Mungkin sudah menjadi lumrah, apabila wanita mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, segala tanggungjawab berada di bahunya terutama dalam mengasuh anak-anak. Tidak kiralah, isteri itu seorang suri rumah tangga sepenuh masa atau pun berkerjaya.
Maklum sahaja, naluri keibuan itu menebal membuatkan anak lebih selesa bersama ibu. Sehinggakan suami perlahan-lahan melepaskan ‘baton’ dalam mengasuh atau menjaga anak.
Bukan sahaja di Malaysia, boleh dikatakan semua ibu bapa di seluruh dunia menggalas tanggungjawab yang sma. Persoalannya, adakah menjaga anak itu adalah tanggungjawab isteri sahaja. Mengulas lebih lanjut tentang topik ini bersama Abdul Muiez Ruslee, Guru Bimbingan dan Kaunseling Di Sekolah Menengah & Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Sabak Bernam.
Tidak Terabai
Bila difikirkan kembali, tanggungjawab yang digalas oleh isteri yan suri rumah sepenuh masa dan tidak berkerja adalah lebih berat. Contoh, buka sahaja mata, segala tugas sedia menunggu. Bermula dengan menyiapkan keperluan pakaian sekeluarga, menyediakan sarapan, mengemas segala sepah yang ditinggalkan. Tidak cukup dengan itu, tugas isteri ini dengan menyiapkan hidangan tengah hari dan berlarutan hinggalah ke tengah malam. Selagi mata belum terpejam, selagi itulah tugas perlu disiapkan.
Sebagai suami yang prihatin, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan dalam meringankan penat isteri.
Ads
Bantu isteri mengemas meja makan dan membasuh pinggan mangkuk yang telah digunakan.
Tolong bersihkan baju. Paling mudah dengan hanya masukkan ke dalam mesin basuh, letakkan sabun dan selebihnya biarkan teknologi yang mengurusnya.
Kemas permainan yang ditinggalkan anak di ruang tamu supaya mudah untuk isteri bersihkan keesokannya.
Beli barang dapur sebelum pulang ke rumah.
Urutlah isteri dengan belaian kasih sayang.
Dalam mengendalikan tugas menguruskan rumah tangga, suami isteri perlu sepakat sejak dari awal perkahwinan lagi. Contohnya:
Jika isteri memasak, suami yang mengemasnya.
Jika isteri mengemas ruang tamu, suami yang menyapunya.
Jika isteri membasuh baju, suami yang menyidainya.
Jika isteri melipat baju, suami yang menyusunnya.
Ini adalah perjanjian asas yang perlu dimenterai sejak dari awal perkahwinan lagi. Jika ia disepakati, pasti suami yang bersikap raja tidak akan wujud.
Suami Lepas Tanggung Jawab
Kisah suami lepas tangan sering kali dipaparkan di media massa dan turut mengundang kekacauan dalam rumah tangga.
Apabila semua tugas dan kewajipan yang sepatutnya digalas oleh suami dibebankan sepenuhnya kepada isteri, tidak hairanlah akan wujud konflik dalam rumah tangga. Mungkin berpunca dari sikap tidak puas hati, sehingga persefahaman tidak mampu lagi disepakati. Ini menjadikan rasa amarah semakin meluap dan menyebabkan kerukunan rumah tangga menjadi musnah.
Ads
Walaupun apa pun yang berlaku, tugas mencari nafkah sepatutnya berada di atas pundak suami. Isteri hanya sekadar membantu untuk mencukupkan apa yang terkurang dalam keluarga.
Isteri Perancang Utama
Malah, bila difikirkan perkara yang paling suami takuti adalah apabila isteri sakit. Jika ada isteri mengadu tidak sihat atau demam, cepat-cepatlah tolong legakan isteri. Kenapa? Kalau isteri demam atau tidak sihat, lumpuhlah rumah tangga. Apa yang suami lakukan dalam rumah serba tidak kena. Mahu terbalik rumah, rasanya.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa isteri adalah tulang belakang kepada kesejahteraan dalam rumah. Apa tidaknya, tugas-tugas memasak, menguruskan anak akan dilaksanakan oleh isteri. Suami? Hanya menghulurkan tangan untuk meringankan beban.
Ads
Tetapi yang peliknya, apabila suami demam, sikap mengada-ngadanya mengalahkan anak kecil. Rasanya, inilah masalah global yang dialami oleh suami di seluruh dunia.
Apa pun, perkara paling penting dalam rumah tangga ialah suami isteri perlu saling membantu menguruskan istana cinta bersama. Insya Allah, hasilnya pasti cinta membawa ke jannah.
Tugas Suami
Membina mahligai rumah tangga bukannya mudah, apatah lagi mahu mempertahankannya. Suami dan isteri perlu berganding bahu untuk menjemput mawaddah dan rahmah bagi mengekalkan kebahagiaan rumah tangga dan mengetatkan rasa cinta buat selamanya.
Kadang-kadang, perempuan ini sukar untuk difahami. Apatah lagi menebak kemahuan dan kehendak mereka. Bila ditanya kenapa muncung, jawapan mereka sangat mudah, “tak ada apa-apalah.” Tetapi di sebalik perkataan tak ada apa-apa itulah tersenarai satu kajang salah laku suami yang tak disedari.
Apa pula tugas suami? Adakah sekadar membiarkan rajuk itu padam sendiri? Sebagai seorang lelaki yang gentlemen satu tindakan drastik perlu dilakukan. Antara perkara yang boleh dicuba ialah,
1. Belikan hadiah kecil buat mereka seperti coklat, kad mahu pun bunga. Tidak perlu mahal-mahal. Asalkan pemberian itu ikhlas dari hati. Apa perasaan kita jika menerima hadiah tanpa disangka? Begitu juga yang akan mereka rasa.
2. Sebelum pergi kerja, selitkan sekeping dua not sepuluh atau dua puluh ringgit di dalam dompet isteri. Sertakan juga sedikit nota cinta seperti “hadiah kecil buat kesayangan” atau “duit ini tidak boleh beli bahagia tetapi dengannya mungkin akan menghangatkan cinta.” Pasti senyumnya lebar sampai ke telinga.
3. Jika kita pulang kerja lebih awal daripada isteri, lakukan kejutan kecil seperti basuhkan baju, kemaskan meja makan, vakum karpet, masak nasi, siang ikan atau siapkan makan malam. Masa itu, kalau nak minta izin lepak mamak dengan kawan-kawan pun, mesti boleh punya.
4. Jika selama ini sang isteri yang menyediakan minuman sebaik sahaja suami pulang ke rumah, apa kata sesekali si suami pula yang mengambil tugas itu. Tak salahkan, jika suami pula yang berbakti kepada isteri?
5. Sebelum tidur, cuba gosok sedikit pinggang atau belakang isteri. Berikan belaian cinta sehingga isteri terlelap. Insya Allah pasti esoknya dia bangun dengan gembira. Cuma gosok itu jangan lebih-lebih pula. Nanti tak jadi kerja.
Perlukah suami buat semua ni? Eh, sudah tentulah perlu. Hubungan cinta ini konsepnya perlu memberi dan menerima. Sebelum menerima, kita perlu juga memberi. Barulah cinta itu akan mekar selamanya.
Dalam melayani perangai anak-anak sedang membesar, kata kunci yang mak-ayah kena pegang adalah sabar. Sebab.. tak selamanya anak kecil kita akan menjadi kecil. Dia akan meniti alam remaja, dewasa dan akhirnya mendirikan rumah tangga.
Ingatan kecil daripada Puan NurulAa Mustofa ini cukup dekat di hati mak ayah. Yang mana, kadangkala tanpa sedar kita melayani anak-anak seolah-olah mereka itu bukan anak kecil kita.
Kata orang ‘kecik beso.. kecik beso’ je tengok budak-budak ini. Tapi rupanya mak ayah, kita kena sedarkan diri. Suatu hari nanti 16 perangai yang kita tak suka itu, rupanya akan kita kenang dan ingat malah rindukan.
Suatu Hari Nanti Anak Kita Takkan Buat..
1. Anak kita dah tak lagi memanjat badan kita.
2. Anak kita dah tak lagi minta kita buatkan susu.
3. Anak kita dah tak lagi minta kita suapkan makanan.
4. Anak kita dah tak lagi berlari-lari keriangan bila nampak kita balik dari kerja.
5. Anak kita dah tak lagi percaya magic yang kita buat.
6. Anak kita dah tak lagi nak dipeluk masa tidur.
7. Anak kita dah tak minta kita dokong lagi.
8. Anak kita dah tak lagi minta kita bacakan buku cerita.
9. Anak kita dah tak lagi minta kita menyanyi lagu kegemarannya.
10. Anak kita dah tak lagi minta kita mandikan mereka.
11. Anak kita dah tak lagi tarik-tarik tangan kita.
12. Anak kita dah tak lagi tarik-tarik tudung kita.
13. Anak kita dah tak lagi ikut ‘punggung’ kita kemana saja kita pergi.
14. Anak kita dah tak lagi tanya kita soalan yang sama bertalu-talu.
15. Anak kita dah tak lagi kacau kita solat, panjat badan, masuk dalam telekung, duduk atas kepala masa sujud.
16. Anak kita dah tak lagi cucuk mata kita bila dia dah bangun dulu dari kita. .
Sebab Itu Mak Ayah
Hargailah mereka, setiap detik yang ada. Sabarlah ibu dan ayah, kami tak selamanya begini. Sampai satu hari nanti, ibu dan ayah harus lepaskan kami juga.
Sumber/Foto : Facebook NurulAa Mustofa
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tanpa mak, ayah sedar makin hari anak-anak kecil akan membesar, jadi sesibuk mana sekalipun mak ayah berilah ruang khusus buat si kecil bermanja.
Cukup-cukuplah habiskan masa seharian bekerja, balik rumah di waktu malam atau hujung minggu curilah peluang untuk bersama anak-anak bermain apa yang mereka suka. Ramai yang beranggapan bermain atau luangkan masa bersama anak-anak boleh ditangguh.
Anak Akan Membesar, Sesibuk Mana Berilah Ruang
Tetapi tanpa sedar mak,ayah dalam kerugian kerana tidak banyak masa bersama mereka setelah mereka mereka makin membesar kelak. Ikuti perkongsian Hilmi Jailani ini dan hadam baik-baik ya:
Banyak kali saya cakap saya busy, padahal saya hanya berbaring bersama anak-anak di rumah. Cuma berborak, bersembang, dan bergelak tawa.
Saya rasa itupun satu pekerjaan atau urusan yang sangat penting. Tak boleh diganggu. Harus diberi ruang yang khusus.
Pernah ada kawan call ajak keluar. Waktu tu, saya baru sahaja buka gelanggang wrestling bersama anak-anak.
Jadi, saya tanya kawan, “Ada urusan penting tak?”
Dia cakap, lepak saja. Saya pun tengok anak-anak, masih bersungguh melompat atas saya. Tak sampai hati, terus saya beritahu – “Maaf kawan, aku ada kerja ni.”
Ada orang fikir, bergaul dan berguling bersama anak-anak ini, boleh sahaja diganggu oleh perkara lain. Katanya, itu satu kerehatan yang boleh ditangguh bila-bila masa.
Orang ini mungkin lupa, anak ini makin hari makin dia membesar. Dan tiap saat yang pergi, tak mungkin kembali lagi.
Berapa ramai ibu bapa yang inginkan tempat seperti kita. Mereka ini bertahun tinggal berjauhan. Ada ayah bekerja di Johor, anak dan isteri berada di Terengganu.
Saban tahun, hanya bertemu di kala cuti panjang. Jika dihitung, lebih banyak masa di jalan raya berbanding di rumah.
Ada ayah, sudah hilang hak menjaga anak-anak. Setiap hari hanya melihat dari kaca telefon. Melambai jauh, sayu hati hanya tuhan yang tahu.
Ada mak ayah, yang masih menanti kelahiran anak pertama. Kalaulah dia tahu, kita mensia-siakan masa bersama anak, tentu dipukulnya kita kuat-kuat.
Kawan,
Kita cuba agihkan masa ya. Sesibuk mana kita, berilah ruang khusus untuk si kecil bermanja. InsyaAllah, kita dikenang walaupun kita sudah tiada. Moga doa mereka mengiringi kita.
.
Hilmi Jailani
MW: Hargailah masa yang ada bersama anak-anak, cipta kenangan indah bersama mereka sewaktu mereka kecil. Kenangan ini tidak mampu dibeli lagi pabila mereka telah meningkat dewasa. Percayalah.
Semalam netizen dikejutkan dengan satu kes kematian bayi 4 bulan, Yusof Al-Baihaqi Zainal Abidin yang dikatakan disebabkan tersedak susu di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di Bukit Baru Melaka, tetapi selepas dibedah siasat sebenarnya mangsa meninggal berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-paru.
Laporan itu diterima selepas bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Melaka yang dijalankan selama kira-kira lima jam yang berakhir sekitar 1.05 pagi tadi, selesai dilakukan ke atas bayi tersebut.
Menurut kenyataan daripada pihak polis, tiada sebarang unsur jenayah mahupun berpunca dari tersedak susu seperti didakwa sebelum ini.
Apa pun pihak perubatan hospital masih meneliti rekod perubatan bayi tersebut untuk mengenal pasti sama ada bayi itu mempunyai sebarang masalah sejak lahir.
Selamat Dikebumikan Di Kelantan
Jenazah bayi berkenaan telah diserahkan kepada kedua ibu bapanya dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan di negeri Kelantan.
Bayi malang itu menurutnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Bakat, Mahligai Bachok, Kelantan kira-kira 9.40 pagi tadi.
Pihak polis juga akan merakam percakapan ibu bapa bayi tersebut yang merupakan anggota polis dan guru, bagi mengetahui sejarah kesihatan anak mereka itu.
Namun proses itu akan dijalankan selepas kedua-dua mereka pulang dari Kelantan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Bayi terbabit, meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari ketika menerima rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Melaka.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Inkues Zara Qairina bermula 3 September 2025, seramai 195 saksi dirakam percakapan. Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar...