Sesungguhnya bila maki hamun jadi zikir harian, bagaimana penghujung hayat kita nanti? Cuba bayangkan, mampukah kita menuturkan kalimah syahadah saat malaikat maut menjemput jika setiap saat ketika hayat hanya melontarkan kata-kata kesat serta melukakan hati orang lain.
Ikuti perkongsian Puan Busseroa Abd Jalil dan fahami apa yang dia cuba sampaikan…
Maki…
Lama juga saya tidak menulis panjang-panjang. Tetapi entahlah, hari ini hati saya terasa seperti cedera parah pula walaupun panah cacian tersebut bukan dilontarkan kepada saya.
Kisah bermula pagi tadi ketika seorang sahabat bercerita tentang video makian, maka saya pun melihat video tersebut. Sungguh, saya tidak kenal kedua-dua individu sama ada yang memaki atau dimaki.
Tetapi walau hanya menontonnya sahaja saya terasa seperti terlalu banyak racun yang masuk ke hati saya.
Hati saya menjadi cedera tiba-tiba dan menjadi sakit teramat-amat, jadi tidak percaya dengan apa yang saya tonton, jadi murung dan macam-macam lagi.
Mengapa begitu?
Kerana memaki-hamun itu bukan budaya saya. Melontarkan kata-kata kesat seperti itu bukan cara hidup saya. Memalukan, menghina dan sebagainya bukan amalan saya. Saya rasa anda juga sama seperti saya. Jadi ketika menonton toksik seteruk itu hati kita menjadi terkejut dan trauma.
Tetapi bayangkan, di saat menonton sahajapun hati kita sudah terluka, tetapi ada orang yang memilih cara sebegitu sebagai jalan hidup dan cabang rezeki.
Dan yang kian parahnya apabila cara hidup toksik itu berjaya mempengaruhi pengikut-pengikut yang lain pula.
Kelukaan di hati kita pasti kian teruk apabila membaca komen-komen yang menyokong tindakan memaki-hamun dan memalukan orang lain tersebut.
Ya betul, dia mungkin idola anda tetapi bukan bermaksud semua perkara yang dia buat betul. Ada masa sokong dan ada masa anda perlu menegur.
Maki Hamun Jadi Zikir Harian
Dalam waktu begini, saya teringat pula kepada beberapa buah filem Korea dan Jepun yang pernah saya tonton. Saya tertarik apabila ucapan terima kasih melatari dalam banyak bahagian hidup mereka.
Terima kasih kerana menjadi jiran saya.
Terima kasih kerana menegur saya.
Terima kasih kerana kamu pergi dan pulang dari kerja dengan selamat.
Terima kasih kerana belajar bersungguh-sungguh.
Terima kasih kerana menjadi anak saya.
Dan macam-macam lagi ucapan terima kasih pada perkara-perkara yang kita merasakan tidak perlu pun untuk berterima kasih. Contohnya terima kasih kerana menjadi anak saya. Sedangkan menjadi anak kepada ibu bapa itu bukan ada pilihan pun.
Hakikatnya, bukan ungkapan terima kasih itu yang didambakan tetapi proses melunakkan hati itu yang cuba diterap. Kerana hati itu sifatnya liar. Jika tidak dijinakkan dengan kelembutan maka menggilalah dia.
Seperti kisah yang pernah seorang polis kongsikan beberapa tahun yang lalu. Kata beliau pada suatu malam berlaku kemalangan jalan raya yang dahsyat melibatkan sekumpulan mat rempit.
Salah seorang mat rempit tersebut terpelanting jatuh ke dalam gaung. Ketika ditemui tubuh mat rempit tersebut telah putus di paras pinggang sehingga menampakkan isi perut, tetapi dia masih bernafas dan boleh bercakap.
Lalu anggota polis tersebut, mengajar mat rempit itu mengucap sebab beliau tahu mat rempit tersebut seperti tidak akan dapat diselamatkan lagi.
Namun, tatkala syahadah diajar, mat rempit itu mengamuk dan memaki hamun dengan berkata dia perlukan rokok. Bukan yang lain. Setelah teruk dia mengamuk dan mencerca lalu polis tersebut memberi sebatang rokok kepadanya.
Kata anggota polis itu, beliau melihat bagaimana organ dalaman mat rempit itu berdenyut tatkala rokok itu disedut dalam dan ketika asap rokok itu dihembuskan, maka terhembus keluar juga organnya yang berlonggok itu. Mat rempit tersebut meninggal dunia dengan hembusan rokoknya yang terakhir itu.
Cerita ini sudah lama. Tetapi kisah ini selalu melekat kukuh di minda saya. Betullah seperti kata ustaz, biasanya Allah akan takdirkan hayat kita berakhir dengan apa yang kita suka semasa hidup dahulu.
Maki Hamun Jadi Kesudahan
Seperti kisah mat rempit, akhir hayatnya berkesudahan dengan maki hamun dan rokok kerana itu jalan hidupnya dahulu.
Dan bayangkan pula jika hidup kita berpasak pada bicara lisan yang kotor, hati yang kelam, minda yang jahat, lidah yang kesat dan sebagainya semasa hidup?
Adakah di penghujung hayat nanti bicara syahadah mampu kita tuturkan menggantikan perkataan babi, celaka, anak haram dan sebagainya yang dizikirkan sehari beratus kali sebelum ini?
Semoga Allah ampunkan semua kelalaian kita.
MW: Semoga Allah menjauhkan diri dan keturunan kita daripada sikap sebegini. Diharap apa yang berlaku ini menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua.
Mendekati waktu maghrib, Allahyarham Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35 menunggang motosikal jenis Honda Vario bersama anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8. Bapa ini mahu menghantar anak lelakinya itu ke kelas mengaji.
Bagaimana pun hajat keduanya tak kesampaian, apabila sekitar jam 7 malam, mereka terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa keduanya di simpang tiga Jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus.
Ketika ditempat kejadian, motosikal Allahyarham dikatakan keluar dari simpang, kemudian dirempuh Proton Preve dipandu lelaki berusia 38 tahun. Pelanggaran itu menyebabkan dua beranak ini tercampak dan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami. Sementara, pemandu proton Preve mengalami kecederaan ringan.
Pemergian Allahyarham Md Firdaus dan anak sulungnya ini tentunya memberi tamparan hebat buat Siti Hawa Mohd Sebari, 30, isteri dan juga ibu yang sedang hamil anak keempat ini.
Pemergian ini mengundang kejutan yang teramat buat Siti Hawa. Malah, sewaktu menunggu jenazah suami dan anaknya, tak berhenti air mata berlinang. Beberapa kali suri rumah ini pengsan, malah perlu ditenangkan ahli keluarganya sewaktu menunggu jenazah suami dan anak di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) .
Pemergian insan kesayangan secara serentak tentunya memberi kejutan buat mereka yang ditinggalkan. Allahyarham meninggalkan dua orang anak perempuan dan bayi yang masih dalam kandungan isterinya.
Ketika hayat masih ada, anak lelaki sulungnya rajin membaca Al-Quran. malah, kata bapa mentua arwah, Mohd Sebari Kabon, 72 cucunya itu juga cukup menghormati orang tua.
Allahyarham Md Firdaus pun cukup sayangkan anak sulungnya itu. Bila saja pulang bercuti baik di rumah keluarga dekat Tambun, Perak atau rumah keluarga mentua di Felda Adila, Kota Tinggi, dia pastu meluangkan masa bersama Allahyarham Muhammad Lutfil.
Sebak apabila bapa Allahyarham Md Firdaus, Omar Endut, 71 berkongsi rasa hati. Amat sukar untuknya menerima hakikat kehilangan anak lelakinya yang begitu bertanggungjawab dengan keluarga.
Tak pernah pun sekali bapa dan anak ini berpisah dalam hidup mereka. Sejak arwah masih kecil sehingga bergelar Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2008 belum pernah mereka berjauhan.
“Tapi hari ini (semalam) kami berpisah buat selama-lamanya.”
Biarpun bapa ini redha dengan qada dan qadar Allah SWT, kesedihan di hati tetap tak dapat ditahan-tahan.
Jenazah dua beranak ini kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu dan dihantar ke Kota Tinggi dengan van jenazah maritim dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah perkuburan Islam Felda Adila.
APMM Johor turut memberikan penghormatan kepada jenazah dengan Majlis Istiadar Pengebumian dan Kawalan Jenazah yang dilaksanakan oleh 15 Pegawai penguatkuasa dan 17 Pegawai lain-lain Pangkat daripada Maritim Negeri Johor.
Fitrahnya biologi seorang wanita mempunyai rahim untuk proses mengandung dan melahirkan anak. Namun tak semua wanita bertuah. Ada yang diberikan ujian dilahirkan tanpa mempunyai rahim sendiri, sekaligus meleburkan impian untuk mempunyai zuriat sendiri.
Kisah sebaliknya bagi wanita ini. Walaupun dilahirkan tanpa rahim, wanita di Amerika Syarikat ini mampu memiliki anak kandung.
Itulah keajaiban bagi Jennifer Gobrecht, yang memiliki zuriat menerusi pemindahan rahim sebelum disahkan hamil dan melahirkan bayi itu Januari lalu.
Jennifer, 34, dari Pennsylvania menghidap sindrom Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser, iaitu masalah kongenital yang berlaku dalam setiap daripada 14,500 wanita.
Katanya, dia tidak menyedari sebarang kelainan pada dirinya sehingga tidak datang bulan ketika usia mencecah 17 tahun sebelum didiagnos penyakit itu.
“Segalanya berubah apabila saya terbaca pencarian Hospital of the University of Pennsylvania pada 2017 untuk calon penerima sukarela membuat pemindahan rahim dalam projek penyelidikan klinikal mereka.
“Permohonan saya diterima selepas melepasi kriteria termasuk calon mesti berusia 21 hingga 40 tahun, memiliki buah pinggang normal, bukan perokok dan mandul,” katanya.
Wanita itu berkata, bukan mudah baginya dan suami mendapatkanzuriat. Menurutnya, pelbagai rintangan dan risiko perlu dilalui.
“Doktor mendedahkan risiko prosedur termasuk pendarahan dan jangkitan, tetapi saya mahu mencuba kerana mahu membantu wanita lain.
“Saya menjalani pemindahan rahim selama 10 jam pada 1 Mei 2018 dan mengambil masa enam bulan untuk sembuh sebelum embrio ‘dimasukkan’ ke dalam rahim.
“Kami tidak mampu menahan air mata selepas disahkan hamil, rasa macam tidak percaya sebelum melahirkan anak itu Januari lalu secara pembedahan,” katanya seperti dipetik Daily Mirror.
Katanya, dia mahu berkongsi kisahnya untuk membuktikan ada harapan untuk wanita senasibnya.
“Saya berterima kasih kepada penderma asing itu yang menjadikan impian saya tertunai,” katanya.
Jennifer adalah wanita ketiga di dunia mampu melahirkan anak selepas melalui prosedur berkenaan.
MW: Rezeki wanita ini walaupun tidak mempunyai rahim sendiri, namun akhirnya mendapat cahayamata dan bergelar ibu, setelah menjalani pemindahan rahim. Yang penting jangan putus harapan.
Pemergian Allahyarham Sandra Dianne akibat kemalangan jalan raya pada Jumaat lalu ternyata masih dirasai. Apatah lagi, semalam iaitu 16 September merupakan hari ulang tahun kelahiran Allahyarham yang ke-26.
Lebih sayu, ibu Allahyarham, Nur Syakinah Abdullah, 46, turut berkongsi perasaannya yang pertama kali tidak dapat meraikan hari istimewa itu bersama anak kesayangannya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya, ibu Allahyarham memuat naik sebuah video istimewa ucapan hari lahir yang dititipkan khas buat Sandra (panggilan manja kakak) daripada para peminatnya.
Malah Nur Syakinah juga turut meluahkan rasa terharunya apabila orang ramai tidak putus-putus mendoakan yang terbaik buat arwah anaknya.
Ramai Yang Menyayangi Kakak
“Kakak, mama titipkan video yang di buat khas buat kakak daripada peminat dan penyokong kakak pada hari lahir kakak hari ini, 16 September 2020.
“Mereka benar-benar buat mama sebak dan terharu, sungguhpun kakak sudah tiada hari ini, kasih sayang mereka buat kakak semakin hari semakin subur.
“Alangkah bahagianya sekiranya kakak sempat melihat semua ini sebelum kakak pergi. Betapa ramai yang menyayangi kakak, kerana selama hidup kakak, kakak sering merasakan diri kakak tidak dihargai dan disayangi.
“Mama sedih dan kesal kerana semuanya ini datang terlambat, namun mama tetap bersyukur, sekurang-kurangnya mama tahu anak mama disa
yangi ramai orang dan ramai juga yang mendoakan kakak,” luahnya sayu.
Rakan Tebarkan Kebaikan
Lebih memilukan, Nur Syakinah turut meluahkan rasa rindunya pada Allahyarham dan berkongsi sikap mulia arwah puteri kesayangan yang sering mendahulukan perasaannya sebagai ibu melebihi segala-galanya.
“Tiada kata-kata yang dapat mama gambarkan perasaan kehilangan mama pada hari ulang tahun kelahiran kakak. Sakitnya meratapi kehilangan, peritnya menahan sebak di dada teringatkan kakak, pedihnya kerinduan ini.
“Kakak anak mama yang taat, sering mendahulukan perasaan mama, takut jika kakak melukakan perasaan mama meskipun kakak tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Ramai kawan-kawan kakak yang inbox mama menceritakan apa perkara kebaikan yang telah kakak lakukan pada mereka dan ianya benar-benar buat mama terkedu.
“Sebegitu sekali kebaikan yang anak mama tebarkan dalam persahabatan. Dan kawan-kawan kakak semua cakap mereka takkan lupakan kebaikan kakak. Sungguh mama terharu,” katanya.
Menurut Nur Syakinah lagi, terlalu banyak yang ingin diluahkan tentang Allahyarham anaknya itu, namun tidak mampu untuk menahan kesedihannya.
“Banyak lagi yang ingin mama coretkan tentang kakak, namun air mata mama sudah terlalu berat untuk ditahan-tahan.
Damailah Kakak Di Sana
“Damailah kakak dalam pelukan kasih sayang ALLAH. Mama di sini akan sering mendoakan kakak dan insya-ALLAH setiap impian kakak yang belum tercapai akan mama sempurnakan untuk kakak. Mama juga tak akan lupa buat pahala sebanyak mungkin untuk kakak. Happy Birthday in heaven kakak. Mama rindu kakak,” akhirinya.