“Jangan tunggu perut sudah busung, baru nak jumpa doktor” itulah antara pesanan Doktor Andi Anggeriana Andi Asri, Pakar Perunding Perbidanan Sakit Puan, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur.

Kanser rahim adalah antara kanser yang paling menakutkan wanita. Kanser rahim juga merujuk kepada kanser yang bermula di dinding rahim dan bukan serviks. Kanser serviks ialah jenis  kanser  yang berbeza. Jenis kanser rahim yang paling biasa ialah kanser endometrium yang berasal dari endometrium, iaitu lapisan dinding rahim.

Sewaktu di temubual, Dr. Andi atau lebih dikenali dengan nama Dr. Ana yang sudah berpengalaman 27 tahun dalam bidang kedoktoran, 20 tahun Pakar Perbidanan Sakit Puan dan 7 tahun di Pusrawi menerangkan kanser rahim merupakan pembunuh senyap yang semakin ramai ‘mangsanya’ dalam kalangan wanita tanpa mengira usia.

“Saya pernah rawat pesakit yang baru berumur 18 tahun. Mengalami obesiti, ada PCOS (Sindrom Ovari Polikistik) dan ada sejarah keluarga dalam kanser. Usia bukan penghalang untuk terkena kanser rahim,” ujar Dr. Ana tenang.

“Jangan Tunggu Perut Sudah Busung, Baru Nak Jumpa Doktor” Bahaya Kanser Rahim Yang Ramai Wanita Ambil Ringan – Dr. Andi

4 Faktor Utama Kanser Rahim

Menurut Dr. Ana lagi, kanser rahim bermula dari selaput dinding rahim (endometrium) dan disebabkan oleh beberapa faktor utama:

  1. Obesiti – berat badan berlebihan menyebabkan lebihan hormon estrogen, yang akan menebalkan dinding rahim secara tidak normal.
  2. PCOS (Sindrom Ovari Polisistik) – apabila wanita tidak datang haid setiap bulan, dinding rahim tidak keluar seperti sepatutnya, lalu terus menebal hingga boleh berubah menjadi kanser.
  3. Keturunan – jika ramai ahli keluarga menghidap kanser payudara, usus atau ovari, risiko anda juga tinggi.
  4. Pemakanan & pengambilan jamu berlebihan – ada ramuan jamu dan kolagen yang tidak diisytiharkan kandungannya amat bahaya dan boleh menebalkan lapisan rahim secara berlebihan.

“Produk jamu yang tidak diketahui asal usulnya sangat bahaya. Kilang nak cepat nampak kesan, mereka campur bahan tertentu tanpa makluman pengguna jadi ini boleh cetuskan kanser rahim dan payudara,” sambung Dr. Ana.

Ads

“Jangan Tunggu Perut Sudah Busung, Baru Nak Jumpa Doktor” Bahaya Kanser Rahim Yang Ramai Wanita Ambil Ringan – Dr. Andi

Kenali Tanda Awal, Jangan Malu Buat Pemeriksaan

Antara gejala awal yang patut diberi perhatian:

  • Pendarahan haid yang terlalu banyak, lama atau keluar darah beku.
  • Pendarahan selepas bersama suami – ini tanda abnormal.
  • Keputihan berlebihan dan perubahan pola haid.
  • Pendarahan selepas menopause – walaupun ramai rasa ‘macam anak dara semula’, itu sebenarnya tanda tidak baik.

Ramai wanita takut dengan perkataan “kanser” dan enggan jalani pemeriksaan. Namun menurut Dr. Ana, kaedah saringan sangat mudah iaitu dengan melakukan imbasan ultrasound (melalui perut atau faraj), biopsi rahim dan ujian lanjutan seperti CT scan atau MRI jika perlu.

“Pemeriksaan setahun sekali sudah memadai. Kos tidak mahal, tapi impaknya sangat besar. Kanser rahim boleh sembuh serratus peratus jika dikesan awal.”

“Jangan Tunggu Perut Sudah Busung, Baru Nak Jumpa Doktor” Bahaya Kanser Rahim Yang Ramai Wanita Ambil Ringan – Dr. Andi

Ads

Bila Perut Dah Busung, Mungkin Sudah Terlambat

Dr Ana mengingatkan wanita agar jangan menunggu hingga perut mula ‘buncit berair’ atau alami kesakitan baru mahu bertindak.

“Busung air itu tanda kanser dah merebak ke organ lain. Jangan tunggu waktu itu baru nak berjumpa doktor. Kanser jika dapat dikesan lebih awal, lagi tinggi peluang sembuh,” kata Dr. Ana.

Jangan Takut Hilang Rahim

Jika kanser rahim sudah disahkan, langkah rawatan paling utama ialah pembedahan membuang rahim dan kelenjar berhampiran. Kaedah kini lebih moden termasuk pembedahan robotik yang cepat sembuh dan kurang kesan sampingan. Malah di Pusrawi juga semua kemudahan ini disediakan.

Ramai wanita Melayu takut rahim dibuang kerana risau suami menjauh.

“Saya nak tegaskan, tanpa rahim pun seorang wanita masih boleh menjadi isteri sepenuhnya. Selagi ada sokongan pasangan dan keluarga, wanita tetap boleh berfungsi seperti biasa. Jangan biar ketakutan musnahkan peluang hidup,” tegas Dr. Ana.

Ads

Amalkan Gaya Hidup Sihat, Pemakanan Seimbang & Elak Makanan Segera

Dr. juga Ana menyeru semua wanita untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Kawal berat badan, kurangkan makanan berlemak dan makanan segera, lakukan senaman berkala dan paling penting jangan abaikan pemeriksaan kesihatan berkala.

“Kalau takut pembedahan sekalipun, jangan terus menghilang. Jumpa doktor, dapatkan pandangan. Takut tidak akan hilangkan kanser. Tapi ilmu dan tindakan akan selamatkan nyawa kita,” pesan Dr. Ana.

“Jangan Tunggu Perut Sudah Busung, Baru Nak Jumpa Doktor” Bahaya Kanser Rahim Yang Ramai Wanita Ambil Ringan – Dr. Andi
Antara kemudahan fasiliti yang terdapat di Pusrawi

“Jangan Tunggu Perut Sudah Busung, Baru Nak Jumpa Doktor” Bahaya Kanser Rahim Yang Ramai Wanita Ambil Ringan – Dr. Andi

“Jangan Tunggu Perut Sudah Busung, Baru Nak Jumpa Doktor” Bahaya Kanser Rahim Yang Ramai Wanita Ambil Ringan – Dr. Andi

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI