
Isteri zaman sekarang garang, kasar dan tidak lagi lembut seperti sebelum kahwin. Fenomena isteri yang kelihatan garang, kasar dan tidak selembut isteri zaman dahulu bukanlah sesuatu yang berlaku tanpa sebab.
Isteri Zaman Sekarang Garang, Kasar Dan Tidak Lagi Lembut Seperti Sebelum Kahwin
Kudrat wanita tidak sama dengan lelaki. Keletihan mereka, baik fizikal mahupun emosi, juga berbeza. Hakikatnya, ramai wanita hari ini memikul beban dan tanggungjawab yang jauh lebih berat berbanding apa yang sepatutnya ditanggung oleh seorang isteri.
Isteri bukan sahaja memainkan peranan sebagai isteri dan ibu, malah dalam kebanyakan kes, mereka turut keluar bekerja mencari rezeki. Mereka membantu membayar bil, perbelanjaan rumah tangga, dan pelbagai keperluan lain. Apa yang mereka lakukan seringkali melebihi had kemampuan dan tenaga yang mereka miliki.
Maka, bagaimana mungkin mereka boleh sentiasa berlembut jika yang diperlukan ketika itu adalah kekuatan dan ketabahan untuk terus bertahan dalam kehidupan yang mencabar? Isteri kelihatan garang kerana tekanan. Mereka tidak lagi berlembut kerana tuntutan keadaan.
Tekanan hidup dan desakan tanggungjawab itulah yang membentuk siapa mereka pada hari ini. Jika seorang suami benar-benar memahami, sudah tentu dia akan cuba mengurangkan beban yang ditanggung oleh isterinya. Sayangnya, ramai lelaki memiliki seorang wanita, namun tidak ramai yang benar-benar memahami hati dan perasaannya.
Mereka tidak menyedari apa yang dilalui oleh isteri—kenapa dia menjadi garang, kenapa dia bersikap kasar, kenapa dia mudah marah, dan kenapa dia sering beremosi. Jangan tunggu hingga dia ‘meletup’ baru kita mahu sedar akan segala yang dipendamkan selama ini.
Sejujurnya, dia tidak pernah meminta untuk suami menggantikan tempatnya sepenuhnya—menjaga anak, mengemas rumah, membasuh pakaian atau memasak. Apa yang dia perlukan hanyalah faham dan penghargaan. Fahami dirinya, hargai segala usahanya agar semua yang dilakukan itu tidak terasa sia-sia.
Itu sahaja… adakah itu pun terlalu susah?
Cubalah bantu meringankan kerja-kerja rumah, jangan diletakkan semua beban di atas bahunya. Kekuatan fizikal dan mental lelaki dan wanita tidak sama. Wanita lebih mudah beremosi kerana mereka melalui kepayahan, keletihan dan tekanan yang tidak selalu dizahirkan.
Jangan dipersoalkan ke mana hilangnya kelembutan seorang isteri, kerana fitrah wanita itu memang dicipta sebagai makhluk yang lemah lembut. Namun, jika dia terlalu berlembut, kita pula mudah memperlekeh dan memijak maruahnya.
Ayuh kita sama-sama, sebagai suami, bantu isteri. Isteri itu bukan hamba, dan kita juga bukan tuannya. Perkahwinan adalah perkongsian—saling memahami, saling membantu, dan saling menghargai.

Sumber: Firdaus Shakirin
Baca artikel lain juga: Suami Kalau Dari Mula Kahwin Dibantu Isteri, Lama-lama Dia Akan Naik Lemak
Isteri Sedih Diceraikan Suami, Pilih Kahwin Dengan Janda, Kawan Baik Sendiri
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI