
Banyak punca yang buat kaum isteri tertekan dalam kehidupan seharian, bukan hanya sebab terlalu sibuk uruskan anak-anak dan keluarga tetapi kadang layanan orang sekeliling pun boleh jadi sebab mak-mak stress.
Bahaya, tambah kalau ada anak kecil di rumah. Risau anak jadi mangsa dek kerana emosi mak-mak dah kelaut.
Serius, kalau dah penat sangat… perempuan tak mampu kawal emosinya, akhirnya anak-anak asyik kena marah dan paling ngeri kalau sampai pukul-pukul anak. Jadi, inilah peranan suami!
Sebelum terlambat, hadam dulu perkongsian Doktor Saidatul Husna ini, baiki hubungan dan tolong apa yang patut untuk tenangkan emosi isteri di rumah.
Punyalah Bahaya Kalau Isteri Tertekan
Terkedu saya bila dapat tahu penyakit mental adalah penyakit kedua tertinggi pada tahun 2020. Bukan setakat Malaysia, tetapi seluruh dunia. Makin risau bila majoriti nya pula adalah wanita.
Jadi saya merayu sangat kepada para suami sekalian, tolonglah tengokkan keadaan isteri masing masing di rumah.
Sebagaimana sakit kronik yang lain, penyakit mental ni tidak berlaku tiba tiba, ia berlaku pelan pelan, bermula dari rasa tersisih dan terabai.
Kita tak mahu isteri tertekan sampai ke tahap,
1⃣ Tinggi suara.
2⃣ Kerap marah anak.
3⃣ Jadi penat dan tidak bermaya.
4⃣ Tidur malam jadi mudah terjaga.
5⃣ Selalu sangat sensitif, mudah terasa hati.
6⃣ Berubah kelakuan. Daripada suka bercerita, menjadi pendiam.
7⃣ Banyak bersendirian. Kadang kadang menangis dalam bilik tanpa sebab.
Bila dah sampai nombor 7 ni, suami kena cepat cepat bertindak.
Bukan apa. Bersendirian dan menangis tanpa sebab ni bahaya untuk emosi. Nanti syaitan akan bisik hati isteri untuk buat benda yang membahayakan diri dan keluarga.
Siapa boleh jangka kan. Kita tak mahu kes seorang ibu bunuh anak umur 19 bulan di FELDA Jengka 13 berulang lagi.
Mulakan dengan menjadi pendengar yang baik. Walaupun ada masa suami penat balik kerja, balik bank, pergi kedai, ambil anak. Cuba sebaiknya jangan hampakan keluhan daripada seorang isteri.
Isteri kita itu baik. Dia sangat sayangkan kita. Dia tak harapkan segunung emas, cukuplah perhatian daripada suaminya sendiri.
Percayalah, suami yang beri perhatian lebih kepada isteri tidak akan rugi, insyaAllah pengakhirannya dia akan jadi isteri yang solehah dan ibu yang mithali.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bertemu Jodoh Dengan Lelaki 22 Tahun Lebih Muda, Mak Mentua Tak Restu…

Jodoh adalah rahsia Allah. Kita tak tahu siapakah jodoh kita. Kadangkala, jodoh itu dengan individu yang usianya lebih separuh daripada usia kita sendiri!
Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang telah bertemu jodoh dengan lelaki yang berusia 22 tahun lebih muda daripada dirinya dan mendapat tentangan hebat daripada keluarga si lelaki terutama mak mentua. Ikuti pengakuannya kepada Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan juga penulis tetap ruangan YA TUHAN di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah sentiasa. Sukar untuk saya kongsikan kisah peribadi saya ini namun saya gagahi jua untuk berkongsi agar menjadi panduan untuk wanita di luar sana yang mungkin menghadapi masalah yang sama dengan saya. Setahun lepas, saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang 22 tahun lebih muda dan ini menimbulkan konflik apabila saya tak diterima oleh keluarga mentua terutama maknya.
Saya berusia 47 tahun dan memiliki sepasang cahaya mata yang kini berusia 23 dan 21 tahun. Saya memiliki perniagaan sendiri dan syukur, ia melebihi daripada mencukupi untuk menampung kehidupan saya dan anak-anak.
Warisan Suami
Saya balu kematian suami, sebelum bertemu jodoh dengan suami sekarang. Perniagaan yang saya miliki juga sebenarnya adalah perniagaan yang saya bangunkan bersama arwah suami dahulu. Kini salah seorang anak saya turut serta dalam mengendalikan syarikat tersebut.
Sepuluh tahun lalu, suami meninggal dunia secara tiba-tiba akibat penyakit jantung dan ia tamparan hebat buat diri saya kerana kami sangat rapat. Ke mana saja berdua. Nasib baik ada anak-anak yang menjadi kekuatan untuk saya teruskan hidup. Selepas kematian arwah suami, fokus saya pada bisnes dan anak-anak.
Bukan sedikit lelaki yang cuba mendampingi namun saya tolak mentah-mentah. Mana taknya, kebanyakan mereka bergelar suami orang dan prinsip diri saya, takkan sesekali mengambil hak orang atau berkongsi kasih dengan wanita lain.
Apabila anak-anak semakin dewasa dan perniagaan pun stabil, saya mula ada masa untuk libatkan diri dalam aktiviti yang saya suka. Antaranya, saya kembali aktif membuat aktiviti lasak iaitu hiking. Mulanya anak kedua (lelaki) yang kenalkan saya dengan hobi ini bila saya sibuk nak buat aktiviti sihat.

Perkenalan
Saat itulah juga saya kenal dengan seorang pemuda, M, yang merupakan rakan hiking anak. Dia bekerja di sektor awam. Pada mulanya dia memanggil saya ‘auntie’ kerana saya mak kepada rakannya (anak saya) namun saya tak tahu sejak bila, panggilan itu bertukar menjadi ‘awak’ dan ‘saya’. Katanya saya tak nampak tua malah kali pertama bersua, dia ingatkan saya ini kakak kepada anak saya.
Sikap M yang sangat ambil berat dan penyayang membuatkan saya selesa bersamanya. Namun saya tetap ‘sedar diri’ akan jarak usia kami dan pendamkan saja rasa suka yang mula bercambah. Saya rasa tak layak untuk dirinya yang baru berusia 25 tahun, lebih kurang sebaya anak saya!
Ternyata takdir tersurat, dia juga sukakan saya dalam diam dan telah luahkan isi hatinya saat kami sama-sama hiking menawan Gunung Ledang. Waktu itu, saya seakan tak percaya dan minta dia beri saya masa.
Terima
Berbulan juga saya berfikir dan buat solat istikharah. Akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerima dirinya walau saya sedar macam-macam rintangan akan datang. Namun, saya bersyukur kerana anak-anak dapat terima kehadiran papa baru mereka dan itu juga alasan utama saya terima M.
Masalah paling perit apabila keluarga M terutama maknya tak dapat terima saya sebagai menantu sehingga kami tekad berkahwin diam-diam di utara tanah air. Kini, selepas setahun, maknya masih tidak dapat terima saya. Hanya ayah dan adik beradik M (M anak sulung) sudah mula terima. Sebab itu juga saya tak pernah balik ke rumah M tapi saya sentiasa galakkan M balik dan jalankan tanggungjawab sebagai anak.
Saya sedar bukan mudah mak mentua saya nak terima janda berusia seperti saya sebagai menantu untuk anak bujangnya. Apatah lagi kami sebenarnya sebaya. Namun, saya tak dapat putarkan masa dan sayangkan M. Saya nak rumah tangga ini berkekalan. Apa pandangan puan untuk saya mengambil hati ibu mentua saya?
Puan K, Setiawangsa.
Jawapan:
Dengan Nama Alllah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah… tua, muda, cantik, kurang cantik, kurus, gemuk, hitam, putih, semuanya tidak terbatas apabila jodoh telah sampai dengan ketentuan Allah. Kadang-kadang ada orang tidak menjangka jodohnya dengan seseorang yang jauh beza umurnya.
Jadi Bualan
Jika lelaki lebih tua berbanding wanita, itu mungkin biasa. Namun jika sebaliknya iaitu wanita lebih jauh berusia dari lelaki, ianya akan jadi bualan orang. Pada hal, nabi sendiri berkahwin dengan Siti Khadijah yang jauh lebih berusia daripadanya dan isteri yang paling dicintai nabi.
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan siapa sahaja yang bergelar ibu bapa mahukan jodoh yang terbaik untuk anaknya. Tidak kira anak lelaki mahupun perempuan, majoriti ibu bapa mahukan kebahagiaan bukan sahaja untuk anak mereka, tetapi “bahagia” di mata mereka.
Erti Bahagia
Mungkin bahagia pada mereka tidak sama dengan bahagia buat anak. Malah mereka cukup mengambil kira pandangan orang terhadap menantu yang bakal dipilih oleh anaknya. Bagaimana rupanya, akhlaknya, kedudukannya, harta yang dimilikinya, latar belakang diri dan keluarganya, semuanya dilihat sebagai kayu pengukur kepuasan atau kebahagiaan ibu bapa.
Kriteria Pilihan
Jika pilihan anaknya menghampiri kriteria idaman ibu bapa, maka tidaklah berlaku krisis antara anak dan menantu. Namun jika sebaliknya, maka keadaan itu boleh jadi berpanjangan yang memerlukan kebijaksanaan pihak anak dan menantu untuk menguruskan keadaan.
Jika dilihat dalam perspektif yang lebih jauh, pastinya seorang ibu mahukan zuriat daripada anaknya sendiri, iaitu cucu dari darah dagingnya. Ini adalah antara kemuncak kebahagiaan seorang ibu dan bapa apabila dapat bergelar nenek dan datuk.
Letak Diri
Jika puan dapat meletakkan diri puan dalam situasi ibu mentua puan, pastinya puan dapat merasakan betapa kecewanya hati seorang ibu. Jika puan dapat membayangkan ini terjadi kepada puan, bagaimana andai ditakdirkan anak puan yang lelaki berusia 23 tahun mendapat jodoh yang berusia lewat 40-an. Bagaimana perasaan puan?
Bagaimana puan dapat memberitahu orang lain bahawa menantu puan adalah wanita yang hampir sebaya dengan puan? Bolehkah puan menerima hakikat itu. Rasa saya siapa sahaja yang bergelar ibu berkemungkinan mengalami kekecewaan.
Faham Situasi
Jika puan dapat memahami situasi yang saya paparkan di atas, maka puan boleh menerima hakikat bahawa mentua puan masih belum menerima puan. Sekurang-kurangnya ini boleh memberi kelegaan kepada diri puan.
Untuk memenangi hati mentua bukan sesuatu yang mudah. Namun, sekurang-kurangnya puan bersyukur kerana ramai yang telah dapat menerima puan – bapa mertua dan adik beradik suami, malah anak-anak puan telah dapat menerima pilihan puan.
Tak Mudah
Seperti yang saya sebutkan, bukan mudah untuk memenangi hati ibu mentua puan, namun beberapa pendekatan boleh puan gunakan bukan untuk memenangi hatinya, tetapi puan melakukan yang terbaik untuk ibu mentua.
Mungkin puan ada melakukan ini, namun, berterusanlah berbuat baik dengannya. Pertama selalu belikan hadiah di hari ulang tahunnya, ulang tahun perkahwinan, Hari Ibu, Hari Wanita, menyambut Ramadan dan menyambut Syawal.
Hadiahkan melalui suami jika puan merasakan dia masih belum menerima kehadiran puan. Jika hadiah puan tidak sudi diterimanya, jangan mudah putus asa, anggapkan puan telah bersedekah untuk mertua. Pahala bersedekah tetap mengalir. Teruskan berbuat baik dan mengambil berat tentangnya melalui suami. Jika keadaan mengizinkan barulah puan menziarahinya.
Mohon Pertolongan Allah SWT
Kedua, banyakkan solat malam dan memohon pertolongan Allah agar dilembutkan hatinya untuk menerima kehadiran puan. Banyakkan zikir Ya Latiff dan niat agar Allah lembutkan hatinya untuk menerima puan.
Ingat, kita tidak mampu mengubah hati manusia dengan usaha yang kita lakukan, namun, Allah sahaja yang boleh melembutkan hati manusia. Ketiga, selalu ingat setiap yang Allah takdirkan dalam hidup kita ada hikmahnya yang kita tidak tahu. Allah hantar orang yang paling dekat dalam hidup kita tetapi tidak menyukai kita. Apa hikmahnya?
Tingkatkan Keimanan
Ya, Allah mahu kita berusaha berbuat baik walaupun orang tidak menyukai kita kerana Allah mahu meningkatkan keimanan kita. Allah mahu kita akan sentiasa berdoa dan mendekati-Nya memohon pertolongan. Sebab itu Allah bagi banyak ujian kepada Nabi dan kepada orang-orang terpilih kerana Allah mahu mengujinya.
Jika kita sebagai hamba menerima ujian itu dengan berlapang dada, selalu bermunajat dengan Allah untuk atasi masalah hubungan dengan orang itu, maka usaha kita mendekati Allah itulah hikmah yang kita tidak nampak. Bayangkan jika tiada ujian ini dalam hidup.
Tak Bersungguh-sungguh
Mungkin kita tidak bersungguh-sungguh berdoa , solat malam dan melakukan malan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah bukan? Lazimnya begitulah…. Jika tiada ujian dalam hidup kita, mungkin kita akan leka dengan kehidupan dunia, menjalani hidup yang biasa-biasa sahaja tanpa menyelami erti kehidupan yang sebenar.
Rajin-rajin mengikuti kuliah agama, bersedekah dan mendekati orang-orang miskin dan kurang upaya. Maka kita akan dapati Allah hanya menguji kita sedikit sahaja berbanding orang lain yang lebih jauh melalui kesukaran dan kesusahan dalam hidup.
Jika Allah izinkan, Dia akan lembutkan hati ibu mertua puan untuk menerima puan. Jika belum masanya, maka teruskan berdoa dan berbuat baik terhadapnya. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dugaan Hilang Kerja, Jangan Minta Belasan Tapi Bangkitlah Cari Jalan Usaha

Berita kehilangan kerja adalah satu tragedi yang tidak pernah di duga. Sekiranya, tidak di tangani dengan betul, ia bukan sahaja mendatangkan stres tetapi boleh mendapat awalan penyakit kemurungan.
Kehilangan kerja bukan hanya hilang pendapat atau mata pencarian tetap turut melibatkan kehilangan skim insurans sakit bagi diri dan keluarga, bantuan perubatan, bahkan membuat seseorang itu hilang keyakinan diri untuk mendapat kerja yang lain kerana tidak bersedia untuk mencari kerja baru.
Keadaan inilah yang mendatangkan pelbagai masalah terutama sekali kerisauan yang tinggi dan tidak tenteram, ketakutan serta kerungsingan. Seseorang itu harus bertindak pantas dan membuat perancangan yang rasional secepat mungkin semasa mendengar berita tentang desas desus perberhentian itu. Paling penting dalam perancangan itu, seseorang perlulah bertenang. Ikuti kupasan lanjut bersama Dr Ben Fadzil Mohd Salleh tentang isu ini.
Perancangan Jangka Pendek
Seseorang itu perlu bertindak segera dengan membuat prancangan dengan tidak tergesa-gesa secara jangka pendek dan jangka panjang.
Perancangan yang membolehkan seseorang membuat sesuatu agar mendapatkan duit perbelanjaan untuk rumah dan keluarga supaya tidak putus atau kehidupan dapat diteruskan.
Tidak Perlu Malu
Kehilangan pekerjaan kerana di buang bukanlah sesutu perkara baru atau aneh. Ia bukanlah pemberhentian kerana di buang kerana dadah, mencuri atau disiplin. Ia mungkin disebabkan tempat bekerja itu ingin mengurangkan kerja atau tidak beroperasi lagi.
Seseorang itu tidak perlu malu atau takut untuk berterus terang kepada keluarga atau kawan kawan. Mereka akan memahami tentang perkara yang berlaku dan biasa pada keadaan sekarang ini. Adalah lebih baik berterus terang kerana orang yang mendengarnya boleh membantu sekiranya terdapat tawaran kerja di tempat lain.
Pulih Semangat & Kekal Positif
Bersendirian dan termenung tidak boleh membantu seseorang itu. Apa yang pasti, untuk memulihkan semangat, seseorang itu jangan duduk bersendirian, keseorangan, bersedih terlalu lama dan menyesali dengan keputusan diberhentikan. Keadaan ini tidak akan mengubah keadaan sedia ada.
Usah terlalu kecewa dan selalu ingatkan diri bahawa ini bukanlah penghujung dunia dan akan ada kerja yang lebih baik tidak lama lagi. Pasangan dan anak-anak memainkan peranan penting dan perlu memberi kekuatan serta dorongan dalam memahami keadaan pasangan itu sendiri.
Cadangan Perancangan
Bekerja sendiri atau mencari pekerjaan yang lebih baik adalah sesuatu perancangan jangka panjang kerana ia mungkn mengambil masa yang agak lama.
- Berniaga on-line melalui media sosial, membawa grab dan food panda, menghantar anak jiran ke sekolah, menjaga anak sebagai pengasuh, membuat kerja sambilan dengan kelas tambahan atau kerja yang boleh mendatangkan pendapatan sementara.
- Bagi keperluan asas, potong perbelanjaan yang tidak diperlukan.
- Merancang perbelanjaan harian dan bulanan.
- Mengawal nafsu daripada berbelanja tentang perkara yang tidak penting.
- Membuat bajet ikat perut.
Tip Kekal Positif
- Setiap orang perlu berkawan dan bergaul dengan orang yang memberi rangsangan dan bersifat positif.
- Cuba lakukan sesuatu yang bermanfaat seperti membaiki diri dengan ilmu baru dan menghantar seberapa banyak permohonan kerja melalui iklan.
- Jangan berputus asa dan membuang masa. Usah memencilkan diri dan rasa berduka berpanjangan.
Nasihat
- Bagi anda yang kehilangan kerja, janganlah meratap kesedihan dan meminta belas kasihan daripada orang ramai.
- Bangkit dan bina diri semula. Buat perancangan dengan teliti dan baik untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.
- Elakkan daripada bergaul dengan orang negatif yang hanya mahu mencari kesalahan kita dan tidak memahami keadaan yang kita lalui ini.
- Jangan malu untuk menceritakan pada sesiapa walaupun semasa temuduga untuk pekerjaan baru.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap Jumaat Anak Autisme Ini Hafal Dan Tadabbur Surah Al Kahfi, Itulah Benteng Fitnah Akhir Zaman

Benar, sebagai mak ayah bukan mudah mahu menghalang kemasukan fitnah akhir zaman ke dalam rumah sendiri. Kadangkala tanpa sedar pun, mak ayah terleka dengan smartphone di tangan. Itulah antara tanda-tandanya. Bentengi hati daripada fitnah akhir zaman dengan surah Al Kahfi.
Perkongsian daripada Ainizal Abdul Latif yang menunjukkan panduan bagaimana mahu mengawal hati anak-anak daripada tergelincir dengan kehadiran fitnah akhir zaman.
“Sedang menguji susunan dan ayat hafalan Rizqy anak Autisme saya, pada 10 ayat surah Al Kahfi” Tulisnya ketika menerangkan video ujian hafalan anaknya.
Perangkap 5S
Perjalanan homeschooling pada setiap hari jumaat di mulakan dengan ulangan bacaan, kefahaman melalui terjemahan, dan tadabbur surah Al Kahfi.
Mereka perlu difahamkan tentang akan hadirnya fitnah akhir zaman dan dajjal. Merekalah anak-anak kita yang jika di izin Allah adalah generasi yang akan melalui zaman tersebut dengan dasyat.
Kita tidak mampu menghalang keluarnya fitnah akhir zaman, namun kita sudah di peringatkan berkali-kali oleh baginda rasulullah melalui hadith sahih tentang bagaimana mahu menghalang fitnah tersebut daripada masuk ke dalam rumah.
Sungguh, jika ditadabbur barulah kita akan tahu dan faham apa kaitan surah Al Kahfi ini dengan fitnah akhir zaman dan kehadiran dajjal. Bagaimana pemuda-pemuda gua itu Allah selamatkan daripada kekufuran, begitulah kita mohon di selamatkan Allah dari fitnah ini kepada keluarga kita.
Benteng Surah Al Kahfi
Saya pernah mendengar satu ceramah (maaf lupa siapa penyampai), yang memberitahu, jika kita perhatikan, strategi fitnah akhir zaman sebenarnya telah di rancangkan melalui perangkap 5S iaitu:
1) Smoke : Rokok dan ketagihan.
2) Sport : Sukan-sukan yang banyak dipertandingkan.
3) Screen : Game, video dan filem yang tidak ditapis.
4) Song : Lagu dan hiburan yang melalaikan.
5) Sex : Eksploitasi aurat wanita dan filem porno.
Hari ini, tanpa kita sedar, semua itu sudah berjaya masuk ke dalam rumah-rumah kita, tanpa kita dan anak-anak keluar rumah mencarinya. Mereka boleh dapat semua maklumat berkaitannya di hujung jari iaitu hanya melalui gadget.
Saya sendiri mengakui tidak mampu untuk menghalang 100% perangkap ini masuk ke dalam rumah. Allahuakbar, satu dua terlepas juga di sebabkan gadget sudah menjadi keperluan untuk melakukan kerja dan komunikasi pada hari ini.
Moga Selamat Dari Seburuk-buruk Fitnah
Dalam keadaan kita tidak mampu menghalang ia masuk ke dalam rumah, siapalah yang mampu untuk menjaga kita dan mereka kalau bukan Allah, melalui amalan yang ditunjuk ajar oleh nabi.
Moga kita dan keluarga sentiasa mendapat bantuan, hidayah dan ihsan daripada Allah dalam menjaga dan memperbaiki iman supaya terselamat dari seburuk-buruk fitnah, iaitu fitnah akhir zaman.

Sumber/Foto : Ainizal Abdul Latif
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!


