Lelaki sering kali dikaitkan dengan sifat nakal. Malah ada yang beranggapan, kalau lelaki nakal dan mengatal, barulah dikatakan lelaki yang normal! Betul ke?
Ada lelaki yang masih lagi bersikap seperti sebelum berkahwin dulu, suka berkawan dengan ramai wanita. Malah yang lebih berani, masih galak menyulam cinta dengan perempuan lain di belakang isteri!
Sedih Dan Marah
Apabila diketahui oleh isteri, pastinya isteri akan rasa marah, sedih, kecewa, terkilan, dan macam-macam lagi perasaan negatif. Puncanya daripada anda sendiri wahai suami!Jangan ingat isteri anda itu ‘robot’ tak ada perasaan. Hanya fokus pada urusan rumah tangga sahaja. Anda beranggapan mereka tak perasan atau tak kisah jika anda ada skandal di luar. Tahukah anda bahawa isteri ada ‘instinct’ jika suami mereka curang. Tapi kadangkala mereka malas nak bising jika belum ada bukti. Bila dah konfim, barulah meletup!
Ads
Apa yang boleh anda lakukan bila tembelang sudah pecah? Bagaimana anda boleh memujuk kembali hati isteri yang terluka itu?
Minta Maaf Dan Berjanji
Sila buang ego anda! Sekiranya isteri terluka dek kerana kecurangan anda, lekas-lekas minta maaf. Mungkin ketika itu mereka tak dapat memaafkan anda, tapi jangan putus asa. Jika anda masih sayangkan isteri, anda kena tunjukkan yang anda benar-benar menyesal. Minta maaf padanya walau pun berjuta kali! Akui kesilapan anda adalah ubat paling mujarab untuk memadam api kemarahan dan kedukaan dalam dirinya.
Ads
Sekiranya kesalahan anda itu baru pertama kali, mungkin isteri dapat memaafkan anda tapi dengan syarat jangan buat lagi ye! Tapi bukan semua perempuan mampu memaafkan kesilapan suami mereka yang curang dengan wanita lain. Jadi, berdoalah agar dilembutkan hatinya untuk memaafkan anda. Minta maaf dengan setulus hati. Lagi pun, anda tak bermaksud hendak merosakkan rumah tangga kalian berdua. Sekadar suka-suka saja. Anda juga mesti berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu. Ya, mungkin sukar, tapi kalau betul-betul sayangkan isteri dan rumah tangga anda, kena tekad.
Beri Ruang Kepada Isteri Luah Perasaan
Bila isteri tengah berduka dan bersedih dengan sikap anda itu, bagi ruang untuk dia meluahkan segala apa yang terbuku di hati. Ketika itu, terima saja segala kemarahannya itu. Ingat,anda memang layak kena marah! Sekiranya isteri berdiam diri, bermakna dia sedang berlawan dengan ledakan emosi dalam diri. Itu lagi bahaya. Minta dia luahkan apa saja yang dirasai saat itu agar ia tidak memudaratkan dirinya kelak bila dia tidak dapat mengawal emosinya.
Ads
Pujuklah Dia
Wanita yang sedang berduka pasti akan lembut hatinya jika tak putus-putus dipujuk oleh suami. Maka, cari apa saja jalan untuk memujuk hati isteri agar dapat memaafkan kesilapan anda. Mungkin bawanya pergi bercuti, atau melakukan aktiviti yang dapat mengembalikan semula kasih sayang antara kalian berdua. Tapi tak semestinya pujukan yang memerlukan belanja ye.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri kadangkala tidak begitu peduli soal pemberian nafkah oleh suami. Lebih-lebih lagi bila mereka sendiri bekerja. Tapi, bukankah itu hak isteri?
Topik yang saya pilih kali ini adalah persoalan biasa, dah pernah dibincang tapi tetap terus dipersoalkan. Sebelum saya berikan jawapan, saya nak ingatkan para pembaca tentang konsep nafkah zahir yang ditetapkan oleh syarak sebagai amanah dan tanggungjawab suami kepada isteri atau isteri-isterinya dan anak-anaknya.
Tanggungjawab Suami Beri Nafkah Pada Isteri Dan Anak
Syarak menetapkan, tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan yang munasabah dan tidak bercanggah dengan syarak.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Ikut Kemampuan Suami
Kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau.
Diceritakan, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” – hadis riwayat Abu Daud.
Dalil Kukuh
Dalil yang saya kemukakan merupakan antara dalil-dalil kukuh berkaitan nafkah. Jelasnya, tiada ayat atau hadis yang menjelaskan seorang suami wajib memberikan wang poket kepada isteri.
Kewajipan yang perlu ditunaikan ialah memberikan makan minum yang cukup, pakaian yang menutup aurat, tempat tinggal yang selesa dan pelbagai keperluan asas lain yang sesuai dengan keadaan isteri dan anak-anak dan paling penting, tidak melanggar tuntutan syarak.
Boleh Sabit Lakukan Keganasan Pada Isteri
Jelasnya, jika suami telah menjalankan segala kewajipan memberi nafkah yang patut dan wajar seperti yang diterangkan sebelum ini, maka si suami tidak perlu memberikan wang poket kepada isterinya lagi. Ya lah! Segala telah tersedia, kenapa masih perlukan wang poket lagi? Oppss! Nanti dulu, itu hukum asal.
Sesuai dengan persekitaran dunia kini, menepati maksud hadis riwayat Imam Ahmad: “Kamu lebih tahu tentang dunia kamu.”, (Ingat ya! Kewajaran menggunakan hadis ini bukan bererti Islam tidak syumul atau sempurna tetapi sebagai satu tanggungjawab kepada Mukmin kini untuk terus mendaulatkan agama Islam) maka terdapat ketetapan yang memperuntukkan, dalam keadaan tertentu, suami yang tidak memberikan wang poket kepada isterinya boleh disabitkan sebagai telah melakukan keganasan terhadap isterinya.
Keganasan ini termasuk di bawah keganasan kewangan yang boleh berlaku dalam tiga keadaan:
1. Melibatkan seseorang wanita yang dihalang dari mencari pekerjaan atau tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. 2. Menyebabkan wanita bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk mendapatkan wang walaupun untuk keperluan asas sendiri. 3. Tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kes-kes kecemasan.
Berdasarkan ketetapan tersebut, mana-mana suri rumah sepenuh masa yang tidak melakukan apa-apa pekerjaan sampingan yang boleh memberikan sumber pendapatan; tidak berniaga kecil-kecilan, tidak menjalankan perniagaan MLM, tidak mengasuh anak-anak jiran atau secara mudahnya, wanita suri rumah ini tidak akan mempunyai wang jika tidak diberikan oleh suaminya; maka wanita sebegini merupakan mereka yang perlu menerima wang poket daripada suaminya.
Untuk Simpanan Kecemasan Isteri
Wang yang perlu diberikan bukan untuk dibelanjakan sewenangnya tetapi untuk simpanan bagi menghadapi kes-kes kecemasan. Sebaliknya, jika anda berdepan dengan suami yang kedekut, bakhil atau terlalu berkira, bukan saja susah nak dapatkan wang poket tetapi keperluan pun selalu sesak sedangkan suami anda mampu; Islam membenarkan isteri mengambil harta suami tanpa pengetahuan suami tetapi hanya sekadar untuk memenuhi keperluan kehidupan seluruh ahli keluarga.
Diriwayatkan, Hindun bin Utbah bin Rabiah pernah menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf.” – hadis riwayat al-Bukhari.
Ulama berpendapat, ‘dengan cara yang makruf’ bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta si suami.
Bagi wanita yang bekerja pula, anda tak perlu dapat wang poket kerana anda punya pendapatan sendiri dan boleh digunakan dahulu tika waktu kecemasan, kemudian tuntutlah semula daripada suami.
Hakikat kehilangan dua anak kesayangan terlalu berat untuk dilalui wanita ini apatah lagi anak bongsunya masih menyusu badan.
Mimi Doleng, 28, mengakui malam pertama tanpa anak membuatnya sukar melelapkan mata dan terkenangkan dua beradik itu.
Mimi adalah ibu kepada dua beradik termasuk bayi perempuan yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, Bota, Perak, semalam.
Kerana Mereka Pergi Sekaligus
Dalam kejadian pada 4.30 pagi itu, Muhammad Fahmi, 6, dan adiknya, Nur Fahmia berusia enam bulan terperangkap di bilik tidur mereka di tingkat dua premis berkenaan.
Menurut Mimi, dia sangat merindui dua anaknya dan meminta suami membawanya ke rumah kedai untuk mengambil barang anak sebagai pengubat rindu.
“Saya ajak suami ke sana untuk cari barang anak yang masih elok, kami cuba cari baju raya mereka tapi tak jumpa, kami dapat mengambil bantal busuk Muhammad dan lampin serta cekak kepala Mia, inilah pengubat rindu kami.
“Bantal ini memang bantal kesayangan Muhammad dan mesti ada kalau dia nak tidur. Tapi kami tak lama di situ, kira-kira 30 minit… rasa sebak berada di situ teringatkan mereka,” katanya.
“Isteri juga masih bersedih dan beberapa kali memanggil nama Mia… Muhammad dalam tidurnya.’ – Mohd Fazlan.
Ibu Redha
Mimi ditemui di rumah mentuanya di Taman Tasek Putra, Tronoh pada lawatan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah yang diketuai Timbalan Ketua Polisnya, Deputi Superintendan Mohd Uzir Ismail.
Lawatan itu sebagai tanda sokongan polis kepada keluarga mangsa dan mereka turut mengadakan tahlil ringkas buat arwah Muhammad Fahmi dan Nur Fahmia.
Tambah Mimi, dia reda dengan tragedi yang meragut nyawa kedua-dua anaknya, namun ia mengambil masa untuk menerima hakikat itu.
“Susah nak terima kerana anak pergi sekali gus, mereka saja anak kami dan sentiasa ada dengan kami setiap masa dan Mia juga masih menyusu lagi tetapi saya perlu menguatkan diri dan tabah,” katanya mengalami bengkak susu sejak semalam.
Sementara itu, jelas Mohd Fazlan Nizam Mohamed Hamidi, 37, dia juga terpaksa menguatkan diri untuk menjejakkan kaki ke tingkat atas premis kerana masih terngiang-ngiang suara anak sulung menjerit memanggilnya pada hari kejadian.
“Saya tiada kekuatan mahu naik tingkat atas tapi paksa diri juga kerana kasihan pada isteri yang mengajak ke sana untuk mengambil barang anak.
“Isteri juga masih bersedih dan beberapa kali memanggil nama Mia… Muhammad dalam tidurnya.
“Masih terbayang memori kami, tempat mereka bermain dan tidur, malah masih terdengar suara anak panggil abah tetapi kami perlu tabahkan diri namun kemeriahan suasana raya memang tiada,” katanya sambil memberitahu anak sulungnya suka makan sate terutama pada Aidilfitri.
Katanya, semua pekerjanya juga tinggal sehelai sepinggang kerana bilik tidur mereka juga berada di tingkat atas dan mereka kini ditumpangkan di rumah pekerja sebuah lagi kedai makan.
Mingguan Wanita : Bukan mudah menerima kehilangan anak, apa lagi hilang dua anak serentak. Berat sungguh ujian buat pasangan ini, pasti ada hikmah di setiap apa yang berlaku.
Tidak dinafikan betapa internet, telefon dan sosial media dunia mampu menjadi ‘racun’ yang bisa melekakan kita dan membuatkan diri semakin jauh dengan tuhan. Alquran yang dahulunya selalu dibaca dan menjadi amalan kini semakin menghilang dan ditinggalkan. Belum lagi masa yang banyak terbuang semata-mata leka dengan telefon. Semoga perkongsian ini memberi peringatan bersama buat kita.
Berikut perkongsian tersebut;
Assalamualaikum semua. Taknak tulis panjang-panjang. Cuma nak kongsi pengalaman yang amat mengerikan.
Aku seorang isteri. Beperwatakan seperti seorang muslimah sejati secara zahirnya. Bertudung labuh. Lengkap dengan stokin dan sarung tangan. Aku dibesarkan dalam keluarga biasa bukan anak ustaz imam ataupun orang-orang surau. Aku juga bukan dari kalangan budak sekolah agama. Aku dibesarkam dalam persekitaran biasa, tidak mengamalkan Islam sebagai way of life ketika muda belia dahulu.
Di Universiti jauh dari keluarga aku mencari hidayah. Mula berstokin dan berhandsock. Family aku tengok pun pelik. Tapi aku buat tak tau jer. Proceed hidup dengan jalan yang aku pilih. Pendekkan cerita, ditakdirkan Allah aku dilamar seorang lelaki tempat kerja aku 4 tahun yang lalu. Masa ni tudung aku memang lagi besar dari mula-mula berubah dulu. Lelaki ni dimata aku seorang yang soleh. Beperwarakan menarik dan memang macam langit dengan bumi nak bandingkan dengan aku. Aku cuba tolak lamaran ini, tapi dengan takdir Allah kami bernikah.
Pernikahan ini satu anugerah dalam hidup aku. Aku bersyukur dan merasa nikmat Allah pada hamba yang mencintaiNya takkan pernah kurang. Dia memang lelaki yang baik dan cukup sempurna sebagai suami. Kami tak kaya, tapi cukup sempurna apa adanya.
Rutin Awal Perkahwinan
Awal perkahwinan rutin kami cukup cantik. Subuh maghrib dan isya’ selalu berjemaah bersama disurau taman kami. Qiam bersama paling kurang seminggu sekali.
Keadaan demi keadaan, rutin semakin berubah. Aku tidak lagi ke masjid. Hanya solat sendiri dirumah atas permintaan aku, suami akur tidak suka memaksa. Setiap kali pulang dari isya’ suami akan tanya, dah ngaji? Dah solat?Kalau dah suami akan peluk cium dan puji bagus isteri abang ni. Hati berbunga, cinta kerana Allah itu manisnya lebih dari madu apalagi gula. Keadaan ni bukan berlaku sebulan dua lepas kahwin jer tau tapi berlarutan hingga tahun ke4 perkahwinan. Jadi aku memang jadikan rutin lepas maghrib ngaji.
Internet Sendiri
Masa ni telefon aku ni tak ada internet sendiri. Memang aku kongsi internet dari telefon suami. Aku pun tak ada lah banyak sangat spend masa dengan fon. Awal tahun baru-baru ni aku ada azam baru. Taknak dah kongsi internet suami. Nak ada internet sendiri. Walaupun aku dah 27 tahun, sungguh tak aku sangka tindakan ini mengubah banyak hal.
Sejak ada internet sendiri, hampir 3/4 waktu sedar aku (waktu tak tidur) bersama dengan telefon. Hingga rutin aku bertambah berubah. Lepas maghrib aku dah selalu capai fon walaupun masih bertelekung. Ada niat nak ngaji kejap lagi sudahnya dengar isya’ dah masuk. Bila suami tanya, aku jawab oooh belum lagi. Suami jawab nanti ngaji ya. Seminggu dua ni banyak kali suami tanya jawapanku “belum lagi”. Suami tak tegur apa lagi marah. Saat ini syaitan sudah mula bergembira.
Aku hidup seperti biasa. Tanpa aku sedar dengan pasti, soalan “dah ngaji ke” dah lebih seminggu aku tak dengar. Satu hari suami tanya, mana Quran kamu? Lama tak nampak. Aku jawab ooh rasanya tinggal kat tempat kerja. Dah lama tak nampak kamu ngaji. Ada jer ngaji kat umah mak, guna Quran kat sana. Oohh ok, balas suami.
Rasa Kehilangan & Ditinggalkan
Aku cari merata quran kat tempat kerja tak ada. Tiba aku ada satu program kat tempat kerja yang kena bawa Quran. Tapi aku cuma guna Quran dalam fon. Sepanjang program aku rasa sesuatu. Rasa kehilangan. Rasa ditinggalkan.
Malam tu sambil makan-makan kat cafe, aku cerita pada suami Quran belum jumpa. Suami pegang tangan aku, sebagai muqaddimah ucapan,
“Sayang, abang nak kongsi sikit. Ada satu kata-kata hukamak, Al-Quran kena baca setiap hari. Bila kita tinggalkan dia sehari, dia akan menjauhi kita seminggu. Bila kita tinggalkan dia seminggu, dia akan menjauhi kita sebulan, bila kita tinggalkan dia sebulan, dia akan menjauhi kita setahun lamanya. Sebab tu kadang-kadang ada orang rasa malas nak baca Quran. Sebenarnya Quran tu sendiri dah menjauhinya. Nanti kita cari quran sayang ya” aku angguk-angguk tanda setuju dalam hati rasa dah rasa sebak bersulam syahdu. Rasa terhantuk padu.
Tapi Quran saya ni dah lari betul-betul macam mana ni?….dengan nada berseloroh. Aku taknak suami tahu aku semakin jauh dan hanyut. Aku malu. Aku tahu suami memilih aku bukan kerana rupa tapi kerana iman yang ada.
Aku tak pasti suami tahu ke tak aku seminggu dua ni dah jarang baca Quran. Malunya tidak tergambar.
Sepanjang makan, aku rasa sebak mengenangkan kata-kata suami, mengenangkan Quran yang lari dari aku. Aku dah lebih 10 tahun guna quran ni, dah agak lusuh. Mengenangkan itu, hampir saja air mata ini jatuh kepipi. Suami tegur, kamu ok? Kenapa ni? Ngantukk ye. Aku senyum.
Selesai makan, dalam kereta air mata jatuh juga. Terasa betapa lalainya aku terleka kerana dunia. Allah bagi segalanya. Tapi aku lupa saat aku miliki semuanya. Aku beristighfar di dalam hati, air mata membasahi pipi.
Teguran Allah
Tiba dirumah, aku minta izin nak tidur dulu, mata dah merah mungkin sebab ngantuk kata suami. suami solat sebelum tidur. Malamnya aku bangun semula dan solat taubat mengadu pada Allah rasa hati yang tak mampu untuk aku ceritakan pada sesiapa termasuk suami. Aku rasa terlalu terluka dengan racun dunia yang membuatkan aku terduduk saat racun ini mengalir dalam tubuhku. AlQuran pendamping aku saban tahun lari dari dakapan aku. Aku sedar ini adalah teguran Allah yang sangat nyata untukku. Aku hamba yang kufur nikmat. Aku menangis semahunya. Allahu, terima kasih atas teguran ini ya Allah.
Terasa begitu hina diri ini. Saat aku mendekatkan diri pada Allah, mencari hidayah aku Allah anugerahkan suami yang cukup hebat. Aku bimbang saat lekanya aku pada dunia, Allah tarik segala nikmat. Naudzibillah. Teringat pesan suami, kena selalu baiki amalan sebab kami sedang usaha untuk dapatkan zuriat soleh. Mana mungkin Allah bagi seorang hamba yang soleh lahir dari kita yang tidak cukup amalnya. Allahu. Rasa insaf dengan keadaan ini. Doakan aku kembali ke pangkal jalan. Semoga menjadi pengajaran pada banyak orang.
Semoga hati ini kembali kepada cinta pemiliknya dan kemanisan iman itu kemabali dirasai. Hidayah itu perlu dicari dan diperbahuri. Ini satu mimpi ngeri.
– Kamelia
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jangan sesekali kita terleka dengan ‘racun dunia’ ini sehingga membuatkan diri semakin jauh dengan tuhan.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...