
Bukan jenis boros tetapi isteri ni banyak sangat dia fikir! Dia jenis ‘sediakan payung sebelum hujan’, dan kalau dia keluar membeli… semuanya sebab orang kesayangan.
Dia akan nampak wajah-wajah orang yang hidup dengannya, yang perlu atau suka dengan benda yang dibelinya. Itulah salah satu punca nampak perempuan beli banyak barang.
Nak-nak pula kalau dapat keluar beli barang dapur, memang apa yang di bawa pulang nanti semuanya bersebab.
Tak faham lagi?
Nah, hadam perkongsian penuh daripada Puan Farizal Radzali ini, ada jawapan yang mungkin buat anda akan rasa setuju.
Isteri Banyak Fikir
Suami beli barang, dalam list ada 10 barang, tapi dia bawa balik 8 je, itupun 5 je yang betul.
Isteri beli barang, dalam list ada 10 barang, tapi dia bawa balik 20, itupun hanya 5 yang berada dalam list.
Kenapa?
Sebab suami beli barang, isteri yang tuliskan list.
Isteri beli barang, dia tulis list sendiri. Lepas tu bila dia pergi kedai/pasar, dia nampak benda lain. Contohnya bedak baby yang tiada dlm list, baru dia teringat bedak anak dia dah habis. Lalu pula kawasan naget, teringat anak sulung haritu ada kata nak makan naget. Lepas tu lalu kat kawasan beras, ternampak biskut, beli la, nanti anak-anak lapar boleh buat kudap-kudap sementara mak siap masak.
Lalu kat tempat barangan basah, dalam list nak ayam je. Tapi bila nampak ikan murah, beli ikan. Bila nampak udang murah, belilah sebab bukan selalu nak dapat udang murah.
Lalu kat tempat roti, dlm list nak roti gardenier je, buat sapu dengan marjerin, tapi nampak pula roti hotdog cheese, teringat kat anak bongsu suka sangat makan roti tu. Beli juga.
Dan begitulah seterusnya. Itu belum dia masuk ke watson ke, guardian ke, yang ada member’s sale UP TO 70% DISCOUNT. Kalau dia masuk DIY, lagi panjang akalnya, beli penyangkut itu ini, nak mudahkan kerja rumah katanya.
Temanlah Isteri Membeli Belah
Jadi kepada suami, tolonglah teman isteri membeli belah. Banyak barang dia nak beli. Jangan terkejut kalau tiba-tiba dia beli kerusi meja sebab katanya murah sangat. Lagipun anaknya tak ada tempat selesa nak menulis. Isteri ni banyak fakta dia, kadang tak terjangkau dek akal.
Ada masa isteri tak boleh nak suruh suami belikan barang sebab perkara di perenggan pertama di atas. Fahamilah bahawa isteri ni terlalu banyak yang difikirnya. Bukan sekadar untuk dirinya, bahkan untuk suami dan anak-anak yang lebihnya.
Sebab seorang isteri/mak yang tahu apa yang dah habis kat rumah, apa yang perlu untuk keluarganya, walaupun adakala benda dia beli tu tak pakai pun.
Lepas tu merajuk sebab kena marah akibat membazir.
Fahamilah isteri sebagaimana isteri cuba fahami suaminya. Jangan pelik atau marah. List tu hanya untuk dibawa pergi dan dibawa balik ok. List sebenar, tengok keadaan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selepas Umur 7 Tahun Anak Fasih Berbahasa Inggeris, Ini Usaha Ibunya

Ibu ini, Syahirah Omar dikurniakan anak istimewa. Lana namanya. Kongsi ibunya, sehingga umur 7 tahun barulah anaknya boleh bercakap. Itu pun lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris.
Sedangkan ibu sendiri, bahasa Inggerisnya biasa-biasa saja. Jadi, ibu tak boleh patah semangat. Kena terus beri galakan kepada anak. Dan ini yang ibunya lakukan.
Cerita Lana, Anak Autistic
Semalam aku ada share satu video dak Lana dan Luqman cerita pasal tardigrade. Kemudian ada yang komen dan inbox aku, tanya tips macamana nak anak fasih berbahasa Inggeris.
Ahlamak tuan,
Aku bukan siapa siapa nak share ni. Sungguh bukan banyak nau pengalaman. Bukan bidang aku nak cakap hal begini sebenarnya. Tapi aku share juga lah mungkin membantu parents lain yang nak anak anak lebih mahir berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
Pertama sekali nak bagitahu sangat ni,
Sebenarnya aku tak pandai cakap English. Sungguh ni. Bukan merendah diri tapi memang English memang suam suam kuku. Tapi dah banyak improvement sejak tuition dengan bebudak ni.
Kedua,
Anak aku yang sulung ni Autistic. Anak Autistic selalunya lebih suka berbahasa Inggeris. Memang mereka lebih selesa berbahasa Inggeris dari cakap melayu. Struggle nau anak aku nak cakap melayu memula dulu. Sungguh macam omputih cakap melayu tu. Selalu orang gelakkan dia. Sudahlah lurus sangat dia. Halahh shiannnn.
Tip Anak Fasih Berbahasa Inggeris
Ok ni Aku cuba share tips sikit sikit ya, Panjang sikit, tapi cubalah baca sampai habis ya.
1. Sebenarnya kalau nak cerita ni malu. Tapi sejak mengandungkan Lana aku berdoa sungguh sungguh nak anak fasih berbahasa Inggeris. Serius tak tipu. Setiap kali berdoa itulah antara doa aku. Sekali dia keluar amekk sampai 7 tahun barulah boleh bercakap. Jenuh tunggu woihhh.
2. Ini pun malu nak cerita. Aku berbahasa Inggeris dengan daddy mereka sejak awal mengandung lagi. Kalau siapa cakap BM kena denda 20sen. Nampak sikit kan? Nilai tu besar lah 13 tahun lepas. Kalau dah 20 kali sebut perkataan BM, tak ke RM4? Oh rugi rugi. Jadi aku buat tabung denda khas. Seriuslah aku buat korang jangan gelak.
Kenapa aku nak sangat anak fasih berbahasa Inggeris? Sebab aku taknak anak aku malu bila pergi sekolah. Aku tak pandai jadi aku low self esteem. Bukan la tak pandai, tapi tak confident langsung. Ini serius bukan main main. Aku down teruk bila kena cakap English ni. Sebab tu aku doa spesific sungguh.
3. Waktu anak lahir je, teruskan saja cakap English. Apa ingat senang ke nak agah anak cakap English? Oh kekoknya hidupku.
“Oh my little princess you’re so adorable,”
terkebil kebil anak memandang mama ni dah kenapa kan?
4. Anak aku ni tak bercakap langsung sebenarnya waktu kecil. Bukan semi verbal tapi memang non verbal terus. Waktu tak tahu dia autistic, aku memang teruskan je ajar dia baca buku cerita English. Sudahlah takder focus dan eye contact kan? Flash card English, kemudian rancangan pun semua in English.
Ada satu vcd ” Your baby can read”. Macam tak ada jual dah sekarang ni. tapi memang kat YouTube ada. Pergilah cari. Volume 1 tu aku ulang je sampai 2 weeks. Baru bukak Volume 2 pula. Kalau kau tak jumpa aku minta maaf la ya.
Print Perkataan Bahasa Inggeris, Tampal Pada Barang Dalam Rumah
5. Kemudian, antara usaha lain, aku print perkataan English untuk semua barang dalam rumah, kemudian laminate dan tampal velcro kat semua barang rumah. Boleh bayang?
Jadi semua barang dalam rumah tu ada la perkataan ” Table, Curtain, Chair, “. Segala mak neka aku tampal. Tapi dia bukan bercakap pun. baby talk pun tak ada walaupun 4 years. Tapi aku tahu dia simpan semuanya dalam memori. Sambil main dengan dia, aku akan sebut perkataan tu. Ala santai santai je. Jangan pressure ok?
6. Waktu anak tak boleh bercakap, jangan rasa anak tak faham pun kita. Anggap saja anak faham apa kita borak. Sebelum tidur bacakan buku cerita in English. Simple simple sudah. Kadang tu gambar je pun dah ok. Contohnya gambar tepi pantai orang tengah berkelah ke kan, kemudian kau gorenglah sendiri. Cerita simple simple. Jangan guna ayat pendek ikut dan je. Buatlah ayat penuh. Aku pun prepare dulu apa nak goreng tu. Grammar biar betul.
Bila dah besar ni banyak bersembang isu semasa. Contohnyalah haritu aku bacakan Poem “We Are Not In The Same Boat”. Tak tahu siapa penulis asal dia sebenarnya. Memang famous poem ni musim bila kita diuji dengan Corona virus ni.
Bila umur sekarang, aku banyak cerita isu besar supaya dieorang tahu apa yang berlaku di sekeliling dieorang. Pastikan komunikasi tu dua hala. Tanya mereka soalan juga.
Begitu jugalah cara dak Lana menulis. Bila dia membaca atau dengar sesuatu, dia akan tulis semula dengan cara dia sendiri. Ada poem dia tulis pasal lockdown ni.
Anak Asperger, begitulah cara dia faham sesuatu selain dia lalui kejadian tu.
Tak Apa Kalau Gammar Lintang Pukang
7. Kalau anak cakap, tapi grammar lintang pukang, tak apa. Betulkan sikit sikit dan bila dia makin besar dia akan improve InsyaAllah.
Aku tak ada pengalaman anak tersilap grammar bila bercakap. Yang pastinya sejak 7 tahun dia tiba tiba boleh bercakap tu, dia yang betulkan grammar aku.
8. Kalau orang lain bercakap BM dengan anak kita, tak apa. Jangan halang atau paksa orang lain cakap English. Kalau anak Kita terkebil kebil, kita translatekan ayat BM orang lain tadi ke English. Haa dari situlah dia belajar kuasai BM pula.
Untuk kes anak autistic aku memang fokus 1 Bahasa dahulu sebab dia agak keliru bahasa lain. Bila umur 8-9 tahun perlahan lahan dia cuba cakap melayu.
Dak Mayraa paling senang ajar kedua dua bahasa. Sebab dia ada sibling yang dah besar cakap English dan BM. Jadi lebih cepat dia faham.
9. Jangan malu dan segan bila cakap English dengan anak tak kira kat mana pun anda berada. Pernah tau aku duduk Alor Setar, aku bawak anak pi pasar tani, kemudian dok cakap English. Biasalah memang semua mata makcik makcik memandang aneh. Ahhh tak dulikkk kakakkkk. Lantakkkkk.
Suami Isteri Kena Saling Menyokong, Takleh Buat Sensorang
10. Usaha begini tak boleh kau seorang saja. Mak ayah kena mainkan peranan dan bagi kerjasama. Kalau anak dah sekolah baru nak mahirkan, memang kena ada effort yang lebih. Untuk nak biasakan anak yang sentiasa cakap melayu atau cakap utara hari-hari, tiba tiba suruh cakap English dari celik mata sampai tidur, memanglah kena satu rumah guna bahasa yang sama.
11. Jangan stress, jangan stresskan anak. Enjoy je setiap Kali bersembang tu. Sebenarnya masa kecil memang aku enjoy sebab English yang simple je. Oh sekarang ni merampuih aku korang bila dieorang ikut bontot mama kemana saja untuk bercerita. Tengah masak nak cerita in English, tengah dalam tandas dieorang tunggu depan pintu nak cerita fakta apa pula dieorang baru baca, struggle juga aku. Aku takdan prepare jawapan. Takdan nak google woihhh.
Itulah yang korang dengar really really really tu.
12. Beli bahan bacaan yang best. Aku memang spend sikit untuk buku anak anak. Aku suka beli buku Usborne. Bagus untuk dieorang baca. Tapi kena tengok content juga maklumlah buku dari oversea ni kekadang terselit juga content tak sepatutnya.
13. Bila anak dah besar, bagi assignment kat dieorang. Macam bebudak ni lah. Bagi satu topik, biar mereka Google dan cari info dalam buku. Tapi selalunya aku biar je dieorang pilih sendiri dieorang nak cakap pasal apa. Itu lebih buat mereka enjoyyyy sebenarnya. Lepas tu kau recordlah. Dari memula pemalu lama lama boleh nampak anak kita akan lebih confident. InsyaAllah.
14. Puji effort anak selalu setiap kali mereka berusaha nak cakap English dengan kita. Cakaplah kita bangga dengan mereka. Jangan kondem atau gelak setiap Kali dieorang tersilap. Semuanya learning process .Alah, kita pun bukan elok tera mana sangat kan.
15. Dan bila sampai satu tahap mereka dah fasih, boleh je nak borak cakap English ke BM ke. Mereka pun dah tahu kalau kawan kawan baru kenal cakap melayu, mereka akan cakap melayu. Bila balik kampung, mereka usaha cakap melayu. Bila kat kedai makan nak order tomyam, mereka cakap melayu. Dah boleh sesuaikan diri dengan situasi.
Aku memang cakap melayu je kat rumah ni. Bila marah je aku cakap English ni. Waktu marah baru roh English tu datang.
Jangan Kecam Anak Orang Berbahasa Inggeris
Ok, rasanya tu sajalah. Sebenarnya aku tahu bukan semua orang selesa bila tengok anak orang lain cakap English. Tengoklah anak artis, ohhh habis kena kecammmm. Dak Lara Allana cakap English sedangkan Aisyah anak Che Ta yang omputih tu cakap melayu.
Eh janganlah compare begitu kakak.
Sebenarnya, anak kita ni terpulang lah nak ajar bahasa apa pun. Nak cakap melayu, silakan. Dia nak cakap Cina, silakan. Nak cakap Jawa, silakan. Nak buat camner pun silakan. Awak lah yang corakkan anak anak awak sendiri.
“Kenapa tak ajar bahasa Arab? Allah mesti suka, Ini ajar bahasa penjajah,” Kata mak jemah.
Allahu,
Tidaklah bermakna kalau kau ajar anak cakap English dah buat apa Allah larang. Kau pun tidaklah bercakap arab di rumah ataupun pergi restoren order Koey teaw kerang dalam Bahasa Arab. Kita bukan tinggal di Timur tengah. Slowly mereka akan belajar nanti Bahasa Arab tu. Boleh je nak ajar sesambil tu kalau anak ok kan?
Itu la serba sikit apa aku buat.
Ini pengalaman sendiri saja tau.
Sesungguhnya bukanlah kerana usaha kecil ni anak anak jadi begitu begini, semuanya dengan izin Allah.
Your Sincerely,
Syahirah Omar (Mom with 3 kids)
Sumber/Foto : Syahirah Omar
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Anak Malas Berdialog Dengan Kita, Itu Sebenarnya Satu Petanda Buruk!”

Kalau mak ayah ada masak hantar dan ambil anak dari sekolah, curilah masa untuk berdialog dengan anak. Cuma dari perbualan sebenarnya memang banyak didikan yang mak ayah boleh selit sambil berbual kosong.
Macam mana yang Ustazah Sharifah Zahidah pernah kongsikan tentang curi masa untuk berbual dengan anak sebelum ini, mungkin mak ayah sudah berjaya ikut.
Dan kali ini, Ustzah panjangkan perkongsiannya untuk mak ayah terus pupuk budaya berbual dengan anak dengan lebih jauh. Jom semak.
Buang Sikap Pentingkan Diri Sendiri Dalam Diri Anak
Sebelum ini saya nyatakan bahawa kebanyakan masalah dan gejala buruk yang berlaku baik dalam rumahtangga, di sekolah mahupun di tempat kerja atau di mana jua – kesemuanya pasti ada kaitan dengan masalah empati yang telah keras membatu dalam diri, yang akhirnya menjadikan seseorang itu lebih bersikap egois dan pentingkan diri.
Sifirnya ringkas.
BANYAK MASALAH ATAS DUNIA, boleh diselesaikan apabila sikap egois dan pentingkan diri ini berjaya dihapuskan. Atau saya rephrase, bahawa masalah kecil, yang merupakan punca timbul segala masalah majoriti di dunia ini – TIDAK AKAN wujud pun jika sikap egois dan pentingkan diri ini tidak muncul.
Tak percaya? Semak dalam kehidupan kita, dan masalah di sekeliling kita.
Dan lakukan analisa kasar; berapa banyak darinya terbibit, ATAU sekurang-kurangnya terkait dengan masalah PENTINGKAN DIRI SENDIRI ini sebenarnya?
Konflik antarabangsa; peperangan antara negara juga bahkan sebenarnya tercetus kerana wujud motif-motif yang lahir dari pemikiran egois yang sifar empati.
Jadi, apa kaitannya isu ini dengan MENDIDIK EMPATI DALAM DIRI ANAK-ANAK?
Jawapan ringkasnya, EMPATI ADALAH APA YANG AKAN MENUTUP RUANG KEAKUAN MERAJA DALAM DIRI. Keakuan pula adalah pintu yang membuka segala bentuk konflik dan kezaliman.
Cara Nak Didik Empati
Bagaimana empati menutup lubang keakuan dari meraja dalam diri?
Di saat empati itu wujud dalam diri, kehidupan ini tidak lagi semata-mata tentang diri kita dan kita lebih mudah menyelami hakikat bahawa “The world doesn’t revolve around us.”
Hasilnya kita melihat ada orang lain dalam dunia ini, seperti kita. Dunia ini ada kita, dia, mereka, dan semua. Dunia ini bukan cuma ada kita.
Seterusnya, humility – tawaduk dan rendah diri pula akan mudah lahir dalam diri.
Dimensi pemikiran, perasaan dan tindakan kita menjadi luas, menjangkaui apa yang berkaitan dengan diri kita semata, tetapi sentiasa terpusat untuk turut memikirkan akibatnya yang jauh yang meliputi sesiapa saja di sekeliling kita. Bahkan jika cukup jauh – dapat mendidik taqwa yang lebih dalam diri, sehingga Akhirat itu menjadi bayangan yang sangat pasti.
Empati ni, adalah keupayaan jiwa menyelami diri orang lain sehingga tiada lagi perbezaan antara dirinya, dengan diri insan yang sedang diselaminya. Dia melihat dirinya dalam diri orang lain. Dan dia melihat diri orang lain, dalam dirinya!
Atau bahasa ringkasnya, PEOPLE UNITE. AND WE BECOME ONE.
Kita menjadi manusia yang sangat menjiwai watak dan kesusahan orang lain. Sehingga hati ini terpenuh dengan sikap mengambil berat, ambil tahu, ambil pusing dan ambil tanggungjawab tentang diri dan orang di sekeliling kita dalam kapisiti terbesar kita.
Anda tentu faham kan, betapa besar maknanya apabila semangat KEBERSAMAAN “WE ARE ONE” ini terbit dalam diri menghapuskan semangat keakuan diri?
Dari mana lahirnya kualiti hebat sebegini?
Kualiti diri yang sentiasa melihat dirinya dalam diri orang lain di saat seseorang itu sedang dalam ujian dan dilanda kesusahan?
Semuanya bermula dengan EMPATI.
Makna Empati
Empati ini adalah asas sebelum terbentuknya ITSAAR – sebuah kualiti yang tinggi dalam hubungan persaudaraan sesama Islam. Ini kita sentuh lain kali. Sekadar pengetahuan cetek saya sehingga hari ini, hanya agama Islam yang mewujudkan konsep itsar ini dan menekankannya dalam diri para penganutnya.
Empati ini BUKAN BAKAT.
Empati ini adalah nilai yang boleh disemai, atau nilai yang boleh diabai. Bergantung kepada proses pendidikan dan persekitaran yang wujud.
Dan masa yang paling baik untuk menyemai empati ini, adalah sejak usia dini. Lagi awal, lagi baik. Dan inilah, tujuan bab ini ditulis dan dikongsikan di sini.
Memadai untuk bab teori.
Kita sembang pula bab praktikal tentang bagaimana kita boleh mendidik empati dalam jiwa anak-anak kita.
Curi Masa Berdialog Dengan Anak
Kita boleh mula dengan seringkas acara.
Cukup sekadar berbual ringkas dalam kereta, ketika ambil anak pulang dari sekolahnya – pun sudah memadai. Bahkan saya lihat, BERBUAL DALAM KERETA INI SANGAT BAIK KESANNYA pada pengukuhan perhubungan ibubapa – anak, dan berupaya menjadi saluran pendidikan yang ringan tetapi berkesan.
Dengan syarat, ianya dilakukan dengan betul berdasarkan 3 prinsip ini.
1. Mewujudkan topik dengan betul.
2. Bertanyakan soalan yang betul.
3. Merangsang jawapan dengan betul.
InshaALLAH, kupasan yang detail tentang bab ini ada dalam buku saya, 1-2-3 Oh Mudahnya Parenting, (jika ALLAH izin ianya diterbitkan.)
Di sini, saya nak kongsikan perkara lain, iaitu jenis-jenis soalan kita boleh tanya pada anak untuk perkenalkan elemen empati dalam dirinya.
Antara soalan yang kita kerap tanya anak, adalah,
“Hari ni Kakak makan dengan siapa?”
“Kakak belajar apa tadi dalam kelas Matematik? Tambah? Tolak? Bahagi?”
“Siapa nama kawan baru Kakak?”
Dan soalan-soalan yang basic yang sifatnya superficial, atau luaran.
Soalan-soalan sebegini adalah bagus, untuk tujuan bonding dan masuk ke dalam dunia anak-anak. Tetapi ada soalan-soalan lain yang boleh kita manipulasi untuk galakkan anak-anak berfikir tentang orang lain dan sentiasa merasakan berbuat baik itu adalah satu prioriti untuk dirinya.
Kaitkan Dengan Orang Sekeliling Anak
Daripada terus mengulang bertanya soalan-soalan di atas setiap hari, mulakan bertanya soalan kepada anak kita SEPUTAR KEHIDUPAN ORANG LAIN, bukan semata tentang dirinya lagi.
Contoh,
Daripada bertanya, hari ini Kakak makan dengan siapa?
Cuba tanya, “Hari ni Aisyah makan dengan siapa? Ada orang teman makan Aisyah?”
Kemudian, baru kembalikan soalan itu kepada dirinya, “Kakak pula makan dengan siapa?”
Jawapan anak kita, mungkin seputar 3 perkara.
1. Aisyah makan dengan kawannya yang lain.
2. Aisyah makan dengan anak kita.
3. Anak kita tidak tahu Aisyah makan dengan siapa, atau Aisyah tidak hadir ke sekolah, atau anak tidak nampak Aisyah di sekolah hari ini dan tidak pasti tentang Aisyah.
Jika jawapan anak kita adalah nombor 1, boleh suarakan;
“Alhamdulillah, hari ni ada orang teman Aisyah makan. Taklah Aisyah sunyi kan makan seorang diri. Kakak pula, siapa jadi teman makan kakak hari ini?”
Lihat, ayat “TAKLAH AISYAH SUNYI MAKAN SEORANG DIRI” adalah ayat yang meletak diri dalam watak sebagai orang lain. Ayat yang berfikir tentang keadaan dan kebajikan orang lain.
Bertanya Pun Ada Seninya
Ini seninya bertanya pada anak tentang soalan-soalan basic, tetapi yang MENDIDIK JIWA EMPATI DALAM DIRINYA.
Kemudian, baru kita tanyakan soalan kepada dirinya, dengan siapa dia makan ketika rehat tadi.
Tak susah kan?
Selalunya kita bermula terus dengan bertanya tentang anak kita, hari ini, kita cuba ubah sedikit saja lagi.
Katakan, jawapan anak kita adalah nombor 2 pula.
“Wah, Kakak makan dengan Aisyah hari ni. Aisyah mesti happy sebab kakak temankan dia. Kakak happy tak makan dengan Aisyah tadi?”
Kemudian, terus beri galakan atas tindakan baiknya dengan mengucapkan tahniah.
“Tahniah Kakak, Sebab hari ni kakak dah gembirakan orang lain. Nanti mesti ALLAH akan gembirakan kakak pula, inshaALLAH,”
Atau mungkin soalan lain,
“Aisyah makan kenyang tak tadi Kakak, bekal dia cukup ke? Kotlah masa buka bekal tadi, makanan dia terjatuh. Kalau tak cukup, Kakak boleh kongsi bekal kakak dengan Aisyah, kakak sikit, Aisyah sikit.
Ibu suka kalau anak Ibu suka kongsi makanan dengan orang lain. Ada banyak kita kongsi. Ada sikit, kita kongsi juga. KAKAK KASIHAN TAK KALAU ORANG TAK CUKUP MAKANAN?”
Logiknya, manalah ada Ibu yang bekalkan anak dengan makanan tidak cukup ke sekolah. Tapi soalan sebegini adalah untuk melahirkan jiwa yang sentiasa memerhatikan keperluan orang lain.
Panjangkan Dengan Mendidik Hati Dan Sikap Anak
Di saat kita bertanya soalan pada anak,
“KASIHAN TAK KALAU ORANG TAK CUKUP MAKANAN,” – Panjangkan lagi pada dialog lain. Beritahu dia beruntung memiliki segalanya. Maka harus BUKTIKAN syukur kepada ALLAH. Dan bukti syukur itu melalui jalan beramal, bersedekah, berakhlak baik, berkongsi dan sebagainya.
Di lain-lain masa atau kelapangan, tunjukkan gambar dan video YouTube anak-anak kebuluran, tidak cukup makan dan perlindungan, tidak mendapat pendidikan dan sebagainya.
Kemudian, tanyakan kepada anak,
“BAGAIMANA KAKAK RASA, KAKAK BOLEH BANTU DIA?”
Ya, mendidik empati bukan sekadar ajarkan anak sekadar BERFIKIR tentang orang lain dan menjiwai watak mereka – tetapi tidak berbuat apa-apa! Rangsang jiwa dan minda anak, untuk turut berfikir BAGAIMANA DIA BOLEH BERPERANAN, MEMBANTU DAN MEMBERI SUMBANGAN.
Saat ini, sebagai contoh, boleh ajarkan tentang KUASA DOA kepada anak-anak. Bahawa doa juga dapat membantu insan lain.
Boleh juga ajarkan tentang kepentingan TIDAK MEMBAZIR makanan, kerana pembaziran itu akan menyedihkan ramai pihak yang sangat menginginkkannya, sedangkan kita membuang makanan tanpa rasa berdosa.
Setelah mendidik anak melihat KEPAYAHAN ORANG LAIN, pandulah pemikiran tersebut untuk dia melihat APA PULA TINDAKAN, AKHLAK DAN PERANANYA TERHADAP ORANG LAIN.
Dan dalam konteks soalan,
“Kasihan tak kalau orang tak cukup makanan,” –
Ini adalah bentuk soalan yang turut merangsang anak untuk turut MELUAHKAN rasa empatinya terhadap insan lain. Anak-anak SEBAIKNYA diajar untuk belajar meluahkan kesusahan yang dia rasai tentang orang lain – agar jiwanya sentiasa menjadi senstif dengan kesusahan orang lain.
Sekaligus membentuk idea bahawa memerhatikan orang yang memerlukan (people in need) di sisinya – adalah suatu urusan yang dianggap besar dan serious olehnya, dan ianya WAJAR DISEBUT/DIBINCANGKAN. Ianya bukan soal enteng dan picisan.
Jika jawapan anak kita adalah jawapan yang ketiga pula, iaitu anak kita tiada sebarang kepastian tentang status Aisyah, antara perbualan yang boleh kita tanyakan adalah seputar, MEMBUAT TELAHAN YANG MENGAMBIL BERAT.
“Aisyah demam ke? Kakak tengok semalam Aisyah ada batuk-batuk ke di sekolah? Macam ada tanda-tanda orang nak demam?”
Atau, boleh juga bertanya,
“Aisyah ada bekal tak? Entah-entah Aisyah tak rehat hari ini sebab terlupa bawa bekal atau tertinggal duit belanja tak?”
Atau, sekadar soalan biasa,
“Kakak risau tak, tak nampak Aisyah tadi?”
Ibu-ibu, bapa-bapa sekalian.
Ketahuilah, ini CUMA SOALAN UNTUK MENIMBULKAN PERBUALAN DAN MENGGERAKKAN HATI NURANI ANAK-ANAK agar terpandu melihat diri orang lain dari kaca mata rahmah dan ambil berat.
Soalan-soalan yang ‘kelihatan’ remeh di atas, tidak MEMERLUKAN JAWAPAN YANG TEPAT DARI ANAK.
Biarkan apa jua jawapan anak. Asalkan ianya menunjukkan ada bibit empati lahir dalam dirinya. Gunakan jawapan anak, untuk kita cipta lebih banyak soalan yang mendidik jiwanya, sehingga perbualan antara kita dan dia itu menjadi satu perbualan yang MEMATANGKAN MINDA DAN EMOSINYA.
Soalan dan perbualan yang membina EQ, atau kepintaran emosinya.
Saya mohon agar jangan sekali diajar anak atau membiarkan anak sehingga terbit darinya pemikiran sebegini,
“Entah. Biarlah Aisyah. Pandailah dia nak hidup.”
Atau
“Kakak malas nak ambil tahu.”
“Biarlah Aisyah. Kenapa nak kena sibuk urusannya?”
Anak Malas Berdialog, Ini Petanda Buruk
Sungguh, ianya suatu petanda yang buruk apabila ANAK LANGSUNG MALAS MENJAWAB DAN TIDAK MENUNJUKKAN MINAT UNTUK BERDIALOG DENGAN KITA SEPERTI DI ATAS, kerana dialog itu adalah seputar kebajikan insan lain, dan bukan tentang game Mobile Legendanya, bukan tentang artis pujaannya, bukan tentang koleksi Smigglenya yang dia nak beli, bukan tentang dirinya atau kepentingannya.
Ya, saya jumpa dengan kanak-kanak yang sudah pandai berkata seperti di atas apabila perbualan yang tercetus adalah BUKAN TENTANG KEPENTINGAN DIRI DAN NAFSUNYA lagi. Anak-anak ini tidak bersalah. Anak ini adalah produk dari sikap ibubapa yang memandang enteng ilmu keibubapaan dan selesa membesarkan anak-anak dalam kejahilan.
Selagi jawapan anak-anak menunjukkan respond yang baik, teruskanlah menghidupkan perbualan-perbualan yang membangunkan jiwa anak-anak kita.
Adakalanya, kita bual kosong dengan anak-anak.
Tentang, kenapa dia pilih kertas warna merah, bukan warna biru.
Macam mana nak asah pensel kalau dalam kelas.
Atau kat tepi bilik darjah ada longkang tak.
Apa sahaja.
Ini bagus. Berbual kosong ini adalah untuk bonding.
Tapi, dalam masa yang sama, JANGAN KOSONGKAN SEMUA PERBUALAN. Jadikan ianya sebagai MEDAN PENDIDIKAN untuk jiwa anak-anak. Letakkan matlamat dalam perbualan kita. Matlamat pendidikan. Menyemai karakter dan akhlak nubuwwah dalam dirinya. Usahlah setiap masa berbual kosong. Pandai-pandailah selitkan nilai pendidikan dalam kesempatan masa yang ada.
InshaALLAH, all the best.
ALLAHUA’LAM.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Di Sebalik Kisah Anak Autisme Yang Ditahan Polis Atas Tuduhan Mencabul

Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan kes anak autisme berumur 22 tahun yang digari dan diseret dalam mahkamah akibat menyentuh payudara seorang wanita. Kes ini mendapat perhatian ramai yang sekali gus membuat ramai pihak bersuara dan memberikan pandangan masing-masing terhadap keluarga remaja autistik itu.
Ahmad Ziqri merupakan seorang pesakit austisme didakwa meraba seorang wanita berumur 24 tahun ketika sambutan hari jadi di sebuah restoran Jalan USJ 10/1B, Subang Jaya sehingga menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis sebelum ditahan polis.
Apa yang menyedihkan, remaja lelaki yang sebenarnya mempunyai kapasiti mental budak berumur 13 tahun itu terpaksa bermalam di lokap pada hari jadinya akibat kejadian terbabit.
Selepas tular dan viral dimedia sosial, ramai netizen mengecam penahanan terhadap Ahmad Ziqri tersebut. Netizen juga mengecam ibu bapa gadis tersebut kerana memperbesarkan isu dan membuat laporan polis. Walaupun mengetahui keadaan sebenar Ahmad Ziqri yang mempunyai masalah Autisme sudah dijelaskan, mereka masih berkeras juga.
Insiden itu bukan sahaja menyebabkan pelbagai pihak bersimpati malah Ahmad Ziqri sekeluarga turut berada dalam keadaan tidak menentu sejak kejadian tersebut malah begitu gusar menanti hari pendakwaan kes itu 19 September ini.
Luahan Hati Ibu Anak Autisme
Akhirnya ibu mangsa tampil menjelaskan keadaan sebenar, malah terpaksa memberitahu anaknya bahawa dia berada dalam filem Gerak Khas supaya anak autisme itu tak trauma.
Luah ibu Ahmad Ziqri, Datin Hasnah Abdul Rahman, sehingga hari ini Ahmad Ziqri tidak bercakap tentang perkara tersebut malah beliau tidak pasti seandainya anak lelakinya pasti apa yang sedang berlaku.
Dalam kes ini Ahmad Ziqri tak menyedari dirinya ditahan sebaliknya memberikan ‘kerjasama’ dengan sangkaan dirinya sedang berlakon dalam Gerak Khas.
Ketika itu, Hasnah hilang akal dan tidak pasti apa yang perlu dilakukan olehnya kerana buntu untuk menangani perkara itu terutamanya mahu menjelaskan dengan kaedah terbaik kepada Ahmad Ziqri.
Berat untuk seorang ibu melalui dugaan ini, semoga keluarga Ahmad Ziqri tabah menghadapi ujian ini dan tidak putus asa berdepan dengan masalah. Diharapkan pihak berkuasa dapat mengadili kes ini dengan lebih telus dan terperinci serta memihak kepada Ahmad Ziqri.
Info Ahmad Ziqri
Ahmad Ziqri pernah viral semasa dia berumur 20 tahun pada 20 Disember 2016 kerana hilang di stesen MRT. Dia terpisah dengan keluarganya kerana menaiki sendiri salah satu gerabak. Pusat Operasi MRT mengkaji rakaman litar tertutup (CCTV) dan berjaya mengesan Ahmad Ziqri di stesen MRT Taman Tun Dr Ismail.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!