Bahagianya ada suami yang benar-benar kasih setulus hati. Biar pun isteri tak lagi cantik seperti masa bercinta. Malah fizikalnya berubah selepas melahirkan anak-anak, beruntunglah jika suami tak mempersoalkan.
Perkongsian daripada Cik Puan Intan Dzulkefli (Nurul Intan safinah Dzulkefli) ini cukup besar ertinya buat pasangan suami isteri. Kalaulah suami-suami di luar sana dapat menjadi setia dan sentiasa memberi kejutan istimewa kepada isterinya alangkah indahnya hidup ini.
Muka Isteri Kusam, Rambut Gugur, Ini Kejutan Suami
Sejak bersalin anak ketiga mukanya memang kusam teruk. Lepas habis pantang perut buncit ya robbi. Rambut banyak gugur macam orang lepas kimo. Bila balik kampung semua tegur mukanya nampak tua. Umur baru 20-an dah nampak macam hujung 30-an. Berdiri dengan suami nampak macam dia kakak suami. Komen orang sekeliling betul-betul buat dia rasa rendah diri di hadapan suami.
Saya tanya, “Suaminya ada komplen ke?”
Dia jawab, “tak pernah.”
“Tiada apa yang berkurang malah kadangkala tengah malam selalu terasa suami mencium wajah saya sambil ucapkan terima kasih sebab jadi isterinya & didik anak-anak sementara dia kerja, bacakan doa pada ubun-ubun.”
“MasyaAllah… beruntungnya akak.” Kata saya.
Baru-baru ini dia bercerita lagi.
“Haritu masa balik cuti beraya, ada ahli keluarga perli saya nampak macam dah beranak 10 orang. Perut buncit macam mengandung 5 bulan. Mereka suruh saya makan jamu. Takut nanti suami cari lain sebab tak selera dengan saya. Suruh saya pergi spa sebab muka kusam.”
“Saya menangis masuk bilik. Suami ikut saya masuk apabila lihat saya lain macam. Saya marah-marah suami & mula menuduh suami. Saya rasa memang betul apa mereka cakap. Mungkin suami hanya simpati dengan saya sebab saya bersusah payah beranakkan anak-anaknya. Mungkin dia pun dah hilang nafsu pada saya. Saya dah buruk. Saya dah gemuk. Saya dah hodoh. Muka tua. Saya betul-betul rasa kecewa dengan diri sendiri. Kenapa wanita lain lagi ramai anak dari saya tapi tetap cantik. Kenapa saya buruk sangat.”
“Dan akhirnya suami saya peluk saya sambil menangis. Dia kata dia tak pernah pun fikir apa yang saya cakap. Tak pernah terlintas di hatinya. Suami kata sayalah satu-satunya yang paling cantik dalam hatinya.”
“Intan… Saya takkan lupakan apa yang suami katakan.”
“Setiap kali abang nampak sayang, abang hanya nampak wanita yang bersusah payah untuk abang. Bila nampak rambut sayang gugur banyak kat lantai, bentuk badan dah berubah.. abang rasa.. abanglah yang bersalah sebab sayang jadi macam tu lepas beranakkan anak-anak abang, susukan anak-anak, jaga anak-anak.. abang masih ingat betapa cantiknya sayang masa kali pertama abang tengok saya masa kita solat jemaah sama-sama lepas nikah.
“Abang minta maaf.. abang salah.. abang cuba tolong apa patut tapi kadang anak-anak nak melekat dengan sayang jugak. Apa yang mampu abang buat… abang hanya mampu doakan sayang hari-hari & cuba gembirakan hati sayang. Abang minta maaf kalau abang tak cukup tunjukkan kasih sayang abang selama ni. Abang minta maaf tapi percayalah abang sayang sangat kat sayang. Hari-hari abang doa moga sayang satu-satunya isteri abang dunia akhirat.”
Demi Allah…
Saya yang membaca. Saya menangis. MasyaAllah. Mulianya hati suami ini.
Suaminya hantarkan juga isteri ke treatment atas permintaan si isteri, tapi niatnya lebih kepada mahu menghargai kesetiaan suaminya itu, selain untuk sihat beribadah kepada Allah. Subhanallah. Suami isteri yang berlumba-lumba mahu menggembirakan hati pasangan masing-masing insyaAllah Allah akan berikan sakinah, mawaddah & rahmah dalam rumahtangga merekakan. Moga rumahtangga kita juga begitu. Amiin.
Jangan Jatuhkan Air Muka Isteri
Cerita teman ini memberi pengajaran yang besar buat diri ini. Janganlah kita sesekali mengatakan sesuatu yang boleh menjatuhkan air muka seorang isteri, apatah lagi di hadapan suami & anak-anaknya. Kita tidak tahu natijah perkataan demi perkataan yang kita lemparkan itu mungkin menyebabkan seorang suami memandang rendah kepada isterinya.
Kadangkala, selain dari mulut orang sekeliling yang sangat suka memberi komen menyakitkan hati, ayat-ayat promosi produk di media sosial juga terlalu memprovok hingga menimbulkan syak wasangka isteri pada suaminya sendiri. Maaf saya cakap, terutamanya produk kewanitaan & kecantikan, terlalu banyak yang condemn hingga isteri jadi hilang yakin diri. Selalu sangat mengugut kaum isteri;
“Nanti suami lari dengan janda meletop sebelah rumah”
“Nanti suami cari orang lain sebab bau kepam awak tu”
“Nanti orang fikir uolls mak sedara suami sebab muka nampak tua”
Maaf cakap…
Mungkin yang gelojoh nafsu itu hanya suami awak, bukan suami orang lain. Saya percaya, masih ramai suami yang hanya memandang isterinya sahaja yang cantik dalam dunia ini. Bukan hanya pura-pura nak jaga hati isteri, atau hanya baik di depan tapi di belakang suka cuci mata lihat wanita lain. Tapi cinta & belas ehsan yang ikhlas dari hati. Betul-betul isterinya seorang itu yang dia mahu menemankannya di syurga, jadi penghulu bidadari.
MasyaAllah… inilah bezanya lelaki beriman, baik & soleh dengan lelaki jahat. Maka janganlah disamakan antara keduanya. Sebagaimana ada wanita baik & wanita jahat, begitu jugalah para lelaki.
Semua orang punya nafsu.. namun, orang beriman mengawal nafsunya dengan mujahadah & melunaskannya dengan cara yang dibolehkan, yang halal baginya. Takkan sama seperti orang fasik, munafik & tidak beriman..
Allahuakbar.
  Sesungguhnya tiadalah dapat dinafikan lagi… nikmat kebahagiaan terbesar seorang isteri setelah iman & islam adalah dipinjamkan seorang suami yang soleh, yang mencintai, mengasihi & menyantuninya kerana Allah, menjadi sahabatnya di dunia hingga akhirat.
Alhamdulillah ‘ala kulli nikmah
Sumber/Foto: Intan Dzulkefli (Nurul Intan Safinah Dzulkefli) via Mingguan Wanita
 
Penyakit orang kita, suka sangat sebut bahagian yang tak sempurna. Padahal banyak lagi sikap lain yang bagus, saja mencari salah.
Itulah orang kata, kalau kita cari kebaikan maka yang baik lah kita jumpa. Namun jika selalu mencari keburukan, yang nampak cuma bahagian yang buruk.
Nak-nak pula memang dah tak serasi sangat, kesannya hubungan makin berjauhan dan langsung tak boleh ngam! Cuba renungkan perkongsian saudara Abd Ghani Haron ini, moga kita boleh berubah dan buang yang keruh.
Redalah Dengan Kekurangan
IBARAT MEMILIKI KAIN SESENTUNG. DITUTUP KEPALA TERBUKA KAKI
Pesan ayah saya ,“Kita ibarat memiliki kain sesentung, tarik menutup kepala, kaki terbuka, tarik tutup kaki, kepala terbuka.”
“Teringat zaman hidup susah dulu, kain pelekat sehelailah menjadi selimut, kaki kena di lipat atau kerekot untuk tutup semua anggota.
Maksud ayah, kita tak mungkin sempurna semuanya.
Anak yang dianugerah Tuhan takkan semua memenuhi impian kita. Kelapa setandan, bukan semua berisi, pisang setandan bukan semua sama besar, jari ditangan bukan semua sama panjang. Dengan yang demikian redalah pada kekurangan yang ada pada anak, bersyukurlah kepada penganugerah Tuhan, yang terkurang itu ujian Allah, peluang untuk bersabar dan berusaha.
Setiap Orang Tak Sempurna
Suami isteri nampak perfect, sempurna segalanya, masa belum berkahwin, bila dah duduk serumah nampaklah kudis sana sini, cacat cela sana sini. Itulah hakikat kekurangan untuk kita redha, bersyukur dan bersabar. Jangan melihat isteri saja yang kurang, diri sendiri tetap ada kekurangannya cuma tidak mungkin kita melihat dalam diri sendiri. Kalau nak tahu, bertanyalah kepada isteri yang melihatnya dari luar.
Tidak semua rakan dan pekerja kita sempurna. Terimalah kekurangan mereka dengan berlapang dada, membetulkan apa yang tidak kena, menambah apa yang terkurang. Jika anda seorang guru, ingatlah murid anda ibarat jari tangan yang tidak sama panjang. Pencapaian, perangai, kebolehan adalah berbeza, bersabarlah, bertekunlah untuk memperbaiki, padamkan percikan api kemarahan, kerana semua mereka juga ciptaan Allah.
Kita ibarat kain sesentung, tutup kepala kaki terbuka, tutup kaki kepala terbuka. Bersabarlah, berlapang dadalah. Jika anda memarahi anak orang lain, ibubapanya pasti terasa.
Jangan Terlalu Mencari Kekurangan Orang
Jika anda menyatakan kekurangan seorang, ibubapanya akan terasa. Apakah anda tidak takut jika anda memarahi atau menyatakan kekurangan seseorang, anda akan dimarahi oleh Tuhan yg mencipta mereka?
Inilah hakikat mengapa kita kena mengawal kemarahan, apalagi kepada manusia. Berpada pada dan berhati hatilah, marah mungkin pada perlakuan, jangan marah pada sifatnya. Jika anda merasa anda seorang yang baik marilah kita menjadi insan yang lebih baik.
Bukan pasangan tak nak bekerjasama tetapi sebab salah faham. Ini dilema bila sudah berumah tangga, nak laki tolong tapi tak nak cakap. Itulah yang jadi perang dingin!
Nak elak masalah ini, dua-dua kena main peranan, jom semak perkongsian daripada Intan Dzulkefli apa yang patut anda buat…
Kalau Boleh…
Sebagai manusia kita perlu menerima hakikat kita tidak boleh catch up semua benda dalam satu-satu masa.
Perkara ni apply dalam hubungan suami isteri juga. Isteri & suami kena sama-sama bekerjasama dalam urusan rumahtangga & anak-anak. Bukan hanya bekerjasama semasa nak membuat anak. Selebihnya lepas tangan ke satu pihak.
Tidak boleh tunjuk terer sangat. Ada isteri dia tak beri peluang langsung untuk suami ‘mencelah’ dalam urusan rumahtangga & anak-anak. A-Z dia uruskan dari urusan perbelanjaan bulanan, bayar bil, baju apa anak pakai, hal pengasuh/taska anak-anak, menu makanan setiap hari, hatta susun atur rumah pun, semua dia decide sendiri. Tak bertanya pendapat suami langsung.
Kemudian, bila hal ini berlarutan… lama-lama dia balik yang stress & anggap suami lepas tangan. Sedangkan ia juga berpunca dari sikapnya yang mahu uruskan segalanya sendirian sejak awal.
Kebanyakan isteri selalu anggap suami kenalah faham-faham sendiri, tetapi banyak wanita lupa banyak lelaki jenis; dia akan biarkan isterinya buat semua sebab dia lihat isterinya boleh buat.
Jadi, orang perempuan…
Ringankanlah mulut untuk minta tolong. Walau kadang ramai isteri panas hati kenapa suami tak juga reti-reti.
Ringankanlah mulut untuk tanya pendapatnya. Walau kadang ramai isteri memang tak berkenan langsung taste suaminya.
Semuanya demi menunjukkan kita hormatkan suami, menunjukkan dia adalah penting. Menunjukkan kita ni satu team.
Memang awalnya suami lipat baju tak kemas.
Memang bila dia mandikan anak malam hari pun pakai baju siang lengan pendek.
Memang bila dia masuk dapur & masak-masak terus berkecah dibuatnya.
Arghhh… rasa macam nak suruh dia stop & jangan buat lagi semua tu sebab sakit mata tengok kerjanya tak senonoh.
Tetapi…
Isteri kena sabar. Selagi dia ikhlas tunjukkan effort mahu membantu kita ringankan urusan rumahtangga, buat-buatlah tutup mata. Tutup juga mulut daripada bagi komen pedas.
Sebaliknya ucaplah terima kasih. Pujilah hasil kerjanya.
Dah agak-agak bagi pujian ayat manis barulah add on sikit kritikan & cadangan membina di hujung ayat. Hihi. Syaratnya mestilah dengan cara sopan. Bukannya perli.
Orang tua-tua cakap, orang lelaki ni kalau dah dibiasakan buat kerja rumah, nanti hasil kerja lebih kemas & cekap dari orang rumah (isteri).
Ingatlah pesan Imam Hassan al-Banna tentang perkahwinan; “Kehidupan rumah tangga adalah ‘hayatul amal’ yang diwarnai oleh beban-beban & kewajiban, yang bukan semata kesenangan & romantik, melainkan tolong-menolong dalam memikul beban kehidupan & juga bebanan dakwah.
Sebenarnya bila berumah tangga cuba selarikan cara berfikir suami isteri walaupun perkara ini tak mudah. Maklumlah suami dan isteri bukanlah berkongsi hidup sedari kecil sebaliknya pabila masing-masing dah berusia puluhan tahun.
Pasti masing-masing dan sikap yang dibawa sejak kecil, begitu juga dengan pasangan. Tak sama sedikit cara berfikir, sekurang-kurangnya belajar memahami perbezaan. Barulah bahagia rumah tangga.
Setiap kata-kata kebaikan yang kau arahkan kepada isteri dengan niat mendidik adalah dinilai sepenuhnya kebaikan oleh Allah. Sekali pun isteri belum mahu turut untuk taat dan patuh, teruskan memimpin dan mendidik.
Isteri masih belum menutup aurat dengan sempurna, teruskan nasihat mendorong beri semangat.
Isteri masih belum sepenuhnya faham kehendak diri kau, tunjuk ajarkan bagaimana cara yang sesuai dengan kau. Mungkin selama ini kau sekadar menyuruh tanpa sempat untuk fahamkan cara apa yang kau suka. Jadi untuk kali ini, tunjukkan sekali.
Selarikan Cara Pemikiran Suami, Isteri
Isteri kau tidak hidup dengan kau semenjak kau lahir. Dia hidup dengan cara hidup keluarga dia, kau dengan cara kau sendiri.
Bertemu di umur puluhan tahun. Yang masing-masing sudah ada cara hidup dan pegangan sendiri. Sudah ada tabiat sendiri. Bila berumah tangga, selarikan dan selaraskan cara berfikir kamu dan isteri. Supaya tindakan kamu dan isteri sama dan tak banyak yang menyanggah antara satu sama lain.
Artikel berkaitan:
Dan proses itu bukanlah mudah. Biasa kadang-kadang ada langkah berlainan arah, jangan mudah marah dan menyalahkan isteri. Pegang lembut tangan isteri, tunjuk cara yang kamu setuju. Berlembut itu lebih mudah daripada mengarah kasar.
Setiap apa yang kau dan ahli keluarga kau lakukan akan Allah pertikaikan atas kau.
Selamatkanlah diri kau sendiri dan ahli keluarga kau daripada api neraka. Itu arahan Tuhan dalam kitab suci kita.
Tidak ertinya mencintai isteri kau jika jejak langkah kau seolah merelakan dia berlari laju menuju ke pintu neraka.
Firdaus Mokhtar,
Saya pun suami.
MW: Memang tak mudah tapi berusahalah untuk memahami perbezaan pemikiran suami dan isteri. Berbincanglah dengan baik jika tidak dapat menerima sikap pasangan, raikan perbezaan supaya hidup berumah tangga lebh bahagia, aman dan sentosa.