Benar sebaik bergelar suami isteri, isteri ada hak ke atas suaminya. Tapi suami juga ada tanggungjawab terhadap ibu bapanya. Seorang isteri yang baik akan cuba mengasihi keluarga mertuanya sama seperti keluarganya sendiri.
Puan Ezatul Marini berkongsi pesanan kepada pasangan muda. Sebagaimana dirinya dulu melalui detik alam rumah tangga ketika usia 21 tahun. Namun, itu tidak menghalangnya untuk berfikiran matang dan menerapkan nilai yang baik dalam membina hubungan menantu-mertua.
Ditakdirkan Berkahwin Pada Usia Sangat Muda
Saya ditakdirkan berkahwin pada usia yang sangat muda, sebaik memasuki 21 tahun. Muda kerana masih mentah ilmu, tidak cukup pengalaman dan banyak perkara yang saya belum mahir.
Alhamdulillah, Allah mengurniakan saya keluarga mertua yang baik, penyayang dan sedia membimbing, menegur dan menerima baik buruk dan lebih kurangnya tingkah-laku saya.
Tipulah kalau kita nak kata segalanya manis belaka. Ada ketikanya berlaku juga pergeseran, prasangka dan konflik tetapi Allah mengurniakan kami rasa lembut hati dan keinginan serta kesungguhan untuk membaiki keadaan, sedia mohon maaf dan memaafkan.
Alhamdulillah! Encik K amat bijaksana dalam membimbing saya, menyalurkan kebiasaan perbincangan dan muafakat serta tolak ansur dalam melayari bahtera kehidupan berumah-tangga.
Ada pasangan diuji, isteri mendominasi kehidupan suami selepas berumah-tangga. Tidak hanya mendominasi kehidupan malah mengenakan misi “menghentikan” hubungan suami dengan keluarganya sendiri.
Seorang Isteri Yang Baik, Akan Cuba Mengasihi Keluarga Mertua
Isteri yang baik akan cuba mengasihi keluarga mertua sama seperti keluarga sendiri. Isteri yang baik akan berusaha seimbangkan hubungan suami dengan keluarganya, menghormati keluarga mertua dan berusaha untuk tidak membataskan hubungan suami dengan keluarganya sendiri serta tidak mengawal secara total sang suami hingga terbatas untuk bertindak mengikut hak dan tanggungjawabnya.
Saya tertanya-tanya, apakah sandaran dan paksi yang menunjangi sikap dan pemikiran isteri yang sebegini. Di manakah nilai adab dan nilai agama itu dalam kehidupan seorang isteri bila mana kedudukan suami itu dipandang sepele dan diletakkan di tempat terendah.
Sebagai isteri, belajarlah mendidik diri dan hati. Suami itu benar hak kita tetapi suami juga ada tanggungjawab kepada keluarganya. Dia masih ada ikatan dengan keluarga besarnya. Jangan kita jadi “gunting” yang meleraikan tali ikatan sebuah keluarga demi mengisi ego dan hasutan hati kita sendiri.
Suami pula harus bijak mengambil peranan untuk mendidik keluarganya. Sebagai pemimpin, jadilah pemimpin yang telus, adil dan berpaksikan ajaran dan tuntutan agama. Redha Allah kita cari, hak manusia kita lunasi, pasti ada ganjarannya.
Sebagai “extended family” ajarlah nilai yang baik kepada abang, kakak, adik dan anak kita untuk juga bersikap baik kepada keluarga mertuanya. Kita jangan jadi sumbu yang menyalakan api kebencian dan persengketaan dalam sistem sosial berkeluarga.
Jadilah Isteri, Suami, Ipar Dan Menantu Yang Dilimpahi Pahala
Sungguh, saya sangat beremosi kala menulis catatan ini. Jadilah isteri, suami, ipar, menantu dan anak yang dilimpahi pahala. Hindarkanlah dari sengketa yang akhirnya membenihkan luka dan dosa. Allahu Akbar!
Raihlah syurga dengan berbuat baik sesama insan. Syurga itu mahal, tanggungjawab kita adalah untuk memperjuangkan Syurga itu.
Allah itu tidak tidur, ingat itu. Allah memerhati setiap gerak-geri kita. Istighfarlah andai ada secalit bibit tingkah begitu menjadi dasar hidup kita selama ini.
Mertua dan keluarganya adalah juga keluarga kita. Ketepikan sedikit rasa terima kasih kerana keluarga yang di sana sudi menerima kita masuk ke dalam keluarga mereka.
Islam memberi panduan jelas dan lengkap tentang adab terutamanya akhlak sebagai suami, isteri, anak, menantu dan ipar. Sama-samalah kita doakan agar Allah selalu pelihara kita semua.
Astaghfirullah hal adzim!
Mingguan Wanita : Andai ego dapat dilembutkan, maka leraikanlah perasaan sedemikian. Semoga ketenangan dan bahagia dapat diperoleh kembali.
Sumber/Foto : Ezatul Marini
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Damai je hati anak mahupun menantu, bila mana mak ayah puji masakan anak dan menantu yang dihidang depan mata. Lagi-lagi pujian yang disertakan dengan kata-kata yang baik.
Biarpun masakan anak dan menantu itu biasa-biasa saja, tetaplah dihargai penat lelahnya menyediakan juadah untuk keluarga.
Begitulah indahnya pelajaran kehidupan yang kedua ibu bapa ‘Azizah Mohamed ini tunjukkan. Tidak sesekali memperkecilkan usaha masakan anak mahupun menantu.
Ada pengajaran yang boleh mak ayah ambil tahu. Semoga Ramadan ini, jika lebih menjaga kata-kata.
Hilang Sakit Pinggang, Bila Ayah Puji Masakan Anak
Beberapa hari lepas. Saya hidang mee goreng untuk mak ayah.
Mak rasa sesuap.
“Sedap, Zah. Secukup rasa.”
Giliran ayah pula makan. Habis sepinggan ayah bersuara,
“Sedap betul mee Zah. Boleh buka warung depan rumah ni. Hantar Asma’ pergi sekolah, lepas tu start masak. Fuh!”
Ada sekali tu saya hidang ayam masak merah. Mak kata sedap.
Nak tahu ayah komen apa?
“Sedapnya. Macam ni gaya boleh jual dah. Cukup rasa. Eh serius ni. Jual lah. Ayah boleh jadi runner. Oven kat dapur muat berapa ekor ayam? Kalau jadi bisnes kita tukar oven besar.”
Pecah ketawa tukang masak dengar. Padahal ayam masak merah tak guna oven pun
Terhibur sungguh.
Hilang sakit pinggang berdiri lama di dapur. Walhal saya tahu masakan saya sangat sederhana. Namun terasa dihargai sebaiknya.
Alhamdulillah.
Ayah Puji Apa Jua Air Tangan Mak
Hakikatnya, itulah pemandangan di meja makan sejak kecil. Ayah akan puji apa jua air tangan mak. Di hadapan kami.
“Alhamdulillah. This is the best dinner for today!”
Ayat legend ayah. Riuh kami gelak ketawa di meja. Sebab dinner memang sekali sehari kan.
Bila kami dah besar ayah puji masakan anak dan menantu. Jarang ayah komen sepatah. Mesti ada extra feedback yang selalu buat kami ketawa terhibur.
Dan mak pula akan berterima kasih untuk setiap masakan yang terhidang. Sedangkan apalah sangat nak dibandingkan dengan air tangan mak sepanjang membesarkan kami.
Baca sini : Nak hidup tenang, jaga sungguh hati mak ayah, mereka kunci keberkatan
Melalui Mak Ayah, Ini Yang Anak Belajar
Ini bukan post bercerita kesedapan masakan sendiri. Tidak sama sekali.
Namun melalui mak ayah,
Kami belajar betapa mudahnya menggembirakan orang dengan kata-kata yang baik.
Perkataan yang baik akan pergi jauh. Meresap masuk ke dalam hati pendengar. Lantas memberatkan neraca amal soleh kita.
Insya-Allah.
Perkataan yang buruk juga akan pergi jauh.
Menyakitkan hati pendengar. Lalu menjadi pemberat dosa. Melambatkan urusan kita memasuki syurga.
Nauzubillah.
Maka, selagi bernyawa, hati-hati memilih perkataan kita. Moga setiap patah kata menjadi penyelamat di akhirat sana. Di saat mulut ini tidak lagi boleh bersuara mempertahankan kita.
Terima kasih ayah.
Terima kasih mak.
Terima kasih ibu ayah semua.
Syurgalah buat kalian yang mendidik anak-anak dengan akhlak yang baik. Moga Allah izinkan kita semua berkumpul di sebaik-baik tempat di Syurga.
Yang padanya ‘mereka tak akan mendengar percakapan yang sia-sia dan yang menimbulkan dosa’. (Al-Waqiah:25)
Aamiin ya Mujib.
Mingguan Wanita : Menggembirakan hati orang lain dengan kata-kata yang baik juga memberi kebahagiaan kepada orang di sekeliling. Jagalah tutur kata, jika tiada perkataan baik mahu disebut, maka lebihlah baik berdiam diri.
Sumber/Foto : Anak yang menyerap pelbagai kisah, ‘Azizah Mohamed.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tipulah tiada rasa malu, tapi ini ketentuan. ” Tidak simpan dendam, sudah maafkan ayah, kerana dia telah pun menerima hukuman.
Sebagai manusia apatah lagi kala itu baru berusia lapan tahun ketika kejadian, sudah tentu dirinya dihimpit rasa malu. Namun lama-kelamaan gadis ini redha dengan takdir Allah.
Tipulah Tiada Rasa Malu
Kejadian 1.30 pagi 12 tahun lalu meninggal seribu kenangan yang tidak mungkin terpadam dalam lipatan sejarah hidup saya buat selamanya.
“Dalam kejadian 8 Ogos 2010, ketika saya sedang tidur tiba-tiba wajah saya terasa panas dan sakit selepas terkena asid yang disimbah bapa,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 20, dari Kampung Sekayu, Kuala Berang, Terengganu.
Artikel Berkaitan : Terlampau Sakit Hati, Isteri Nekad Simbah Asid Ke Muka Suami Yang Curang
Tapi Ini Ketentuan
Menurutnya, walaupun kejadian sudah lama berlalu dan bapanya sudah menerima hukuman atas perbuatan itu namun dia tidak menyimpan dendam serta sudah memaafkan bapanya.
Katanya, pada peringkat awal kejadian situasinya amat sukar kerana perlu menghadapi pelbagai tanggapan negatif selain menjadi tumpuan masyarakat.
Baca Di Sini : Gara-gara Enggan Bayar Sewa, ‘Pak Mat’ Bertindak Kejam Simbah Asid Pada Anak-anak Tuan Rumah
Tidak Simpan Dendam
Dahyatul berkata, dia mengakui tidak mempunyai kekuatan mental selepas kejadian itu memandangkan usianya ketika itu baru lapan tahun.
“Tipu sekiranya tidak malu dengan keadaan seperti ini namun saya menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan oleh Allah dengan hati yang terbuka.
“Bapa selalu datang menjenguk saya dan adik-beradik lain sekiranya mempunyai masa terluang dan kami sekeluarga juga akrab dengannya yang tinggal di kampung sebelahan,” katanya.
Juga Di Sini : Suami Tergamak Curah Asid Pada Isteri Sendiri Gara-Gara Tak Puas Hati Lahirkan Anak Perempuan
Sudah Maafkan Ayah
Menurutnya, akibat kejadian itu, dia kini sesekali mengalami masalah sukar bernafas berikutan keadaan hidung yang tidak sempurna.
Katanya, sekiranya diberi peluang untuk mendapatkan rawatan dia masih mahu meneruskannya kerana ingin mengurangkan kesan akibat luka yang berlaku pada wajahnya.
Jelas Dahyatul, dalam kejadian itu ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang dan adiknya, Mohd Irfan Firdaus Mat Haizan turut terkena asid yang disimbah bapanya namun kecederaan keduanya tidak seteruk dirinya.
“Semoga apa yang berlaku kepada diri saya ini menjadi tauladan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak mengambil tindakan mengikut nafsu ketika berlaku perselisihan keluarga hingga mendatangkan kecederaan kepada anak-anak,” katanya.
Mingguan Wanita : Murni sungguh Dahyatul, dia redha dengan apa yang berlaku serta mampu memaafkan ayahnya. Semoga adik Dahyatul terus kuat menghadapi ujian mendatang.
Sumber : myMetro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Prinsip yang dipegang model dan pelakon popular era 90-an Edika Yusuf, 50 dalam menjaga isterinya, Norhidayah Yusri yang lumpuh dekat 12 tahun itu benar-benar menyuntik hati para isteri di luar sana. Waima suami yang cukup kasihkan isteri akan sama terkesan dengan ketabahan lelaki ini.
Benarlah seperti kata beliau, isteri itu perlu dianggap sebagai soulmate, bukannya maid. Baik lelaki mahupun wanita, nak mencari soulmate dalam hidup ini juga bukannya satu perkara yang mudah. Sebabnya walau dah bertahun menjadi suami isteri, masih ada yang belum temui soulmate mereka.
Ada saja yang tak kena di mata suami mahupun isteri. Sebab itulah, gejala tak setia mudah benar berlaku. Sebabnya jika anda sudah temui soulmate, datanglah macam mana sado mahupun si jelita, godaan itu tetap tidak menjerat anda. Melainkan dengan izinNya.
Ini cara bagaimana mahu mengesan bahawa pasangan anda adalah soulmate yang akan sehidup semati dengan anda.
1. Dia Bagaikan Tercipta Untuk Anda Sejak Hari Anda Dilahirkan
Susah mahu menerangkan hal ini, kerana instict itu hanya anda dan pasangan boleh rasainya. Instictnya jadi begitu kuat. Tapi emosinya lebih kurang begini, anda baru mengenalinya. Tetapi dalam pada mengenali hati budi, anda terasa seakan sudah mengenalinya sejak 10 tahun yang lalu. Andai jodoh itu dekat, setiap perjalanan perancangan ke arah perkahwinan itu, dugaannya walaupun hebat Allah akan permudahkan.
Dan selepas berkahwin, walaupun sudah menempuh usia lebih 5 tahun malah 10 tahun hidup bersama, anda tetap merasakan sikapnya, tindakannya sama seperti awal perkenalan dulu. Dia tidak fake ataupun pura-pura. Kalau dia jenis cakap lepas, maka itulah karektornya. Kalau dia seorang yang bersopan santun ketika makan, sampai dah jadi mak orang pun begitulah gayanya.
2. Ketika Bersamanya, Kau Rasakan Waktu Seakan Terhenti
Biarpun sudah lama melayari bahtera perkahwinan, anda tidak pernah jemu bersama pasangan anda. Baik dengan suami ataupun isteri, dia tetap istimewa di mata. Ada saja perkara yang anda lakukan mahu ‘please’kan mereka. Anda takkan menyakiti hatinya. Tapi tidak menyorokkan kebenaran. Anda jujur memaklumkan akan hal yang dia perlu tahu, bukannya hal yang dia mahu dengar.
3. Kesakitan, Ujian Miskin atau Kesukaran Takkan Menjadikan Anda Mahu Meninggalkannya
Ketika di uji sakit, anda tidak akan sesekali meninggalkannya. Sebaliknya ujian itu menjadikan anda seorang yang tabah dan kuat semangat. Biarpun ketika itu anda tahu betapa emosi orang sakit tidak stabil dan kuat sekali rajuknya. Bukan saja sakit, kadangkala kehidupan berumahtangga diuji dengan perlunya menjaga anak yang sakit atau ibu yang sudah uzur. Anda mahupun pasangan tidak merungut, malah sama-sama berfikir dengan kreatif, waras dan redha mengendalikan ujian-ujian tuhan dengan penuh berserah kepadaNya.
4. Rajuk Anda Tidak Pernah Berpanjangan
Adatlah dalam perkahwinan, ada saja pertelingkahan atau perselisihan pendapat yang akan terjadi. Namun, biarpun diuji sebegitu anda tidak ambil masa yang lama, iaitu lebih dari tiga hari untuk tak menegurnya. Paling tidak pada hari ketiga, anda sudah berbaik semula dengannya. Dia juga akan berusaha untuk mencari jalan damai. Semakin kuat badai rumahtangga, semakin kuat anda berusaha mempertahankannya. Hati anda lebih tenang, lebih damai dalam menghadapi permasalahan dengannya.
Andai anda telah temui 4 ciri ini pada pasangan anda, pastinya anda akan rasai emosi soulmate anda itu. Ada lagi tanda-tanda lain yang akan anda temui. Yang itu, anda boleh jawab dengan diri sendiri. Lagi bagus jika anda boleh senaraikan dan serahkan pada si dia yang anda cintai sepenuh hati.
via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI