Saya telah mendirikan rumah tangga kira-kira lima tahun. Semuanya atas jodoh yang sama sekali saya tidak menyangka hadir semula selepas 10 tahun hidup sendirian. Sebelum menerima suami, saya meminta pendapat dari ahli keluarga.
Sama ada suami sesuai atau tidak jodohnya dengan saya. Ramai yang meminta saya menerimanya kerana bakal suami nampak baik dan mementingkan solat ketika kami baru berkenalan dahulu.
Memandangkan pernah ada sejarah perkahwinan lalu yang agak menyedihkan, semua itu membuatkan saya menjadi lebih berhati-hati untuk melangkah ke frasa mendirikan rumah tangga semula.
Masih saya ingat, semasa perkahwinan pertama, awalnya saja saya bahagia tetapi selepas itu rumah tangga mulai haru-biru bila suami diberhentikan kerja.
Setahun berlalu dia masih selesa dengan caranya menjaga anak-anak dan hanya saya yang bekerja untuk melunasi semua hutang piutang yang kami buat semasa awal perkahwinan.
Mulanya saya masih boleh bersabar tetapi lama kelamaan saya mulai bosan kerana suami seperti tiada tanda untuk bekerja semula dan saya mulai tebal muka meminjam pada ahli keluarga semata-mata mahu mencukupkan keperluan harian.
Ads
Kami bergaduh dan suami yang berang terus melafazkan talak. Biar sedih tetapi sejak itu, hati saya bahagia biarpun tidak sekaya mana. Saya tahu bagaimana untuk mencukupkan keperluan dua orang anak yang bersekolah rendah.
Kebetulan rezeki saya mulai murah selepas saya berjinak-jinak menjadi agen kepada satu produk popular. Bekas suami meminta untuk rujuk kembali tetapi saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Menceburi dunia bisnes membuat saya kenal ramai orang. Dari menjadi agen, saya naik menjadi stokis dan saya mulai dikenali. Tidak saya nafikan ramai yang menunjukkan minat untuk berkenalan, tetapi saya lebih senang membesarkan dua orang anak secara sendiri. Mungkin juga saya takut untuk hidup dengan lelaki lain.
Suami Berubah Bila Isteri Semakin Sibuk
Berbalik kepada perkahwinan kedua, majlis dilangsungkan selepas semuanya mendapat restu keluarga. Majlis kami sederhana saja kerana saya dan dia pernah melalui frasa perkahwinan sebelum ini.
Ads
Setahun dua, semuanya nampak elok malah perniagaan saya mulai berkembang. Saya dan suami sepakat untuk mengeluarkan produk kecantikan sendiri kerana saya yakin dengan kemampuan saya dan nampak peluang yang harus saya ceburi itu.
Di peringkat awal, kami lakukan bersama-sama. Sebenarnya bukan mudah untuk memulakan satu perniagaan berbanding mengambil produk orang kerana banyak modal yang harus dikeluarkan.
Enam bulan kemudian, lahirlah produk kecantikan kami. Agak berat awalnya kerana modal kami bukanlah banyak tetapi permintaan mulai ada sedikit demi sedikit. Itulah kata orang, rezeki anak-anak kerana rumah tangga yang kami bina itu dikurniakan seorang anak untuk pengikat kasih.
Bila saya semakin sibuk, entah mengapa perangai suami jadi berubah. Dia mulai marah-marah, katanya saya terlalu sibuk dengan urusan luar dan tidak lagi menguruskan rumah tangga sepenuhnya sedangkan dia juga tahu, kerana dia sentiasa bersama dengan saya.
Ads
Pernah suami memberi amaran kerana dia tidak suka ada ramai lelaki mendekati saya dan semua itu membuatkan saya jadi serba salah. Ya Allah, kami jadi berbalah tentang hal ini sedangkan dia tahu saya bekerja keras untuk mencari rezeki buat keluarga, untuk kesenangannya juga.
Sikap cemburu suami semakin menjadi-jadi malah saya pernah ditampar kerana berbual dengan salah seorang stokis yang berjaya membuat jualan terbanyak syarikat suami.
Sekarang saya dan suami telah berpisah rumah dan kami pernah ke pejabat agama untuk sesi kauseling. Saya membuat pengaduan tahap cemburunya antara faktor saya memilih untuk berpisah dan suami juga ego dengan caranya.
Apa yang harus saya lakukan kerana saya tidak pernah menyangka yang perkahwinan kedua ini juga bakal bermasalah. Apa yang harus saya lakukan? Dapatkah perkahwinan saya ini diselamatkan?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sejak dari dalam perut, IQ anak genius dah boleh dirangsang. Bayi akan beri tindakbalas dan percayalah, jika betul rangsangannya, anak akan lahir dengan kebijasanaan yang mak ayah idam-idamkan.
Walau janin belum mengerti apa yang dibincangkan, tindak balas yang diberikan oleh mak kepada anak yang dikandungnya, membuatkan wujud hubungan istimewa yang sukar difahami ini.
5 tip rangsangan bayi dalam kandungan ini membantu ibu mendorong janin miliki IQ yang tinggi sejak dalam kandungan lagi.
Tidak sahaja pengambilan makanan yang sihat dapat menghubungkan otak janin, anda turut boleh jalinkan konsentrasi dengan mendedahkan diri anda menggunakan otak kanan.
Ransangan seperti melihat gambar, memandang permandangan dan melukis akan membantu bayi merasakan apa yang anda rasa. Ketenangan daripada gambar tersebut akan merangsang peningkatan IQ bayi.
Kemampuan janin dalam kandungan yang mampu mendengar, melihat cahaya dan memberi respon melalui gerakan. Ia terjadi kepada janin berusia 23 minggu, meskipun kemampuan agak terbatas tetapi dia dapat membezakan suara ibu dan bapa.
Ibu boleh mendengar muzik atau menghayati ayat suci al-Quran untuk dapatkan ketenangan. Antara kelebihan Surah Al-Luqman ini adalah: Barangsiapa yang membaca Surah Luqman; Nescaya ia akan terhindar dari segala-gala penyakit, terutamanya dari penyakit-penyakit perut.
Subhanallah… betapa besarnya kelebihan Surah Al- Luqman. Dalam Surah ini juga, Luqman al-Hakim telah berpesan kepada ibu bapa bagaimana cara untuk mendidik anak-anak.
Cahaya yang redup yang didekatkan di perut ibu mampu merangsang bayi. Namun hindari menggunakan cahaya yang terlalu terang yang akan menganggu kenyamanan bayi. Jika ada gerakan yang ditimbulkan janin menunjukkan dia memberi tindak balas kepada anda.
Mengambil makanan yang sihat, modal utama dalam menjaga kesihatan bayi. Pilih makanan yang mengandungi tinggi lemak omega 3 dan DHA yang membantu dalam peningkatan perkembangan otak janin.
Beberapa makanan membantu seperti, ikan tuna, salmon, dan ikan air tawar. Selain daging dan kuning telur sangat baik dalam memenuhi kebutuhan DHA.
Tekanan yang berlebihan akan memberi impak kepada kesihatan kehamilan. Untuk itu, kawal tekanan anda dengan baik.
Anda dapat melatih tubuh dan fikiran untuk lebih bertenang dengan latihan pranatal atau yofa dapat mengurus tekanan. Keadaan ini akan membuatkan janin lebih rileks dan mampu meningkatkan kecerdasan anak anda.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Dalam ramai yang reda membesarkan anak autisme, ada juga yang tidak begitu sabar. Macam-macam pengalaman mak ayah kena lalui sepanjang membesarkan anak autisme, tapi terpulanglah pada mak ayah dan penjaga untuk menerima anak istimewa ini.
Tak dinafikan ada yang bersikap negatif terhadap anak autisme dengan membuli mereka mungkin kerana konflik dalam diri sendiri tidak dapat menerima tanggungjawab dikurniakan anak sebegitu, disalahkan pula anak tersebut, dimarahi, dipukul serta tidak dibelai dengan kasih sayang.
Malah adanya konflik rumah tangga mungkin disebabkan oleh anak itu mahupun sebenarnya konflik itu sudah pun tercetus sebelum kehadiran mereka.
Untuk selami dunia keluarga yang ada anak autisme, baca perkongsian saudara Aiman Amri ini…
Ramai yang share video @AdamAutismFamily itu dan ramai juga yang tag saya, termasuklah kakak saya sendiri haha.
Terima kasih. Saya anggap ini sebagai tanda anda mula menerima dan mengiktiraf kerjaya saya sebagai Autism Therapist.
Ya, benar seperti digambarkan. Memang begitulah suasana apabila berhadapan individu Autistik yang sedang tantrum atau meltdown (ada beza ya!)
1. Bukan semua jenis meltdown bersifat agresif sebegitu. Itu dipanggil “Externalised Behaviour”, berbeza dengan “Internalised Behaviour”, meltdown nya bersifat lebih pasif, menyendiri, tak mahu berinteraksi dll.
Mudah kata konsep bagi kita senang faham, beza antara “mengamuk” dan “merajuk”.
2. Meltdown ini terjadi kerana tekanan yang melampau pada diri seseorang. Bagi individu Autistik, boleh jadi kerana “sensory overstimulation”, kerana sensitiviti deria mereka tak sama seperti kita. Jadi, informasi deria yang dihantar ke otak mereka, berlebihan dan membawa sehingga meltdown.
Konsep mudah faham, gelas mereka dituangkan air sebaldi, maka sudah tentu air akan melimpah ruah, kan?
3. Apa yang dialami oleh keluarga mereka, itu semua benar. Bukan lakonan, bukan minta simpati, tetapi realiti. Memang begitu bagi kes sesetengah individu Autistik dan keluarga mereka.
Saya gembira memerhatikan sokongan dan bantuan yang diberikan kepada Adam oleh keluarganya yang sangat menyayanginya.
Tiada stigma “anak nakal”, tiada stigma “tak pandai didik anak”, tetapi semuanya diberi respons dengan ilmu dan kemahiran. Saya percaya, kemahiran keluarga Adam bukan datang dalam satu malam.
Terima kasih juga kepada adik paling bongsu kerana sentiasa jadi perakam setia, ketika ibu bapanya sedang berhadapan dengan Adam. Tanpa adik bongsu itu, kita semua tak dapat tonton video sebegitu.
4. Jangan samakan seorang individu Autistik dengan individu Autistik yang lain. Kondisi ini dibawah satu spektrum, maka setiap daripada mereka mempunyai ciri-ciri tersendiri.
Hanya kenal seorang Autism, bukan bermakna kita pun tahu bagaimana kondisi Autism. Idea kasar, ya, tetapi bukan terus pukul sama rata semua Autism begitu.
Sama saja konsepnya dengan populasi dunia kita.
Hanya sebab kita kenal seseorang pelajar daripada sekolah ini berperangai sebegitu, mempunyai cita-cita itu dan ini, tak bermakna apabila kita jumpa pelajar sekolah sama tetapi kelas lain, berperangai sama dan personaliti serupa.
5. Saya kagum dengan keluarga Adam, kerana video-video mereka, banyak membawa Adam ke dunia luar, contohnya pergi kedai Sketchers, makan spageti, masuk Uniqlo dan lain-lain.
Bagi sesetengah individu Autistik, keluarga mereka jarang membawa keluar rumah atas faktor:
– Rigid si anak (hanya boleh duduk di kawasan yang sudah familiar)
– Keselamatan si anak dan orang sekeliling (kerana mengendalikan tingkahlaku tantrum/meltdown di kawasan awam merupakan cabaran dan perlukan pengalaman)
– Si anak mempunyai deria yang amat sensitif (terutama pendengaran) dan tak mampu untuk berada dalam majlis keramaian
Kerana faktor ini juga, ada sesetengah keluarga yang tak dapat ke kenduri kahwin saudara mara, sambutan aqiqah sepupu, atau apa-apa majlis keramaian, atas faktor anak mereka Autistik.
Saya kagum melihat keluarga Adam.
Saya berterima kasih kepada insan-insan sebegini, seperti pelakon Zarina Zainuddin, Adam Autism Family, Fynn Jamal dan ramai lagi, kerana berkongsi mengenai kesedaran Autisme.
Pengalaman dan perkongsian saya sebagai Autism Therapist amat terhad, kerana ada isu kerahsiaan klien, dan banyak informasi bersifat teori (kerana praktikal lebih sesuai dikongsikan face-to-face).
Semoga dengan munculnya golongan-golongan sebegini, membantu untuk menyebarkan lagi kesedaran mengenai Autisme di Malaysia.
Saya juga harap satu hari nanti, saya dapat berjumpa dengan insan-insan yang disebutkan ini.
Insya Allah.
“Autism does not come with a manual, but it comes with parents who never give up.”
With Love,
Aiman Amri BSc in Psychology – University of Nottingham Autism Therapist – Founder of Aiman Psikologis
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selepas 21 hari dihantar ke penjara selepas Mahkamah Tinggi memutuskan dirinya bersalah atas kesalahan rogol, hari ini Mahkamah Rayuan membebaskan sementara Da'i Syed.