Pagi ini selain kes penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dibicarakan di mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, negara dikejutkan dengan berita kematian adik Adam Rayqal yang dijumpai di rumah pengasuh dalam peti sejuk beku 2 pintu.
Sejak semalam, berita kehilangan Adam Rayqal menjadi viral dan ramai yang membantu menyebarkan dengan niat agar akhirnya anak kecil usia 5 bulan ini ditemui. Ya, Adam Rayqal akhirnya ditemui tapi dalam keadaan yang cukup menyayat hati.
Dalam tersebarnya berita sebegitu, ada juga sisi negatif netizen yang memberikan komen tak agak-agak, ‘suci bak malaikat’. Hadamkan teguran yang dibuat oleh bapa viral kebangsaan, Khairul Hakimin Muhammad ini. Jagalah kata-kata agar tiada hati yang makin terluka.
Anak Ini Dijumpai Dalam Peti Sejuk Beku 2 Pintu
Acapkali ada berita kehilangan, kita semua bersatu dan sepakat untuk membantu supaya anak yang diberitakan hilang itu kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat. Dan butang share, print screen serta apapun gambar dan teks dilaungkan sebanyak-banyaknya di medan media sosial kita.
Maka, ianya viral.
Seperti semalam, kehilangan Adik Adam Rayqal berjaya dibuat dengan cukup berkesan apabila kita sama-sama berjuang menyebarkannya semoga sesiapa yang nampak, membawanya pulang.
Usianya 5 bulan. Awalnya diberitahu yang anak ini dilarikan seorang lelaki yang pecah masuk ke rumah pengasuhnya.
Lalu malam tadi, dapatlah berita yang menyakitkan. Anak ini dijumpai di dalam peti sejuk beku 2 pintu di rumah pengasuh yang masih lengkap berpakaian di dalam sebuah beg. Beliau sudah meninggal dunia.
Lalu ianya tersebar sekali lagi, 200 share, 10,000 share. Dan kali ini ia membawa perit beribu kali ganda.
Banyaknya komen yang secara tak langsung membantai si ibu kerana sibuknya pergi kerja, sepatutnya tak perlu kerja. Sepatutnya juga menjaga anak sendiri di rumah.
Ads
Ada yang siap perli-perli ala ugamawan ‘syukurlah saya jaga anak saya sendiri, saya sanggup berhenti kerja demi anak-anak, anak-anaklah permata saya, alhamdulillah’.
Dan belum lagi komen yang bukan-bukan. Dari sedih, jadi mahu maki pula membacanya.
Inilah Malaysia Kawan-kawan
Kita sepakat membantu, kita juga bersatu menolong. Namun ada segelintir dari kita yang suka persoal, suka begitu begini apabila ada sahabat kita, keluarga kita ditimpa musibah.
Dalam bab 6 (Fikiran dan Rasa Seni), naskah ‘Peribadi’ tulisan Buya Hamka, Buya berpesan yang kita ini seharusnya membereskan apa yang ada di dalam fikiran terlebih dahulu, sebelum meluahkannya di mana-mana.
Perkataan beres itu sangat kuat. Yang mana ianya perlu ditafsir, diletakkan dalam compartment sabar, kemudian diteliti beberapa detik barulah kita luahkannya dalam bentuk perkataan atau perbuatan.
Sekiranya apabila kit abaca 1-1 hal, mendengar 1-1 hal dan melihat 1-1 hal, kita tidak ada respon untuk meneliti, memuhasabah serta menasihati diri untuk tenang dari membuat ulasan, maka hati kita boleh rugi dan hancur berkali-kali.
Kesukaan dan kebencian ini harus diasingkan. Saya merayu sangat-sangat.
Ads
Bayi adalah satu bentuk kecintaan, kasih sayang serta luahan hubungan antara suami isteri. Dan kematian dalam bentuk begini, bukan untuk dipersoalkan, namun untuk kita hadam, belajar dan melihat semuanya dalam banyaknya bentuk yang sedang ada di sekeliling kita.
Kemudian, kita tanam dalam diri. Kita di sebelah yang mana.
Sebelah kasih sayang, atau di sebelah kebencian. Ibu dan ayah bayi ini sedang bersedih. Dan kita semua, menambah-nambah lagi keruntuhan hati itu dengan komen begitu.
Pilih.. Mahu Jadi Siapa Di Medan Sosial
Kawan-kawan yang baik,
Media sosial ini medium yang tidak terdidik. Kita gunakannya dengan membeli telefon. Kemudian memuat turun aplikasi dan menggunakannya mengikut hak-hak kita sendiri.
Kita pilih mahu jadi siapa di medan itu. Jadi diri sendiri, jadi ibu penyayang, jadi isteri yang berlumba-lumba, jadi suami yang menayang-nayang, jadi anak yang lawa, segak, jadi politician yang berjuang, jadi pengusaha restoran yang berusaha, apa sahaja. jadilah.
Ads
Semua ini tidak ada langsung latihan khas, sekolah hebat serta mana-mana institusi yang mengajarkannya untuk menggunakan dengan akal dan hati. Tak ada.
Namun kawan-kawan, asbab tidak terdidik ini, menjadikan kita ini sebagai orang lain. Yang diluarnya dikenali sebagai begitu begini, namun di tulisannya begitu begini pula.
Kita manusia sahaja. Yang mana pusinglah ikut mana pun, balik-balik hati kita yang dilihat. Objek yang kita tak boleh lihat itu, hari ini boleh dipandang melalui apa yang kita tuliskan, kemudian up.
Sungguh, kadang-kadang, dari memenangkan hati sendiri, eloklah kita diam, biar otak memaksanya supaya jadi santun dan sopan. Dan seluruh tubuh termasuk mata, kaki, serta apa sahaja bentuk yang memalukan dan mengaibkan diri sendiri itu akan setuju dengan hati kita.
Dan pada waktu itu kita sedar kita sedang puas melihat banyaknya cela diri sendiri berbanding orang lain. Lalu perbaikinya perlahan-lahan tanpa media sosial.
Hubungan otak dan hati ini saling berkait, jika ke2-2nya bersatu menuju kemuliaan, maka baiklah yang keluar, hebatlah yang menonjol. Dan pastinya, ada keistimewaannya selepas kita pergi nanti.
Tak mungkin Allah berikan kelebihan teknologi, pembangunan serta media sosial yang sangat hebat hari ini sekadar saja-saja. Pasti ada yang boleh kita bereskan untuk kehidupan yang lebih baik.
‘Suami hidap OCD, sangat cerewet.’ Wanita ini kecewa diceraikan selepas 8 hari berkahwin dengan suaminya. Walaupun dia agak tertekan dengan sikap suaminya, namun tidak menyangka diceraikan begitu saja.
Barangkali suaminya tidak selesa dengan kehadiran isteri, malah mungkin dirasakan isteri tidak sesuai dengan sikapnya yang terlalu cerewet.
Seorang wanita di Indonesia meluahkan rasa kecewa kerana diceraikan suaminya hanya selepas lapan hari mereka berkahwin, lapor portal berita Wolipop.
Menurut Eka S Rufaidah, selepas berkahwin, suaminya sering marah-marah pada perkara-perkara kecil.
Dia mendapat tahu bahawa suaminya menghidap keadaan kesihatan mental digelar Obsessive Compulsive Disorder (OCD), sehari selepas mereka berkahwin yang membuatkan lelaki itu menjadi sangat cerewet.
Sangat Cerewet
“Setiap peralatan di rumah perlu disteril dan dia juga tidak suka orang lain mengemas jika rumahnya dalam keadaan berselerak.
“Dia juga pernah menyuruh saya menyiapkan makanan dan merendam sudu yang akan digunakan ke dalam air panas. Tanpa disengajakan, pakaian saya terkena nasi itu dan ia membuatkan suami naik angin.
“Saya berasa takut melihatkan emosinya yang tidak stabil,” katanya.
Tambah Eka, dalam satu kejadian lain, suaminya menyuruh dia membuang beras yang sudah dicuci hanya kerana kaedah cucian wanita itu tidak sama seperti cara suaminya.
“Selain itu, ada satu ketika apabila perut saya berasa sakit kerana masalah senggugut. Saya meletakkan bantal tidur di paha bagi mengalas perut yang sedang sakit.
“Secara tiba-tiba, dia menjerit kepada saya dan berkata bahawa saya ialah isteri yang tidak taat,” ujar wanita itu.
Selepas 8 Hari Berkahwin
Keesokan harinya, Eka berkata, dia meminta kebenaran suaminya untuk pulang ke rumah ibu bapanya secara sendirian.
“Pada 14 Mac, dia mengirim pesanan pada aplikasi WhatsApp dan menceraikan saya begitu sahaja.
“Saya berharap tiada wanita lain yang menerima nasib sama seperti saya dan untuk kaum lelaki, pernikahan bukanlah satu perkara main-main,” katanya. – Agensi
Mingguan Wanita : Biarpun tak serasi janganlah diceraikan isteri begitu saja. Cuba berbincang dan selesaikan masalah dengan cara baik, perkahwinan bukanlah perkara main-main.
Satu demi satu ujian hebat penyanyi Nora Ariffin hadapi. Apabila diperkatakan netizen tentang video tular mirip anak perempuannya yang bercium dengan seorang remaja lelaki. Menjawab persoalan itu, Nora mengakui sememangnya itu adalah anak perempuannya, Putri Nor Dahlia.
“Allahuakbar. Dengan penuh rasa terkilan. I admit, it is her.”
Sebagai ibu, Nora sudah berusaha melakukan yang terbaik untuk mendidik, membimbing dan mendidik anak perempuannya itu. Malah memberi apa yang terbaik dan termampu dalam kapasiti yang terbatas.
Namun, sebagai manusia akuinya, dia tetap tak dapat lari dari melakukan kesilapan.
“Dia masih muda.. dan ada banyak ruang untuknya memperbaiki dan belajar daripada kehidupan. Sebagai ibu, saya juga banyak kelemahan.”
Doa Nora agar anaknya itu dapat belajar dari kesilapannya dan menjadi manusia yang lebih baik pada masa hadapan.
“I pray that she learn her lessons, be a better person and move on. In Shaa Allah.”
“Kepada semua, berikan kami ruang dan ketenangan buat masa ini. Sama-sama doakan yang terbaik untuk dia dan diri masing-masing.”
Ujian Demi Ujian..
Sebelum ini, pelantun suara Di Persimpangan Dilema ini diuji kehilangan ibu mertuanya, Nora Abdullah yang meninggal pada pagi Rabu. Dan umum sedia maklum, biarpun arwah suami, Johan Nawawi sudah lama meninggal dunia malah anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan meninggal dunia secara mengejut sekitar Disember lalu, tetap tidak mudah untuk Nora melalui getir episod kehilangan insan tersayang.
Dalam pada berdepan ujian hebat seorang ibu ini, Nora tetap menerima kata-kata semangat dan doa yang baik-baik daripada followernya agar dia terus kuat.
Sementara Putri, menerusi akaun Twitter miliknya menjelaskan situasi sebenar dan mengakui dirinya dipaksa.
“Saya dipaksa. Dalam video itu pun boleh nampak saya ke belakang dan cuba mengelak. Selepas ia berlaku saya duduk diam kerana saya malu dan tak tahu nak buat apa. Saya tak sanggup nak tumbuk dia, tapi saya marah dia selepas video itu dan kami sudah putus,” jelasnya menerusi akaun Twitter @itzputridahlia.
Besar harapan mak ayah apabila anak-anak mampu memikul amanah dan tanggungjawab menjaga keluarga selepas berlakunya kematian.Lebih-lebih lagi buat anak lelaki, lebih besar peranannya.
Umurnya baharu 14 tahun, namun rasa tanggungjawabnya sebagai anak tunggal lelaki menjadikan Muhammad Amierul Adlie Basiran lebih matang dari usianya.Pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh arwah bapanya (Basiran Ali) agar mengambil alih tugasnya menjaga keluarga dipegang erat oleh Amierul.
Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Muar, Johor ini melakar sejarah tersendiri apabila berani memikul amanah dan tanggungjawab menikahkan dua orang kakak kesayangan dalam dua majlis berbeza bulan ini, sekaligus menjadi wali muda.
Rujuk Pejabat Agama Islam
Menurut sepupu yang rapat dengannya, Mohd Syukri Madnor, pertama kali dalam hidupnya melihat remaja berusia 14 tahun mengijab kabulkan dua lelaki yang kini sah menjadi abang iparnya.Meskipun menerima berita sedih atas pemergian bapa tersayang, perkahwinan perlu diteruskan dan keluarga itu merujuk dengan Pejabat Agama Islam di Melaka.
“Majlis pernikahan dua orang kakaknya telah dirancang sebelum bapa saudara saya (bapa Amierul) meninggal dunia pada 28 Ogos lalu akibat kanser.
“Perkahwinan diteruskan dan apabila kami rujuk dengan Pejabat Agama Islam di Melaka untuk calon menjadi wali, mereka ada tanya sama keluarga ini ada adik lelaki atau tidak.
“Kami beritahu ada, berusia 14 tahun. Apabila diberitahu dia sudah cukup syarat utama, jadi kami putuskan Amierul akan menjadi wali pernikahan kakak-kakaknya.
“Sebelum itu kami memang rancang untuk wakilkan kepada jurunikah, tetapi selepas berbincang dengan semua keluarga dan Amierul, akhirnya dia menjadi wali.
“Malah Amierul sendiri yakin memberitahu mahu menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki dalam keluarga.
“Sebagai salah seorang keluarga rapatnya, saya amat berbangga dengan Amierul yang menunjukkan sifat matangnya itu,” jelas Syukri.
2 Kali Jadi Wali
Tambah Syukri, Amierul menjadi wali buat kali pertama untuk kakak ketiganya (Nur Aina Nabihah Basiran) pada 22 September lalu.
“Sehari sebelum majlis, dia telah berlatih bagi melancarkan majlis akad. Walaupun pada mulanya agak gugup, dia telah melakukannya dengan baik.
“Dan hari ini (29 September), Amierul sekali lagi menjadi wali untuk pernikahan kakak keduanya, Nur Amirah Basirandi di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang, Melaka.
“Perjalanan majlis bertambah baik. Dia semakin matang dan rata-rata tetamu yang hadir turut terpegun dengan sikap dewasanya itu,” katanya yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Turut Mandikan & Sembahyangkan Jenazah Bapa
Dalam pada itu, ibu Amierul, Rosiah Othman memberitahu dia melahirkan rasa syukur kerana kedua-dua majlis perkahwinan berjalan lancar.
“Saya berasa sebak, terharu, malah gembira kerana Amierul sedia memikul tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga setelah pemergian bapanya.
“Sebelum ini juga, dia turut memandi dan sembahyangkan jenazah bapanya.
“Saya tanya juga kepada dia sama ada betul atau tidak dengan keputusan untuk mewalikan kakak-kakaknya itu, dan dia dengan yakin jawab ‘ya betul’.
“Sebagai ibu, walaupun usianya masih muda, saya amat bersyukur dengan jiwanya yang besar itu,” kata Rosiah.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat remaja ini atas keberanian dan sikap tanggungjawab yang dimilikinya selaku anak lelaki tunggal. Semoga menjadi contoh buat remaja yang lain.Sebagai mak ayah didiklah anak lelaki sebaiknya, tanamkan rasa tanggungjawab pada keluarga dalam diri mereka sejak dari kecil.Suatu hari nanti mereka akan menjadi ketua keluarga mereka pula.
Dr Afifah berharap Nubhan dapat bekerjasama memaklumkan kisah perceraian kepada anak-anak. Baca luahan penuh, perkembangan mahkamah dan isu emosi anak dalam kes Nubhan cerai.