Isteri bukan orang gaji tapi teman hidup suami, jangan sesuka hati hambakan mereka. Isteri juga ibu kepada anak-anak anda. Layanlah mereka selayaknya.
Isteri tak penat ke? Soalan yang sering terpacul dari mulut lelaki. Jawapannya PENAT TAPI KENA BUAT. Itulah hakikatnya. Biasanya orang perempuan mempunyai KPI (ukuran prestasi) yang tinggi terutama golongan yang perfectionist.
Teman Hidup Yang Berkorban Untuk Keluarga
Selesai tugasan di tempat kerja, sambung pula tugasan di rumah. Bagi wanita bekerjaya yang tiada orang gaji atau pembantu rumah, lagilah banyak tanggung jawab mereka. Kadang baju kerja pun tak sempat tukar, tangan pantas mengemas rumah, mengurus anak-anak dan memasak.
Selepas melayani suami dan anak-anak makan, tak boleh rehat lagi ye. Kemas pula bahagian dapur. Baru hendak melabuhkan punggung, anak-anak datang menagih perhatian, si kecil nak bermanja, anak yang besar pula merengek minta diteman menyiapkan kerja sekolah. Itu belum lagi dikira order sampingan suami yang tiba-tiba mengidam kopi o panas atau roti telur selepas makan malam…
Sedar-sedar sudah lewat malam, barulah si isteri punya sedikit ruang privasi untuk dirinya. Tenaga yang sedikit berbaki itulah yang digunakan untuk ‘membelek’ dirinya. Itu pun kalau sempat, biasanya mata dah lelap dulu sebelum menelek jerawat atau kedutan di wajah.
Esok pagi, dialah juga insan pertama yang bangun. Kadang, badan terasa sangat penat. Kepenatan itu dibuang jauh-jauh demi keluarga. Tangkas dia bangun menyiapkan sarapan serta bekalan anak-anak ke sekolah. Ketika ‘bersilat’ di dapur memasak, sempat lagi bekejar siapkan anak-anak mandi.
Usai anak-anak ke sekolah, si kecil digendong ke nurseri atau ke rumah pengasuh. Tarik nafas dalam-dalam, pecut pula kereta ke tempat kerja. Fokus dialih pula melaksana tanggung jawab sebagai pekerja. Begitulah hari-hari seterusnya, tiada cuti bagi seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu.
Bukanlah minta disanjung atas pengorbanan yang dilakukan namun saya percaya setiap wanita mengharapkan pengertian seorang suami untuk menghargainya dan berkongsi tugasan di rumah. Jika isteri boleh bekerja dan membantu meringankan beban suami menanggung keluarga, mengapa suami tidak boleh melakukan kerja rumah?
Isteri bukanlah orang gaji, layanlah mereka selayaknya. Itu hak mereka, jangan dinafikan. Jadilah suami yang bertimbang rasa, pasti rumah tangga bertambah bahagia.
Ads
Bebel sebab sayan, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cinta kilat antara Azira Baharum dan pasangannya, Mohamad Izham Abdul K atau Ejam pantas mendapat perhatian netizen Malaysia dan juga Indonesia. Jodoh menyatukan mereka berdua yang juga merupakan pasangan yang menghidap menghidap kanser Limfoma Hodgkin Klasik atau nama saintifiknya Classical Hodgkin Lymphoma.
Bukan mudah untuk menerima hakikat diri didiagnos salah seorang penghidap kanser. Perjuangan Azira yang mesra disapa Egy mendepani kanser kini dilalui bersama suaminya juga menghidapi kanser yang sama sepertinya. Akaun Twitternya, Egyazira pantas mendapat ulang kicau (retweet) dari warganet sebaik beliau berkongsi momen istimewa setelah melangsungkan perkahwinan bersama suaminya, Ejam.
Perkenalannya bersama Ejam diaturkan oleh keluarga masing. Segalanya berlaku tanpa dijangka, sebaik didiagnosis menghidap kanser September tahun lalu, Egy memuat naik satu bebenang di akaun Twitternya dan menceritakan kondisi dirinya. Tujuan perkongsian itu dibuat bagi mendapatkan sebanyak mungkin info melibatkan mereka yang senasib dengannya dan bagaimana mereka melalui kehidupan serta jenis rawatan yang diambil.
“September tahun lalu, saya dimaklumkan menghidap Kanser Limfoma Hodgin Klasik. Mengumpul kekuatan diri yang ada, saya memuat naik satu bebenang di akaun Twitter peribadi dan memaklumkan perihal kesihatan diri. Tujuan utama saya memuat naik bebenang itu, bagi mengumpul sebanyak mungkin info berkaitan kanser ini dari mereka yang juga melalui situasi seperti saya.
“Dalam ramai-ramai yang meninggalkan komentar, saya terpanggil untuk membalas komen yang ditinggalkan oleh seorang wanita yang berkongsi kisah mengenai adiknya yang juga penghidap kanser. Dari situ saya mula mengenalik Ejam dan hubungan itu bertambah rapat apabila adakalanya dia melapangkan diri menenami saya ketika membuat rawatan kemoterapi di hospital. Walaupun kondisi kesihatannya yang tak menentu, saya tersentuh apabila melihat dia sanggup menggagahkan diri menemani saya,”cerita wanita berusia 27 tahun ini kepada Mingguan Wanita.
Kebetulan yang manis, menyaksikan rupanya mereka berdua berkongsi temujanji bersama doktor pada tarikh dan masa yang sama juga di hospital yang sama. Hubungan yang berlandaskan ‘kebetulan’ ini akhirnya membawa mereka melangkah ke alam perkahwinan Ogos baru-baru ini.
Takkan pernah faham
Bagi mereka yang tidak mengerti dengan pelbagai kesulitan yang perlu diharungi seorang pesakit kanser, perkataan memahami bukanlah satu subjek ideal untuk menggambarkan situasi mereka. Hanya mereka yang sedang berada di dalam situasi ini benar-benar mengerti erti ‘perjuangan’ yang perlu dilalui saban hari.
“Walaupun orang mengatakan barah itu satu perkara yang besar dan berat, sesungguhnya kita takkan pernah faham apabila kita sendiri tidak melaluinya. Saya lebih selesa mendekatkan diri dengan orang yang mengetahui tekanan dan perjuangan yang perlu dilalui saban hari.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dikurniakan pasangan yang benar-benar memahami perih jerih dan kesakitan yang sedang diharungi. Saya tidak lagi bersendirian mengharungi ujian ini dan saya benar-benar berharap kam berdua dapat melaluinya bersama hingga ke hujung nyawa.
Wanita ini juga memaklumkan dia juga sedang mengumpulkan dana dengan menjalankan perniagaan sendiri bagi menampung kos pembiayaan rawatannya dan suami.
Dalam pada masa yang sama, Egy dan Ejam aktif melibatkan diri dalam menyebar luaskan lagi kesedaran tentang kepentingan sistem sokongan kepada individu yang senasib dengan mereka.
Malu meminta bantuan
Anak bongsu daripada lima bersaudara ini, pada mulanya mengalami bengkak kecil di bahagian lehernya. Apabila dirujuk kepada klinik, doktor memaklumkan ia adalah bengkak normal di bahagian nodus limfa sebelum merujuknya ke hospital.
“Hampir lima hospital saya rujuk dalam tempoh tiga tahun dan mereka melakukan biopsi di bahagian dada tapi masih belum dapat kenalpasti penyakit sebenar. Akhirnya pada tahun lalu, saya ke sebuah hospital pakar di Petaling Jaya dan doktor mengesahkan saya menghidap Limfoma Hodgkin Klasik tahap 3. Walaupun khabar yang diterima agak menggusarkan, saya bersyukur segala tanda tanya yang bersarang di fikiran selama tiga tahun akhirnya punya jawapan,”terangnya mengenai titik awal dirinya didiagnos kanser itu.
Bagi menampung keperluan kos rawatannya, Egy yang juga penulis sambilan menjual karya tulisannya termasuk sebuah novel puisi cinta menerusi medium atas talian sejak berhenti kerja pada tahun lalu.
Ayatnya menerusi satu ‘posting’ di Twitternya yang telah diterjemahkan semula ke dalam bahasa Melayu iaitu, “Kalian, saya menghidapi kanser Kanser Limfoma Hodgin Klasik dan saya menjual karya saya untuk menampung kos kemoterapi yang perlu dilalui. Saya rasa malu untuk menerima wang derma tanpa memberi apa-apa sebagai balasannya. Untuk menempah, hubungi saya di 013-2691597 dan war- warkan ia ya,”pintanya.
Definisi bahagia
Ujian adakalanya hadir tanpa dipinta. Mengakui emosi yang dilaluinya ada waktunya turun dan naik, Egy walau bagaimanapun bersyukur…kerana Allah menghadirkan dia seorang sosok lelaki yang dipanggil suami untuk sama-sama mendepani kanser.
“Definisi bahagia is when we feel content with our life no matter what struggles that we need to go through. Dan kebahagiaan itu terletak kepada redha Allah dan bagaimana kita menerima ujian itu dengan berlapang dada.
“Apabila bertemu dengan seseorang yang juga melalui kesakitan yang sama dengan apa yang sedang saya lalui, ia secara tidak langsung mendidik saya untuk tingkatkan kesabaran, kuat dan redha. Ejam memberi semangat baru buat saya dan doakan kami berjaya mengharungi ujian ini dan boleh kembali sihat,”cerita Egy.
Semoga perjuangan Egy dan suaminya membuahkan hasil yang positif. Ujian ini menyatukan dua hati yang sama berjuang, menjadi satu. Semoga doa yang sentiasa basah dibibir dimakbulkan Dia Yang Esa dan pasangan ini kembali sihat hendaknya. Teruskan berjuang Egy dan jangan pernah menyerah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan mudah menguruskan anak-anak dan keluarga.Bagi seorang isteri adakalanya perlukan masa untuk diri sendiri atau ‘Me Time’ bagi melakukan perkara yang dia suka.Tak kiralah pergi membeli belah ke, pergi spa ke, salon ke, makan-makan secara sendirian mahupun sekadar keluar dengan kawan-kawan. Bahkan dapat keluar sekejap pergi supermarket, jalan-jalan cuci mata tanpa anak-anak pun dah boleh buat isteri bahagia.
Para suami kena faham, ‘Me Time’ ini bukanlah bermaksud seorang isteri itu hanya pentingkan diri sendiri. Setiap isteri perlukan ‘Me time’ nya sendiri untuk meredakan emosinya yang penat, melepaskan lelah seketika setelah bertungkus lumus menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Alah, bukannya selalu pun! Percayalah para suami, isteri yang dapat ‘me time’ nya sendiri, pasti lebih bersemangat untuk berkhidmat buat keluarga tersayang!
Bagi yang mengikuti instagram Hairul Azreen, Hanis Zalikha dan anaknya Yusuf Iskandar pasti mengetahui, yang pasangan ini telah berjauhan hampir sebulan. Ini kerana Hairul Azreen terlibat dalam penggambaran filem terbarunya ‘Paskal’ di Sabah, manakala Hanis Zalikha hanya tinggal berdua menjaga anaknya, Yusuf Iskandar di Kuala Lumpur.
Setelah habis menjalani penggambaran di Sabah, Hairul telah kembali ke rumah, sementara menunggu untuk menyambung penggambaran filem ini di Turki pula nanti. Apa yang menariknya, dalam tempoh berehat tersebut, Hairul Azreen cukup ‘sporting’, memberi ‘green light’ buat Hanis Zalikha untuk meluangkan masa ‘Me Time’ dengan kawan-kawannya bercuti di Korea. Sekaligus tak kisah untuk menjaga Yusuf Iskandar berdua, sementara isterinya pergi bercuti.
Didalam posting terbaru Hairul Azreen ada memuat naik video pendek, menyatakan Hanis Zalikha akan ke Korea.
“Giliran mommy pulak bercuti dengan kawan-kawan sebelum daddy sambung penggambaran filem ‘Paskal’ di Turki’.”
Namun paling menyentuh hati dan mendapat perhatian pengikutnya, pada ruangan komen Hairul Azreen meluahkan penghargaan buat para isteri yang berkorban menjaga anak-anak serta memahami tugas isteri yang menguruskan rumahtangga.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Hairul Azreen kerana menghargai dan memahami tugasan isteri. Tindakan hairul Azreen memberi isterinya Hanis Zalikha ‘Me time’ untuk bercuti bersama dengan kawan-kawan ini memang para suami lain patut contohi. Bukan selalu pun! Sesekali berilah ruang buat isteri untuk melakukan perkara yang dia suka, tanpa suami dan anak-anak. Suami bertimbang rasalah dan bertolak ansur pula menjaga anak-anak, kan!
Sekarang dah bulan bulan Rejab, lepas itu masuk bulan Sya’ban dan bulan Ramadhan. Ok, satu soalan normal: puasa dah ganti penuh ke belum? Ini yang akan menjadi satu kemusykilan bagi kaum wanita, bab kiraan fidyah sebab tidak sempat menggantikan puasa.
Haaa… bagi anda yang ragu-ragu tentang perkara ini berikut di kongsi penjelasan cara kiraan fidyah yang diambil dari Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Tapi sebelum itu baca juga penjelasan mengenai fidyah untuk pengetahuan kita.
Fidyah
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.
Hukum fidyah
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Prosedur membayar Fidyah
Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.
Sebab-sebab dikenakan fidyah
1. Uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
2. Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
3. Ibu yang menyusukan Anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
4. Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
5. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
Taksiran fidyah
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = Fidyah
Kadar bayaran fidyah
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 1435H, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.80.
Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:
RM1.80 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM16.20
*Jumlah hari puasa yang wajib di qada tetap 3 hari sahaja. Hanya bayaran fidyah sahaja digandakan.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada semua.
Nota:
Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...