Isteri ini semua perkara dia boleh buat. Baik dari jaga anak, kemas rumah, memasak dan sebagainya. Serah saja pada dia. Kalau suruh bertukang pun dia akan buat. Sebab itu, kalau isteri tak ada kat rumah, mahu kelam kabut semuanya, terutama suamilah.
Satu lagi, kalau isteri terlalu pandai urus rumah tangga, suami mulalah ambil jalan mudah dan serahkan segalanya pada isteri. Makin naik lemaklah jadinya.
Dalam perkongsian daripada Busseroa Abd Jalil, seorang isteri kena jadi kurang cerdik dalam bab-bab urus kerja rumah. Jangan semua nak dilakukan. Simpan sedikit untuk suami buat.
Dua tiga hari lepas ada family yang datang bermalam di rumah saya beberapa hari lalu bertanyalah golongan wanitanya beberapa soalan yang berbunyi:
1. Penyidai nak jemur baju kat mana? Jawab saya, penyidai ada di belakang rumah. Tetapi saya tak pernah guna sejak dipasang kerana saya guna dryer. Lepas basuh kering terus dalam mesin yang sama dan tak perlu pindah-pindah dah.
2. Ohhh macam tu. Jadi ajarlah akak nak guna mesin ni macam mana? Ohh.. saya tak tahu guna mesin tu kak. Nanti big boss ajarkan.
3. Hahhh?? Baru beli ke mesin ni? Dah lama kak. Dulu guna mesin asing2 untuk basuh dan kering. Sekarang dah guna 2 in 1. yang 2 in 1 ini pun dah setahun lebih usianya.
4. Habis tu kenapa tak tahu guna? Sebab saya tak nak jadi pandai dalam semua perkara. Kalau saya pandai dalam semua perkara, maka semua tugasan rumah tangga terpikul di bahu saya. Oleh itu saya sengaja membiarkan saya kekal bodoh dalam beberapa hal supaya tugas itu diambil alih oleh pasangan!
Kata saya lagi..
Cuba akak tengok di sekeliling kita, isteri yang overload kerja sampai tak kering tangan ialah isteri yang serba tahu semua benda.
Daripada hal dapur dia. Hal pakaian dia dan hal sekolah anak-anak pun dia. Hal mengaji quran anak-anak pun dia juga. Kereta rosak pun dia. Hal kewangan pun dia juga yang kena fikir untuk cukupkan.
Ads
Malah kadang-kadang bumbung rumah bocor pun dia yang cari tukang.
Kenapa tanggungjawab dia banyak sangat?? Sebab dia isteri yang sangat cerdik. Tahu semua benda. Maka sifirnya mudah…
Ads
Semakin cerdik seorang isteri maka semakin blur seorang suami.
Oleh itu, tak usahlah kita cerdik dalam semua perkara kak, supaya tatkala kita memilih untuk menjadi bodoh itu kebijaksanaan pasangan akan bercambah dan berkembang dengan jayanya.
Terlopong mulut kakak2 itu mendengar teori saya yang sudah 7 bulan tak ada maid!
MW: Betul apa yang diperkatakan itu. Bila isteri boleh buat semua kerja, suami mulalah ambil ringan sebab dia tahu kita boleh lakukan.
Sekarang ini boleh dikatakan kebanyakan isteri bekerja dan hanya segelintir sahaja yang menjadi suri rumahtangga sepenuh masa. Sama ada gaji besar atau gaji kecil, sekurang-kurangnya mereka bekerja untuk ‘pegang’ duit sendiri.
Namun, ada juga isteri bekerja untuk membantu mengurangkan beban suami dan dapat membantu sedikit sebanyak dalam meringankan tanggungjawab suami. Pada masa yang sama, ada suami mampu menanggung semuanya tetapi isteri lebih selesa untuk bekerja.
Walau bagaimanapun, ada pendapat lain pula mengatakan, isteri bekerja bimbang nanti suami buat hal dan adalah duit yang dikumpul itu jika ditinggalkan suami. Begitu pulak! Semuanya atas niat isteri itu sendiri.
Perkongsian daripada Sharla Rose ini tentang isteri yang bekerja perlulah perbetulkan niat. Tak perlulah bekerja semata-mata bimbang suami tinggalkan dan tak adalah masalah untuk hidup sendiri.
“Aku kena kerja, kena berdikari supaya kalau laki aku buat perangai, aku tidak ada masalah untuk hidup sendiri…”
“Aku kena cari income walaupun duduk di rumah, supaya kalau ditinggalkan suami, aku dah ada harta…”
Kalau niat ke arah kehilangan, satu hari nanti anda pasti akan kehilangannya… Bersedia bagaimana sekali pun anda untuk hari tersebut, bila anda betul-betul mengalaminya, baru anda akan tahu dan sedar yang persediaan anda tu masih TAK CUKUP…
Suri rumah sekarang ini banyak dimomokkan dengan kata-kata seperti ini. Boleh saja kalau untuk persediaan masa depan.. tapi tukar niat itu dalam mencari rezeki..
“USAH NIAT KE ARAH SESUATU YANG TAK BAIK, SESUATU YANG BURUK…NIATLAH YANG ANDA BEKERJA UNTUK ADA SIMPANAN SENDIRI, UNTUK TOLONG ORANG TUA ANDA… MALAH, NIATLAH YANG ANDA ADA PENDAPATAN UNTUK MEMUDAHKAN URUSAN MEREKA YANG ANDA SAYANG… NIAT KE ARAH YANG BAIK-BAIK…”
Insya Allah yang datang pun baik-baik.
Satu lagi…
Ada orang kata jangan show off suami,
Jangan puji-puji suami…nanti ada mata-mata perampas..
Nanti suami kena kebas orang..
Sebenarnya ini semua bergantung pada hati kita masing-masing..
Lebih baik puji suami daripada mengaibkan suami di media sosial..
Sementara ada inilah kita kena puji pasangan, jangan nanti bila sudah tak ada baru timbul macam-macam penyesalan.
Zaman sekarang tak show off suami pun, suami boleh curang belakang kita..
Perampas bukan hanya ada di laman sosial.. tapi sekarang bersepah dekat luar sana..
Mungkin kawan sekerja, kawan lama atau mungkin teman rapat kita sendiri. segalanya bergantung pada hati.
Kalau masing-masing tahu tanggungjawab, Insya Allah harmoni.
Suami isteri ini milik Allah.. dia yang membolak balikkan hati manusia..
Bila-bila Dia nak ambil, Dia boleh ambil dalam pelbagai cara..
Paling penting kita sudah jalankan tanggungjawab sebagai suami isteri dengan baik.
Sudah layan suami isteri kita dengan baik..andai dia berubah hati pada orang lain, itu urusan dia dengan Allah..
Kita rasa lega sebab kita sudah adi suami atau isteri yang terbaik..
Tidak ada penyesalan di situ..
Mungkin yang ada hanyalah kerugian pada suami atau isteri yang tinggalkan yang baik untuk cari lebih baik..
Niatlah yang baik-baik, cakaplah yang baik-baik.
Insya Allah yang datang pun baik-baik.
Semoga kita semua diredhai.
Asasnya adalah hubungan kasih sayang yang kukuh dengan anak-anak. Jadi lebih mudah mak,ayah hendak mendidik anak-anak. Bila kena jerkah pun anak-anak boleh terima kalau hubungan mak-ayah-anak itu kukuh.
Mendidik anak dalam dunia sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi anak-anak yang meningkat remaja. Kalau tak kena, mahunya kita pula yang kena jerkah. Oleh sebab itu sedari kecil bina hubungan kasih sayang yang kukuh.
Ikuti perkongsian, Ustaz My Learning Journey ini dan fahami kenapa adanya hikayat batu belah batu bertangkup.
Ada sebab dalam warisan masyarakat kita ada hikayat Batu Belah Batu Bertangkup. Ia mewakili susah payah kita mendidik anak-anak khususnya di peringkat remaja.
Mereka secara semulajadi menjadi ‘self-centered’ dan hanya sedar tentang kemahuan sendiri, tidak peka akibat perbuatan mereka kepada perasaan orang lain.
Kita perlu pastikan hubungan kasih sayang dengan anak-anak kukuh, bukan untuk memanjakan mereka. Tetapi supaya kita boleh mendidik mereka.
Supaya mereka boleh terima, semasa kita jerkah mereka apabila ambil lauk, terus ambil bahagian ayam yang sedap-sedap dan meninggalkan bahagian kurang ‘famous’ kepada orang lain.
Bukannya makanan tidak cukup, tapi nak didik hati dan akal fikiran tu. Fikir sikit orang lain. Jangan ulang episod Pekan dan Melur walaupun kita tidaklah sampai mencari batu belah minta ditelan kerana sedih yang melampau.
Sikap mementingkan diri sendiri anak remaja boleh menyebabkan mak ayah mati dek serangan jantung.
Sebab itu kita kena minta banyak-banyak rahmat daripada Allah, dan tambah ilmu keibubapaan, belajar psikologi dan perkembangan kognitif anak remaja, supaya perangai mereka yang menjengkelkan itu, dapat ditukar menjadi ladang pahala kita.
Dan jangan lupa, kita pun pernah remaja macam mereka. Cuma di zaman yang berbeza dan cabaran yang tak sama.
Dilema apabila usia makin bertambah namun jodoh belum juga sampai. Ditambah pula bila orang sekeliling desak untuk kahwin. Itu yang dialami oleh gadis ini. ikuti pengakuannya.
Assalamualaikum puan. Saya berusia 39 tahun, berkerjaya mantap dan masih bujang. Saya sedar, pada usia ini, orang sudah ‘cop’ saya sebagai andartu (anak dara tua). Saya tak kisah orang nak bercakap apa saja tentang diri saya. Tapi apabila ahli keluarga sendiri yang bercakap, saya rasa jauh hati.
Saya anak ketiga daripada enam beradik. Semua adik-beradik yang lain sudah pun mendirikan rumah tangga. Kakak sulung berusia 44 tahun ada anak empat, kakak kedua berusia 42 tahun sudah ada anak dua. Manakala adik lelaki yang berusia 37 mempunyai anak dua dan isterinya sedang hamil anak ketiga, adik perempuan yang berusia 35 tahun ada tiga anak dan adik bongsu lelaki yang berusia 32 tahun sudah ada lima anak. Bermakna saya ada 16 anak sedara!
Hidup saya tidak sepi dengan adanya anak-anak saudara yang ramai. Adik perempuan saya sekeluarga hanya tinggal di sebelah rumah mak dan ayah. Manakala saya sendiri memang tinggal bersama mak dan ayah. Boleh dikatakan sepanjang masa tiga orang anak adik yang berumur 10, 9 dan 6 tahun berada di rumah mak dan ayah.
Lebih-lebih lagi bila adik dan suaminya bekerja, anak-anaknya akan makan dan bersiap di rumah mak dan ayah. Malam selepas makan malam baru mereka balik rumah. Bahkan selalu juga tidur di rumah atuk dan nenek saja. Dengan mereka bertiga saya paling rapat, umpama anak sendiri. Tempat saya menumpang kasih. Bila keluar berjalan-jalan, sering kali mereka dianggap anak-anak saya apatah lagi mereka memanggil saya ‘mummy’.
Saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Namun bila mak yang sejak akhir-akhir ini asyik memerli saya agar cepat kahwin, saya rasa tertekan. Saya boleh pekakkan telinga jika orang lain bercakap, tapi bila mak sendiri yang bercakap, saya tak boleh nak cakap apa. Mungkin kerana umur saya hampir mencecah angka ‘4’ buat mak rasa gusar.
Puan, bukan saya tak nak kahwin tapi belum jodoh. Bukan saya tak pernah bercinta, pernah dua kali bercinta tapi tiada jodoh. Bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih. Takkan nak cari lelaki yang muda? Setahun dua okaylah. Tapi kalau lebih lima tahun, rasa macam bercinta dengan adik pula.
Ramai lelaki yang cuba pikat tapi kebanyakan suami orang. Maaf, bukan nak riak, tapi kalau boleh saya akan elakkan kahwin dengan suami orang. Tak sanggup lukakan hati wanita lain.
Puan, bagaimana saya nak berterus terang dengan mak supaya faham dengan perasaan saya? Tidak lagi mendesak saya berkahwin? Saya buntu dalam dilema.
Gadis Pilu, KL
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Assalamualaikum cik yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan semua orang mahu bahagia… bahagia dengan keluarga, pasangan dan anak-anak. Daripada ini dapat berkongsi kasih – memberi dan menerima kasih sayang daripada orang yang siginfikan dalam hidup. Namun ada juga orang yang bahagia hidup berseorangan. Mungkin dia juga mahu hidup bahagia dengan mempunyai keluarga sendiri, namun keadaan belum mengizinkan lagi. Bukan mudah utuk mendapat suami yang baik dan bertanggungjawab, apatah lagi membelai isteri dengan kasih sayang yang menjadi idaman setiap wanita.
Mana-mana ibupun mahukan kebahagiaan anaknya. Salah satu bahagianya seorang ibu adalah apabila melihat anaknya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Apabila melihat anaknya belum mempunyai pasangan, sudah menjadi kelaziman soalan-soalan atau kata- kata yang tidak sedap didengar oleh anak. Pada ibu asalkan anaknya berkahwin dengan lelaki yang baik sudah memadai. Namun pada anak mungkin tidak. Cik ada menyebut dalam tulisan cik….. “bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih.…
Perkataan memilih itulah yang mungkin dilihat oleh ibu sebagai halangan kepada cik untuk berkahwin. Cik kata cik bahagia dengan keadaan sekarang. Bagi seorang ibu tidak sama seperti apa yang dilihat oleh anaknya. Bahagia bagi cik tidak semestinya bahagia buat seorang ibu.
Ibu dikelilingi oleh masyarakat yang kerap bertanya kenapa cik tidak berkahwin lagi. Ini menyebabkan ibu tidak gemar dengan keadaan cik, walhal ibu lihat puan ada rupa, ada pekerjaan yang baik. Maka mustahil untuk sukar mendapat pasangan hidup. Walhal adik beradik lain mempunyai kelebihan dan kekurangan yang sama seperti puan. Jodoh mereka ada, walaupun tidak sempuna seperti yang diinginkan.
Cik, jika kita terlalu memikirkan “kesempurnaan” dalam memilih jodoh, maka kita akan akhiri dengan hidup membujang. Puan pada masa kini di kelilingin anak saudara yang hidup bersama cik. Di kala cik muda dan bertenaga. Cuba bayangkan apabila cik sudah mencecah umur 70-an, sakit demam. Adakah cik yakin mereka yang sudah berkeluarga sendiri akan menunggu dan merawat cik?
Inilah antara kebimbangan lain yang dilahirkan oleh ibu cik dengan kata-kata yang cik tidak suka. Pada ibu, mungkin sifat cik yang memilih menyebabkan puan tidak bertemu jodoh. Bukan tidak ada, tetapi disebabkan kesukaran dalam memilih, maka usia cik berlalu begitu sahaja. Tahukah cik bahawa peratus wanita yang tidak berkahwin kini ramai? Jika cik bahagia, maka tidak perlu gusar dengan soalan-soalan yang ditanya oleh ibu mahupun ahli keluarga yang lain.
Kesempurnaan kriteria yang diidamkan itu mungkin satu dalam sejuta. Kebarangkalian untuk dapat sukar bukan? Jika cik tidak bersifat memilih, maka cik boleh serahkan urusan itu kepada ibu untuk memilih jodoh. Asalkan cik memberi ruang dan peluang untuk berkahwin. Pastinya ibu akan mencari lelaki yang baik untuk anaknya…bukan lelaki yang menjadi idaman anaknya.
Persoalannya adakah cik masih meletakkan kriteria tertentu untuk lelaki yang menjadi calon suami? Jika masih ada, maka sukar untuk bertemu jodoh… dan jika kata-kata yang keluar dari mulut ahli keluarga puan tidak boleh terasa…kerana itu adalah kebiasaan bagi ahli keluarga kepada anaknya yang sukar untuk berkahwin.
Kerjaya setakat mana sahaja…sampai masa akan bersara…sampai masa kita akan tinggal keseorangan. Ini yang ahli keluarga cik bimbang. Namun cik tidak melihat ini sebagai masalah.
Justeru, jika cik ingin meneruskan kehidupan tidak berkahwin, maka cik perlu ada kekuatan diri yang tidak kisah apa orang kata. Ramai juga orang tidak berkahwin yang bahagia. Cik boleh juga mengambil anak angkat seorang atau dua buat peneman di hari tua. Cik boleh saja melibatkan diri dengan pertubuhan NGO untuk membantu manusia lain. Sehingga cik merasa hidup cik penuh bermakna. Namun, jika cik kasihkan ibu, pastinya cik boleh “berkorban” sedikit kriteria yang ditetapkan untuk mendapat calon suami.
Berkahwinlah, asalkan suami itu baik dan bertanggungjawab. Jangan kisah soal pendapatan, asalkan dia mahu bekerja, hidup insya-Allah akan bahagia. Sesuaikan diri dengan keadaan dan pasangan, yang kurang dan tidak sempurna itu, berikan “sedekah” kepadanya. Insya-Allah cik akan dapat ganjarannya. Kalau tidak di dunia, insya-Allah di akhirat…bahkan apa yang cik berkorban ini sebenarnya “hadiah” buat ibu….meskipun cik tidak mahu berkahwin, namun dengan membahagiakan ibu, insya-Allah, akan memberi kebahagiaan itu buat cik…Wallahuallam.
Artikel: Hajah Maimunah Muhamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Derma lima organ, pemergian Allahyarham Normah Abdullah bukan sahaja mengundang rasa kehilangan dalam kalangan keluarga dan kenalan, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat yang mengenalinya.