Ismanira kekal di penjara bersalah abai Zayn Rayyan, mahkamah tolak penangguhan hukuman. Permohonan Ismanira Abdul Manaf yang mahu menangguhkan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan anak sulungnya, Zayn Rayyan ditolak oleh Mahkamah Tinggi hari ini.
Keputusan menolak hukuman penangguhan dibacakan oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas mengambil dan meneliti beberapa alasan yang dikemukakan kedua-dua pihak pendakwaan serta peguam bela.
“Selepas meneliti afidavit pemohon dan responden, juga hujahan bertulis kedua-dua pihak termasuk mendengar hujahan lisan, mahkamah membuat keputusan bahawa permohonan untuk penangguhan hukuman ditolak.
“Mahkamah mendapati tiada keadaan khas untuk membenarkannya (penangguhan hukuman),” katanya.
Ads
Ibu kepada Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf meninggalkan mahkamah selepas keputusan tangguhan hukuman penjaranya ditolak di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Raihana Mansor
Memetik laporan Harian Metro, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pada 19 November lalu, Ismanira memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara atas kesalahan mengabaikan anak lelakinya itu.
Zayn Rayyan ditemui mati selepas terlepas dari jagaan ibunya dan kes ini menarik perhatian ramai kerana sehingga kini pembunuhnya tidak diketahui.
Sebelum ini, ibu kepada dua anak autisme ini dijatuhkan hukuman lima tahun penjara oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Hakim Dr Syahliza Warnoh atas pengabaian terhadap anak kandung sendiri.
Keputusan dibuat selepas peguam bela mewakili Ismanira gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Ads
Beliau memerintahkan Ismanira menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang bermula 31 Oktober lalu, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment berkenaan antara 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hancur luluh hati seorang ibu apabila anak perempuan berusia 16 tahun yang disangka sakit perut rupanya hamil. Penemuan mengejutkan itu berlaku ketika wanita berkenaan membawa remaja tersebut mendapatkan pemeriksaan di sebuah klinik.
Begitu beratnya ujian yang menimpa seorang ibu apabila mengetahui bahawa kesakitan anaknya selama ini bukanlah masalah kesihatan biasa, tetapi tanda kehamilan akibat menjadi mangsa jenayah.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Johari Yahya memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa pada Mei lalu selepas situasi mencurigakan itu disedari.
Menurut beliau, pada mulanya gadis tersebut dibawa ke klinik kerana mengadu sakit perut, dan ketika itu doktor menjangka ia hanya masalah gastrik. Namun keadaan berubah beberapa bulan kemudian apabila remaja itu menjalani pemeriksaan susulan setelah perutnya didapati semakin membesar.
“Sebelum itu, wanita berkenaan membawa anaknya yang mengadu sakit perut ke klinik, namun ketika itu doktor mengesyakinya mengalami gastrik.
“Beberapa bulan kemudian, mangsa telah buat rawatan susulan selepas perutnya dilihat makin membesar dan ibunya terkejut apabila pihak hospital mengesahkannya hamil,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata lagi, si ibu kemudian tampil membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya telah diperkosa oleh rakan sekerja sendiri, seorang lelaki warga Bangladesh.
Susulan laporan itu, pihak polis berjaya menahan suspek berusia 31 tahun di Balai Ketibaan KLIA sekitar jam 11.44 pagi pada Isnin.
Superitenden Johari berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki tersebut mengakui perbuatannya.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dalam kes rogol dengan mangsa yang merupakan rakan sekerjanya.
“Selepas kejadian, suspek telah melarikan diri dengan pulang ke Bangladesh dan suspek mengaku melakukan perbuatan rogol tersebut sebanyak empat kali,” jelasnya.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada keesokan harinya bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.
“Aifat sempat mengucap di hadapan saya sebelum menghembuskan nafas terakhir.”
Demikian luahan penuh sebak Ahmad Hamada Ayueman, 29, suami kepada seorang wanita penghidap kanser yang disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi selepas mengalami sesak nafas.
Menurut Ahmad Hamada, isterinya Siti Nuraifat Bueraheng, 25, yang lebih dikenali sebagai Aifat, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Isteri tercinta bidadari saya telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mengampunkan dosanya, merahmatinya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Mengimbau detik-detik akhir bersama arwah, Ahmad Hamada berkata, saat itu masih segar dalam ingatannya apabila isterinya tetap menghadiahkan senyuman walaupun berada dalam keadaan sangat sukar bernafas.
“Ketika saya sampai di zon merah kecemasan, dia nampak sangat letih dan nafasnya pendek-pendek. Tapi dia masih pandang saya dan senyum. Itu senyuman paling perit pernah saya lihat,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Allahyarhamah sebenarnya telah mengetahui tentang tahap penyakit yang dihidapinya dan sedar bahawa jangka hayatnya semakin singkat.
“Dia cakap perlahan, katanya doktor beritahu hidupnya tak lama. Masa itu hati saya hancur. Saya sebenarnya tahu lebih awal, tapi saya tak pernah sanggup beritahu dia,” katanya.
Ahmad Hamada berkata, dalam keadaan menahan emosi, beliau cuba menenangkan isterinya dengan mengingatkan bahawa soal hidup dan mati adalah ketentuan Allah SWT.
“Saya genggam tangan dia dan cakap, itu kata doktor, bukan penentuan Allah. Kita ini hamba, hidup dan mati semuanya di tangan-Nya,” ujarnya.
Menurutnya lagi, selepas doktor memberikan suntikan morfin bagi mengurangkan kesakitan, beliau setia duduk di sisi isterinya sambil membaca surah Yasin serta beberapa ayat al-Quran sekadar yang mampu dilafazkan ketika itu.
“Itu sahaja yang saya mampu buat ketika itu. Bukan untuk tunjuk apa-apa, cuma itulah satu-satunya harapan yang saya ada,” katanya.
Tidak lama selepas itu, beliau dimaklumkan oleh doktor mengenai perkembangan terkini keadaan isterinya.
“Waktu itu saya sedar, ujian ini bukan lagi soal kuat atau tidak, tetapi sejauh mana kita benar-benar berserah kepada takdir Allah,” katanya.
Menurut Ahmad Hamada, solat jenazah arwah dijadualkan dilaksanakan selepas solat Asar hari ini di Masjid Tok Guru, Bukit Cina, Kelantan.
Terdahulu media pernah melaporkan pengorbanan Ahmad Hamada yang sanggup menjual hampir semua barangan peribadi termasuk sebuah kereta BMW demi mengumpul dana rawatan isterinya yang menghidap kanser sarcoma tisu lutut tahap empat sejak tahun lalu.
Penderitaan arwah bermula apabila beliau mengalami pembengkakan kecil di bahagian lutut kanan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada tahun 2021, setahun sebelum pasangan tersebut mendirikan rumah tangga.
Kisah Aifat menyentuh hati ramai kerana perjuangannya melawan kanser sarcoma berlangsung dalam keadaan yang sangat mencabar. Penyakit ini antara kanser tisu yang paling agresif, menyebabkan kesakitan berpanjangan dan perubahan besar kepada kualiti hidup. Dalam situasi seperti ini, sokongan keluarga memainkan peranan besar, dan bagi Aifat, suaminya menjadi sumber kekuatan sehingga ke akhir hayat.
Kanser sarcoma tahap empat selalunya memberi simptom yang semakin teruk dari semasa ke semasa, termasuk keletihan melampau, kesukaran bergerak serta sesak nafas seperti yang dialami arwah pada hari terakhirnya. Inilah antara faktor yang memerlukan rawatan kecemasan secepat mungkin.
Kisah perjuangan Ahmad Hamada menjaga isterinya pernah tular sebelum ini apabila beliau sanggup menjual kereta BMW serta barangan peribadi lain demi membiayai rawatan isterinya. Tindakannya bukan sekadar pengorbanan material, tetapi simbol kesetiaan dan cinta yang luar biasa terhadap wanita yang digelar bidadarinya.
Sepanjang rawatan, beliau sentiasa berada di sisi isterinya dan tidak pernah memberi peluang kepada Aifat merasa berjuang seorang diri. Ramai yang mengikuti perjalanan mereka menyifatkan hubungan ini sebagai contoh ketabahan dan pengorbanan dalam sebuah perkahwinan.
Kisah ini turut membuka mata masyarakat tentang bahaya kanser sarcoma yang masih kurang dikenali berbanding jenis kanser lain. Penyakit ini sering dikesan lewat kerana simptomnya mirip kecederaan biasa seperti bengkak atau sakit tisu. Kes seperti Aifat menunjukkan pentingnya pemeriksaan awal terutama selepas kecederaan yang berlarutan.
Bagi masyarakat, kisah ini menjadi peringatan bahawa sokongan emosi kepada pesakit kanser sangat penting. Setiap pesakit memerlukan kekuatan mental dan rohani, selain rawatan perubatan.
Aifat meninggalkan kisah perjuangan yang penuh ketabahan serta suami yang setia sehingga ke akhir hayatnya. Bagi ramai yang mengikuti perjalanan mereka, kisah ini bukan hanya tragedi, tetapi juga cerminan cinta, iman dan redha terhadap ketentuan Allah SWT.
Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, serta semoga suaminya terus diberi kekuatan dalam menempuh kehidupan mendatang.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, sekali lagi membuktikan keperibadian mulianya apabila sanggup meluangkan masa menziarahi seorang peminat setia yang kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital. Kehadiran Siti Nurhaliza itu nyata menyentuh hati ramai, khususnya dalam kalangan ahli kelab peminat Sitizoners.
Peminat berkenaan, Fadzil yang lebih dikenali sebagai Fadzil Sitizoner, difahamkan sedang berada dalam keadaan yang memerlukan pemantauan rapi oleh pihak perubatan. Tindakan Siti Nurhaliza menziarahi peminatnya itu dilihat sebagai satu bentuk penghargaan yang sangat bermakna buat seorang peminat setia yang telah lama menyokong perjalanan kerjaya seninya.
Perkara tersebut mula menjadi perhatian ramai selepas pemilik akaun TikTok, Rara Nurhaliza, berkongsi satu hantaran memaparkan foto Siti Nurhaliza bersama pengurus peribadinya, Rozi Abdul Razak, ketika menziarahi Fadzil di hospital.
Hantaran itu pantas mendapat reaksi daripada warga maya, khususnya Sitizoners yang meluahkan rasa sebak dan terharu melihat keprihatinan penyanyi kesayangan negara itu terhadap peminatnya.
Menerusi kapsyen yang ditulis, Rara Nurhaliza turut mengajak orang ramai, khususnya mereka yang mengenali Fadzil, agar sama-sama menitipkan doa buat kesembuhan peminat setia berkenaan yang kini masih dirawat di ICU.
“Mohon semua doakan Fadzil Sitizoner. Buat masa sekarang, Fadzil berada di ICU dan memerlukan pemantauan rapi oleh pihak hospital.
Kita Sitizoner sebagai keluarga sangat mengharapkan doa daripada semua agar Fadzil diberikan kekuatan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan.
Terima kasih atas doa dan sokongan semua. Sayang Sitizoners semua,” tulis Rara dalam hantaran tersebut.
Walau bagaimanapun, punca sebenar Fadzil dimasukkan ke ICU tidak diperincikan kepada umum. Setakat ini, tiada sebarang maklumat lanjut dikongsikan berhubung penyakit atau keadaan kesihatannya.
Situasi itu membuatkan ramai ahli Sitizoners terus mendoakan agar Fadzil diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan yang sedang dijalaninya.
Untuk rekod, Fadzil merupakan antara individu penting dalam kelab peminat Sitizoners. Dia dikenali sebagai seorang yang ramah, mudah mesra serta sangat aktif membantu menjayakan pelbagai aktiviti kelab peminat tersebut.
Selain terlibat dalam penganjuran program hiburan, Fadzil juga sering memainkan peranan dalam aktiviti kebajikan, majlis amal dan pelbagai program sosial yang dianjurkan oleh Sitizoners.
Tindakan Siti Nurhaliza menziarahi Fadzil di hospital jelas menyentuh hati ramai pihak. Rata-rata menyifatkan kehadiran penyanyi itu sebagai bukti hubungan erat yang terjalin antara artis dan peminat, yang bukan sekadar hubungan profesional semata-mata.
Hubungan istimewa tersebut juga membuktikan bahawa kejayaan dan kelangsungan kerjaya seni Siti Nurhaliza sehingga kini bukan hanya bergantung kepada bakat semata-mata, tetapi turut diperkukuhkan dengan keikhlasannya dalam menghargai serta menyantuni para peminat.
Dalam dunia hiburan yang penuh cabaran, sikap rendah hati dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Siti Nurhaliza ini terus menjadikan beliau bukan sahaja disegani sebagai seorang artis, malah disayangi sebagai seorang insan.