwinan adalah satu perjalanan yang memerlukan ilmu, kebijaksanaan, kemahiran, peranan dan tanggungjawab, tolak ansur, pengorbanan, daya ketahanan dan kesabaran dalam mengharungi cabaran dan ujian dalam menuju kehidupan yang diredhai Allah. Pengalaman pahit dan manis akan dilalui oleh isteri, suami dan ahli keluarga yang lain. Ada perkahwinan yang bahagia yang bertahan lama. Ada juga perkahwinan yang tidak bahagia tetapi bertahan lama. Perpisahan adalah jalan terakhir agar masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika sudah tidak bertemu jalan penyelesaian.
Pengalaman perkahwinan kali pertama sedikit sebanyak telah mengajar puan. Puan juga telah mengenali hampir 90 peratus tentang diri seorang lelaki. Walaupun tidak semua lelaki sama, namun saya percaya puan telah mengenali lelaki dan bijak membuat pertimbangan dan keputusan. Keputusan yang puan akan ambil ini perlulah menggunakan pemikiran yang rasional, ada pertimbangan dan ada membuat penyelidikan. Keputusan yang puan ambil ini perlu mengambil banyak faktor. Bukan sahaja dari tuntutan hati dan perasaan sayang atau kasihan puan kepada lelaki baharu ini, tetapi dari semua aspek tentang latar belakang dan karakternya.
Ads
Selidik
Apabila kita membuat penyelidikan, kita perlu mengambil kira faktor-faktor yang boleh menyokong, berkecuali atau menolak. Faktor ini pula perlu berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang menguatkan kenapa perlu menerima, berkecuali atau menolak.
Dengan erti kata lain, pandangan keluarga yang menolak itu adakah hanya dengan anggapan bahawa lelaki itu tidak ikhlas? Bagaimana untuk mengukur ikhlas. Mungkin ada faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa puan boleh “membaca” atau membuat kesimpulan bahawa dia tidak ikhlas. Ibu bapa jarang yang tidak ikhlas terhadap anak-anaknya.
Seboleh mungkin mereka mahu anak-anak bahagia. Melainkan ibu bapa yang memang mahu anak bersamanya dan tidak mahu anak bersama orang lain. Cuba cari alasan kepada apa yang ibu dan bapa puan berkata begitu. Kedua, cuba dapatkan maklumat tentang lelaki itu. Lazimnya maklumat boleh diperoleh daripada rakan sepejabatnya, rakan-rakan sepermainan atau yang mengenalinya, daripada jiran, dan ahli keluarga. Kita juga boleh mengenali daripada alam maya facebook jika kita mahu mencari maklumat tentangnya (jika dia ada facebook dan seangkatan dengannya.
Ambil masa Kenal Hati Budi
Ketiga, ambil masa berkawan dengannya. Cuba ketepikan dahulu soal sayang dan cinta. Kerana ia akan menghalang pemikiran rasional untuk membuat keputusan. Orang selalu berkata “cinta itu buta”. Bermaksud, segala yang lemah dan tidak baik itu akan “terhijab” atau terlindung dek kerana perasaan cinta yang menguasai diri seseorang. Sekadar yakin dengan keikhlasannya belum mencukupi untuk puan membuat kesimpulan bahawa dia bakal lelaki yang boleh membahagiakan.
Ingat, keputusan bijak adalah datang daripada pertimbangan pemikiran yang bijak, mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak, mengkaji latar belakangnya, dari segi perangai, tabiat, kesukaan, gaya hidup, cara berbelanja dan yang paling penting tentang agamanya khusus solat yang lima. Solat kalau tidak didirikan bukanlah calon suami yang boleh membawa kita ke arah kehidupan yang diredhai Allah. Lelaki yang bergelar suami berperanan membawa isteri ke jalan hidup yang diredhai Allah.
Berbeza
Puan berkawan dengannya. Pastinya puan boleh mengetahui sejauh mana tentang diri beliau dan ciri-ciri yang saya sebutkan ini ada pada dirinya. Alam berkawan dan alam berkahwin tidak sama puan. Kadang-kadang kita tidak menyangka sama sekali lelaki yang kita jadikan suami itu berbeza sekali karakternya sebelum berkahwin. Kata orang tua-tua pisang jangan berbuah dua kali. Beri masa pada diri.
Utamakan pemikiran daripada perasaan dalam apa jua tindakan dan keputusan yang diambil. Solat hajat, bermunajat kepada Allah dan istikharah mohon petunjuk dari Nya. Insya-Allah puan akan menemui jalannya dan tenang jika puan percaya dan yakin kepada janji dan ketentuan Allah. Wallahualam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bahagianya sebuah rumah tangga, bila suami isteri dan anak-anak dapat hidup dalam keadaan harmoni. Bila hati tenang dan bahagia, rezeki pun masuk dengan lajunya.
Perkongsian daripada Puan D Nurul Laily Hanyini ringkas saja. Tentang membeli permainan anak-anak saja pun. Tapi ada pengajaran yang cukup halus dan mendalam.
Ceritanya bermula dengan catatan sebuah kedai yang selalu dituju setiap kali balik ke kampung.
“Inilah tempat yang dituju anak-anak. Beli mainan. Bagi duit seorang RM5, dapatlah mainan.”
Logik katanya. Anak-anak ini bukan nak mainan mahal pun. “Tapi depa seronok bila dapat mainan.”
Nak murah rezeki, selalulah gembirakan anak-anak. Beli mainan pun ikutlah kemampuan ibu bapa.
“Bila anak-anak gembira aura rezeki tu mudah nak dekat. Hidup kita takkan pernah sempit.”
Ini Pula Tip Nak Murah Rezeki Untuk Suami
Katanya lagi, para suami yang nak rezeki murah kenalah gembirakan isteri dan anak-anaknya.
Sekali sekala beri hadiah dekat isteri. Tak kan jadikan suami papa kedanalah kalau beri hadiah dekat yang tersayang. Lagi, Allah buka pintu rezeki yang lain.
“Tak mampu beli hadiah coklat Govida, belilah Ferrero Rocher, tak mampu Ferrero Rocher, belilah Cadbury. Tak mampu juga, Choki-choki pun jadilah.
“Buat suprise dekat isteri. Jangan bagi suruh kongsi dengan anak. Beritahu ‘Khas Untuk Awak’. Senyum meleret 24 jam tau orang perempuan kalau dapat surprise-surprise gitu.
Tak cara cuba buat!
Hilang penat isteri yang penat urus rumah. Bila isteri gembira, rumahtangga aman. Isteri rasa suami menghargai dirinya.
Suami pun akan bertambah bahagia bila isteri buat kerja rumah dengan senyuman.
Rezeki suami lagi mudah mendekat.
Itulah tip MENARIK REZEKi. Mudah-mudahan.
Sumber/Foto/Video : Facebook D Nurul Laily Hani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebaik salah seorang ahli keluarga yang meninggal dunia, perkara pertama yang sering dibangkitkan adalah harta pusaka. Sama ada, suami meninggal mahu pun isteri, mesti ada ahli keluarga akan ‘berbunyi’.
Perkara yang sering diketengahkan tentutlah harta peninggalan untuk ahli keluarga yang tinggal. Untungnya, bila si mati meninggalkan waris. Bolehlah harta itu diberikan untuk waris keluarga bagi meneruskan hidup.
Namun, tak mustahil juga, ada waris tapi ahli keluarga si mati sanggup berebut. Walau bagaimanapun tidak semua ahli keluarga sanggup berbuat demikian. Kena ingat, kita ada undang-undang bagi menyelesaikan masalah ini, bila berlakunya perebutan harta.
Ikuti perkongsian daripada bapa tunggal ini dalam bercerita tentang harta pusaka. Ada benarnya, barang yang kita ada walau sekecil mana pun, ia akan menjadi harta pusaka bila kita meninggal dunia nanti.
“Apabila mati, barangan kita waima sebatang pen adalah menjadi harta pusaka. Dan dalam setiap harta pusaka itu ada waris yang berhak ke atasnya.”
Inilah ayat yang diberikan kepada saya ketika saya mula hendak mengagihkan barangan arwah isteri seperti pakaian, kasut, beg dan sebagainya. Ini bukan dari kata orang biasa namun dari orang yang berilmu dan pakar dalam urusan faraid dan harta pusaka.
Lalu saya hentikan dahulu niat tersebut.
Saya mula rujuk, saya bertanya dan saya dapat khidmat nasihat dari mereka yang pakar dan bertauliah.
Ye jawapannya sama.
Harta si mati walau sekecil barang adalah harta pusaka yang dalam setiap darinya ada waris yang berhak ke atasnya.
Wajib difaraidkan.
Mujur, harta arwah isteri warisnya hanya kami 4 beranak. Tiada orang lain yang layak kerana arwah sudah tiada mak dan ayah. Dan anak-anaknya semua lelaki maka semua hartanya dibahagikan ¼ antara kami berempat.
Pemegang Amanah
Harta yang bernilai besar telah diberikan mengikut arahan mahkamah. Namun harta yang kecil seperti pakaian, kasut, perhiasan, pinggan mangkuk semuanya saya bahagikan sendiri antara kami 4 beranak.
Sebagai ayah dan juga pemegang amanah, saya berkuasa menguruskan harta anak-anak saya.
Saya juga berbincang dengan anak-anak, yang sudah boleh memahami tentang barang arwah ibu mereka. Ada yang mereka ingin simpan, tak boleh diusik dan ada yang mereka benarkan untuk diberikan.
Lalu saya pilih barang-barang yang memberi manfaat seperti telekung, sejadah, kain-kain yang masih baru belum berjahit, kasut, perhiasan dan sebagainya saya hadiahkan kepada rakan-rakan arwah dan juga sanak saudara.
Selebihnya yang tinggal hanyalah barang di dalam bilik tidur. Barang-barang ini agak privasi dan sangat sentimental buat kami anak beranak. Kebanyakannya adalah pakaian harian arwah, sudah tidak cantik untuk diberikan kepada orang serta sedikit barang perhiasan (tiada emas) dan juga beg.
Jadi, barang-barang inilah yang saya masih kekalkan dalam keadaan asalnya agar dapat saya dan anak-anak dapat melihat dan mengenang dan mendapat kebahagiaan darinya.
Beri Manfaat
Begitulah.
Ada yang kata, barang arwah yang saya simpan, tidak digunakan, akan menjadi beban buat arwah kerana nanti semuanya akan dihisab. Tidak begitu, barang yang sudah menjadi harta pusaka sudah berpindah milik. Sudah tidak lagi dihisab penggunaanya ke atas arwah, namun dihisab ke atas warisnya. Berhati-hatilah.
Namun amat merugikan jika terus disimpan barangan yang boleh memberi manfaat dan jariah berpanjangan kepada arwah dan juga waris-warisnya. Ada barang yang jika disimpan lama ianya akan rosak, jadi dengan memberi atau menyedekahkan untuk diguna oleh orang lain adalah lebih baik.
Harta pusaka dan faraid ini ialah hukum Allah.
Tidaklah boleh kita memudahkan perkara ini walaupun nampak kecil hanya sebatang pen atau sebatang pin tudung. Semuanya ada waris yang berhak ke atasnya.
Jadi, bila ada harta si mati, maka panggilah semua para waris yang berhak ke atasnya dan duduklah berbincang. Jika ingin di ambil bahagiannya maka berikanlah, jika ingin dilepaskan maka bolehlah disedekahkan.
Kebajikan Anak-anak
Jangan sembrono mengambil atau mengedarkan barangan si mati dengan alasan untuk memberi manfaat atau pahala kepada si mati walhal waris-warisnya belum memberi kebenaran.
Terutamanya anak-anak kecil.
Kata ustaz, kata pakar, sebagai penjaga (ayah, ibu, atuk, nenek, pakcik dan sebagainya) atau pemegang amanah kita boleh menguruskan harta anak kecil tadi. Yelah anak kecil mana tahu apa-apa tentang segala harta, takkan nak simpan satu almari baju arwah ibu atau ayahnya kan?
Benar, namun penjaga atau pemegang amanah tadi haruslah bertanggungjawab memastikan kebajikan anak kecil tadi terjaga selari dengan harta yang diambil darinya dan diberikan kepada orang lain.
Harta pusaka adalah amanah yang berat.
Jenuh menjawab di akhirat nanti.
#superdaddy
Rujukan: Ustaz Mohd Khusairi Saleh- Pakar Faraid dan Harta Pusaka.
MW: Jangan main-main dengan harta pusaka. Berikan pada waris yang berhak menerimanya.
Dr Sheikh Muszaphar pilih Kolej Permata Pintar Buat Bella. Menerima tawaran dari beberapa sekolah berasrama penuh seperti Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Kolej Yayasan Saad (KYS) dan Kolej Permata Pintar Negara (KPPN) hasil kecemerlangan akademik Bella, angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar akhirnya mengumumkan di Instagram mereka sekeluarga memilih Kolej Permata Pintar bagi anak sulungnya itu meneruskan pendidikan di peringkat menengah.
Menurut Dr Sheikh Muszaphar, dirinya dan keluarga sudah membuat pelbagai perbincangan termasuk melakukan solat istikharah, akhirnya sepakat memilih pusat berprestij tersebut untuk anak sulungnya, Sophea Isabella, 13.
Dr Sheikh Muszaphar Pilih Kolej Permata Pintar Buat Bella
Menulis di instagram rasminya, kata angkasawan negara ini, walau menerima beberapa tawaran sekolah berprestij lain, namun ada pelbagai faktor diambil kira oleh dirinya dan isteri, Dr Halina Mohd Yunos sebelum membuat pilihan ini.
Apa yang menjadikan sebuah sekolah yang hebat? Guru-guru, kemudahan, persekitaran, kepimpinan, pendidikan berpusatkan pelajar, jangkaan tinggi, program yang ditawarkan, rangkaian alumni yang teguh dan sebagainya.
“Banyak sekolah hebat di luar sana dan setiap sekolah ada kelebihan tersendiri. Kecemelangan, prestasi dan sejarah yang terbukti.
“Hasil Berbincang, Berfikir Panjang & Solat Istikharah
“Selepas berfikir dan berbincang serta solat istikharah, kami memilih Genius Permata Pintar (Kolej Permata Pintar), kongsinya.
Tambahnya, hal ini didorong oleh persekitaran yang bakal menggilap bakat dan kemampuan anaknya.
“Sekolah KPPN yang mencabar minda Bella, bercampur dengan rakan sebaya yang cemerlang membuatnya mampu menunjukkan potensi sebenar.
Jelasnya lagi, memilih sekolah yang betul penting tetapi pada akhirnya ia bergantung kepada pelajar itu sendiri. Kami berharap ia adalah pilihan yang tepat untuk Bella, kata bapa kepada tujuh anak ini.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...