Macam-macam dugaan dan kontroversi yang dihadapi oleh pelakon Izreen Azminda semenjak sah bergelar isteri kedua kepada seorang pemuzik. Baru-baru ini, pelakon Izreen Azminda, 33, ada meluahkan rasa kesal apabila ada pihak berniat jahat cuba menutup periuk nasinya dengan mewujudkan akaun Instagram (IG) palsu menggunakan namanya.
Isteri kepada pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude itu berkata, dia terkilan apabila beberapa status mengelirukan dimuat naik menerusi akaun palsu menggunakan nama, @therealizreenazminda sejak 5 Mac lalu.
Izreen berkata, paling mengecewakan apabila periuk nasinya cuba diganggu menerusi status yang menyatakan dia bakal meninggalkan kerjaya seni kerana tidak mahu lagi dihimpit kontroversi sejak memilih untuk hidup bermadu.
Ads
“Ini penganiayaan besar terhadap saya. Ketika saya berdepan kecaman dan hentaman masyarakat, akaun IG palsu ini diwujudkan bagi mengeruhkan lagi keadaan dengan pelbagai kenyataan yang bukan datang dari mulut saya
“Saya tidak tahu angkara siapa, tetapi biar Allah SWT yang membalasnya. Selama ini, saya hanya memiliki satu akaun Instagram, tetapi sudah dinyah aktif sejak sebulan lalu,” katanya.
Menurut Izreen, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu mengundurkan diri daripada dunia seni seperti yang ditulis dalam akaun palsu itu.
Ads
“Mana mungkin saya meninggalkan kerjaya seni kerana ini mata pencarian utama saya. Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran berlakon dan ketika ini, saya sibuk dengan penggambaran drama.
“Saya percaya, semua ini cubaan untuk menutup periuk nasi saya, tetapi tidak mengapa. Biarlah kerana Allah ada,” katanya.
Izreen berkata, ketika ini, dia memilih untuk menutup akaun laman sosialnya bagi mengelak daripada berterusan dihimpit kontroversi.
“Saya akan aktifkan semula akaun IG itu pada masa yang saya rasakan sesuai nanti. Buat masa ini, saya selesa memilih untuk menutupnya,” katanya.
Ads
Buat Izreen Azminda, bersabarlah banyak-banyak iya.Buat baik dibalas baik. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Majlis pernikahan pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan bisu ini mendapat perhatian apabila Muhammad Hawari Hashim, 28, dapat memenuhi syarat nikah isterinya. Syarat nikah itu adalah menghafal lima surah iaitu Al Fatihah, tiga Qul dan Al-Asr dalam bahasa isyarat beserta terjemahan.
Sejak Sabtu lalu, video mereka telah tular di media sosial malah mendapat liputan umum yang meluas. Di sebalik usahanya itu, rupanya suami ini telah mengambil masa 3 bulan belajar al Quran sehingga mampu memenuhi permintaan isterinya, Safiyyah Tang Xie Li (OP Muallaf).
Bukan sekadar membaca, Muhammad Hawari juga dapat menjelaskan maksudnya dengan baik sebelum mereka diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.
Sesi itu dipersembahkan sebelum majlis akad nikah versi isyarat. Yang mana hafazan itu dinilai oleh Ustaz Mohd Zaid dari FAQEH Training Consultancy dan dibantu oleh Cikgu Meeze, Pensyarah UKM sebagai jurubahasa isyarat.
Dalam majlis berkenaan, pengantin lelaki ini dinikahkan oleh ayah angkat Safiyyah, Hj. Norakyairee Mohd Raus dan disaksikan bapa kandung isterinya, Tang Beng Tee sekeluarga.
Acara berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai.
Muhammad Hawari merupakan anak ketiga daripada 5 beradik. Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang cukup istimewa. Akuinya, 4 orang daripada 5 beradiknya mempunyai kelainan upaya pendengaran.
“Saya bersekolah di Sekolah Rendah dan Menengah Pendidikan Khas Pulau Pinang dari tahun 1997 hingga 2008. Isteri saya pula berasal dari Selangor dan pernah bersekolah yang sama dengan saya.
“Perkenalan selama hampir 10 tahun sejak dari bangku sekolah telah membawa kami ke jinjang pelamin pada 17 Mac lalu.”
Safiyyah memeluk Islam kira-kira dua tahun lalu. Beliau telah diberi pendedahan mengenai selok belok agama Islam dan pengajian Al-Quran serta ibadah melalui usaha Yayasan FAQEH dan Kelab Sukarelawan Sahabat FAQEH USIM.
Terutamanya melalui keluarga angkat beliau sendiri (Hj Norakyairee Mohd Raus dan Zaharatul Sophia Mohamed Amir Abas).
“Jadi secara tak langsung, isteri saya yang telah mahir menghafal beberapa surah pilihan. Lalu dia menetapkan syarat nikah. Yang mana saya perlu menghafal 5 surah iaitu Al Fatihah, 3 Qul dan Al-Asr.”
“Sejak itu, saya mula belajar. Alhamdulillah mampu menguasai hafazan surah tersebut dan terjemahannya dalam masa 3 bulan melalui kaedah dan teknik khusus yang dibangunkan oleh Yayasan FAQEH.
“Keluarga angkat Safiyyah juga mengajarnya mendalami Islam dan Al Quran berasaskan kekuatan dan kelainan upaya belajar dalam komuniti OKU Pekak.”
Keluarga angkat Safiyyah ini juga mengusahakan dan terlibat dalam kerja-kerja NGO Islam iaitu Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) yang bertempat di Nilai Impian, Negeri Sembilan.
“Saya dikenalkan dengan Ustazah Fathiyah Zakaria, Alumni Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM yang juga mantan guru di Yayasan FAQEH.”
Beliau turut mengusahakan kelas pembelajaran Quran dan Ibadah bagi OKU Pekak di Akademi QurANIS al-Husni bertempat di Pusat Dakwah & Tarbiah Wadi an-Nasr (Penempatan sementara) beralamat, NO. 20, Kampung Sungai Seluang Bawah, 09600 Lunas, Kulim, Kedah.
“Di sini, saya dilatih untuk mengenal Quran, menghafaz menggunakan Kaedah Tahfiz Akhyar dan Penulis Wahyu, membaca Quran menggunakan Huruf Arab versi Isyarat dan menjelaskan maksud ayat menggunakan terjemahan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
“Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan kesabaran, saya berjaya membuktikan bahawa Quran tidak pernah menolak hak OKU untuk mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.
“Cuma kadang-kadang masyarakat kita khilaf dan kurang meneroka keindahan Quran yang Allah janji pahalanya yang berganda dan memberi kelonggaran serta kemudahan untuk mempelajarinya. Sebagaimana jelas tuntutannya hingga diulang sebanyak 4 kali dalam Surah al-Qamar:54: 17, 22, 32 & 40.”
Yayasan FAQEH turut membangunkan kurikulum khas iaitu QurANIS bertujuan memberi ruang dan peluang OKU Pekak dan Pembelajaran dididik menerima tuntutan Islam.
Ia turut memodelkan kelas agama bagi OKU dan menawarkan khidmat latihan dan konsultasi ke arah melahirkan sukarelawan Dakwah OKU dan guru berkemahiran yang mendidik dengan hati.
Yayasan FAQEH turut berkolaborasi dengan Pusat Penyelidikan al-Quran (CQR), Universiti Malaya dan Kluster Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia.
Kini, kurikulum QurANIS telah diaplikasi lebih 20 pusat pendidikan OKU di serata tanah air termasuk di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu Sabah sebagai rakan afiliasi.
“Justeru, mewakili komuniti senasib dengan saya, saya menyeru pihak berwajib khususnya Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), untuk memainkan peranan aktif dalam membantu pusat-pusat pendidikan agama bagi OKU.
“Sama ada yang diusahakan secara sukarela dan menawarkan kelas atau sekolah agama bagi OKU sebagaimana wujudnya penawaran kelas KAFA dan Sekolah Agama Rakyat bagi golongan tipikal.
Sejak 7 hari lalu, puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39 cuma memiliki nama timang-timangan. Malam tadi, bersempena majlis maulid nabi, aqiqah dan tahnik puterinya itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami mengumumkan kepada hadirin pilihan nama anak sulung mereka adalah Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa.
Sebelum ini Ibu dan ayahnya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 59 memanggil Siti Aafiyah dengan nama gelaran Fatimah Az-Zahra bersempena nama puteri rasulullah SAW. Malah panggilan manja, Comel Pipi Merah turut digelar ibunya yang juga penyanyi tersohor negara.
“Selepas saya hamil, kami mula mencari nama yang paling sesuai. Ilham nama ini diperoleh ketika di Tanah Suci Makkah. Di sana, doa pendek inilah yang sering suami saya nampak.
Doa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah, Allahumma inni asaluka al’afiyah (Ya Allah, aku meminta kepada kamu ‘afiyah).
Afiyah ini membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, untuk menjadi sihat, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai wang , kita berada dalam afiyah, untuk hidup, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai anak-anak kita dilindungi, kita berada dalam afiyah. Dan jika kita sudah diampuni dan tidak dihukum, kita berada dalam ‘afiyah.
“Kemudian, suami saya tanya sama ada setuju atau tidak memberikan nama Aafiyah. Nama itu membawa segala-gala maksud yang baik-baik.
“Dalam masa yang sama saya memikirkan nama yang dicadangkan suami. Tak sangka, setiap hari dekat handphone doa-doa yang diupdate pada saya adalah doa yang memang menyebut tentang aafiyah.”
Daripada situlah tercetusnya, beliau dan suami memilih Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa sebagai nama yang diberikan kepada permata sulung mereka.
Akui Siti lagi sepanjang 7 hari ini, dia memanggil anaknya dengan nama Fatimah Az-Zahrah. Memandangkan nama Siti Aafiyah pun sudah melekat di hati, ada ketikanya dia memanggil puterinya itu dengan panggilan Aafiyah,
“Bila panggil Fatimah Az-zahrah pun dia senyum, panggil Siti Aafiyah pun dia senyum. Ternyata dia bayi yang suka senyum.” Ulas beliau lagi, beliau akan memanggil anaknya dengan nama penuh memandangkan nama itu adalah doa.
“Biar dia dapat maksud doanya dan saya yang memanggil pun dapat juga.” Datuk Seri Siti Nurhaliza juga lebih selesa jika membahasakan dirinya sebagai ibu. Agar lebih mesra dan lembut.
Dalam pada itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza sempat merakam perasaan indah sebaik bergelar ibu.
“Alhamdulillah, Allah perkenankan doa selama 11 tahun. Setiap detik, setiap waktu tak pernah saya lupa memohon pada Allah agar diberi pengalaman untuk menjadi seorang ibu, merasai pengorbanan seorang ibu.
“Syukur pada ibu yang melahirkan saya, ibu mentua yang telah melahirkan suami saya. Ini adalah anugerah yang sangat terindah dalam hidup saya.
“Pengalaman jadi ibu hamil dan melahirkan pengalaman yang sangat nikmat. Walaupun sewaktu melahirkan ada komplikasi, Allah mudahkan segalanya.”
Majlis tahnik dan aqiqah puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid ini disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Dzulkifli al-Bakri yang bertempat di kediaman pasangan suami isteri ini.
“Terima kasih yang tak terhingga kepada para ulama yang dihormati dan sanjung, Dato Mufti Wilayah Persekutuan, guru-guru agama kami yang sentiasa menasihati dan membimbing keluarga kami. Begitu juga dengan sahabat, saudara mara tercinta sepanjang saya hamil sehingga saya melahirkan.
“Doakan yang terbaik untuk saya menjadi ibu, isteri, anak malah menantu yang baik untuk anak, suami dan seluruh keluarga.” Akhiri Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam ucapannya malam tadi.
Ada beza antara masalah kurang pendengaran dengan pekak. Kedua-dua masalah ini tak sama. Hilang pendengaran itu satu kekurangan kebolehan telinga mendapatkan bunyi dan untuk menghantar maklumat bunyi ke otak sehingga menyebabkan fungsi pendengaran terjejas.
Inilah yang dinyatakan oleh Audiologist Nessa Hearing Sdn Bhd, Hakim Zin. Yang mana, apabila seseorang itu mengalami masalah kurang pendengaran, inilah tanda-tanda awal yang akan berlaku.
“Jika seseorang itu menunjukkan tanda-tanda awal, ini bermakna mereka bukan pekak tetapi kurang mendengar. Amat berbeza antara kedua ini.
“Kalau seseorang itu pekak, walau kita telah menjerit dihadapannya dia masih tidak dapat mendengar. Orang yang mengalami masalah kurang pendengaran ini mereka boleh mendengar tetapi kurang jelas.
“Sehingga meminta orang yang sedang bercakap dengan mereka mengulang ayat yang telah dicakapkan itu berulang-kali.”
Sekiranya tanda-tanda sebegini mula kelihatan, sebaiknya anda mendapatkan segera ujian pendengaran dengan pengamal perubatan profesional dalam bidang pendengaran.Punca Berlakunya Kurang Pendengaran.
Faktor-faktor yang memberi kesan kepada masalah hilang pendengaran adalah seperti berikut:
1. Penuaan.
2. Jangkitan pada telinga.
3. Pendedahan pada bunyi bising.
4. Kesan sampingan akibat pengambilan ubat-ubatan.
Jelas Hakim, terdapat empat jenis kategori masalah hilang pendengaran.
Mereka yang berada pada tahap ringan akan meminta orang yang sedang bercakap mengulang ayat itu beberapa kali.
Mereka yang berada pada tahap sederhana akan meminta orang yang sedang bercakap itu bercakap dengan kuat sedikit dan berulang.
Pada tahap teruk ini, orang yang bercakap ini perlu berada lebih dekat dan menepuk bahu mereka yang mengalami masalah pendengaran dan kemudiannya baru bercakap di hadapan mereka.
Kalau perbualan itu berlaku di tempat bising, pada tahap teruk ini pendengaran itu memang amat terjejas sebab bunyi bising itu mengganggu si pendengar untuk menangkap apa yang diucapkan oleh mereka yang bercakap.
Kategori teruk ini mula bergantung pada si pendengar perlu membaca gerak bibir.
Mereka yang berada pada tahap teruk ini 100 peratus bergantung pada bacaan gerak bibir.
Anda perlu melakukan ujian mengesan tahap pendengaran yang dilakukan oleh Audiologist. Audiologist adalah pengamal perubatan profesional yang boleh mendiagnosis masalah hilang pendengaran. Mereka juga layak memberi nasihat dalam memilih alat bantuan pendengaran yang bersesuaian.
Ujian tertentu akan dilakukan lebih lanjut untuk mengesahkan punca-punca masalah kurang dan hilang pendengaran.
Setelah ujian mengesan tahap pendengaran dilakukan, audiologist akan menerangkan keputusan yang telah didapati. Audiologist juga akan menyediakan panduan terhadap penyelesaian terbaik dalam situasi yang sedang anda hadapi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan sesuatu yang baharu kalau cerita soal naluri isteri, jangan mengelak dan tak perlu beriya nak sorokkan sebab suatu masa tetap akan diketahui. Inilah kisah yang segelintir isteri lalui, bermula dengan rasa tak sedap hati dan membawa kepada kebenaran yang cukup berat untuk ditelan.