Penghujung tahun lalu, mak-mak sibuk membincangkan pasal kerusi keselamatan anak. Ada yang berkira-kira nak beli baru untuk anak yang lain dan tidak kurang juga menggunakan carseat yang sudah ada sebelum ini. Ada juga mak-mak pening sebab anak ramai dan kerusi keselamatan pula bukannya murah-murah. Maklum sahaja tahun 2020, penggunaan kerusi keselamatan anak akan berkuatkuasa. Nak tak nak, semua itu perlu.

Dalam Mingguan Wanita Talkshow tengah hari tadi, ia membincangkan tentang ‘Kerusi Keselamatan Demi Nyawa Anak’. Antara kupasan yang diberikan oleh tetamu jemputan, Supt Dr. Bakri Hj. Zainal Abidin, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Statistik yang diperolehi:

  • Setiap 84 minit, ada seorang yang meninggal dan dikatakan 15-16 orang meninggal setiap hari.

  • Pada tahun 2018, sebanyak 837,695 kenderaan telah terlibat dalam kemalangan. Sebanyak 519,000 adalah melibatkan kenderaan kereta.

  • Selain daripada itu, pada tahun 2007-2017 terdapat 1599 kanak-kanak yang menjadi mangsa kemalangan dan mereka berusia antara 0-10 tahun. Jumlah ini berkurangan iaitu seramai 129 orang pada tahun 2018. Tetapi meningkat menjadi 131 orang pada tahun 2019 (sehingga November).

“Jadi, kita lihat, penggunaan kerusi keselamatan anak-anak penting demi untuk mengelakkan berlakunya kejadiaan yang tidak diingini.

“Walau bagaimanapun, bagi keluarga yang mempunyai anak ramai, ia diberi pengecualian. Begitu juga penggunaan kerusi keselamatan ini hanyalah untuk mereka yang mempunyai kereta persendirian sahaja.

“Ibu bapa jangan fikirkan dan pentingkan kereta yang selesa sedangkan keselamatan anak terabai. Nilai nyawa anak tiada galang gantinya.

Manakala Jchanet Tan Mei Khuan, Pengarah Operasi Child Passenger memberitahu:

“Carseat yang mempunyai piawaian keselematan adalah di antara harga RM150 hingga RM300. Ini bergantung kepada berat, ketinggian dan reka bentuk kerusi itu sendiri.

Ibu bapa jangan ambil mudah dengan merasakan harga yang murah boleh menjamin keselamatan anak dan ada sesetengah carseat mempunyai tarikh luput.

“Jadi, bagi ibu bapa yang ingin membeli carseat terpakai, pastikan kita tahu tarikh luput dan tengok jangka hayat carseat itu.

Buat mak-mak, jangan berkira untuk membeli kerusi keselamatan anak, tak kisahlah beli dengan duit tabungan kerana nyawa anak ini tiada galang ganti. Jangan menyesal kemudian hari.

Ikuti siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow bersama Siti Elizad dan Sherry Al-Hadad bersama tetamu jemputan lain di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada jam 8.00 malam nanti.


.