Dilema Masih Belum Kahwin, Keluarga Sering Desak Cari Calon Suami

Dilema apabila usia makin bertambah namun jodoh belum juga sampai. Ditambah pula bila orang sekeliling desak untuk kahwin. Itu yang dialami oleh gadis ini. ikuti pengakuannya.

Dalam Dilema

Assalamualaikum puan. Saya berusia 39 tahun, berkerjaya mantap dan masih bujang. Saya sedar, pada usia ini, orang sudah ‘cop’ saya sebagai andartu (anak dara tua). Saya tak kisah orang nak bercakap apa saja tentang diri saya. Tapi apabila ahli keluarga sendiri yang bercakap, saya rasa jauh hati.

Saya anak ketiga daripada enam beradik. Semua adik-beradik yang lain sudah pun mendirikan rumah tangga. Kakak sulung berusia 44 tahun ada anak empat, kakak kedua berusia 42 tahun sudah ada anak dua. Manakala adik lelaki yang berusia 37 mempunyai anak dua dan isterinya sedang hamil anak ketiga, adik perempuan yang berusia 35 tahun ada tiga anak dan adik bongsu lelaki yang berusia 32 tahun sudah ada lima anak. Bermakna saya ada 16 anak sedara!

Tumpang Kasih Sayang

Hidup saya tidak sepi dengan adanya anak-anak saudara yang ramai. Adik perempuan saya sekeluarga hanya tinggal di sebelah rumah mak dan ayah. Manakala saya sendiri memang tinggal bersama mak dan ayah. Boleh dikatakan sepanjang masa tiga orang anak adik yang berumur 10, 9 dan 6 tahun berada di rumah mak dan ayah.

Lebih-lebih lagi bila adik dan suaminya bekerja, anak-anaknya akan makan dan bersiap di rumah mak dan ayah. Malam selepas makan malam baru mereka balik rumah. Bahkan selalu juga tidur di rumah atuk dan nenek saja. Dengan mereka bertiga saya paling rapat, umpama anak sendiri. Tempat saya menumpang kasih. Bila keluar berjalan-jalan, sering kali mereka dianggap anak-anak saya apatah lagi mereka memanggil saya ‘mummy’.

Dalam Dilema Dan Rasa Tertekan

Saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Namun bila mak yang sejak akhir-akhir ini asyik memerli saya agar cepat kahwin, saya rasa tertekan. Saya boleh pekakkan telinga jika orang lain bercakap, tapi bila mak sendiri yang bercakap, saya tak boleh nak cakap apa. Mungkin kerana umur saya hampir mencecah angka ‘4’ buat mak rasa gusar.

Puan, bukan saya tak nak kahwin tapi belum jodoh. Bukan saya tak pernah bercinta, pernah dua kali bercinta tapi tiada jodoh. Bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih. Takkan nak cari lelaki yang muda? Setahun dua okaylah. Tapi kalau lebih lima tahun, rasa macam bercinta dengan adik pula.

Ramai lelaki yang cuba pikat tapi kebanyakan suami orang. Maaf, bukan nak riak, tapi kalau boleh saya akan elakkan kahwin dengan suami orang. Tak sanggup lukakan hati wanita lain.

Puan, bagaimana saya nak berterus terang dengan mak supaya faham dengan perasaan saya? Tidak lagi mendesak saya berkahwin? Saya buntu dalam dilema.

IKLAN

Gadis Pilu, KL

JAWAPAN KAUNSELOR

Dengan Nama  Allah  Yang Maha  Pengasih Lagi Maha  Penyayang…

Assalamualaikum cik yang  dirahmati  Allah. Tidak dinafikan semua  orang mahu bahagia… bahagia dengan keluarga,  pasangan dan anak-anak. Daripada  ini dapat berkongsi kasih – memberi dan menerima  kasih sayang  daripada  orang yang siginfikan  dalam hidup.   Namun  ada  juga  orang yang bahagia  hidup berseorangan.  Mungkin dia  juga  mahu  hidup  bahagia  dengan mempunyai keluarga  sendiri, namun  keadaan belum mengizinkan  lagi.  Bukan  mudah utuk mendapat suami yang baik dan bertanggungjawab, apatah lagi membelai  isteri  dengan kasih sayang  yang  menjadi idaman setiap  wanita.

Dilema Masih Belum Kahwin, Keluarga Sering Desak Cari Calon Suami

Anak Dilema, Keluarga Risau

Mana-mana  ibupun  mahukan kebahagiaan  anaknya. Salah satu bahagianya seorang ibu  adalah apabila  melihat  anaknya  berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Apabila  melihat  anaknya belum mempunyai  pasangan, sudah menjadi kelaziman soalan-soalan  atau kata- kata   yang tidak sedap didengar oleh anak. Pada  ibu  asalkan  anaknya berkahwin dengan lelaki yang baik sudah memadai. Namun pada  anak  mungkin tidak. Cik  ada  menyebut  dalam tulisan cik…..  “bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih.

IKLAN

Perkataan  memilih itulah  yang mungkin dilihat  oleh ibu sebagai halangan kepada cik untuk berkahwin. Cik kata  cik bahagia  dengan keadaan sekarang. Bagi seorang ibu tidak sama  seperti  apa yang dilihat  oleh anaknya.  Bahagia  bagi cik tidak semestinya  bahagia  buat seorang ibu.

Ibu dikelilingi oleh masyarakat yang kerap bertanya  kenapa cik  tidak berkahwin lagi.   Ini  menyebabkan ibu tidak  gemar dengan keadaan cik, walhal  ibu  lihat puan  ada  rupa,  ada  pekerjaan yang baik.  Maka  mustahil untuk sukar mendapat pasangan hidup.  Walhal  adik beradik lain  mempunyai  kelebihan dan kekurangan yang sama  seperti puan.  Jodoh  mereka  ada, walaupun tidak sempuna  seperti  yang diinginkan.

Baca lagi di sini:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Jangan Cari Kesempurnaan

Cik, jika  kita terlalu memikirkan “kesempurnaan”  dalam memilih jodoh,  maka  kita akan  akhiri dengan hidup membujang.  Puan  pada  masa kini di kelilingin anak saudara  yang hidup bersama  cik.  Di kala  cik muda  dan bertenaga. Cuba  bayangkan  apabila cik sudah mencecah umur  70-an, sakit demam. Adakah  cik yakin mereka  yang sudah berkeluarga  sendiri akan menunggu dan merawat cik?

IKLAN

Inilah  antara  kebimbangan  lain yang dilahirkan  oleh ibu cik dengan  kata-kata  yang cik  tidak suka.  Pada  ibu,  mungkin sifat cik yang memilih menyebabkan  puan tidak bertemu jodoh. Bukan  tidak  ada, tetapi disebabkan  kesukaran dalam memilih, maka  usia  cik berlalu begitu sahaja. Tahukah cik bahawa peratus wanita  yang tidak berkahwin  kini ramai?  Jika  cik bahagia,  maka  tidak perlu gusar  dengan soalan-soalan  yang ditanya  oleh ibu mahupun  ahli keluarga  yang lain.

Dilema Andai Cari Kriteria Idaman

Kesempurnaan kriteria  yang diidamkan  itu mungkin satu dalam sejuta.  Kebarangkalian  untuk  dapat  sukar  bukan?  Jika  cik tidak bersifat memilih, maka  cik boleh  serahkan urusan itu kepada  ibu untuk memilih jodoh.  Asalkan  cik memberi ruang  dan peluang untuk berkahwin.  Pastinya  ibu akan mencari  lelaki yang baik untuk anaknya…bukan  lelaki yang menjadi idaman  anaknya.

Persoalannya  adakah cik masih meletakkan kriteria  tertentu  untuk lelaki yang menjadi calon  suami?  Jika  masih ada,  maka  sukar  untuk  bertemu jodoh… dan jika  kata-kata  yang keluar  dari  mulut  ahli keluarga  puan tidak boleh terasa…kerana  itu adalah kebiasaan  bagi ahli keluarga  kepada  anaknya  yang sukar untuk berkahwin.

Kerjaya  setakat mana sahaja…sampai  masa  akan bersara…sampai masa  kita  akan tinggal keseorangan. Ini yang ahli keluarga  cik bimbang. Namun cik tidak melihat ini sebagai masalah.

Abaikan Cakap Orang

Justeru,  jika  cik ingin meneruskan  kehidupan  tidak  berkahwin, maka  cik perlu ada kekuatan diri yang tidak kisah  apa  orang kata. Ramai juga  orang tidak berkahwin yang bahagia.  Cik boleh juga mengambil anak angkat seorang atau dua  buat peneman di hari tua.  Cik boleh  saja  melibatkan diri  dengan pertubuhan NGO  untuk membantu manusia  lain. Sehingga cik merasa  hidup  cik penuh bermakna.  Namun,  jika  cik  kasihkan  ibu,  pastinya  cik boleh “berkorban”  sedikit kriteria  yang ditetapkan  untuk mendapat calon suami.

Berkahwinlah,  asalkan suami itu baik dan bertanggungjawab. Jangan  kisah soal pendapatan, asalkan dia mahu bekerja,  hidup  insya-Allah  akan bahagia. Sesuaikan diri dengan keadaan dan pasangan,  yang kurang dan tidak sempurna itu, berikan “sedekah” kepadanya. Insya-Allah cik akan dapat ganjarannya. Kalau tidak di dunia,  insya-Allah di akhirat…bahkan  apa yang cik berkorban  ini sebenarnya  “hadiah” buat ibu….meskipun  cik  tidak mahu berkahwin, namun  dengan membahagiakan ibu,  insya-Allah,  akan memberi  kebahagiaan  itu buat cik…Wallahuallam.

Artikel: Hajah Maimunah Muhamad, Kaunselor.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI